RSS Feeds

Ahad, 11 Oktober 2009

Tangan-tangan Fasiq Yang Menulis


الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

"Pada hari yang kami bisukan mulut mereka dan tangan-tangan mereka bertutur kepada kami dan kaki-kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang mereka kerjakan". Surah Yasin; 65.


Ingatlah, bahawa tangan yang menulis ataupun yang menaip adalah salah satu gambaran yang lahir dari hati tetapi tidak dituturkan melalui lidah. Pastinya tangan-tangan yang menulis juga adalah ibarat lidah yang bertutur kerana ia mengambil tempat lidah apabila berada dalam bidang penulisan. Berapa banyak tulisan yang menjuruskan individu kepada fitnah, permusuhan, salah faham, keraguan, kesesatan dan kekufuran? Tulisan-tulisan yang hak dan yang batil akan saling terus bergelut dan berlawanan. Maka berbahagialah mereka yang menulis dengan hati yang bersih kerana Allah, disertakan dengan ilmu pengetahuan dan amanah dalam penulisannya. Amat beratlah dosa mereka yang menulis untuk menyebarkan fitnah, permusuhan, kesesatan dan kekufuran.


Maksud firman Allah; "Dan janganlah kamu berkata sesuatu yang kamu tidak ketahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati-hati kesemuanya itu akan dipersoalkan (pada hari akhirat)". Surah Isra'; 36.


Sewajibnya para penulis semua berasa takut terhadap amaran-amaran Allah yang keras. Samada mereka ini penulis akhbar, sajak, puisi, makalah ilmiah, buku dan yang seumpamanya, ingatlah bahawa jari-jari mereka akan menjadi saksi kepada apa yang mereka catatkan. Ingatlah bahawa buku-buku dan penulisan mereka akan kekal berabad lamanya dan menjadi rujukan kepada mereka generasi akan datang. Bayangkanlah jika apa yang ditulis itu menjadi factor kepada kesesatan umat islam sejagat? Bukankah amat berat tanggungannya dihadapan Allah?


Sedia dimaklumi bahawa golongan penulis-penulis fasiq ini berada dimana-mana tempat dan dalam semua bahasa dan bangsa. Mereka cuba membawa manhaj dan metod kefahaman mereka untuk disebarkan dan difahami oleh umum manusia. Seringkali golongan yang tidak bertaqwa ini menjadikan segala macam cara untuk mencapai matlamatnya. Penipuan, kedustaan, pemfitnahan, penghasutan, mengadu domba dan pelbagai lagi macam cara menghalalkan gerakan dan tindakan mereka, demi matlamat yang perlu digapai. Islam tidak pernah menghalalkan segala macam kemungkaran demi memartabatkan satu matlamat. Nabi tidak pernah membunuh orang kafir untuk diIslamkan. Para sahabat tidak pernah mencuri kekayaan orang kafir untuk disedekahkan kepada Fuqara dan Masakin. Ini hanyalah sebahagian contoh membuktikan bahawa prinsip islam itu tetap menyatakan (Matlamat tidak menghalalkan cara)


Pada minggu lepas telah berlaku tragedi yang amat menyedihkan umat islam di Arab Saudi. Seorang ulama terkenal yang berada dalam majlis hai'ah kibar ulama Saudi dipecat daripada tugasnya. Punca pemecatan ini kerana kejayaan tangan-tangan fasiq yang menulis untuk menyebarkan fitnah terhadap beliau.


Isunya apabila seorang pemanggil bertanyakan tentang keadaan penubuhan KING ABDULLAH UNIVERSITI di Jeddah, jawapan Syeikh Saad asSyetsri sangat jelas bahawa beliau menyokong penubuhan university ini dan berdoa agar ia menjadi pemangkin kearah peningkatan taraf kemulian ummat. Beliau secara lembut menyatakan bahawa King Abdullah pastinya tidak setuju dengan kekurangan yang berlaku pada university. Beliau mencadangkan pengwujudan satu department menilai sukatan pelajaran dan mengulas tentang isu pencampuran antara lelaki dan perempuan (Ikhtilat). Dan ini telah menjadi satu buah kilas yang diperbesarkan dan dieksploitasi secara ekstrem oleh para journalis yang mungkin berniat tidak baik pada ulama dan institusinya.


Adakah ulama yang hebat ini rugi? Beliau tidak kerugian apa-apa dan tidak membantahpun kerana beliau bukanlah ulama yang gilakan jawatan dan wang. Yang rugi adalah umat islam! Dan yang dikhawatiri ialah tercemarnya maruah dan kehebatan institusi ulama. Mereka diserang secara senyap oleh penulis-penulis jahat yang mahu melihat supaya islam di Saudi lebih liberal. Mengubah gaya kehidupan supaya tidak jumud kononnya kerana mengamalkan islam dan terikat dengan fatwa-fatwa ulama. Mereka mahukan supaya ajaran islam tidak diamalkan dan ditinggalkan secara berperingkat-peringkat. Semoga Allah menjadikan rencana kejahatan mereka ini sebagai satu kehancuran buat diri mereka.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...