RSS Feeds

Ahad, 5 April 2009

30 Hari Di Jamiah Malik Saud

Kehidupan sebagai pelajar adalah nikmat yang wajar disyukuri. Segala gerak geri mereka sebenarnya adalah ibadah. Meninggalkan keluarga berjauhan, anak isteri dan tanah air demi menuntut ilmu Allah adalah jihad. Menggali warisan para anbiya, melaksanakan tuntutan fardhu kifayah agar mereka pulang kelak dapat memberi peringatan kepada kaum kerabat mereka tentang agama yang suci ini.

Sebulan berada di kampus university saya dapat rasai kelainan aktiviti disamping kesibukan pengajian sebagai pelajar pasca siswazah. Jadual pengajian hanyalah 10 jam seminggu. Tetapi saya berdepan dengan bahas-bahas dan pembentangan yang banyak di dalam kelas yang hanya seramai 8 orang sahaja itu. Selain itu berdepan dengan beberapa subjek yang tidak pernah saya pelajari antaranya; Falsafah Yunani & Qodoya Kalamiyah. Kehidupan sepenuhnya hanyalah di asrama, masjid, kuliah, kantin university dan kawasan sekitar universiti sahaja. Pergerakan kami amat terbatas kerana tidak memiliki kenderaan persendirian.

Berkenalan dengan beberapa pensyarah melayu di University;
Setelah seminggu pengajian, kami berkenalan dengan Dr Ibrahim yang merupakan salah seorang daripada 4 pensyarah melayu yang mengajar di King Saud University. Wajahnya yang seakan-akan arab itu menyukarkan kami untuk membuat pengamatan. Rupa-rupanya orang Perak! Beliau banyak menolong dan membawa kami untuk saling berkenalan dengan orang-orang Malaysia yang berada di riyad.

Berkenalan dengan ustaz Hasan Fathoni 30 tahun di Riyad;
Pada minggu kedua kami menziarahi Dr hasan (ma'si) bin abdul kadir yang baru selesai menamatkan tesis PhD di Universiti al-Imam Riyad. Ustaz hasan berasal daripada fathoni ini telah 31 tahun berada di Riyad. Sebagai pelajar, suami kepada 2 isteri, seorang bapa kepada 7 orang anak, dan seorang tauke restoran Malaysia di Riyad. Boleh dikatakan semua warganegara melayu yang berkerja di Riyad mengenali beliau. Tahniah buat Dr hasan yang telah menamatkan pengajiannya dengan mendapat keputusan Mumtaz Syaraf Ula.

Jerebu dan debu yang amat tebal menyerang Riyad.
Berlaku pada hari yang kelima kami berada di Riyad, ini merupakan kejadian kali pertama berlaku menurut penduduk. Cuaca berubah kemerah-merahan, dengan debu tebal yang menyebabkan pandangan terbatas sekitar 5 meter sahaja. Subhanallah! Bermula 11 pagi 10 March sehinggalah pagi berikutnya. 2 hari berikutnya masjid-masjid di Riyad melakukan solat Istisqa' (memohon hujan). Mujur kami tetap sihat, al-Hamdulillah.

Menziarahi Madinah.
Setelah beberapa kali menangguhkan hasrat untuk pergi ke Madinah, akhirnya saya bertekad bermusafir walaupun seorang diri menaiki bas. Perjalanan dari Riyad ke Madinah mengambil masa 12 jam untuk jarak sejauh 800 km. Saya membayar SR140 untuk tiket pergi dan balik selepas mendapat potongan sebanyak 50% kerana harga khas pelajar. Alhamdulillah, saya bertemu teman-teman Malaysia, Singapore, Kemboja, Indonesia, Afghan, India, Oman dan lain-lain. Bertemu dengan beberapa orang pensyarah University Islam Madinah yang saya kenali. Malam Jumaat 26 March saya sempat menghadiri kuliah Maghrib oleh al-Fadhil Syaikh Dr Muhamad bin Mukhtar as-Syankiti di Masjid Nabawi. Sempat menziarahi makam Nabi dan solat berjemaah beberapa waktu di Masjid Nabawi. Saya sempat membeli beberapa buah buku di Ma'arad Universiti yang berkebetulan baru di buka sehari sebelum kedatangan saya. Tidak lupa juga mengucapkan terima kasih kepada akh Lukman Mat Sin kerana membelanja saya di restoran yang di rindui (al-Baik).

Tahniah buat akh Khairil Husaini,
Saya mendapat sms daripada akh asri mengkhabarkan bahawa saudara Khairil Husaini mendapat markah Mumtaz Syaraf Ula dalam tesis master yang dibentangkannya pada hari Isnin 30 March. Beliau merupakan pelajar Malaysia yang kelima Berjaya mendapat sijil master daripada University Islam Madinah sepanjang penubuhannya. Semoga kejayaan ustaz Husaini dalam bidang hadis ini memberi semangat tambahan buat pelajar-pelajar Madinah yang masih baru dan lama untuk terus berjaya dalam pelajaran masing-masing.

Hujan lebat di Riyad,
Saya pulang ke Riyad daripada Madinah pada pagi Ahad 29/03 al-Hamdulillah hujan turun di Riyad walaupun tidaklah terlalu lebat. Selepas solat Jumaat 03/04 kami dijemput oleh abang Raznan untuk makan tengahari. Saya, ust Fauzi, Arif dan Fadhil anak Dr Hasan meriah dijamu makanan yang enak-enak. Bermula daripada Subuh hujan turun lebat sekejap-sekejap seharian. Selama berada di rumah abg Raznan petir berdentum-dentum disertai dengan hujan. Cuaca yang sememangnya sejuk semakin menjadi-jadi. Selepas Isya' kami dihantar pulang ke university. Yang menarik ialah; beberapa jalan di Riyad banjir melebihi paras lutut kesan daripada hujan berterusan. Jalan agak sesak dan kedapatan beberapa kereta mati kerana dimasuki air.

Baru perasan,
Setelah 30 hari di Riyad, baru saya sedar bahawa berat timbangan saya telah naik sebanyak 5kg. alamak! Apa nak jadi? Ustaz Fauzi yang berjauhan daripada isterinya dan 5 anak juga mengalami peningkatan. Inilah kesan makanan penuh khasiat yang kami ambil di kantin University setiap hari. Hairannya ialah student hanya perlu membayar Sr1 sahaja untuk sarapan pagi dengan 7 jenis makanan dan minuman. Sementara Sr2 untuk bayaran bagi tiap-tiap makan tengahari dan malam dengan mengambil 6 jenis hidangan. Semoga saya dapat bersabar dan berjaya dalam menempuh pengajian ini. Semoga kehidupan yang barakah dan manfaat melingkari kita semua sepanjang hayat.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...