Syubahat dan fitnah yang dilemparkan kepada SMAW adalah teramat banyak serta ianya masih lagi bersarang di dalam kepala sesetengah umat Islam. Disini memadailah kita membawa dua atau tiga syubahat keatas SMAW sebagai contoh serta jawapannya. Ianya adalah seperti berikut:
Syubahat Pertama;
Mereka mendakwa bahawa SMAW dan pengikut-pengikutnya membenci Nabi Muhammad SAW, menghina baginda SAW dan para Nabi yang lainnya.
Bagi menguatkan dakwaan mereka, mereka berkata bahawa SMAW telah berkata: “Bahawa Nabi Muhammad SAW seumpama seseorang yang tuli yang diutuskan kepada manusia untuk menyampaikan sesuatu perkara kemudian ia pulang.”
Berkata Alwi Al Haddad dalam kitabnya “Misbah Al An’am” :
SMAW dan para pengikutnya berkata : ” Tongkat saya adalah lebih baik daripada Muhammad kerana ia dapat membunuh ular dan seumpamanya. Sedangkan Nabi Muhammad telah mati dan tidak terdapat manfaat sekali padanya ”.
Manakala Sayed Ahmad Zaini Dahlan pula berkata: “Pengikut SMAW telah melarang daripada berselawat kepada Nabi SAW selepas azan diatas menara, sehinggakan apabila seseorang tukang azan yang buta berselawat kepada Nabi Muhammad SAW selepas azan lalu ia dibawa kepada SMAW dan dibunuhnya, tidak akan wujud melainkan pada orang-orang Maulid, Yahudi dan Nasrani”.
Bantahan & jawapan Kepada Syubhat Pertama;
Sesungguhnya dakwaan ini adalah fitnah yang keji yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada individu Islam yang berusaha gigih untuk menegakkan al-Quran dan as-Sunnah. Tambahan pula sikap membenci Nabi Muhammad SAW tidak akan wujud melainkan pada diri orang orang Mulhid, Yahudi dan Nasrani.
Sepertimana yang kita telah ketahui, syarat untuk seseorang itu menjadi seorang Islam adalah dengan ucapan dua kalimah syahadat “Bahawasanya aku naik saksi tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”. Bagaimana mungkin seorang yang mengaku dirinya Islam membenci Rasulullah serta melarang berselawat kepadanya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah, Jika kamu mencintai Allah ikutilah aku nescaya Allah mencintai dan mengampuni dosa-dosa kamu”. (Ali Imran ; 31)
Ayat ini mejelaskan kepada kita bahawa adalah syarat bagi seorang hamba yang mendakwa ianya mencintai Allah SWT itu mengikuti RasulNya. Dan mengikuti RasulNya tidak dapat tidak adalah dengan wujud perasaan cinta terhadapnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak beriman seseorang itu sehingga adalah aku lebih dicintainya daripada bapanya dan anaknya serta manusia sekaliannya”.
Justeru itu bagaimana mungkin sahnya iman seseorang itu sdangkan dia tidak mencintai rasulullah SAW.
Di samping itu kita harus menyedari bahawa SMAW juga turut menghasilkan kitab “Sirah Nabawiyyah SAW”. Andainya beliau tidak mencintai Rasulullah, nescaya beliau tidak akan mengarang kitab “SIRAH” yang memaparkan kehebatan dan kebesaran rasulullah SAW dari mula baginda dilahirkan hingga wafat.
SMAW adalah ulama yang bermazhab Hambali, mereka berpendapat berselawat ke atas Nabi SAW di dalam tahiyyat akhir adalah fardhu. Solat tidak sah melainkan dengan berselawat ke atas Nabi. Pendapat ini adalah bertepatan dengan pendapat (qaul) kedua imam Syafie, manakala mazhab Maliki dan Hanafi pula menyatakan ianya sunat. Oleh itu bagaimana mungkin kita boleh menuduh orang yang mewajibkan selawat ke atas Nabi SAW di dalam solat itu menbenci Rasulullah SAW.
Adakah mereka itu lupa bahawa selawat ke atas Rasulullah SAW itu adalah merupakan perintah Allah? “sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi SAW. Wahai orang-orang beriman! Berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkan salam penghormatan kepadanya. (Al-Azhab:50)
Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa berselawat tanpa mengangkat suara selepas azan itu merupakan bid’ah yang berlaku pada tahun 781H, dimana ia tidak pernah berlaku pada zaman para sahabat, tabi’en serta imam yang empat.
