RSS Feeds

Khamis, 15 April 2010

Gunting Rambut Sendiri Untuk Bertahallul

Sering orang bertanya; "Bolehkah seseorang itu menggunting rambutnya sendiri untuk bertahalul @ perlu orang lain yang mengguntingkan untuknya"?. Ini bagi mereka yang memilih untuk bertahalul dengan bergunting walaupun afdhalnya adalah bercukur. Beberapa hari yang lalu saya menerima sms daripada seorang teman yang dikasihi, senior saya ketika di Madinah bertanyakan tentang hal ini. Juga bertanya tentang seseorang yang melihat beberapa helaian rambut yang melekat di kain ehramnya, adakah dia perlu membayar sesuatu?


Adapun jawapan kepada soalan kedua ini ialah tidak dikenakan apa-apa denda kepada orang tersebut, kerana dia sendiri tidak pasti adakah ianya helaian rambut daripada dirinya ataupun orang lain. Maksud syarak dalam larangan-larangan ehram adalah mengagungkan perintah dan larangan Allah. Bukanlah untuk menyusahkan mana-mana individu. Justeru terlalu ketat dalam masalah ini menyebabkan kepada was-was serta natijah-natijah buruk yang akhirnya akan memakan diri. Bukanlah bermakna kita terlalu mengambil mudah dalam perlaksanaan ibadah, akan tetapi mengamalkan kesederhanaan yang ianya masih berlandaskan kepada dalil.


عن ابن عباس رضي الله عنهما أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " إن الله تجاوز لي عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه "

Nabi bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah melepaskan bagiku daripada ummatku kesilapan, lupa dan apa-apa yang dipaksakan keatas mereka". Hadis Hasan riwayat al-Baihaqi & Ibnu Majah.


Hadis ini menunjukkan bahawa 3 perkara ini, lupa, paksaan dan kesilapan jika terjadi kepada mana-mana muslim maka ianya adalah di maafkan. Contohnya seseorang yang dipaksakan untuk menyatakan kata-kata yang kufur ketika didalam tahanan, jika engkar maka dia akan dibunuh. Maka dimaafkan orang itu daripada kata-katanya untuk menyelamatkan nyawanya selagi hatinya tetap kepada keimanan dan mengingkari apa yang diucapkannya itu.


Justeru, sesiapa yang mencabut helian rambutnya ketika ehram @ memakai topi bagi lelaki yang sedang ehram dalam keadaan lupa, maka dia tidak dikenakan apa-apa denda. Begitu juga jika dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan tersilap, dan bukan disengajakan. Maka adalah lebih aula, orang yang melihat beberapa helaian rambut diatas kain ehram untuk tidak dikenakan apa-apa denda kerana ianya adalah sesuatu yang meragukan. Maka ianya tidak diambil kira kerana sesuatu hukum tidak terbina diatas sesuatu yang meragukan.


Allah berfirman yang bermaksud;

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." Al-Baqarah; 286.


Wanita menggunting rambutkannya sendiri untuk bertahallul;

Untuk menjawab soalan pertama ini, saya bawakan fatwa dan jawapan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin. Beliau ditanya tentang seorang wanita yang menggunting rambutnya sendiri untuk bertahalul adakah dikenakan sesuatu denda?

Jawapan; "Tidak dikenakan apa-apa jika seseorang wanita menggunting rambutnya sendiri @ seorang lelaki mencukur rambutnya sendiri, tidak mengapa juga seorang yang sedang dalam ehram mencukurkan untuknya kerana silelaki mahu bertahallul. Ataupun seorang yang diluar ehram mencukurkan untuknya (seperti dikedai gunting) semua ini adalah harus". Liqa Maftuh 42/224.

Dalam Syarah Mumti3 7/328 beliau berkata; "Dan boleh seseorang itu mencukur dengan tangannya sendiri, ataupun menyuruh seseorang untuk mencukur rambutnya. Ini adalah sesuatu yang diselisihi sebahagian ulama yang mengatakan; "sesungguhnya jika seseorang yang berehram mencukur rambutnya sendiri maka dia telah melakukan satu pantang larang ehram". Maka kita jawab, bahkan dia tidak melakukan pantang larang ehram kerana dia mencukur rambutnya kerana menyelasaikan Nusuk (bertahallul). Wallahu a3lam.


