Saya beberapa kali pernah mendapat sms bertanyakan tentang bagaimana penyelesaian bagi seorang wanita yang kedatangan haid selepas berniat ehram & kemudian haid itu berterusan sehinggalah tarikh akhir untuk pulang ke tanahair tiba. Saya tahu bahawa masalah ini adalah masalah yang sering berlaku khasnya kepada jemaah umrah wanita. Tetapi penyelesaian dan cadangan tidak dijelaskan kepada mereka sebelum mereka pergi menunaikan ibadah umrah yang lazimnya hanya selama 12 hari di mekah dan madinah ini, menyebabkan kadang-kadang si wanita berijtihad sendiri @ selesaikan masalahnya sendiri tanpa ilmu.
Saya harap tulisan yang sedikit ini dapat membantu memahamkan golongan wanita yang mahu menunaikan umrah seterusnya mengambil langkah sedia agar tidak melakukan kesilapan, lalu terganggu dengan tuntutan-tututan yang tidak selesai ketika pulang dan berada di tanahair.
Jika destinasi pertama jemaah wanita adalah madinah & kemudian menuju ke mekah untuk menunaikan umrah, maka wajib dia berniat ehram daripada Miqat Zulhulaifah (Abyar Ali) walaupun si wanita didatangi haid. Ini seperti yang berlaku kepada Asma' bte U'mais ketika didatangi nifas di Zulhulaifah kerana melahirkan Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq. Haid bukan alasan untuk wanita meninggalkan tempat miqat, lalu terus menuju ke Mekah tanpa ehram untuk menunggu waktu suci dan berniat ehram di Mekah. Jika ini dilakukan maka wanita wajib membayar dam (seekor kambing) di Mekah.
Jika destinasinya terus ke Jeddah & ke Mekah, maka niat dilakukan ketika melalui sempadan Yalamlam (92 km dari Mekah). Justeru beberapa minit sebelum sampai ke Jeddah semua jemaah perlu bersedia untuk berniat ehram. Persoalan miqat makani ini wajib dipatuhi kerana nabi telah menentukan miqat tersebut dalam hadis yang soheh riwayat Bukhari & Muslim.
Perkara yang sewajarnya difikirkan & diketahui oleh wanita sebelum umrah;
1) Mengetahui bilakah hari dan tarikh datangnya haid mengikut kebiasaan? Justeru untuk mengelakkan berlakunya kerugian dalam tempoh umrahnya yang singkat itu (12 hari) maka pastikan tarikh umrahnya adalah bertepatan dengan hari-hari sucinya.
2) Pastikan wanita tersebut bermusafir bersama mahramnya. Ini kerana terdapat larangan Nabi terhadap wanita daripada bermusafir tanpa mahram. Hal ini adalah umum dalam semua permusafiran, samada berbentuk ibadah, percutian, ziarah, pelancongan dan sebagainya.
3) Mengetahui bahawa ibadah sai' dan tahallul tidak disyaratkan wudu'. Justeru jika wanita didatangi haid selepas selesai tawaf, maka sempurnakan sahaja umrahnya. Melakukan sai' seterusnya tahallul.
4) Tahu bahawa disana terdapat keharusan untuk kita (isytirat @ istisna') bersyarat @ berkecuali ketika mahu berniat ehram agar kita selamat daripada sebarang denda jika kita terpaksa meninggalkan ehram dalam keadaan-keadaan tertentu. Bermaksud, si jemaah umrah @ haji membatalkan umrahnya @ hajinya jika darurat tanpa dikenakan apa-apa denda. Caranya ialah membacakan lafaz ini selepas berniat umrah @ haji;"in habasani habisun fa mahalli khaithu habastani"[1]. Jika terdapat sesuatu aral yang menghalangku daripada ibadah ini maka tempat tahallulku adalah ditempat aral tersebut". Isytirat ini adalah digalakkan kepada mereka yang merasakan bahawa dirinya mungkin berdepan dengan masalah @ tidak mampu menyelesaikan umrah & hajinya[2]. Justeru, wanita yang merasakan kemungkinan didatangi haid sepanjang tempoh keberadaannya di Arab Saudi maka sertakanlah niat isytirat ini ketika berniat ehram.