Syubahat Yang Kedua
Meraka mendakwa SMAW serta para pengikutnya telah berkata: “Bahawa Nabi Muhammad Saw telah melaknat menghina negeri Najd serta melarang daripada berdoa untuk ahli-ahlinya, telah sabit dalam hadis sahih bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: “Ya Allah! Berkatilah bagi kami pada negeri Syam dan negeri Yaman kami. Mereka berkata: “dan pada negeri Najd kami”. Bersabda Nabi: “Ya Allah! Berkatilah kami pada negeri Syam kami dan negiri Yaman kami. Mereka berkata: “Dan kepada negeri Najd kami. Maka aku menyangka mereka bersabda pada kali yang ketiga; di sana terdapat gempa dan fitnah dan di sana naiknya tanduk syaitan…. Di dalam hadis yang lain pula: “Kepala kufur dari sebelah matahari naik”.
Muhammad b. Abdul Wahab dilahirkan dan di besarkan di negeri Najd, manakala Nabi Muhammad SAW pula memberitahu di sana terdapat gempa dan fitnah, Maka dakwah SMAW adalah sebahagian daripada gempa dan fitnah. Sesungguhnya telah lahir sebelumnya daripada negeri Yamamah “Musailamah Al Kazzab’ yang mendakwa sebagai Nabi, begitu juga dengan Thulaihah b. Khuwailid Al Asadi. Najd terletak sebelah Timur Madinah.
Bantahan & jawapan terhadap syubahat kedua
Kita tidak menafikan bahawa Hadis yang mereka kemukakan di atas adalah sahih, tetapi ia bukan untuk melaknati negeri Najd Al Yamamah, bahkan kalimah Najd itu disebut bagi setiap tempat yang tinggi atau menonjol daripada permukaan muka bumi. Manakala kawasan yang terletak di timur Madinah adalah Iraq dan bukannya Al Yamamah sepertimana dakwaan mereka.
Telah berkata al-Karmani dalam Syarah Al Bukhari: asal “Najd” Itu adalah sesuatu tempat yang meninggi daripada permukaan bumi dan ia berlawanan dengan tanah rendah”. Ibnu Hajar al-Asqolani pula berkata: “ Telah bersepakat mereka yang telah mensyarahkan hadis dan para imam lughah pada kalimat “Najd” itu bukannya nama bagi negeri yang khusus @ negeri yang tertentu, bahkan ia disebutkan bagi setiap bahagian di muka bumi yang meninggi dan yang menonjol daripada permukaan yang sekitarnya.
Jesteru itu “Najd” di negeri Arab adalah teramat banyak, di antaranya: Najd Al Barq, Najd Ija’, Najd Al Iqab di Damsyik, Najd Yaman, Najd Hijaz dan Najd Iraq yang terletak di sebelah timur Madinah.
Ketika mensyarahkan hadis “Tanduk syaitan itu terbit daripada Najd”, al-Karmani telah berkata: “Ianya adalah permukaan bumi yang tinggi daripada Tihamah hingga kepada negeri Iraq".
Dari situ jelaslah kepada kita bahawa hadis yang mencela “Najd” di mana terbitnya tanduk syaitan adalah ditujukan kepada Najd Al Iraq dan sekelilingnya.
Telah berkata pengarang “Akmalul Bayan fi Syarhi Hadith Najd ’Qarnul Syaitan’”. Yang dimaksudkan dengan negeri-negeri yang terletak di sebelah timur Madinah Al Munawwarah seperti mana yang tersebut di dalam hadis-hadis itu ialah tempat bermulanya fitnah dan fasad, pusat kekufuran dan ilhad serta tempat terbitnya bida’ah dan kesesatan. Maka lihatlah pada peta Arab dengan pandangan yang teliti, nescaya jelaslah kepada kamu bahawa permukaan bumi yang tinggi di sebelah timur Madinah itu ialah Iraq yang terletak pada Kufah, Basrah dan Baghdad”.
Di antara gempa dan fitnah yang telah berlaku di Najd Iraq itu ialah: peperangan Jamal dan Siffin. Di mana kedua-dua peperangan ini sedikit sebanyak telah meretakkan perpaduan umat Islam dan menjadi sebab munculnya golongan sesat seperti Khawarij dan Syiah serta berlakunya peristiwa kafir mengkafir dikalangan umat Islam ketika itu.
Kemudian berlaku pula pembunuhan Husin b. Ali b. Abi Tolib. Ianya adalah sebesar-besar fitnah yang berlaku kepada umat Islam. Kemudian munculnya al-Mukhtar al-Ubaed al-Thaqafi yang mendakwa menerima wahyu serta berlakunya tragedi pembunuhan Zaid b. Ali b. Husain.
Di sanalah munculnya golongan Mu’tazilah dan Qadariyah serta berlakunya tragedi "fitnatul al-Quran" (Makhluq). Al-Ma’mun telah memaksa umat Islam agar beriktiqad bahawa al-Quran itu Makhluk sehingga membawa kepada pembunuhan Imam Ahmad al-Khazaie’, manakala Imam Ahmad b. Hambal pula diseksa dan dipenjarakan kerana menentang Iktikad yang bathil ini.