Isnin, 12 April 2010

Durian Belanda Penawar Kanser?


26 Rabiulakhir 1431H,
Email :" Zamri Keciks

Durian Belanda atau Soursop, buah dari pohon Graviola adalah pembunuh semulajadi sel kanser yang ajaib dengan 10 ribu kali lebih kuat dari pada terapi kemo. Tapi kenapa kita tidak tahu?


Kerana salah satu perusahaan dunia telah menutup rahsia penemuan penyelidikan tentang khasiat buah ini sebaik mungkin, mereka ingin agar dana penyelidikan yang dikeluarkan sangat besar, selama bertahun-tahun, ditambah pula keuntungan yang melimpah dengan cara menjadikan pohon Graviola Sintetis sebagai bahan utama ubat rawatan kanser.

Pohonnya rendah, di Brazil dinamai 'Graviola', di Sepanyol 'Guanabana' bahasa Inggeris dipanggil 'Soursop'. Di Indonesia , dikenali sebagai buah Sirsak manakala di Malaysia dipanggil sebagai Durian Belanda. Buahnya agak besar, kulitnya berduri lembut, isi buah berwarna putih, rasanya masam-masam manis , dimakan dengan cara membuka kulitnya atau dibuat jus.

Khasiat dari buah durian belanda ini memberikan kesan anti tumor / kanser yang sangat kuat, dan terbukti secara perubatan menyembuhkan segala jenis kanser. Selain menyembuhkan kanser, buah ini juga berfungsi sebagai anti bakteria, anti fungus , berkesan melawan berbagai jenis parasit dan cacing, menurunkan tekanan darah tinggi, kemurungan, stress, dan menormalkan kembali sistem saraf yang kurang baik.

Salah satu contoh betapa pentingnya kewujudan Institut Sains Kesihatan bagi orang-orang Amerika adalah kerana institut ini telah membuka tabir rahsia buah ajaib ini. Fakta yang membingungkankan adalah: Jauh dipedalaman hutan Amazon, tumbuh 'pohon ajaib', yang akan merubah cara berfikir anda, doktor anda, dan dunia mengenai proses penyembuhan kanser dan harapan untuk bertahan hidup.

Hasil penyelidikan membuktikan “pohon ajaib” dan buahnya ini :

i) Menyerang sel kanser secara efektif dan semulajadi, TANPA rasa mual, berat badan turun, rambut gugur, seperti yang terjadi pada terapi kemo.

ii) Melindungi sistem kekebalan tubuh dan mencegah dari jangkitan yang mematikan.
iii) Pesakit merasakan lebih kuat, lebih sihat selama proses perawatan / penyembuhan.

iv) Menambah tenaga dan penampilan fizikal semakin bertambah baik.

Sumber berita sangat mengejutkan ini berasal dari salah satu pengeluar farmasi terbesar di Amerika . Buah Graviola telah diuji lebih dari 20 makmal, sejak tahun 1970-an hingga beberapa tahun berikutnya. Hasil ujikaji dari ekstrak (sari) buah ini adalah :

1. Secara berkesan memilih sasaran dan membunuh sel jahat dari 12 jenis kanser yang berbeza, diantaranya kanser : Usus Besar , Payu Dara , Prostat, Paru-Paru dan Pankreas.

2. Daya kerjanya 10,000 kali lebih kuat dalam memperlambatkan pertumbuhan sel kanser dibandingkan dengan Adriamycin dan Terapi Kemo yang biasa digunakan!

3. Tidak seperti terapi kemo, ekstrak buah ini secara selektif hanya memburu dan membunuh sel-sel jahat dan TIDAK membahayakan atau membunuh sel-sel yang sihat.

