Masjid Jami' al-Kabir Riyadh
Kertas kerja ini telah dibentangkan pada 10 Julai 1994, di Wacana Tokoh-Tokoh Mujaddid Islam di Universiti Teknologi Malaysia, oleh: Tuan Guru Abdul Qadir Al-Mandeely (Guru di Masjidil Haram Makkah)
Muqaddamah:
Meskipun ilmu pengetahuan telah tersebar luas dikalangan masyarakat Islam dan fikiran umat Islam telah terbuka, namun tidak dapat dinafikan bahawa kesamaran serta syubhat ke atas Syeikh Muhammad Abdul Wahab (SMAW) masih lagi bersarang di dalam fikiran sesetengah umat Islam. Mereka terkeliru dengan dustaan dan fitnah yang dilemparkan oleh orang-orang yang mempunyai tujuan tertentu. Kekaburan itu menjadi bertambah kelam apabila cerita sebenar mengenai SMAW tidak sampai kepada mereka dan ketidakmampuan mereka dalam menilai sesuatu syubahat itu dengan berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Mereka dimomokkan dengan fitnah-fitnah yang menakutkan tentang SMAW sedangkan beliau telah bertungkus lumus di dalam memperjuangkan akidah yang sahih, syariat yang sejahtera dan akhlak yang mulia dengan membersihkannya daripada perkara-perkara bid’ah dan khurafat yang mencemarkan kesucian Islam itu sendiri.
Keadaan mereka menjadi bertambah parah dengan sebab sikap ta’sub dan taqlid buta mereka. Lantas sikap toleransi dan berfikiran terbuka tidak wujud pada diri mereka bagi mendengar serta meneliti kebenaran perjuangan dakwah SMAW. Maka terciptalah segala fitnah-fitnah dan syubahat mengenai SMAW itu seperti fatamorgana yang beralun-alun di padang pasir tatkala panas terik sedangkan apabila dihampirinya, tidak ada satu apa pun yang didapati.
Andaikata seseorang itu mempunyai akal yang bersih daripada syubahat-syubahat tersebut serta cintakan kebenaran, nescaya dia akan mendapati bahawa tuduhan terhadap SMAW itu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
Oleh itu, kita berharap kepada saudara sekalian agar berfikiran terbuka, bebas daripada bersikap jumud dan permusuhan, sentiasa berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah di dalam meneliti perbahasan bab ini serta sentiasa mempunyai sikap ingin tahukan kebenaran.
Kertas kerja ini adalah langkah asas bagi memperkenalkan kepada masyarakat Islam tentang SMAW dan dakwahnya sekaligus menghapuskan fitnah-fitnah terhadap beliau.
Di dalam kertas kerja ini juga kita akan membicarakan syubahat dan fitnah yang dilemparkan terhadap beliau, dimana perbahasannya adalah berkisar disekitar tiga perkara. Dengan kata lain sekiranya kita meneliti terhadap fitnah-fitnah itu, hanya berlengkar sekitar tiga perkara, iaitu:-
1) Berkenaan Tauhid Uluhiyyah dan furu’nya seperti Istighatah, berdamping kepada yang selain daripada Allah, nazar, sembelih, bersumpah dengan makhluk dan sebagainya.
2) Berkenaan Tauhid Al Asma’ was Sifaat.
3) Ingkarnya terhadap bida'ah maulid, tarikat sufiah dan adat adat yang diada-adakan yang menghina agama Islam itu sendiri.
MOHAMMAD ABDUL QADEER ALMANDEELY
Makkah Al Mukaramah.
Sejarah Ringkas Syeikh Muhammad Abd Wahab
Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin At-Tamimi. Dilahirkan di ‘Uyainah yang terletak di sebelah utara Riyadh pada tahun 1115 H. (1703M) dan wafat pada tahun 1206H. Beliau membesar di bawah jagaan ayahnya yang juga merupakan seorang Qadi di ‘Uyainah.