Syubahat Yang Ketiga;
Meraka menyatakan bahawa SMAW & para pengikutnya telah melarang daripada membaca kitab: “Dalail al-khairat” dan “Syawariq al-Anwar”. Di mana kitab ini banyak menghimpunkan fadhilah-fadhilah berselawat ke atas Nabi dengan pelbagai lafaz selawat.
Jawapan & bantahan kepada syubahat ketiga;
Kita seharusnya meneliti adakah SMAW melarang daripada membaca selawat @ larangannya kerana kedua-dua kitab tersebut mengandungi kesalahan-kesalahan tertentu?
Seharusnya kita menyedari bahawa kedua-dua kitab ini dipenuhi dengan hadis-hadis yang dhaif dan palsu (maudhu’). Bahkan lafaz-lafaz selawat di dalam kitab itu tidak warid daripada al-Quran & as-Sunnah. Ianya hanyalah ciptaan & rekaan pengarang kitab sahaja.
Pengarang kitab di atas telah menjadikan selawat-selawat itu sebagai hizib yang perlu dibaca pada hari-hari tertentu sepanjang minggu. Sedangkan perbuatan menjuzu’kan selawat serta membahagi-bahagikan selawat mengikut hari adalah bid’ah yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW, para sahabat, tabi’en serta para imam yang muktabar.
Selawat kepada Nabi merupaka ibadah dan perkara ‘Qurbah’ (mendekatkan diri kepada Allah) yang ianya adalah Tauqifiah! Ibadah itu hendaklah berpunca daripada al-Quran dan as-Sunnah dan bukannya dicipta oleh manusia. Jesteru itu bagaimana mungkin kita menjadikan selawat-selawat yang dihasilkan oleh pengarang kitab tersebut sebagai ibadah kita setiap hari dan sepanjang minggu?
Di sini kita kemukakan contoh hadis yang disandarkan kepada Nabi Muhamad yang terdapat di dalam kitab tersebut. Nabi Bersabda bermaksud: “Tiada seorang hamba yang berselawat kepadaku melainkan keluar selawat daripada mulutnya dengan segera tidak di daratan dan tidak di lautan, tidak di timur dan tidak di barat melainkan lalu selawat itu serta berkata: “Aku berselawatlah Fulan b. Fulan dan ia telah berselawat ke atas Nabi pilihan”. Maka tidak ada sesuatu melainkan berselawat ke atasnya. Dan Allah jadikan daripadanya seekor burung yang mempunyai 70 ribu sayap dan tiap-tiap sayap 70 ribu bulu, dan tiap-tiap bulu 70 ribu muka, dan pada tiap-tiap muka 70 ribu mulut, dan tiap-tiap mulut ada 70 lidah dan setiap lidah itu bertasbih bagi Allah dengan 70 ribu bahasa dan Allah menulis pahala semua itu untuk orang tersebut.”
Jelaslah kepada kita bahawa larangan SMAW daripada mengambil panduan dari kitab “Dalail Al Khairat” dan ‘Syawarariq Al Anwar” adalah berdasarkan kepada beberapa kaedah syarie dan bukannya kerana tidak suka berselawat ke Atas Nabi SAW.
Penutup;
Setelah kita meninjau secara ringkas mengenai SMAW, dakwahnya serta beberapa syubahat yang dilemparkan kepadanya, dapatlah kita membuat gambaran bahawa SMAW adalah merupakan seorang ulama dan tokoh dakwah yang sentiasa berusaha gigih, tidak kenal putus asa, dan bersabar dalam memperjuangkan harapan dakwah tajdid beliau. Dakwahnya terus berkembang sehingga ke Sudan, Jazair, Mesir, India, Yaman, Asia tenggara dan lain-lain lagi.
Perlu juga diingatkan bahawa para penentang beliau sentiasa membangkang usaha-usaha Syeikh Muhamad dengan sebab-sebab politik dan bukannya agama seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Sidi Yusuf di dalam kitabnya “ Al-Fikir As-Saami Fi Al-fiqhi Al-Islami: “bahawasanya orang Turki Apabila merasa bimbang terhadap dakwah SMAW, lalu mereka menyebarkan fitnah-fitnah yang dicipta kepada seluruh dunia Islam dibawah pemerintahannya. Lantaran itu Sultan Maghribi telah menolak perintah atau seruan kerajaan Turki itu kerana mendapati ianya bukanlah masalah agama tetapi adalah masalah politik. Wallahu a3lam.
* Al-fadhil syeikh merupakan orang malaysia pertama yang diberi mandat oleh kerajaan Arab Saudi untuk menyampaikan kuliahnya di Masjidil haram. Malah beliau telah mendapat kerakyatan tetap Arab Saudi.
0 comments:
Catat Ulasan