Penyelidikan telah dilakukan secara ekstensif pada pohon “ajaib” ini,selama bertahun-tahun tapi kenapa kita tidak tahu langsung mengenai hal ini ? Jawabnya adalah : Begitu mudah kesihatan kita, kehidupan kita, dikendalikan oleh yang memiliki wang dan kekuasaan!

Salah satu perusahaan ubat terbesar di Amerika dengan aset jutaan dollar melakukan penyelidikan luar biasa pada pohon Graviola yang tumbuh dihutan Amazon ini. Ternyata beberapa bahagian dari pohon ini : kulit kayu, akar, daun, isi buah dan bijinya, selama berabad-abad lamanya telah menjadi penawar bagi suku Indian di Amerika Selatan untuk menyembuhkan : sakit jantung, asma, masalah berkaitan hati dan rematik. Dengan bukti-bukti ilmiah yang minimum, perusahaan yang mengumpulkan dana dan sumber usaha manusia yang sangat besar bagi tujuan melakukan penyelidikan dan berbagai ujian. Hasilnya sangat menakjubkan. Graviola secara ilmiah telah terbukti sebagai agen pembunuh sel kanser yang berkesan !

Tapi… kisah Graviola hampir berakhir disini. Kenapa?

Dibawah undang-undang persekutuan, sumber bahan semulajadi untuk ubat adalah DILARANG dipatentkan.

Perusahaan menghadapi masalah besar dan mereka berusaha sedaya upaya dengan pembiayaan sangat besar untuk membuat klon tiruan dari Graviola ini agar ianya dapat dipatentkan sehingga dana yang dikeluarkan untuk penyelidikan dan ujian dapat dituntut dan bahkan mengaup keuntungan besar. Tapi usaha ini tidak berhasil kerana Graviola tidak berjaya diklon. Perusahaan gigit jari setelah mengeluarkan dana jutaan dolar untuk usaha penyelidikan mereka.

Ketika mimpi untuk mendapatkan keuntungan besar beransur-ansur pudar, kegiatan penyelidikan juga turut berhenti. Lebih parah lagi, perusahaan menutup projek ini dan memutuskan untuk TIDAK menerbitkan hasil penyelidikan ini.

Beruntunglah, ada salah seorang ilmuwan dari kumpulan penyelidik tidak sanggup melihat kekejaman ini terjadi. Dengan mengorbankan kerjayanya, dia menghubungi sebuah perusahaan yang biasa mengumpulkan bahan-bahan bersumberkan semulajadi dari hutan Amazon untuk penghasilan penawar.

Ketika para pakar penyelidik dari Institut Sains Kesihatan mendengar berita keajaiban Graviola, mereka mulai lakukan usaha penyelidikan. Hasilnya sangat mengejutkan. Graviola terbukti sebagai pohon pembunuh sel kanser yang berkesan.
The National Cancer Institute mulakan penyelidikan ilmiah yang pertama pada tahun 1976. Hasilnya membuktikan bahawa daun dan batang kayu Graviola mampu menyerang dan menghancurkan sel-sel jahat kanser. Sayangnya hasil ini hanya untuk keperluan dalaman dan tidak dihebahkan.

Sejak 1976, Graviola telah terbukti sebagai pembunuh sel kanser yang luar biasa pada ujikaji yang dilakukan oleh 20 makmal bebas yang berbeza.

Satu kajian yang dihasilkan oleh the Journal of Natural Products menyatakan bahawa kajian yang dilakukan oleh Catholic University di Korea Selatan, mendakwa bahawa salah satu unsur kimia yang terkandung di dalam Graviola, mampu memilih, membezakan dan membunuh sel kanser usus besar dengan 10,000 kali lebih kuat berbanding dengan Adriamycin dan terapi kemo!

Sebuah kajian di Purdue University pula membuktikan bahwa daun Graviola mampu membunuh sel kanser secara berkesan, terutama sel kanser: Prostat, Pankreas, dan Paru-paru.

Setelah hampir 7 tahun tidak ada berita mengenai Graviola, akhirnya berita keajaiban ini pecah juga, melalui informasi dari Lembaga-lembaga seperti disebutkan terdahulu.

