Oleh: Dr Abdullah Yasin
قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا جَمِيْعًا ، فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى ، فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ ، فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَاهُمْ يَحْزَنُوْنَ
Kami berfirman : Turunlah kamu semua dari syurga itu ! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, mak...a barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhawatiran (ketakutan) atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati. ( Al-Baqarah : 38 )
Pengajaran Ayat :
1. Allah SWT menceritakan bahawa Dia pernah mengusir keluar semua penghuni syurga, iaitu : Iblis, Adam dan Hawa disebabkan oleh dosa-dosa masing-masing. Dosa Iblis kerana enggan sujud kepada Adam dan dosa Adam dan Hawa pula kerana mendekati pokok yang dilarang Allah kerana menuruti godaan Iblis. Selanjutnya mereka semua diusir dari syurga dan akhirnya menjadi penghuni bumi. Bermula dari masa itulah berkembang biak makhluk manusia dan makhluk jin. Kedua-dua jenis makhluk Allah yakni jin dan manusia dicipta dengan satu tujuan iaitu agar mereka beribadat kepada Allah. Firman Allah : ( Aku tidak menjadikan jin dan manusia, melainkan agar mereka beribadat kepada-Ku. ( Al-Dzaariyat : 56 )
2. Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Adil tidak biarkan jin dan manusia mencari jalan sendiri-sendiri di atas muka bumi, tetapi Allah menurunkan “petunjuk-Nya” untuk dijadikan panduan atau pedoman hidup. Sepakat Ulama Tafsir Ahlus Sunnah Wal Jama’ah bahawa “petunjuk” yang dimaksudkan itu adalah “Rasul” dan “Kitab”. Demikianlah pengutusan Rasul dan penurunan Kitab dari langit silih berganti sejak zaman itu , generasi demi generasi, hingga akhir zaman. Sebagai contoh : Nabi Musa dengan Tauratnya, Nabi Isa dengan Injilnya, Nabi Muhammad SAW dengan Al-Qurannya. Selanjutnya pada akhir ayat Allah SWT berjanji : Maka barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhawatiran atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
3. Maksud perkataan “takut” tidak sama dengan “sedih”. Takut biasanya menyangkut perkara yang akan datang, sedangkan sedih pula berkaitan dengan masa silam. Masa depan bagi setiap kita, antaranya : Sakaratulmaut, pertanyaan malaikat munkar wa nakir dalam kubur, timbang menimbang amalan di padang mahsyar, meniti siratal mustaqim. Masa silam bagi kita pula, antaranya : Mengenang sedih jika gagal menjawap soalan munkar wa nakir ketika di alam barzakh, sedih jika ternyata amalan jahat lebih berat dari amalan soleh ketika dihisab di padang mahsyar, dan lain-lain. Allah SWT berjanji untuk setiap umat dan setiap zaman : Jika kamu ikuti Rasul dan Kitab, nescaya kamu tidak perlu merasa takut dan tidak perlu merasa sedih.
4. Zaman Musa dan Taurat sudah berakhir dengan kemunculan Isa dan Injilnya. Era Isa dan Injilnya juga sudah berakhir dengan kemunculan Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW dan Al-Quran. Ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan Al-Quran berlaku hingga ke Hari Kiamat. Rasul SAW bersabda : Aku tinggalkan dua perkara, selama kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat untuk selama-lamanya. Oleh itu, sudah sampai dimana kedekatan anda sebagai umat akhir zaman dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Allah menyuruh agar kita umat akhir zaman menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan (Role Model) – ( Al-Ahzab : 21 ). Allah juga menyuruh agar kita menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk ( Al-Baqarah : 2 dan 185 ). Fikirlah dari sekarang sebelum terlambat. Ingat saudaraku ! Kematian boleh datang bila-bila masa. Malaikat maut (‘Izarail) tidak pilih hanya warga mas untuk dicabut nyawanya atas arahan Allah SWT, tetapi juga para remaja tanpa terikat dengan usia.
5. Fikirkkanlah dan renunglah dengan mendalam tafsiran ayat di atas agar kita masing-masing mempunyai hala tuju dalam kehidupan di dunia yang sementara ini. Semua kita akan menemui Allah setelah mati nanti. Saya bimbang jika ayat 38 surah Al-Baqarah di atas tidak direnung dan dihayati tafsirannya, maka besar kemungkian anda akan menjadi insan yang tidak mempunyai hala tuju dalam hidup. Akhirnya anda akan menjadi mangsa syaitan yang sememangnya bertujuan menyesatkan umat manusia dari “Jalan Allah” dan agar bersamanya disiksa dalam neraka. Tapi jangan bimbang !!! Anda masih ada peluang dan kesempatan untuk memperbetulkan keadaan. Ayat di atas menjanjikan : Anda tidak perlu takut ! Anda tidak perlu bersedih hati ! Asalkan anda ikuti petunjuk yang Allah telah turunkan, yakni : Nabi Muhammad SAW dan Al-Quran. Allah tidak pernah mungkir janji. Semoga Allah tunjuki kita semua ke Jalan-Nya yang lurus, amin.
0 comments:
Catat Ulasan