Bertafakkur (berfikir) dan bertadabbur merupakan salah satu tuntutan syariat yang terpuji. Kerana manusia diciptakan dengan satu perbezaan yang amat jelas berbanding makhluk-makhluk yang lain. Seringkali Allah mengarahkan kita supaya berfikir.
Orang yang bertafakkur akan mendapat faedah yang banyak di dunia dan akhirat. Agak penting juga untuk disebutkan disini kesan tafakkur terhadap hati dan hubungkaitnya dengan Tazkiah (penyucian jiwa). Daripada Amru bin Qais berkata: aku mendengar ramai dari sahabat Nabi bersabda; "Sesungguhnya pancaran iman atau cahayanya adalah tafakkur." Hasan al-Basri berkata: "Seringkali ahli ilmu mengulangi peringatan untuk bertafakkur dan bertafakkur untuk peringatan serta membisiki hati sehingga ianya berkata-kata."
Jenis-jenis tafakur dan lapangannya:
Imam ibnu Qayyim menyebutkan jenis-jenis tafakkur dengan berkata: "Maka jenis tertinggi dan paling bermanfaat ialah sesuatu yang berhubungkait dengan Allah dan hari pembalasan, dan ini juga terbahagi kepada beberapa jenis;
1) Bertafakkur dengan ayat-ayatnya yang telah diturunkan, bertadabbur dengannya dan memahami maksud sebenar yang dikehendaki Allah.
2) Bertafakkur dengan tanda-tanda kekuasaannya yang dipersaksikan, mengambil pengajaran tersebut dan menjadikannya sebagai hujjah terhadap nama-nama Allah, sifat-sifatNYA dan hikmah-hikmahNYA yang maha agong.
3)Bertafakkur dengan nikmat-nikmat dan Ehsan Allah terhadap makhluk.
4) Bertafakkur dengan keaiban diri dan kelemahannya serta amalan-amalan yang tercela. Pemikiran ini akan mendatangkan manfaat yang besar bahkan ianya adalah pintu segala kebaikan, ia memberi kesan untuk memecahkan nafsu amarah yang buruk. Apabila nafsu tersebut pecah maka hidup segarlah nafsu yang tenang (mutmainnah), serta mula menjadi hakim dan menghidupkan hati.
5) Bertafakkur dengan kewajipan masa dan tugasannya serta menghimpunkan semua kesungguhannya untuk itu. Orang yang mengetahui nilai masa yang amat kecil, dia akan merasakan semua kebaikannya telah terlepas jika dia kehilangan masa tersebut.
Antara ruang lingkup tafakkur atau lapangannya yang terbesar, yang mana Nabi dan ulama' rabbani selepas dari baginda telah berpesan ialah bertafakkur dalam perkara-perkara akhirat. Bemula dengan kematian dan kubur sehinggalah kemasukannya ke Syurga atau Neraka. Sebab itulah Nabi menyuruh kita menziarahi kubur. Baginda bersabda yang bermaksud: "Dulu aku pernah melarang kamu dari menziarahi kubur maka sekarang pergilah sesungguhnya ia akan melembutkan hati, mengalirkan air mata dan mengingati hari akhirat dan janganlah kamu semua mengatakan yang batil."-lafaz ini diriwayatkan oleh Hakim dari Anas, dan dengan lafaz yang hampir sama diriwayatkan oleh Muslim, ibn Majah dan Ahmad-
Bertafakkur dengan alam ghaib yang setiap kita sentiasa dalam penantian bermula dari saat ini sehinggalah kepada kematiannya yang datang secara tiba-tiba, kemudian kehidupan di alam kubur, kemudian hari kebangkitan, titian, perhitungan, Syurga dan Neraka. Sesungguhnya berfikir dalam skop ini akan menguatkan keimanan kita dengan hari akhirat, ia akan mendorong kita dengan persiapan beramal soleh, menjauhi larangan dan kemaksiatan serta bersedia untuk bertemu dengan Allah pada bila-bila masa.
Selain itu lapangan tafakkur juga ialah mengamati bagaimanakah hal keadaan para pendusta dan pelaku maksiat dengan mengambil pengajaran dan pelajaran dari mereka. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya telah berlalu orang-orang yang sebelum kamu mengikut ketentuan, maka berjalanlah kamu semua di muka bumi serta lihatlah bagamanakah akibat bagi orang-orang yang zalim."
Seharusnya kita berfikir tentang setiap sesuatu yang telah berlalu sebagai satu pengajaran dan sesuatu yang mendatang sebagai satu wawasan yang akan menghasilkan suatu keuntungan komersial yang tidak akan mengalami kerugian selama-lamanya. Sudahlah jatuh dihempap tangga sekiranya kita sekadar memikirkan kehidupan duniawi yang tidak pernah akan kenyang biarpun mulut dan hati sudah lenguh untuk menjamah segala macam hidangan yang di idam-idamkan. Ingatlah bagaimanakah Allah menggambarkan harta dan kekayaan bagi orang-orang yang berfikir?
Walaubagaimanapun, setiap sesuatu ada batasannya. Begitu juga dengan tafakkur. Jagan kita lari dari manhaj ahlulhaq sehingga dengan bertafakkur menyebabkan kita terpesong dari ajaran al-Khaliq. "Berfikirlah kamu pada penciptaan Allah jangan kamu berfikir pada zat Allah". Ini adalah batas sempadan yang tidak boleh akal membatasinya. Akal fikiran mempunyai kemampuan yang terhad khususnya dalam perkara-perkara yang ghaib. Berapa ramai manusia yang sesat disebabkan landasan pemikirannya lari dari garis panduan al-Quran dan Sunah?
Sama-samalah kita melazimi berfikir dengan skop pemahamannya yang luas. Perbaikilah penelitian dan pemerhatian dengan setiap sesuatu kejadian yang telah berlaku dalam diri kita samada yang kita lihat sendiri atau dengar. Betapa indahnya sekiranya tafakkur itu disertakan dengan berzikir. Sesungguhnya ia adalah pembantu yang amat jelas untuk bekalan akhirat dan Tazkiatun an-Nufus. Semoga Allah mengurniakan Taufiq dan Inayah kepada kita semua.
0 comments:
Catat Ulasan