Kisah lengkap tentang Graviola, dimana memperolehnya, dan bagaimana cara memanfaatkannya, dapat dijumpai dalam Beyond Chemotherapy: New Cancer Killers, Safe as Mother’s milk, sebagai bonus istimewa percuma terbitan Health Sciences Institute. Sekarang anda tahu manfaat durian belanda yang luar biasa ini. Rasanya manis-manis masam begitu menyegarkan. Buah yang 100% semulajadi tanpa sebarang kesan sampingan. Sebarkan maklumat berharga ini kepada keluarga, saudara, sahabat dan teman yang anda kasihi.

Ahad, 11 April 2010

"Kami Akan Tentang Sebarang Usaha Penyebaran Syiah"


Penggerak Syiah Melayu Berasal Dari Kedah


Dr. Ahmad Al-Tayyib, Syeikhul Azhar yang baru menyatakan bahawa, Al-Azhar akan menolak setiap usaha untuk menyebarkan ideologi Syiah di negara-negara Muslim atau untuk penyebaran sel-sel Syiah di komuniti pemuda Sunni.

Syaikhul Azhar 'mengkritik' Iran terhadap semua jenis usaha mereka untuk menyebarkan pemahaman Syi'ah di dunia Sunni Islam, hal ini menunjukkan bahawa Al Azhar akan meneruskan peranannya dalam isu 'pergaulan' intelektual, yang dimulai dengan usaha dialog yang dilakukan sejak era mantan Syaikhul Azhar Mahmud Syaltut, suatu dialog yang sedikit sebanyak telah mengurangi ketegangan dan kesensetifan diantara Sunni dan Sy'iah.


Imam besar Al-Azhar menyatakan hal tersebut di hadapan pers dalam program "Meet the Press", yang ditayangkan pada jam sebelas pada Jumat lalu di televisyen Arab.

Dr. Ahmad Tayyib menekankan bahawa perlu wujudnya kewaspadaan dan perhatian penuh dan beliau akan berusaha membatalkan semua agenda politik dari setiap mahasiswa Syiah yang belajar di Mesir, dan beliau tidak mahu para mahasiswa Syi'ah yang belajar di Mesir melakukan "perangkap" terhadap para anak muda Sunni agar memasuki Syi'ah.

Syeikh Azhar Dr. Ahmad Al-Toyyib


Syeikhul Azhar dalam penampilan pertamanya di televisyen Al Arab, bukan televisyen Mesir, menyatakan juga bahawa 'pergaulan' yang akan terjadi merupakan 'pergaulan' pada peringkat intelektual dan dalam batas-batas ilmiah saja, dan dirinya menyambut baik para mahasiswa Syi'ah untuk belajar di Al-Azhar kerana beliau melihat ianya sebagai kesempatan untuk memperkenalkan mereka kepada pemahaman Sunni.(fq/aby)


http://www.eramuslim.com/berita/dunia/syaikhul-azhar-kami-akan-hadapi-setiap-upaya-penyebaran-syi-ah.htm


Khamis, 8 April 2010

Tatkala Sakaratul Maut Menjemput

Semua sedia maklum bahawa saat menghadapi kematian merupakan satu azab yang sangat perit sebelum meniggalkan kehidupan dunia. Sekalipun tidak pernah seorangpun yang mati kemudian menceritakan semula bagaimana sakitnya azab sakaratul maut itu. Tetapi diketahui secara umum sukarnya hari kematian melalui isyarat-isyarat Nabi dalam hadis baginda.


Berikut dibawakan beberapa kisah para sahabat ketika menghadapi sakaratul maut. Ketika baginda menghadapi saat kematiannya baginda berkata; ((Ya Allah engkau bantulah aku terhadap sakaratul maut)). Hadis riwayat Imam Ahmad. Dan Nabi berkata; ((La Ilaha Illallah, Innal Mauta La Sakarat)). Hadis riwayat soheh Bukhari. Apakah yang dimaksudkan dengan sakarat? Itu bukanlah topiknya disini dan pembaca boleh memahaminya dengan merujuk kitab-kitab syarah hadis @ kamus arab. Mari kita menyelami beberapa kisah dan kalimah-kalimah menarik yang lahir daripada beberapa sahabat, anak-anak didik Nabi, para wali Allah dan contoh ikutan zaman saat mereka menghadapi kematian. Semoga kita mendapat pedoman dan manfaat.


