RSS Feeds

Rabu, 21 April 2010

Tanda-Tanda Kecil Hari Kiamat (3)

Pergi tidak kembali tentera Amerika di Afghanistan

Pada kali ini saya ingin menyambung perbincangan pada bulan lepas tentang tanda-tanda kiamat kecil. Ianya sangat penting memandangkan keakraban manusia yang semakin menggila terhadap kuasa, harta, kedudukan dan semua bentuk keduniaan. Manusia semakin hilang pertimbangan dengan menggandakan martabat dosa daripada peringkat jelingan mata yang membawa kepada perzinaan remaja hatta orang-orang tua yang usianya sudah menghampiri zaman nyanyuk. Daripada perzinaan ini maka lahirlah anak-anak zina yang tidak berdosa, tetapi malangnya sekali lagi dosa dilakukan yang lebih hebat daripada zina itu sendiri apabila anak tersebut dibunuh. Ya, anak dibunuh dengan terhormat kononnya, iaiitu dengan meninggalkannya ditepi-tepi jalan. Kadang-kadang ibunya yang bertaraf penjenayah itu lebih kejam apabila mencampakkan bayinya itu ke dalam tong sampah.


Orang-orang muda selalu menyayikan lagu; "oh mak oh bapak, dunia dah nak terbalik". Bukan dunia itu yang dah nak terbalik, tetapi akal dan agama orang-orang itulah yang sudah terbalik. Dunia akan terbalik dan hancur apabila kiamat menjelma. Saat itu, maka tiada bermaknalah harta, pangkat dan kedudukan kecuali amal soleh yang menjadi rebutan dan harapan. Ketika itu, maka akan berperanglah manusia menuduh dan saling mempersalahkan orang lain terhadap kesesatan yang mereka lakukan didunia. Tanda-tanda kiamat adalah khabar yang benar. Ianya adalah akidah muslim, ianya dapat memberi keinsafan kepada ummat yang sedang dimamah kealpaan dan kebejatan akidah, akhak dan jati diri. Semoga dengan pembacaan dan peringatan ini dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Menyesal didunia adalah lebih bermakna berbanding penyesalan di akirat yang pasti tidak berguna lagi.


Berikut adalah sambungan yang lepas kepada tanda-tanda kecil kiamat yang telah berlaku & akan terus berlaku;

1- "Mendapatkan harta dengan hanya menggunakan lisan, dan berbangga dengan kepetahan kata-kata".

Bukanlah suatu yang mengaibkan jika ianya diambil dengan cara yang syarak seperti seorang peguam, guru, penceramah dan yang seumpamanya. Tetapi yang aibnya ialah lisan itu menjadi pengampu kepada kebathilan, bersumpah dengan sumpah yang palsu, berdusta dalam memberikan maklumat dan ilmu @ meletakkan harga-harga yang tidak musabah bagi sessi kuliahnya atau ceramahnya dan yang seumpamanya. Daripada Saad bin Abi Waqas berkata, aku dengar Rasulullah bersabda yang bermaksud; "Akan ada satu kaum manusia yang mendapat makanan mereka dengan menggunakan lisan mereka seperti lembu-lembu yang melata itu mendapatkan makanan mereka". Hadis hasan riwayat imam Ahmad didalam musnadnya.

2- Tersebarnya buku-buku dan penulisan selain daripada al-Quran.

Daripada Abdullah bin Amru bahawa Nabi bersabda yang bermaksud; " Diantara tanda-tanda hampirnya kiamat ialah akan diangkat orang-orang yang jahat dan dijatuhkan dan dihina orang-orang yang baik, kata-kata menjadi buruk, pekerjaan semakin baik dan tersebarnya pada sesuatu kaum al-Musa'ah. Maka Nabi ditanya apakah itu Musa'ah? Nabi menjawab; "Apa-apa yang ditulis selain daripada kitab Allah". Hadis riwayat al-Tobrani, al-Haithami berkata sanadnya adalah soheh.