Syeikh Mohammad Abd Wahab telah menghafal Al-Qur’an sebelum mencapai umur sepuluh tahun. Beliau telah mempelajari feqh Hambali, Tafsir dan Hadis daripada bapanya. Sememangnya dari sejak kecil beliau amat menggemari membaca kitab-kitab Tafsir, Hadis dan Aqidah serta lebih banyak menumpukan kepada hasil karya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Al-Hafiz Ibnu Qayyim di dalam pembacaannya.
Setelah itu beliau berangkat ke Makkah menunaikan ibadah haji, kemudian terus ke Madinah menziarahi Masjid Nabawi, menziarahi Rasulullah SAW dan para sahabatnya RA. Seterusnya beliau mendalami ilmu agama daripada para ulama Madinah seperti Syeikh Abdullah b. Ibrahim b Saif, Sheikh Ali Afandy Ad Daghastani, Syeikh Ismail Al ‘ Ajluni, Syeikh Abdul Latif Al-‘Afaaqi Al Ahsaai’, Syeikh Muhammad Hayat As Sindi.
Kemudian Syeikh Muhammad Abd Wahab pulang ke Najd dan terus ke Basrah. Beliau tinggal di sana beberapa waktu dan mendalami ilmu agamanya daripada para ulama Basrah seperti Syeikh Muhammad Al Mujmuey dan al ‘Allamah Malla Hamdu Al Jamili. Di dalam perjalanan pulang ke Najd beliau telah berhenti di (al- Ahsaa’) dan menetap belajar dari Syeikh Muhammad b Abd Latif As Syafie.
Ketika pulang ke negerinya, beliau telah melihat kemungkaran, kesyirikan dan kesesatan berleluasa di Negeri Najd, Haramain, Iraq dan lain lain tempat. Sehingga ketika beliau berada di Madinah, beliau telah mendengar orang ber’istighasah ( minta tolong ) dengan Rasulullah SAW dan bukannya dengan Allah SWT. Lalu beliau bertanya kepada Syeikh Hayat As Sindi tentang perkara tersebut, maka dengan segera Syeikh tersebut menjawab : “ Sesungguhnya celakalah mereka dengan apa yang mereka lakukan dan kekarutan yang mereka kerjakan itu.”
Pada tahun 1158H, beliau telah pergi ke Dir’iyyah dan menjadi tetamu kepada Abdul Rahman bin Suwailim dan Ahmad Suwailim. Semasa di sana beliau telah dikunjungi oleh ramai orang bertujuan mempelajari dan mendalami ilmu agama daripada beliau. Kemudian beliau telah bersetuju dengan Muhammad b. Sa’ud Amir Dir’iyyah untuk berjihad di jalan Allah bagi melaksanakan tuntutan “amar ma’ruf dan nahi mungkar” serta menegakkan syariat agama Islam.
Meskipun orang ramai telahpun menaruh minat serta memberi sokongan yang kuat terhadap da’wah SMAW, namun tidak dapat dinafikan bahawa di sana terdapat beberapa golongan yang menentang usaha murni beliau. Sehingga sesetengah orang awam telah terpengaruh dengan dakyah-dakyah golongan yang menentang usaha beliau ini disebabkan :-
1) Pihak penentang beliau telah menulis surat kepada kerajaan Uthmaniyyah bagi meminta bantuan ketenteraan dan mendesak agar Kerajaan Uthmaniyyah menghalangi usaha-usaha dakwah SMAW. Mereka telah menakut-nakutkan pemerintah Kerajaan Uthmaniyyah dengan dakwaan jika Kerajaan Uthmaniyyah tidak campur tangan di dalam masalah ini nescaya kehebatan kerajaan Uthmaniyyah akan hilang dari hati orang Islam. Tidak cukup dengan itu, mereka telah memburuk-burukkan SMAW dengan menaburkan fitnah-fitnah yang dusta, umpamanya mereka menuduh SMAW telah membuat mazhab yang kelima, beliau tidak mencintai Rasulullah,tidak mengasihi para wali dan sebagainya.