Umar al-Khattab (Wafat 23 Hijrah);

Ibnu Abbas datang kepada beliau ketika saat-saat akhir Umar lalu berkata; "Wahai Amirul Mukminin, kamu telah islam tatkala ramai manusia masih kafir, kamu telah berjihad bersama Rasulullah ketikamana manusia telah menghina baginda. Kamu akan mati syahid dan tiada orang yang berselisih pendapat pun tentang ini, dan Rasulullah wafat dalam keadaan baginda telah redho kepada engkau".


Maka Umar berkata ; "Tolong ulang kata-katamu". Maka Ibnu Abbas pun mengulangi kata-katanya. Lalu Umar menjawab; "Orang yang terpedaya ialah orang yang telah engkau perdayakannya, demi Allah jika aku memiliki sekalian yang dibumi daripada yang putih (perak) hinggalah kuning (emas), maka aku pasti akan gadaikannya kerana kedahsyatan hari kebangkitan".


Abdullah bin Umar, anak kepada Umar al-Khattab berkata; "Tatkala itu kepala Umar berada diatas ribaanku". Lalu Umar berkata; "Letakkan kepala aku diatas tanah".

Ibnu Umar menjawap; "Jangan kamu kesah samada di atas bumi ataupun diatas paha aku".

Umar bertegas; "Tiadalah ibu bagimu! Letakkkan kepalaku atas bumi!".

Abdullah bin Umar berkata; "Lalu aku letakkan kepala Umar di atas bumi".

Umar berkata; "Celakalah aku dan celakalah ibuku sekiranya tuhanku tidak merahmati aku".

Rujuk Syuabbil Iman Lil Baihaqi 6/502 dan Soheh Ibnu Hibban 15/314.


Muaz bin Jabal (Wafat 18 Hijrah);

Amru bin Qais berkata; "Sesungguhnya Muaz bin Jabal ketika didatangi kematiannya berkata; "kamu semua lihat, adakah sudah datang subuh?". Maka dikatakan kepada beliau; "belum subuh". Sehinggalah akhirnya beliau diberitahu bahawa subuh sudah datang. Lalu beliau berkata; "Aku berlindung kepada Allah daripad malam hari yang paginya membawa ke neraka! Selamat datang dengan kematian, selamat datang kepada tetamu yang dikasihi yang datang menuju ke tengkuk".


"Ya Allah, sesungguhnya kamu tahu bahawa aku sentiasa takutkan engkau, dan aku sekarang sangat mengharap kepadamu. Ya Allah sesungguhnya engkau tahu bahawa aku bukanlah cintakan dunia untuk mengalirkan sungai-sungai, tidak juga untuk menyirami pokok-pokok, bahkan kerana kehausan (al-hawajir), dan kerana kepayahan waktu, serta menyesakkan diri dengan ulama dalam majlis-majlis ilmu".

Rujuk Asad Al-Ghabah karangan Ibnul Athir 3/21.


Salman al-Farisi (Wafat 35 Hijrah);

Ketika Salman al-Farisi sakit tenat maka beliau diziarahi oleh Saad daripada Kufah Maka Saad memasuki rumah Salman selepas mendapat keizinan dan Salman sedang dalam keadaan nazak. Selepas memberi salam dan duduk, Saad bertanya; "Apa yang telah menyebabkan kamu menangis wahai saudaraku?". Tidakkah kamu teringat saat menjadi teman (sahabat) Rasulullah? Tidakkah kamu teringat memori-memori yang baik pada masa lepas?".


