Sering orang bertanya; "Bolehkah seseorang itu menggunting rambutnya sendiri untuk bertahalul @ perlu orang lain yang mengguntingkan untuknya"?. Ini bagi mereka yang memilih untuk bertahalul dengan bergunting walaupun afdhalnya adalah bercukur. Beberapa hari yang lalu saya menerima sms daripada seorang teman yang dikasihi, senior saya ketika di Madinah bertanyakan tentang hal ini. Juga bertanya tentang seseorang yang melihat beberapa helaian rambut yang melekat di kain ehramnya, adakah dia perlu membayar sesuatu?
Adapun jawapan kepada soalan kedua ini ialah tidak dikenakan apa-apa denda kepada orang tersebut, kerana dia sendiri tidak pasti adakah ianya helaian rambut daripada dirinya ataupun orang lain. Maksud syarak dalam larangan-larangan ehram adalah mengagungkan perintah dan larangan Allah. Bukanlah untuk menyusahkan mana-mana individu. Justeru terlalu ketat dalam masalah ini menyebabkan kepada was-was serta natijah-natijah buruk yang akhirnya akan memakan diri. Bukanlah bermakna kita terlalu mengambil mudah dalam perlaksanaan ibadah, akan tetapi mengamalkan kesederhanaan yang ianya masih berlandaskan kepada dalil.
عن ابن عباس رضي الله عنهما أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : " إن الله تجاوز لي عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه "
Nabi bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya Allah melepaskan bagiku daripada ummatku kesilapan, lupa dan apa-apa yang dipaksakan keatas mereka". Hadis Hasan riwayat al-Baihaqi & Ibnu Majah.
Hadis ini menunjukkan bahawa 3 perkara ini, lupa, paksaan dan kesilapan jika terjadi kepada mana-mana muslim maka ianya adalah di maafkan. Contohnya seseorang yang dipaksakan untuk menyatakan kata-kata yang kufur ketika didalam tahanan, jika engkar maka dia akan dibunuh. Maka dimaafkan orang itu daripada kata-katanya untuk menyelamatkan nyawanya selagi hatinya tetap kepada keimanan dan mengingkari apa yang diucapkannya itu.
Justeru, sesiapa yang mencabut helian rambutnya ketika ehram @ memakai topi bagi lelaki yang sedang ehram dalam keadaan lupa, maka dia tidak dikenakan apa-apa denda. Begitu juga jika dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan tersilap, dan bukan disengajakan. Maka adalah lebih aula, orang yang melihat beberapa helaian rambut diatas kain ehram untuk tidak dikenakan apa-apa denda kerana ianya adalah sesuatu yang meragukan. Maka ianya tidak diambil kira kerana sesuatu hukum tidak terbina diatas sesuatu yang meragukan.
Allah berfirman yang bermaksud;
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma'aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." Al-Baqarah; 286.
Wanita menggunting rambutkannya sendiri untuk bertahallul;
Untuk menjawab soalan pertama ini, saya bawakan fatwa dan jawapan yang diberikan oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin. Beliau ditanya tentang seorang wanita yang menggunting rambutnya sendiri untuk bertahalul adakah dikenakan sesuatu denda?
Jawapan; "Tidak dikenakan apa-apa jika seseorang wanita menggunting rambutnya sendiri @ seorang lelaki mencukur rambutnya sendiri, tidak mengapa juga seorang yang sedang dalam ehram mencukurkan untuknya kerana silelaki mahu bertahallul. Ataupun seorang yang diluar ehram mencukurkan untuknya (seperti dikedai gunting) semua ini adalah harus". Liqa Maftuh 42/224.
Dalam Syarah Mumti3 7/328 beliau berkata; "Dan boleh seseorang itu mencukur dengan tangannya sendiri, ataupun menyuruh seseorang untuk mencukur rambutnya. Ini adalah sesuatu yang diselisihi sebahagian ulama yang mengatakan; "sesungguhnya jika seseorang yang berehram mencukur rambutnya sendiri maka dia telah melakukan satu pantang larang ehram". Maka kita jawab, bahkan dia tidak melakukan pantang larang ehram kerana dia mencukur rambutnya kerana menyelasaikan Nusuk (bertahallul). Wallahu a3lam.
1 comments:
jwpn yg bagus..tercari2 jgk jwpn bg soalan ni..huhu
Catat Ulasan