RSS Feeds

Selasa, 19 April 2011

Menjampi Orang Kerasukan Di Bukit Uhud


Dalam tempoh cuti sekolah selama seminggu pada minggu lepas 7-15 April, saya memanfaatkan peluang ini dengan menziarahi Madinah, tempat kedua saya membesar. Menghadiri jemputan program Interfamily anjuran pelajar-pelajar Malaysia University Islam Madinah. 2 hari disana saya pulang ke Riyadh. Datang kembali ke Madinah atas urusan jual beli kereta pada hari Selasa dan pagi Rabu 13 April pulang semula ke Riyadh. Hari Khamis pagi saya dan beberapa rakan pergi pula ke Jubail sekitar 470km daripada Riyadh dan pulang pada malam Jumaat. Akhirnya saya demam keletihan disamping factor cuaca yang tidak menentu dalam tempoh tersebut sehinggalah ke hari ini.


Sedang saya membelek-belek buku di pustaka al-Maghamisi di Madinah selepas Isyak, Ahmad Muslihuddin remaja 14 tahun, menelefon dan meminta saya pergi ke bukit Uhud kerana ada orang kerasukan. Kemudian menghubungi saya semula selang beberapa minit. Kemudian buat kali ketiga dan bapanya sedang menunggu saya bersama-sama Jemaah daripada Dubai itu tidak dapat bergerak kerana salah seorang mereka sedang di ganggu jin. Saya bersama sahabat-sahabat lain keluar daripada kedai buku dan terus menuju ke bukit uhud. Saya bukanlah berniat mahu mengubati kerana saya juga tidak pernah belajar secara rasmi perubatan ruqyah ini secara sempurna.


Apabila sampai berdekatan jabal Ainain (tempat tentera pemanah ditempatkan oleh Nabi dalam peperangan Uhud), saya terus mendegar suara orang sedang meronta-ronta, menjerit dan menangis. Uh, suspen ni! Bulu roma saya berdiri sendiri, seram! Kawan-kawan semua menjauh. Akhirnya saya tampil mendekati si pesakit wanita yang duduk di dalam sebuah kereta itu dan membacakan beberapa ayat al-Quran yang tertentu. Saya tekapkan tapak tangan di kepalanya. Si pesakit kelihatan membuka buah-buah silatnya sambil mendengus dan cuba memalingkan kepalanya untuk memandang muka saya. Saya tekan kepalanya semakin kuat agar tidak dapat melihat saya. Seorang kawan bernama Syafik datang membantu saya. Saya khawatir juga jika tangan kiri pesakit menumbuk badan saya yang memang terbuka kepada serangan, boleh senak saya dibuatnya. Tapi al-hamdulillah, dia (jin) itu masih segan dengan saya (mungkin).


10 minit membaca ayat-ayat ruqyah, saya arahkan supaya dia pergi dan keluar. Arahan saya itu dalam bahasa arab, tetapi jawapannya ialah "Tak NAKKK" kasar dan bengis. Uhhh, melawan ye? Dalam hati saya agak gusar kerana mungkin akan bertambah lama saya menguruskan kes ini. Akhirnya saya membaca ayat 65-70 surah Toha. Tiba-tiba tubuh perempuan itu menggigil dan kelihatan seperti sedang kesakitan. Saya ulang ayat yang sama kali kedua, tiba-tiba kaki kanan saya bergoyang sediri dan semakin kuat seolah-olah digoncang. Ahh, sudah! Habis ayat itu, saya ulang lagi buat kali ketiga. Kaki kanan saya semakin kuat bergoyang dan diketar-ketarkan. Saya memang sedar bahawa saya datang merawat itu tanpa berwuduk, saya fikir untuk berhenti disitu sahaja sebaik saya menghabiskan ayat tersebut. Maka saya lepaskan tapak tangan saya daripada kepalanya dan saya terus berhenti sebaik selesai membacanya buat kali ketiga. Tetapi al-Hamdulillah, perempuan itu juga sedar dan jin Indonesia (mungkin) itu telah keluar. Saya ucapkan al-Hamdulillah di dalam hati dan saya terus membaca zikir-zikir pelindung diri dan beristighfar.


Saya ajak teman-teman untuk terus pulang menuju ke restoran al-Baik kerana belum makan malam. Jam sudah menunjukkan pukul 12 malam. Sudahlah saya tidak cukup tidur, rasa letih dan esok adalah hari Rabu 13 April yang mesti saya pulang ke Riyadh untuk bersedia ke Jubail. Pukul 2 pagi barulah kami tidur sebagai tetamu kepada Hj Khuzaini, ayah kepada remaja yang menghubungi saya untuk meminta saya datang ke bukit Uhud.


Al-Hamdulillah saya tidur dengan tenang, walaupun Ahmad Muslihudin dan akh Azhar tidak dapat tidur terkenangkan orang yang di rasuk jin itu. Esoknya kami bergerak menuju ke Riyadh dan sempat singgah bertamu dan menjamu makan tengahari di Rass Qasim serta tidur sekejap disana. Terima kasih kepada Syeikh Abu Ali Khalid al-Duwais kerana menerima kami sebagai tetamu, terima kasih kepada peneman setia saya, ustaz Fauzi, Muhammad Fitri dan Azhar. Jasa kalian dikenang.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...