Salman berkata; "Demi Allah aku bukanlah menangis kerana salah satu diantara 2 perkara, aku tidak menangis kerana cintakan dunia dan tidak juga kerana benci untuk bertemu Allah".

Saad berkata; "Maka apakah yang menyebabkan kamu menangis selepas umurmu menjangkau 80an?".


Beliau berkata; "Aku menangis kerana kekasih aku rasulullah telah memperingatkan aku supaya bekalan hidup salah seorang daripada kami adalah seperti bekalan orang yang mahu bermusafir sahaja, sedangkan disampingku sekarang terdapat pelbagai bekalan yang banyak. Aku takut aku telah melampau batas".


Maka salah seorang yang hadir menjawap; "Hanyasanya disekeliling kamu ini hanyalah IJANAH (bekas air untuk mengumpul air seperti timba), JUFNAH (mangkuk kecil yang boleh di isi air ataupun makanan, dan MUTHOHHAROH (bejana yang khas untuk mengambil wuduk).

Rujuk Siyar A3lam an-Nubala karangan Imam Az-Zahabi 2/9.


Muawiyah bin Abi Sufian (Wafat 60 Hijrah);

Berkata Abu Amru bin Ala' ; "Tatkala Muawiyah didatangi kematian, berkatalah orang yang hadir disekelilingnya; "Apakah kamu tidak berwasiat ".


Muawiyah berkata dalam bentuk Qasidahnya;

"Kematian yang tidak akan terlepas daripadanya seorangpun,

Dan yang kita berjaga-jaga ialah selepas kematian yang ianya sangat sukar dan buruk".


" Ya Allah kurangkanlah kesalahan dan ampunilah kegelinciran, dan ampunilah dengan kelembutanmu daripada setiap kejahilan bagi setiap orang yang tidak mengharapkan kecuali kamu, sesungguhnya keampuanan kamu maha luas, tiadalah seseorang yang melakukan kesilapan tempat kembali kecuali kepadamu ". kemudian Muawiyah wafat bertemu Allah.

Rujuk al-bidayah wan Nihayah 8/152 dan Siyara A3lam an-Nubala 5/155.


Amru bin al-a'sh (Wafat 43 Hijrah);

Beliau menangis panjang ketika kematian hampir tiba sambil wajahnya dipalingkan kearah dinding. Maka berkatalah anakanda beliau kepadanya; "Apa yang menyebabkan kamu menangis hai bapaku?". Bukankah Rasulullah telah memberi khabar gembira kepada kamu? Maka amru memalingkan wajahnya kepada anaknya dan berkata;


"Sesungguhnya sebaik-baik persiapan ialah persaksian bahawa tiada tuhan yang layak disembah kecuali Allah, dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sesungguhnya aku berada dalam 3 hal keadaan;


Demi sesungguhnya aku lihat bahawa tiada orang yang paling aku benci selain Rasulullah, dan aku amat suka dan berharap aku mampu membunuh baginda, kalaulah aku mati dalam keadaan tersebut sudah pasti aku menjadi ahli neraka. Maka tatkala Allah jadikan islam di dalam hatiku aku datang kepada Rasulullah dan berkata kepadanya; "Bukakanlah tapak tanganmu supaya aku dapat membai'ah kamu ya Rasulullah". Maka nabi membuka tapak tangannya tetapi aku menggenggam tanganku. Lalu Nabi bertanya; "Kenapa kamu wahai Amru?" lalu aku katakan, aku mahu meletakkan syarat". Nabi menjawab; "Kamu mahu bersyarat dengan apa?". Maka aku berkata; "Supaya diampunkan dosa-dosaku".


Maka bersabda Nabi; "Apakah kamu tidak tahu bahawa islam itu meruntuhkan (menghapuskan) apa-apa yang dilakukan sebelumnya? Dan sesungguhnya hijrah dan haji juga menghapuskan dosa-dosa yang lepas".


