RSS Feeds

Sabtu, 27 November 2010

Mengambil Upah Haji

Dalam kitab al-Munghni Fi Feqhil Hajji Wal Umrah karangan Syeikh Said Abdul Qadir Ba Syanfar yang pada pengamatan saya sangat bermanfaat dalam segala hukum hakam berkait haji dan umrah menulis satu topic tentang mengambil upah bagi melakukan haji. Sukalah saya menaqalkan tulisan beliau dalam bahasa terjemahan seperti berikut[1].


"mengambil upah bagi melakukan haji adalah berbeza dengan ganti haji (Niabah) @ (badal haji). Niabah @ badal haji ini ialah si pelaku (pengganti haji) mengambil nafqah perlaksanaan haji mengikut kadar yang diperlukan sahaja tidak lebih dari itu. Sekiranya terdapat lebihan wang, maka dia hendaklah memulangkan wang tersebut kepada waris yang memberi amanah tersebut. Justeru semua wang yang diberikan kepada pengganti haji adalah merangkumi semua perjalanan dan keperluan haji. Jika si pengganti haji itu mati, sakit, dipenjara @ sesat, maka si pengganti tidak wajib menggantikan wang itu.


Adapun mengambil upah haji, maka ianya terikat dengan syarat-syarat al-Ijarah (penyewaan @ upah). Seperti harga upah dan akad mengambil upah tersebut. Justeru segala yang diambil daripada jumlah wang adalah menjadi milik orang yang diupah melakukan haji. Dia boleh menggunakan wang tersebut seperti yang dihendaki dengan bebas dan lebihan daripada wang itu adalah menjadi miliknya. Adapun jika dalam perjalanan menunaikan haji itu dia terkurung, sesat jalan atau kehilangan wang tersebut, maka wajib keatas orang yang di upah menjadi penjamin (mengembalikan wang)".


Apakah hukum mengambil upah haji?

Para ulama mempunyai 2 pendapat dalam masalah ini;

Pendapat pertama; Harus (boleh), merupakan pandangan dalam mazhab Malik, syafie, Ibnul Munzir dan salah riwayat daripada 2 riwayat imam Ahmad.

Pendapat kedua; Tidak boleh, merupakan pandangan dalam mazhab Abu Hanifah, Ishak dan satu riwayat yang masyhur dalam mazhab Imam Ahmad bin Hambal.


Dalil dan hujah yang digunakan oleh pendapat pertama;

1- Hadis Nabi yang bermaksud; "sesungguhnya yang lebih berhak daripada apa-apa yang kamu ambil upah ialah kitab Allah" hadis riwayat Imam Bukhari.

2- Sahabat-sahabat Nabi mengambil (Ju'ul) upah daripada bacaan ruqyah (jampi) daripada ayat-ayat al-Quran. Mereka mengkhabarkan kepada Nabi dan baginda membenarkan perbuatan mereka.

3- Sesungguhnya setiap perkara yang harus dalam hukum hakam niabah @ badal haji, maka ianya harus juga dalam masalah mengambil upah haji.


Dalil dan hujah kepada pendapat kedua;

1- Hadis daripada Ubadah bin as-Shomit Radiyallahu anhu berkata, aku telah berkata; "Ya Rasulullah, seseorang telah menghadiahkan kepada aku alat pemanah daripada individu yang telah aku ajarkan kepadanya al-quran, dan ianya bukanlah harta, maka aku gunakan alat pemanah itu fi sabilillah?" lalu Nabi bersabda; "Jika kamu suka dikalungkan dengan kalungan api neraka maka terimalah". Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

2- Nabi berkata kepada Usman bin Al-A's Radiyallahu anhu; " Dan ambillah tukang azan dan dia jangan ambil upahpun daripada azannya itu". Hadis riwayat Abu Daud, An-Nasaie, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah. Imam Tirmizi berkata; ini adalah hadis hasan soheh.

Upah haji dan penipuan.

Kita sering melihat iklan yang dipaparkan di Malaysia, nilaian upah haji yang ditawarkan oleh beberapa syarikat haji dan umrah sekitar RM 2500. Lebih hebat lagi dan sangat menghairankan saya ialah; RM 1350 sahaja! Ditambah dengan umrah, tahlil, air zam-zam 10 liter, sijil, dan beberapa hadiah lain. Lebih menghairankan saya ialah hadiah-hadiah itu diberikan kepada waris sebelum selesai kerja haji pada 10 Zulhijjah. Yang menyedihkan ialah; nama pelajar-pelajar Malaysia di Madinah dan Mekah diperdagangkan untuk memancing minat orang. Kemudian daripada jumlah 1350 Rm itu, diambil pula RM300 sebagai caj perkhidmatan samada dengan pengetahuan orang yang menerima upah itu ataupun tidak. Maka si miskin ini hanya mengambil 1050 untuk menunaikan amanah haji itu.


Tahukah anda? Segala kos pada musim haji meningkat sekali ganda @ lebih? Harga makanan melonjak. Pisang naik kepada SR10 sekilo berbanding SR4 sebelum haji. Harga hotel, pengangkutan dan lain-lain. Mahu ke Mina daripada Mekah yang hanya sejauh 5 Km, anda perlu membayar SR50 seorang. Pada hari 12 Zulhijjah lebih dahsyat, samada anda memilih berjalan kaki untuk berjimat atau anda membayar SR100 seorang untuk menuju ke Baitil Haram dari Mina. Saya ingin nyatakan bahawa kos standart bagi menunaikan haji dari Madinah ialah sekitar SR1500 tanpa tasrih (keizinan rasmi). Adapun jika anda pergi bersama-sama hamlah @ travel arab anda perlu membayar Sr3500 untuk hanya 6hari sahaja bermula 8-13 Zulhijjah.


Sebab itu kebanyakan pelajar Madinah dan Mekah hanya mengambil upah sekitar RM3000 dan keatas. Setahu saya juga para pelajar tidak mengambil daripada upah-upah haji yang diiklankan daripada syarikat-syarikat haji dan umrah. Upah haji RM1050 itu biasanya hanya diambil oleh pekerja-pekerja Indonesia dan Pakistan di Mekah. Itu tidak mengapa jika ditunaikan haji itu rukun dan wajib-wajibnya. Yang sedihnya kedapatan mereka yang mengambil sehingga 5 nama untuk satu haji. Bermakna dia akan memperoleh RM5250! Sahkah hajinya? Lepaskah tanggungjawab anda memberikan wang RM1350 itu untuk si arwah? Sebab itu, janganlah terlalu berkira hingga mencari yang termurah jika anda sudah tahu bahawa kos seseorang jemaah haji Malaysia menunaikan ibadah ini ialah RM13.000,00. Tidak salah anda membayar RM10.000,00 kepada orang yang diupah khususnya jika mereka adalah orang yang benar-benar amanah dan berilmu dalam menunaikan ibadah.


Pelajar-pelajar Indonesia dan China mengambil upah haji dengan bayaran USD1500. Adapun pelajar Bosnia dan Negara-negara eropah menerima upah dengan bayaran 1000-1500 pound sterling. Semoga anda yang kematian waris dan belum menunaikan haji tidak terpedaya dengan penipuan yang mungkin tidak disedari ramai pihak. Semoga penerangan ini memberi manfaat.


[1] Rujuk kitab tersebut cetakan Dar Ibnu Hazam mukasurat 58-59.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...