Dalam surat khabar al-Madinah Arab Saudi melaporkan, "Seorang jemaah haji Malaysia mengembalikan sebutir batu kecil (lebihan batu Jamrah) yang baru disedarinya setelah dia kembali ke negaranya. Jemaah tersebut bersungguh-sungguh untuk mengembalikannya ke Muzdalifah (tempat dia mengutip batu). Maka beliau memasukkan batu yang telah dibersihkkan dan diwangikan itu ke dalam balang kecil yang berharga kemudian menuliskan sepucuk surat kepada Pengurus pejabat pos tanah suci Mekah dengan menyertakan wang 10 Riyal, memohon supaya membayar kepada pemandu teksi bagi meletakkan batu tersebut ke tempat asalnya. Pengurus pejabat pos (Abdul Muhsin Salmi al-Raddadi) sendiri telah menunaikan amanah tersebut sambil memaklumkan jemaah Malaysia itu serta memulangkan 10 Riyal dengan disertakan Mushaf sebagai hadiah".
Inilah diantara banyak-banyak kisah yang mendapat perhatian dan dikagumi oleh ramai pembaca. Diantara komentar-komentar yang saya baca melalui satu laman;
1) Jemaah haji tersebut adalah diantara orang yang mengangungkan syiar-syiar Allah.
2) Bagaimanakah agaknya perlaksanaan hajinya yang semestinya ditunaikan dengan cukup berhati-hati lagi sempurna.
3) Bagaimana kesungguhannya supaya pahala hajinya tidak tercalar dengan dosa ataupun kecacatan yang sekalipun tidak disengajakan.
Kembali kepada persoalan hukum bagi yang mengeluarkan batu atau tanah haram dan membawa pulang ke tanah halal (samada negaranya @ mana-mana tempat) dengan secara sengaja mahupun tidak. Apakah hukumnya? Seorang sahabat daripada Madinah memberi sms meminta penjelasan.
Pertamanya sebagai makluman, Muzdalifah dan Mina adalah termasuk dalam tanah haram. Adapun Arafah ianya adalah tanah halal. Imam an-Nawawi berkata; "Ketahuilah bahawa Muzdalifah keseluruhannya adalah dalam kawasan tanah haram". Lihat Syarah Soheh Muslim 8/187.
Yang kedua;
Tidak sepatutnya bagi seseorang individu membawa keluar mana-mana kesan (batu, tanah atau yang seumpamanya) daripada mekah ataupun madinah kerana ini memberi komplikasi negetif kepada akidah. Mungkin seseorang akan menyangka bahawa kesan-kesan tersebut akan memberi manfaat ataupun mengagungkan kesan-kesan tersebut. Syariah islam telah menutup segala macam pintu yang memungkinkan kepada kesyirikan dan segala macam bentuk khurafat dan bidaah. Sekiranya yang dibawa keluar itu adalah air zam-zam, ini adalah suatu yang harus kerana telah datang perbuatan tersebut daripada Nabi dan para sahabat. Selain itu Nabi memberi tahu bahawa air zam-zam adalah air yang barakah. Ianya mengandungi penawar dengan izin Allah.
Yang ketiga;
Ulama telah berselisih pendapat dalam masalah membawa keluar kesan-kesan ini daripada tanah haram ke tanah halal kepada tiga pendapat.
1) Hukumnya adalah harus. Ini adalah Mazhab Hanafi dengan hujah tiada pengharaman nas yang jelas terhadap perkara ini.
2) Makruh. Merupakan pendapat sebahagian ulama Syafie.
3) Haram. Pendapat Imam Syafie dan jumhur ulama Syafieyyah.
Khilaf yang wujud dikalangan ulama seperti yang di atas, hanyalah jika kesan-kesan tersebut dikeluarkan dari tanah haram (saja-saja) sebagai kenang-kenangan sebagai contoh. Adapun jika dengan tujuan untuk mengambil berkat dan mengangungkannya hukumnya adalah haram.
Imam Syafie berkata; "Tiada kebaikan mengeluarkan batu daripada tanah haram, begitu juga tanahnya (tanah haram) keluar ke tanah halal. Kerana tanah haram ada kehormatannya yang telah thabit (tetap) yang jelas berbeza dengan tempat-tempat yang lain. Aku tidak melihat – Walahu a'lam- keharusan bagi seseorang untuk menghapuskannya (kehormatan haram) daripada tanah haram yang jelas berbeza dengan tempat-tempat lain sehingga disamakan". Lihat al-Umm 7/155.
Dalam Mausu'ah al-Feqhiyyah 17/195; "Sesiapa yang mengambil tanah haram dan membawanya keluar maka hendaklah dia memohon keampuanan kepada Allah kemudian hendaklah dia memulangkannya ke mana-tempat di tanah haram sekiranya mampu. Tidak wajid memulangkannya sendiri bahkan boleh jika mewakilkan mana-mana orang yang dipercayainya untuk memulangkannya. Jika kedua-keduanya inipun tidak mampu maka hendaklah dia meletakkan batu @ tanah tadi ditempat yang suci. Sesungguhny Allah berfirman uang bermaksud; "Allah tidak mentaklifkan seseorang itu diluar batas kemampuannya)) al-Baqarah : 286.
Imam an-Nawawi telah menaqalkan pendapat Imam al-Mawardi dan bersetuju dengan pendapat Imam Mawardi; "Maka jika dia mengeluarkan batu daripada tanah haram ataupun tanahnya, hendaklah dia memulangkannaya kembali ke tempatnya atau mengembalikannya ke tanah haram". Lihat al-Majmuk 7/460.
Wallahu A'lam.
3 comments:
bagus artikel yg cukup manfaat
assalamualaikum warahmatullah wbrt .minta ust jelaskan hukum berkaitan "jamak qasar?sbb nabi s.a.w hanya qasar solat dalam banyak hadis , walaupun baginda jamak namun jamaknya jamak tamam ...jadi bagaimana kita boleh jamak qasar?minta dalil dan hujah yg jelas ...
artikel ust ttg hukum bw keluar batu tanah haram amat bagus .tq
zainuddin kahar
kpd zainuddin kahar, insyaallah ana akan kupas permasalahan qasar dan jamak ini semampunya dlm entry bulan november...tapi pastinya untuk sempurna merangkumi topik adalah mustahil khasnya dalam helaian penulisan yang singkat. syukran
Catat Ulasan