Tiada seorangpun dimuka bumi ini orang yang paling aku sayang selain Rasulullah, Tiada orang yang paling aku segani dan hormati seperti baginda, aku tidak mampu memenuhkan pandangan mataku apabila memandangnya kerana menghormatinya dan terlalu segan dengannya. Kalau aku mahu menggambarkan bagaimana rupa paras Nabi pasti aku tidak upaya kerana aku tidak pernah memandang wajah baginda sepenuhnya. Kalaulah aku mati dalam keadaan itu, sudah pasti aku berharap aku akan menjadi penghuni syurga.


Kemudian kami bertanggungjawab kepada banyak perkara, aku tidak tahu apakah keadaanku dalam urusan dan tanggungjawab tersebut, maka jika aku mati, janganlah yang menemani kematianku dengan suara tangisan dan jangan nyalakan api. Jika kamu semua kebumikanku dengan tanah maka taburilah tanah sepenuhnya kemudian kalian berdiri dikeliling kuburku jarak seekor unta mahu disembelih, sehinggalah aku dapat bertemankan denganmu dan aku mahu lihat apakah yang dapat aku bawa kembali kepada utusan tuhanku".

Rujuk soheh muslim no 336 "bab kaunul islam yahdim ma qablahu"


Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq (Wafat 57 Hijrah)

Ibnu Abbas telah memasuki rumah Aisyah dan Ummul Mukminin sedang menanggung sakit kematiannya. Beliau kelihatan menangis. Maka berkata Ibnu Abbas; "Kenapa kamu menangis wahai Ummul Mukminin?"


Aishah berkata; "Aku teringatkan neraka dan kesukaran hari kebangkitan".

Ibnu Abbas berkata; "Kamu akan ke syurga insyaallah".

Aishah berkata; "Jangan kamu memberi jaminan kepadaku wahai Ibnu Abbas".

Ibnu Abbas menjawab; "Wahai Ummul Mukminin, kamu akan pergi ke syurga, Rasulullah sangat mencintai kamu dan bapa kamu as-Siddiq. Maka kamu insyaallah ke syurga".


Aisyah berkata; "Jangan kamu puji aku wahai Ibnu Abbas, demi Allah jika sekiranya aku memiliki sekalian apa yang dimuka bumi daripada yang kuning mahupun yang putih maka pasti akan aku gadaikannya kerana kedahsyatan hari kebangkitan.

Tarikh Wasit 1/88.


Ahad, 4 April 2010

Ulama Salaf & Kecintaan Mereka Kepada Sunnah Nabi


Terdapat banyak kisah yang direkodkan dalam kitab-kitab warisan ulama yang disertakan dengan sanad menceritakan bangaimana hebatnya ulama salaf dalam mengikuti dan mentaati sunnah-sunnah Nabi yang mulia. Semoga beberapa kisah dan kata-kata yang akan dipaparkan disini menjadikan kita lebih hampir kepada sunnah baginda serta mengikuti jalan para sahabat, tabien dan ulama yang mengikuti jalan mereka hingga hari kiamat.


Semoga kita terus istiqamah dalam petunjuk yang lurus tatkala mengharungi fitnah hidup yang semakin kabur untuk diteliti, maka ramailah yang menyangka perkara yang bathil sebagai hak, sementelahan perkara yang hak pula dianggap bathil. Nabi bersabda yang bermaksud; "Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara dan kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagimana berpegang dengan kedua-duanya, kitab Allah dan sunnah Aku". Ya Allah engkau anugerahkanlah kepada kami kecintaan kepada Nabi Muhammad dengan sebenar-benarnya, terangilah kami dengan taufik dan hidayahmu sehinggalah datang kepada kami keyakinan (kematian). Amin Ya Rabbal a'lamin.


*Daripada Ibnu Syihab daripada seorang lelaki daripada keluarga Khalid bin Usaid bahawa dia telah bertanya kepada Abdullah bin Umar. Wahai Abu Abdul rahman, sesungguhnya kami menemui solat khauf dan solat khadhor (5 waktu) didalam al-Quran tetapi kami tidak menemui pula tentang solat musafir (Jamak)? Maka berkatalah Ibnu Umar; "Wahai anak saudaraku, sesungguhnya Allah telah mengutus kepada kita Nabi Muhammad, dan kita tidak mengetahui sesuatupun, hanyasanya kita melakukanya sepertimana kita semua lihat baginda melakukannya".


