RSS Feeds

Ahad, 4 April 2010

Ulama Salaf & Kecintaan Mereka Kepada Sunnah Nabi


Terdapat banyak kisah yang direkodkan dalam kitab-kitab warisan ulama yang disertakan dengan sanad menceritakan bangaimana hebatnya ulama salaf dalam mengikuti dan mentaati sunnah-sunnah Nabi yang mulia. Semoga beberapa kisah dan kata-kata yang akan dipaparkan disini menjadikan kita lebih hampir kepada sunnah baginda serta mengikuti jalan para sahabat, tabien dan ulama yang mengikuti jalan mereka hingga hari kiamat.


Semoga kita terus istiqamah dalam petunjuk yang lurus tatkala mengharungi fitnah hidup yang semakin kabur untuk diteliti, maka ramailah yang menyangka perkara yang bathil sebagai hak, sementelahan perkara yang hak pula dianggap bathil. Nabi bersabda yang bermaksud; "Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara dan kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagimana berpegang dengan kedua-duanya, kitab Allah dan sunnah Aku". Ya Allah engkau anugerahkanlah kepada kami kecintaan kepada Nabi Muhammad dengan sebenar-benarnya, terangilah kami dengan taufik dan hidayahmu sehinggalah datang kepada kami keyakinan (kematian). Amin Ya Rabbal a'lamin.


*Daripada Ibnu Syihab daripada seorang lelaki daripada keluarga Khalid bin Usaid bahawa dia telah bertanya kepada Abdullah bin Umar. Wahai Abu Abdul rahman, sesungguhnya kami menemui solat khauf dan solat khadhor (5 waktu) didalam al-Quran tetapi kami tidak menemui pula tentang solat musafir (Jamak)? Maka berkatalah Ibnu Umar; "Wahai anak saudaraku, sesungguhnya Allah telah mengutus kepada kita Nabi Muhammad, dan kita tidak mengetahui sesuatupun, hanyasanya kita melakukanya sepertimana kita semua lihat baginda melakukannya".


* Telah berkata Umar bin Abdul Aziz; "Rasulullah dan khalifah selepasnya telah mensunnahkan kepada kita sunnah-sunnahnya, maka mengambil sunnah-sunnah tersebut adalah membenarkan kitab Allah, mempraktikkan ketaatan kepada Allah, bukti kekuatan dalam agama Allah, dan tidak ada seorangpun yang boleh merubahnya dan menukarkannya dan tidak juga menilai semula dengan pandangan seseorang yang menyalahi sunnah-sunnah tersebut! Barangsiapa yang menjadikan sunnah itu sebagai petunjuk maka dia telah mendapat hidayah, barangsiapa yang menolong dan membantu sunnah-sunnahnya maka dia telah mendapat pertolongan, dan sesiapa yang menyalahi sunnah-sunnahnya dan mengambil jalan selain daripada jalan para mukminin, maka Allah akan palingkan dia kepada jalan yang dipilihnya, lalu neraka jahannam akan membakarnya dan itulah seburuk-buruk tempat kembali".


*Hasan al-Basri berkata; "Beramal dengan sedikit daripada sunnah lebih baik berbanding dengan amalan yang banyak tetapi dalam bidaah".


*Telah berkata Ibnu Syihab; "Telah sampai kepada kami daripada para ilmuan yang mana mereka telah berkata; "Berpengang teguh dengan sunnah adalah jalan selamat".


*Umar al-khattab menulis surat kepada pekerja-pekerjanya agar mempelajari sunnah Nabi, faraid dan bahasa. lalu beliau berkata didalam suratnya; "Sesungguhnya manusia akan berdebat dengan kamu iaitu dengan menggunakan al-Quran, maka kamu depanilah mereka dengan sunnah-sunnah Nabi. Sesungguhnya ulama sunnah (hadis) adalah manusia yang paling tahu tentang kitab Allah".


*Umar al-khattab juga pernah berkata; "Ingatlah bahawa aku bukanlah Nabi dan tidak juga diwahyukan kepada aku sesuatu, akan tetapi aku beramal dengan kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad semampu yang mungkin".


*Ibnu Mas'ud berkata; " Berniat sesuatu dalam melaksanakan sunnah lebih baik daripada berijtihad dalam bidaah".


*Abdullah bin Umar al-Khattab berkata; "Solat orang yang bermusafir adalah 2 rakaat, sesiapa yang menyalahi sunnah maka dia telah kafir".


*Imam As-Syafie berkata; "Tiadalah dalam sunnah Rasulullah itu kecuali hanya untuk diikuti".


Masih terdapat banyak contoh yang menjadi bukti kecintaan mereka kepada sunnah Nabi. Berpadalah ini sebagai contoh semoga ianya menjadi punca kepada petunjuk yang benar. Ingatlah bahawa para sahabat lebih hampir kepada Nabi Muhammad, pada zaman merekalah diturunkan al-Quran, pada masa kehidupan merekalah keluarnya hadis-hadis Nabi daripada insan termulia. Para sahabat Nabi ini telah mendapat keredhoan baginda dan lebih baik daripada itu, mereka telah mendapat keredhoan Allah. Apakah belum cukup mereka itu sebagai ikutan dalam memahami Nas-nas kitab dan sunnah? Sedarlah kita bahawa menjauhi sunnah Nabi bermaksud kita menghampiri bidaah. Sebab itu para ulama menyatakan bahawa; "Melakukan bidaah dalam agama lebih disukai oleh syaitan berbanding melakukan dosa besar".


Semoga kita semua dikurniakan kecintaan kepada sunnah Nabi dan pemahaman para sahabat. Semoga dengan itu kita tidak diharamkan daripada mendapat syafaat baginda pada hari Mahsyar. Sesungguhnya Allahlah jua pengurnia taufik. Wallahu a3lam.


1 comments:

..::بشرى::.. berkata...

semoga Allah mengurniakan kepada kita hati seteguh generasi salaf dalam itba' sunnah..ameen

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...