Penyelesaian bagi wanita didatangi haid selepas berehram;
Jika haid datang selepas berniat ehram umrah, kemudian ianya berterusan sehinggalah waktu untuk pulang tiba? Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh wanita tersebut? Ramai yang mengambil jalan tahallul sahaja di airport Jeddah dan menyerahkan wang untuk bayaran kambing kepada orang-orang tertentu. Ini adalah penyelesaian tergesa-gesa yang sebenarnya menyebabkan si wanita terhutang tuntutan (wajib datang semula menunaikan umrah menurut sebahagian ulama). Lebih malang lagi, sebahagian mereka ditipu agar membayar 2 dam (2 kambing) yang kedua kerana bertahallul di Jeddah.
Berikut adalah beberapa penyelesaian mengikut keutamaan;
Pertama; Si wanita bersama mahramnya memanjangkan keberadaannya di Mekah (terus menunggu dalam ehram hingga suci) kemudian selesaikan umrahnya[3]. Ini adalah yang sewajibnya jika mampu berbuat sedemikian. jika tidak mampu?
Kedua ; Wanita yang haid boleh bertahalul dan tidak dikenakan apa-apa dam jika semasa berniat ehram tadi meletakkan syarat seperti yang saya dijelaskan di atas. Jika tidak letak syarat, maka wajib bayar dam dan kemudian qado' semula umrahnya pada masa yang lain segera yang mungkin.
Ketiga; Si wanita boleh menyelesaikan umrahnya dengan mengambil pil penahan haid untuk kadar yang perlu sahaja. Walaupun kaedah ini tidak berapa dipersetujui oleh sebahagian ulama kerana dikhuwatiri boleh membahayakan kesihatan wanita. Sebaiknya mengambilnya dengan persetujuan Doktor.
keempat; Diharuskan bagi wanita tersebut melakukan tawaf pada waktu terputusnya @ terhentinya haid seketika sekalipun sebenarnya wanita itu belum suci sepenuhnya daripada haid. Hendaklah wanita yang masih dalam haid itu mandi, kemaskan diri sebaiknya, memakai tuala wanita dan menunaikan umrahnya seperti biasa. Insyaallah umrahnya juga sah. Ini beramal kepada satu pendapat dalam mazhab Syafie yang menyatakan ;"Putus haid pada hari-hari haid adalah suci" dan ini bertepatan dengan pandangan imam Malik dan Ahmad. Lihat al-majmuk karangan Imam Nawawi bab al-Hajj 2/283 & Fatawa al-Azhar 1/205.
Kelima; Menurut fatawa al-azhar 1/205, "Harus bagi wanita mewakilkan orang lain melakukan tawaf untuk dirinya dengan syarat orang yang diwakilkan telah melakukan tawaf ter,ebih dahulu untuk dirinya". Fatwa ini mungkin berpandukan kepada qiyas berkait keharusan mewakilkan orang lain melontar jamarat bagi mereka yang uzur dan lemah. Wallahua3lam.
*Perlu diketahui, menziarahi Madinah bukanlah syarat sah Umrah mahupun Haji. Justeru jika masa tidak mengizinkan untuk anda menziarahi Madinah maka boleh terus pulang ke Tanahair tanpa apa-apa dosa.
*Wanita tidak boleh menguatkan suaranya dengan talbiah.
*Wanita tidak disyarakkan berlari-lari anak (Ramal) ketika tawaf @ Saie.
*Wanita diharamkan mencukur rambutnya untuk bertahallul bahkan memadai dengan menggunting sedikit sahaja.
[1] Rujuk Soheh Bukhari no 4699, bab al-Akfa' fi Din, Soheh Muslim no 2101 bab Jawaz Isytirat al-Muhrim al-Tahllul.
[2] Ianya merangkumi sakit teruk, haid, kematian suami, dipenjara, dihalang memasuki Mekah, dan apa-apa aral berat samada melibatkan syarak mahupun adat yang menghalang dia meneruskan umrah@ hajinya. Maka dia boleh memilih untuk terus bersabar dalam ehram ataupun melepaskan ehramnya tanpa apa-apa denda.
[3] Maksudnya, tambahkan lagi tempohnya di Mekah khasnya jika jemaah beredar dari Mekah ke Madinah bukan terus balik ke Malaysia @ negara masing-masing. Lebih khas lagi jika wanita tahu, tempoh sucinya hanya berbaki sehari dua sahaja lagi.
0 comments:
Catat Ulasan