* Telah berkata Umar bin Abdul Aziz; "Rasulullah dan khalifah selepasnya telah mensunnahkan kepada kita sunnah-sunnahnya, maka mengambil sunnah-sunnah tersebut adalah membenarkan kitab Allah, mempraktikkan ketaatan kepada Allah, bukti kekuatan dalam agama Allah, dan tidak ada seorangpun yang boleh merubahnya dan menukarkannya dan tidak juga menilai semula dengan pandangan seseorang yang menyalahi sunnah-sunnah tersebut! Barangsiapa yang menjadikan sunnah itu sebagai petunjuk maka dia telah mendapat hidayah, barangsiapa yang menolong dan membantu sunnah-sunnahnya maka dia telah mendapat pertolongan, dan sesiapa yang menyalahi sunnah-sunnahnya dan mengambil jalan selain daripada jalan para mukminin, maka Allah akan palingkan dia kepada jalan yang dipilihnya, lalu neraka jahannam akan membakarnya dan itulah seburuk-buruk tempat kembali".


*Hasan al-Basri berkata; "Beramal dengan sedikit daripada sunnah lebih baik berbanding dengan amalan yang banyak tetapi dalam bidaah".


*Telah berkata Ibnu Syihab; "Telah sampai kepada kami daripada para ilmuan yang mana mereka telah berkata; "Berpengang teguh dengan sunnah adalah jalan selamat".


*Umar al-khattab menulis surat kepada pekerja-pekerjanya agar mempelajari sunnah Nabi, faraid dan bahasa. lalu beliau berkata didalam suratnya; "Sesungguhnya manusia akan berdebat dengan kamu iaitu dengan menggunakan al-Quran, maka kamu depanilah mereka dengan sunnah-sunnah Nabi. Sesungguhnya ulama sunnah (hadis) adalah manusia yang paling tahu tentang kitab Allah".


*Umar al-khattab juga pernah berkata; "Ingatlah bahawa aku bukanlah Nabi dan tidak juga diwahyukan kepada aku sesuatu, akan tetapi aku beramal dengan kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad semampu yang mungkin".


*Ibnu Mas'ud berkata; " Berniat sesuatu dalam melaksanakan sunnah lebih baik daripada berijtihad dalam bidaah".


*Abdullah bin Umar al-Khattab berkata; "Solat orang yang bermusafir adalah 2 rakaat, sesiapa yang menyalahi sunnah maka dia telah kafir".


*Imam As-Syafie berkata; "Tiadalah dalam sunnah Rasulullah itu kecuali hanya untuk diikuti".


Masih terdapat banyak contoh yang menjadi bukti kecintaan mereka kepada sunnah Nabi. Berpadalah ini sebagai contoh semoga ianya menjadi punca kepada petunjuk yang benar. Ingatlah bahawa para sahabat lebih hampir kepada Nabi Muhammad, pada zaman merekalah diturunkan al-Quran, pada masa kehidupan merekalah keluarnya hadis-hadis Nabi daripada insan termulia. Para sahabat Nabi ini telah mendapat keredhoan baginda dan lebih baik daripada itu, mereka telah mendapat keredhoan Allah. Apakah belum cukup mereka itu sebagai ikutan dalam memahami Nas-nas kitab dan sunnah? Sedarlah kita bahawa menjauhi sunnah Nabi bermaksud kita menghampiri bidaah. Sebab itu para ulama menyatakan bahawa; "Melakukan bidaah dalam agama lebih disukai oleh syaitan berbanding melakukan dosa besar".


Semoga kita semua dikurniakan kecintaan kepada sunnah Nabi dan pemahaman para sahabat. Semoga dengan itu kita tidak diharamkan daripada mendapat syafaat baginda pada hari Mahsyar. Sesungguhnya Allahlah jua pengurnia taufik. Wallahu a3lam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...