"Bagaimana mahu mengubati anak gadis yang telah disihir? Bagaimana mahu membebaskan dirinya daripada belengggu sihir? Bagaimana mahu menyembuhkan penyakit pelik ini? "Saya sudah terlalu lama menanggung azab", bisik hatinya. Ahhhh,,,siap kau! Aku akan bertemu dengan tukang sihir yang lebih hebat dan tahulah kamu padahnya! Kau juga akan merasakan kesakitan seperti yang aku rasakan bahkan kesakitan yang lebih parah!"
Mungkin inilah yang dibisikkan oleh seorang pesakit yang disihir. Hatinya gundah dan resah, tambahan dengan keimanannya yang lemah dan pengetahuan agamanya yang cetek. Maka dendam kesumat itu akan terus menyala, merosakkan orang lain dan dirinya. Bahkan dendam itu akan turut merosakkan akidah dirinya sendiri.
Persoalan berkaitan merungkai sihir ini adalah termasuk dalam permasalahan "an-Nusyrah" yang dibincangkan hukumnya oleh para ulama. Nusyrah (merungkaikan sihir) ini terbahagi kepada dua.
Pertama; Merungkaikan sihir dengan sihir.
Kedua; Merungkaikan sihir dengan menggunakan ruqyah (jampi syarak), ayat-ayat @ zikir pelindung dan juga ubat-ubatan yang diharuskan.
عن جابر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن النشرة ؟ فقال:" هي من عمل الشيطان ". رواه أحمد بسند جيد وأبو داود
Daripada Jabir radiyallahu anhu bahawa rasulullah ditanya tentang an-nusyrah, lalu baginda menjawab; "Ianya adalah termasuk dalam amalan syaitan". Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud.
Hadis ini memberi maksud pengharaman bagi mereka yang menemui tukang sihir untuk merungkaikan sihirnya. Adapun merungkaikan sihir dengan doa-doa dan ruqyah yang disyariatkan maka ianya diharuskan. Kedua-dua pihak samada tukang sihir yang merungkaikan sihir mahupun pesakit yang terkena sihir akan menerima dosa dengan perbuatan mereka. Ini kerana kedua-duanya akan mendambakan dirinya kepada syaitan, melakukan kesyirikan, mentaati segala permintaan dan suruhannya sehinggalah kepada melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak.
Justeru menjauhi amalan syaitan adalah wajib dan mendekati apatahlagi melakukannya adalah haram. Hal ini sama seperti dalam surah al-Maidah ayat 90 bermaksud; "Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah[[1]], adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
Berkata Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan Hafizahullah; "Adapun sesiapa yang menfatwakan harus merungkaikan sihir dengan sihir yang seumpamanya, maka dia telah tersilap dan salah dari banyak sudut;
1) Fatwanya itu menyalahi fatwa-fatwa yang soheh yang disokong oleh dalil-dalil syarak.
2) Fatwa yang mengharuskan itu akan merangsang dan membanyakkan lagi bilangan tukang sihir dengan alasan mahu menolong orang yang di sihir.
3) Fatwa seperti ini akan membatalkan hukum syarak yang memerintahkan agar dibunuh tukang sihir seperti termaktub dalam hadis.
4) Sesungguhnya Allah telah menjadikan ubat bagi mereka yang terkena sihir dengan menggunakan an-nusyrah as-syariyyah.
5) Sesungguhnya tidak boleh berubat dengan benda-benda yang haram seperti sabda nabi yang bermaksud; "berubatlah kamu semua, dan janganlah berubat dengan benda-benda yang haram". Ibnu mas'ud berkata; "sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kamu semua dengan sesuatu yang dihaamkannya kepadamu, dan sihir merupakan kekufuran yang mengeluarkan seserorang dari agamanya. Dan sihir merupakan diantara dosa-dosa besar, bagaimana ianya harus digunakan untuk berubat?.
Cara an-Nusyrah yang diharuskan;
1) Menggunakan ayat-ayat ruqyah (jampi) yang termaktub dalam al-quran dan as-sunnah. Ayat-ayat itu juga kadang-kadang dengan ijtihad ulama berkaitan ayat-ayat yang sesuai mengikut kesesuaian penyakit. Samada si pesakit membaca sendiri ayat-ayat jampi ini –ini adalah yang paling afdhal- ataupun dibacakan oleh orang lain kepada pesakit.
2) Mengamalkan ayat-ayat pelindung setiap pagi dan petang. Seperti surah al-Falaq dan an-Nass, juga hadis Nabi; "a'uzubikalimatillah al-tammati min syarri ma kholaq" dan lain-lain lagi contoh dalam hadis.
3) Menggunakan beberapa bahan ubatan yang diharuskan seperti daun sidir, minyak wangi, minyak zaitun, air zam-zam, tamar Nabi, madu dan sebagainya yang mengandungi khasiat tertentu seperti termaktub dalam hadis. Bahan-bahan ini disertakan dengan bacaan al-Quran dan ruqyah untuk diberikan kepada pesakit yang disihir sebagai minuman, mandian, sapuan dan sebagainya.
Akan tetapi perlu diingat, bahawa pesakit mestilah bersangka baik dengan Allah dan yakin bahawa ubatan dan usah-usaha ruqyah yang dilakukan adalah mujarab. Sesungguhnya kesembuhan adalah ditangan Allah. Dialah yang memberi mudharat dan manfaat. Mereka yang ditimpakan sihir harus bersabar dengan perubatan-perubatan syarak ini, sekalipun kadang-kadang ianya memakan masa yang agak lama. Sebenarnya dalam masalah ruqyah ini ianya berkait juga kepada keyakinan pesakit, rasa tawakkal dan azam yang tinggi untuk sembuh. Semoga Allah menyembuhkan mereka yang ditimpakan musibah ini, menghapuskan kejahatan-kejahatan tukang sihir serta membongkar kejahatan-kejahatan mereka kepada umum. "Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang maha sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan".
[1] Al Azlaam artinya: anak panah yang belum pakai bulu. orang Arab Jahiliyah menggunakan anak panah yang belum pakai bulu untuk menentukan apakah mereka akan melakukan suatu perbuatan atau tidak. Caranya ialah: mereka ambil tiga buah anak panah yang belum pakai bulu. setelah ditulis masing-masing yaitu dengan: lakukanlah, Jangan lakukan, sedang yang ketiga tidak ditulis apa-apa, diletakkan dalam sebuah tempat dan disimpan dalam Ka'bah. bila mereka hendak melakukan sesuatu Maka mereka meminta supaya juru kunci ka'bah mengambil sebuah anak panah itu. Terserahlah nanti apakah mereka akan melakukan atau tidak melakukan sesuatu, sesuai dengan tulisan anak panah yang diambil itu. kalau yang terambil anak panah yang tidak ada tulisannya, Maka undian diulang sekali lagi.
2 comments:
Salam,sahabat..saya copy/paste yang ni ke blog saya.Terima kasih.
w/slm, ahlan wasalahlan autaman,,tiada larangan menyebarkan apa2 maklumat dlm blog ini bagi tujuan dakwah. terima kasih dan ucapan tahniah kpd anda kerana topik2 artikel yg menarik dlm blog anda dan mencuit hati kadang2,,,
Catat Ulasan