3- Bertambah ramai para Qari @ orang yang pandai membaca al-Quran tetapi bertambah sedikit bilangan fuqaha dan ulama.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud; "Akan datang satu zaman, ramai orang yang pandai membaca al-Quran (Qari), dan berkurangan orang-orang yang Faqih, akan dicabut ilmu dan akan berlaku banyak al-Haraj. Sahabat-sahabat bertanya apakah haraj? Nabi menjawab pembunuhan sesame kamu, kemudian datangs atu zaman orang membaca al-Quran tetapi tidak lebih daripada anak tekak mereka, kemudian akan datang satu zaman orang-orang munafik yang kafir dan menyekutukan Allah berdebat dengan orang-orang mukmin dengan apa-apa yang mereka katakan". Hadis riwayat al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Zahabi.

4- Mengambil ilmu daripada ulama-ulama kecil (Abdullah bin Mubarak ditanya siapakah ulama-ulama kecil? Beliau menjawab, orang-orang yang berkata menurut pandangan mereka semata-mata. Sebahagian yang lain menyatakan bahawa mereka adalah ahli bidaah.)

Daripada Abu Umayyah al-Jumahi bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya diantara tanda-tanda kiamat ialah ilmu diambil daripada orang-orang yang kecil (ulama-ulama kecil)". Riwayat Abdullah bin Mubarak dalam kitab az-Zuhud.

5- Berlaku kematian secara mengejut.

Daripada Anas bin Malik bahawa Nabi bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya diantara tanda-tanda kiamat ialah akan terzahir kematian yang mengejut". Riwayat Tobrani dan di Hasankan oleh al-Bani.

6- Orang yang jahil menjadi pemimpin.

Daripada Abdullah bin Amru bahwa Nabi bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya diantara tanda-tanda kiamat ialah akan dijatuhkan orang-orang yang baik @ ditinggalkan diangkat orang-orang jahat". Hadis riwayat al-Hakim dalam Mustadrak.

7- Golongan Ruwaibidhoh mula berkata-kata.

Dariapda Abu Hurairah bahawa Nabi berkata; "Sesungguhnya akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu helah, orang –orang yang pendusta akan dipercayai, orang-orang yang benar akan didustai, orang-orang yang jujur dikatakan pengkhianat dan orang-orang yang khianat akan dipercayai, dan akan bercakaplah golongan Ruwaibidhoh. Sahabat-sahabat bertanya siapakah Ruwaibidhoh? Nabi menjawab; "orang-orang bodoh yang bercakap dalam urusan orang awam". Hadis riwayat Tobrani dengan sanad-sanadnya.

8- Masjid masjid hanya dijadikan sebagai laluan untuk berjalan menuju ke sesuatu tempat.

Mungkin kerana terlalu besarnya masjid, maka ianya hanya dijadikan tempat berjalan kaki, masjid bukan dimasuki untuk mereka melakukan solat dan ibadah tetapi sekadar tempat laluan dan berlindung daripada terik matahari tatkala mereka berjalan. Dalilnya telah disebutkan dalam entry yang lepas.

9- Pasar –pasar samada yang besar mahupun yang kecil akan saling berdekatan. Iaitu sebelah menyebelah kerana terlalu banyak.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda yang bermaksud; "Tidak berlaku kiamat sehinggalah akan terzahir fitnah-fitnah, banyak pembohongan dan pasar-pasar akan saling berdekatan". Hadis riwayat Ahmad dan disohehkan oleh al-Bani.

10- Umat-umat seluruh dunia saling bersatu menghadapi umat islam sebagai musuh.

Daripada Thauban bahawa Rasulullah bersabda yag bermaksud; " Hampir-hampir sekalian umat berhimpun dan bersatu kepada kamu sepertimana orang yang mahu makan berkumpul dihadapan talam hidangannya". Bertanyalah seseorang; "Adakah kerana sedikitnya bilangan kami ketika itu?". Nabi menjawab; "Bahkan kamu ketika itu ramai akan tetapi kamu semua seperti buih banjir, dan Allah akan cabut rasa takut didalam hati musuh-musuh kamu terhadap kalian dan Allah akan campakkan dalam hati kalian al-Wahan. Maka Nabi ditanya apakah itu Wahan? Nabi menjawab; "Cintakan dunia dan bencikan kematian". Hadis soheh riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad.

1 comments:

sister_gem berkata...

bgs untk pngetahuan bg org yg tdk tahu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...