RSS Feeds

Sabtu, 13 November 2010

Hukum Hakam Berkaitan Tawaf Wada'


Para ulama berselisih pendapat berkenaan hukum tawaf Wada' kepada dua pendapat. Pertama, ianya adalah wajib, justeru sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja, terlupa @ jahil, maka diwajibkan dam. Akan tetapi sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja dia telah berdosa dan diwajibkan bertaubat. Ini adalah pendapat dalam mazhab Hanafi, Hambali dan salah satu pendapat dikalangan ulama Syafie. Mereka berdalilkan kepada hadis Nabi dalam soheh Muslim ketika melakukan Haji Wada' Nabi bersabda;

((لا ينفرن أحد منكم حتى يكون آخر عهده بالبيت)


Yang bermaksud; "Janganlah seseorang daripada kamu beredar sehinggalah akhir perjanjiannya ialah dirumah (baitullah)". Maka Nabi telah mengarahkan supaya kerja terakhir dalam amalan haji ialah tawaf di baitullah. Dalam Sohehain daripada Ibnu Abbas beliau berkata;

((أمر الناس أن يكون آخر عهدهم بالبيت إلا أنه خفف عن المرأة الحائض)


Nabi telah mengarahkan supaya akhir perjanjian mereka ialah di baitullah, akan tetapi baginda memberi kelonggaran terhadap orang perempuan yang haid.


Pendapat kedua; Tawaf wada' adalah sunnah, tiada dosa bagi sesiapa yang meninggalkannya dan tidak dikenakan dam. Ini adalah pendapat dalam mazhab Malik dan salah satu pendapat mazhab Syafie. Mereka menjadikan arahan Nabi dalam hadis yang lepas sebagai perintah yang berbentuk sunnh @ galakkan supaya seseorang yang menunaikan haji melakukan tawaf wada' selepas dihalakan mendekati isterinya. Maka hukum tawaf wada' menurut mereka adalah sunnah. Ibnu Abdul Bar berkata; "adapun tawaf wada' maka ianya disisi imam malik Malik adalah mustahab (dituntut @ sunnah), tidak diwajibkan apa-apa kepada sesiapa yang meninggalkannya"[1].


Syeikh Abdul Aziz bin Baaz telah mentarjihkan (menyokong dan menguatkan) pandangan pertama dan menyatakan bahawa ianya adalah pandangan Jumhur ulama. Adapun syeikh Ibn Uthaimin telah menyatakan bahawa tawaf wada' adalah tidak wajib kepada orang yang menunaikan haji, akan tetapi ianya wajib kepada orang yang datang daripada luar mekah. "Yang soheh bahawa tawaf wada' bukanlah diantara wajib-wajib haji, kerana jika ianya termasuk dalam perkara-perkara wajib haji, maka sudah pasti ianya wajib kepada semua orang samada yang bermukim mahupun bermusafir, sedangkan ianya tidak wajib kepada orang yang bermukim di mekah. Akan tetapi wajib kepada orang yang bermusafir dari luar ke mekah. Kerana itu maka ianya tidaklah dianggap diantara perkara-perkara wajib haji, wajib-wajib haji ini tidak boleh tidak mestilah diwajibkan kepada semua yang melakukan haji. Akan tetapi ianya (tawaf wada') wajib kepada sesiapa yang mahu keluar daripada Mekah…[2]".


Jika mengikut pendapat bahawa ianya adalah wajib haji, maka sesiapa yang keluar daripada Mekah tanpa tawaf Wida' maka wajib membayar dam, akan tetapi apakah kadar jarak yang menyelamatkan dia daripada dam sekiranya dia kembali semula untuk tawaf wada'?


Pendapat pertama; Jaraknya adalah antara Mekah dan Miqat. Ini merupakan mazhab Hanafi seperti disebutkan dalam Syarah Multaqa al-Abhar.


Pendapat kedua; Wajib keatasnya berpatah balik sekira-kira belum melepasi jarak orang bermusafir. Ini adalah mazhab Hambali dan beberapa ulama Syafieyyah yang menyatakan wajib berpatah balik ke mekah untuk tawaf wada' jika belum mencapai 2 marhalah [3].


Disyaratkan supaya tawaf wada' adalah akhir amalannya. Sesiapa yang menjadikan tawaf ifadhah akhir amalan hajinya kemudian dia keluar daripada mekah, maka itu sudah memadai sebagai tawaf wada'. Dengan maksud lain, boleh jemaah haji tersebut menjamakkan (himpunkan) diantara tawaf ifadah dan juga tawaf wada' kemudian dia keluar daripada bumi Mekah.ini adalah seperti yang difatwakan oleh syeikh Muhammad bin Ibrahim dan juga syeikh Abdul Aziz bin Baaz serta lain-lain ulama.


Penduduk Mekah tidak diwajibkan tawaf wada'.

Syeikhul islam Ibn Taimiyyah berkata; "Dan kerana itu, tidaklah diwajibkan kepada ahli Mekah melakukan tawaf Qudum, tidak juga tawaf Wada', kerana maksud daripada kedua-dua perkara itu tidak tertegak pada hak mereka. Maka sesungguhnya ahli Mekah bukanlah orang yang datang dari luar kemudian memasuki Mekah, dan mereka juga tidak meninggalkan bumi Mekah selama mereka masih menetap disana"[4]. Imam Ibnu Qudamah berkata; "dan sesiapa yang rumahnya berada di kawasan haram, maka dia adalah seperti penduduk mekah, tidak diwajibkan keatasnya tawaf Wada'[5].


Penduduk Mekah dan sesiapa yang menetap di Mekah hendaklah mereka menunaikan tawaf Wada' sekiranya mahu bermusafir keluar daripada bumi Mekah. Imam an-Nawawi berkata; "Telah berkata sahabat-sahabat kami, sesiapa yang telah selesai menunaikan hajinya, dan kemudian mahu bermukim di mekah, maka tidak wajib keatasnya tawaf Wada', dan ini tidak ada khilaf samada mereka itu adalah penduduk mekah mahupun bukan. Dan jika dia mahu keluar daripada Mekah hendaklah dia melakukan tawaf Wada' [6].


Syeikh Muhamad bin Uthaimin; "Jika seseorang itu penduduk Mekah, dia selesai melakukan haji kemudian mahu bermusafir selepas haji,maka hendaklah dia melakukan tawaf Wada' kerana Nabi bersabda yang bermaksud; "Janganlah seseorang daripada kamu keluar sehinggalah perkara yang terakhir dalam urusannya adalah di rumah". Ini adalah umum, maka kita katakan kepada penduduk ; selama mana kamu bermusafir pada hari-hari haji dan kamu telah menunaikan haji maka janganlah keluar bermusafir kecuali menunaikan tawaf Wada' [7]. Wallahu a3lam.



[1] Al-Kafi Fi Fiqh Ahlil Madinah karangan Ibn Abdul Bar.

[2] Sayarah al-Mumti3 ala Zaadul Mustaqni3 (7/397)

[3] Lihat al-Mughni karangan Ibnu Qudamah dan al-Majmu3 karangan an-Nawawi.

[4] Majmu3 Fatawa 26/ 261

[5] Al-Muhgni 3/237

[6] Al-Majmu3 8/254.

[7] Fatawa Ibn Uthaimin 23/339.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...