2) Golongan Ulama yang hidup mereka hanya bergantung dengan dakyah-dakyah yang membesar-besarkan kubur-kubur dan qubbah-qubbah yang dihiasi dengan pelbagai corak sangat takut dan bimbang dakwah Salafi yang dibawa oleh SMAW. Lalu mereka menentang habis-habisan SMAW demi untuk menjaga sumber rezeki mereka.
3) Sesetengah ulama tidak dapat gambaran yang jelas dan tepat tentang SMAW dan dakwahnya. Mereka sekadar mendengar daripada orang yang berhasad dengki dan memburuk-burukkan SMAW tanpa merujuk terus kepada kitab-kitab karangan SMAW.
Kitab-kitab Karangan Syeikh Muhammad Abd Wahab
Beliau telah mengarang beberapa buah kitab bagi menegakkan ajaran al-Qu’ran dan as-Sunnah serta sekaligus menjelaskan matlamat dakwah beliau. Di antara kitab-kitab tersebut Ialah: 1) Kitab at Tauhid
2) Kasyfu asy Syubhat
3) Thulatha al Usul
4) Mukhtasar as Sirah an Nabawiyyah
5) Al-Qawaid al Arba’
6) Usul al Iman
7) Kitab Mufid al Mustafid fi Kufri Tariq at Tauhid
8) Syurut as Solah wa Arkaanuha
9) Kitab Fadl al Islam
10) Majmu’ Rasail fi at Tauhid wal Iman wa Masail al Jahiliyyah.
11) Kitab at Thoharah
12) Mukhtasar al Insof fi Ma’rifah ar Rajih minal Khilaf
13) Nasihah al Muslimin bi Ahaadith Khatimal Mursalin
14) Kitab Al Kabair
15) Mukhtasar Zaadul Ma’ad
16) Kitab Fadhailul Qur’an
17) Istinbath minal Qur’an
18) Al Hudha An Nabawi
19) Majmu’ as Sawaiq
20) Majmu’ al Hadith ‘ala Abwab al Fiqh
21) Ahaadith al Fitan
22) Mukhtasar al Bukhari
23) Ar Rasail asy Syakhsyiyyah
24)Ikhtisar as Syarh al Kabir
25) Masail al Jahiliyyah dan sebagainya
Didalam kitab "Unwan al-Majid" telah dinyatakan bahawa ramai ulama-ulama besar ketika itu turut mendalami ilmu daripada SMAW. Keempat empat anak SMAW juga telah menjadi ulama besar hasil didikan beliau. Mereka ialah Husain, Abdullah, Ali dan Ibrahim.
Disamping itu terdapat ramai anak anak murid SMAW yang muncul sebagai tenaga penggerak Dakwah Salafiyah di merata-rata tempat. Kebanyakan mereka telah menjadi qadhi atau mufti di seluruh pelusuk Tanah Arab. Di antara mereka itu ialah:
1) Syeikh Abdul Aziz b. Abdullah Al Husain Al Naasiri
2) Syeikh Sa’id b. Huja’I
3) Syeikh Abdur Rahman b. Naami
4) Syeikh Hamid b. Naasir b. Usman b. Ma’mar
5) Syeikh Ahmad b. Rasyid Al Uraini
6) Syeikh Abdul Aziz Abu Hasan
7) Syeikh Abdul Aziz b. Suwailim
8) Syeikh Hasan b. Aidan dan lain lain lagi.
Masyarakat Najd sebelum Dakwah Syeikh Muhammad Abd Wahab.
SMAW telah mendapati bahawa khurafat dan I’tiqad yang rosak dan bercanggah dengan usul agama yang sahih telah berleluasa didalam negei Najd dan di kawasan kawasan sekitarnya. Masyarakat ketika itu sering berulang alik ke kubur di negeri itu untuk meminta hajat atau meminta agar mereka dilepaskan daripada kesusahan.
Umpamanya di al-Jubailah, mereka berulang alik ke kubur Yazid b. al-Khattab dan merendah diri serta meminta hajat daripadanya. Peristiwa yang lebih ganjil lagi telah berlaku di Negeri Al Mantahah dimana mereka bertawassul dengan “Pokok Tamar Jantan” dimana orang yang belum mendapat jodoh akan berkata: “Wahai bapa sekelian bapa(iaitu pokok tamar jantan), saya mahu berkahwin sebelum dalam tempoh setahun ini”.
Kebanyakan masyarakat Islam ketika itu sentiasa berulang alik ke kubur-kubur yang didakwa sebagai kubur para sahabat dan para wali. Tanpa disedari, meraka telah melakukan upacara ibadat yang tidak selayaknya melainkan kepada Allah seperti bernazar, tawaf, menyembelih, meminta tolong dan sebagainya. Mereka seolah olah tidak mengenal Allah. Apabila ditimpa musibah atau sakit, maka mereka akan menjerit-jerit menangis berdoa’ dan meminta tolong di kubur. Mereka juga seolah-olah tidak pernah mendengar Firman Allah bermaksud :
“Berdoalah kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina dina”. (Al Mu’min : 60)
Hati mereka terikat kuat dengan perkuburan, pokok-pokok dan gua-gua. Diantara faktor yang menyebabkan hati mereka lebih gemar meminta doa kepada selain Allah (menyekutukan Allah) adalah:
1) Penerimaan amalan ini secara warisan daripada bapa dan datuk moyang mereka tanpa meneliti kesahihan amalan tersebut.
2) Tiadanya golongan yang berani bangkit untuk membanteras bida'ah-bida'ah ini dan berusaha untuk mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sahih.
3) Bagi sesetengah golongan, perkara bida'ah merupakan sumber rezeki dan batu loncatan untuk mendapatkan pangkat dan kedudukan yang mereka inginkan.
4) Kejahilan mereka dengan hakikat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, sehinggakan mereka mencampur-adukkan agama dengan perkara lain atau menggantikannya dengan sesuatu yang bertentangan dengan Islam.
5) Pemimpin dan penguasa tidak memandang berat terhadap persoalan tersebut. Mereka hanya sibuk untuk mengumpul harta.
Justeru itu Syeikh Muhammad Abd Wahab bangkit menentang perkara bida'ah ini dengan berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Beliau bersungguh sungguh dalam usaha dakwah mengajak manusia kepada mengesakan Allah Ta’ala dalam beribadat, serta beliau berjuang untuk menghapuskan syirik, bida'ah dan kesesatan.
Aqidah Syeikh Muhammad Abd Wahab
Mengenai aqidah SMAW adalah lebih wajar sekiranya kita meneliti dan mengamati tulisan beliau dalam sebuah kitabnya yang menjelaskan pegangan akidahnya. Berkata Syeikh Rahimahullah, “Aku bersaksikan Allah SWT dan sekalian mereka yang hadir bersamaku daripada para malaikat dan kamu semua: “Bahawa aku berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, beriman dengan Allah dan para malaikat, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari kebangkitan selepas mati serta qadho qadar samada baik mahupun buruk”.
“Aku beriman dengan Allah, beriman dengan sifat-sifat yang Allah telah sifatkan diriNya dengan sifat-sifat tersebut, sepertimana yang dinyatakan dalam kitabNya dan yang datang melalui lisan RasulNya tanpa Tahrif (mengubah) dan Tamsil (menyerupakan). Bahkan aku beriktiqad bahawa sesungguhnya Allah tidak ada sesuatu yang serupa denganNya dan Dia Maha Mendengar juga Maha Melihat”.
“Aku tidak menafikan apa-apa yang disifatkan bagi DiriNya dan aku tidak mengubah perkataan Allah daripada tempatnya dan tidak mengingkari nama-nama dan ayat-ayatNya. Aku tidak mengetahui kaifiatNya (cara-cara sifat Allah itu) dan aku tidak menyamakan sifat-sifat Allah dengan sifat makhluk. Kerana Allah tiada yang senama bagiNya, tiada seumpama, tiada bandingan dan tidak dikiaskan dengan makhluk. Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui tentang diriNya serta lebih benar dan baik perkataanNya”.
“Maka Allah mensucikan diriNya daripada sesuatu yang menyalahi keagungannya, yang disifatkan oleh ahli Takyif (menentukan cara kaifiat) dan Tamsil (menyamakan Allah dengan makhluk) dan daripada sesuatu yang dinafikan oleh ahli Tahrif dan Ta’til (menafikan sifat)” Firman Allah SWT:
“Maha suci Tuhanmu yang mempunyai keperkasaan daripada apa yang mereka katakan, dan kesejahteraan dilimpahkan ke atas pada Rasul, dan segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam”. (As Soffat: 180 – 182)
“Golongan yang berjaya (Firqah An Najiah) itu adalah sederhana diantara Qadariyyah dan Jabariyyah di dalam bab Af’al (perbuatan) Allah. Mereka pertengahan di antara Murjiah dan Jahmiah di dalam bab Iman dan agama. Mereka pertengahan diantara Rafidhoh dan Khawarij di dalam permasalahan para sahabat Rasulullah.
“Aku beriktiqad bahawa Al-Quran itu Kalam Allah yang diturunkan dan ianya bukan makhluk. DaripadaNya ia (al-Quran) bermula dan kepadaNya ia kembali. Sesungguhnya Allah SWT berkata-kata dengan secara hakikat (sebenarnya) Allah SWT menurunkannya kepada hamba dan rasul kepercayaanNya (Nabi) melalui jalan wahyu…"
Kemudian di tempat yang lain SMAW menulis: “Aku beriman bahawasanya Nabi kita Muhammad SAW adalah penutup para Nabi dan Rasul. Tidak sah iman seseorang sehinggalah ia beriman kepada risalahnya dan bersaksi dengan kenabiannya”.
Umat Nabi yang paling afdhal adalah Abu Bakar as-Siddik, kemudian Umar al-Faruq, kemudian Usman Zunnurain, kemudian Ali al-Murtadha ( Ali bin Abi Tolib), selepas itu bakinya dari sepuluh orang (yang dijamin masuk syurga) kemudian ahli perang Badar, kemudian ahli as-Syajarah (Bai'atul Ridhwan), lalu diikuti sekalian para sahabat Radhiallahu’anhum.
Aku mengasihi sekalian para sahabat Rasulullah SAW, sentiasa menyebut kebaikan mereka, meminta ampun untuk mereka, menahan diri daripada menyebut keburukan mereka, dan diam di dalam perkara yang diperselisihkan diantara mereka. Aku berkeyakinan dengan kelebihan mereka, sepertimana Firman Allah Maksudnya:
“Dan orang orang yang datang sesudah mereka, mereka berdoa: “Ya Tuhan Kami! Berilah keampunan kepada kami dan saudara kami yang beriman terlebih dahulu dari kami dan janganlah engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang orang yang beriman, Ya Tuhan Kami! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Hasyr:10)
“Aku mendoakan keredhaan Allah bagi Ummahatil Mukminin yang bersih daripada setiap kejahatan. Aku mengakui keramat para wali, tetapi mereka tidak berhak sedikitpun dengan sesuatu daripada hak-hak Allah (Ibadah). Aku tidak menyaksikan seseorang dengan syurga mahupun neraka bagi mana-mana muslimin. Kecuali mereka yang telah disaksikan oleh Rasulullah SAW. Tetapi aku berharap kebaikan bagi orang yang berbuat baik dan aku takut azab keatas orang yang berbuat kejahatan. Aku tidak mengkafirkan seseorang Islam dengan sebab dosanya dan aku juga tidak mengeluarkannya daripada golongan Islam”.
Daripada beberapa petikan tulisan SMAW mengenai aqidah di atas, jelaslah kepada kita bahawa aqidah beliau adalah Aqidah Salaf soleh. Ianya juga merupakan pegangan aqidah imam-imam Mazhab dan Muhaddisin (ulama hadis).
Oleh itu, untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang intipati perjuangan SMAW adalah wajar bagi kita mendalami hasil karya beliau. Disamping itu, melalui pembacaan dan kajian terhadap buku-buku karya SMAW, kita akan mendapat jawapan yang jelas terhadap fitnah-fitnah yang dilemparkan terhadap beliau.
Bersambung....
0 comments:
Catat Ulasan