Adakah manusia mampu melihat Malaikat ? Ataukah ianya diantara perkara yang khas kepada Nabi sahaja? Adakah sahabat-sahabat Nabi pernah melihat Malaikat? Bagaimanakah bentuk Malaikat? Apa jawapan kepada orang yang mendakwa melihat Malaikat?
Beriman kepada Malaikat adalah diantara Rukun Iman yang enam. Kita tidak mengetahui berapakah bilangan mereka (lihat tafsiran surah al-Muddasthir 31). Tatkala mana Malaikat adalah perkara yang ghaib, maka sewajibnya kita beriman dengan panduan yang datang daripada nas-nas Syara'. Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa Nabi Muhamad sendiri tidak mengetahui perkara yang ghaib sedangkan baginda adalah insan teragung. Maksud daripada surah al-An'am ayat 50
((katakanlah hai Muhamad; "Aku tidak mengatakan kepada kalian bahawa disisiku khazanah-khazanah Allah, dan aku tidak mengetahui perkara ghaib dan aku tidak katakan pada kalian bahawa aku ini Malaikat, hanyasanya aku tidak ikut kecuali apa yang telah diwahyukan…))
Nabi melihat Jibril;
Mampukah mata manusia ini melihat Malaikat dalam bentuknya yang asal? Jawapannya adalah tidak! Kecuali apa yang telah Allah anugerahkan kepada Nabi Muhammad. Dalam pada itupun baginda hanya melihat malaikat Jibril dalam bentuknya yang hakiki 2 kali sahaja. Pertama ketika dibumi (balik daripada gua Hira' lihat tafsiran surah an-Najm ayat 8) dan yang kedua di atas langit (ketika berada di Sidratil Muntaha). Nabi menjelaskan bahawa jibril memiliki 600 sayap (lihat soheh Bukhari dan Muslim bab pada menyatakan tentang Sidratul Muntaha)!!! Satu sayapnya sahaja sudah cukup untuk menggelapkan sekalian ufuk daripada timur ke barat!
Adapun apa-apa riwayat daripada sahabat yang menyatakan mereka melihat Malaikat seperti Ummul Mukminin Aishah, ibnu Abbas, Usaid bin Khudhair, Imran bin Hushain dan lain-lain, mereka sebenarnya melihat Malaikat bukan dalam bentuknya yang asli. Mereka melihat Malaikat dalam bentuk yang seperti manusia. Seperti dalam hadis Jibril dalam soheh Muslim ataupun hadis kedua dalam matan arbaien. Jibril alaihissalam seringkali menyerupai bentuk seorang sahabat Nabi: Dehyah bin khalifah al-Kalbi.
Bentuk Malaikat:
Dalam surah al-hadid ayat 1 allah menyatakan tentang penciptaan Malaikat yang pelbagai. Ada diantara mereka yang memiliki 2 sayap, 3 sayap, 4 sayap dan sebagainya. Allah juga menyatakan beberapa sifat Malaikat yang tidak pernah engkar dan sentiasa taat (surah Tahrim ayat 6). Malaikat diciptakan daripada cahaya (lihat soheh Muslim hadis no 2996). Malaikat tidak makan dan tidak minum, bukan lelaki dan bukan perempuan, dan tidak memiliki hawa nafsu. Nabi tidak menerangkan lanjut bagaimanakah bentuk malaikat secara detail.
Dakwaan melihat Malaikat;
Memang terdapat dakwaan yang mengatakan kami melihat Malaikat dalam bentuknya yang hakiki. Kata-kata ini datangnya daripada golongan sufi yang mengutamakan mimpi, khayalan, keramat, kewalian dan bermacam ragam lagi yang pelik-pelik. (Sufi yang dimaksudkan disini bukanlah kezuhudan, akhlak mulia, amal ibadah, warak dan lain-lain sifat mahmudah seperti yang ramai kita fahami). Bagi mereka, apapun jawapan yang akan diberikan tidak akan menjadikan mereka akur dan patuh kecuali mereka yang mendapat taufik. Allah berfirman al-An'an ayat 9 :
(( وَلَوْ جَعَلْنَاهُ مَلَكًا لَجَعَلْنَاهُ رَجُلًا وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِمْ مَا يَلْبِسُونَ ))
Bermaksud: ((Dan kalau kami jadikan Nabi itu daripada Malaikat, nescaya kami akan jadikannya sebagai seorang lelaki dan kami akan pakaikan kepada mereka apa yang mereka pakai)). Imam Tobari berkata dalam tafsirnya; "iaitu, pasti kami akan jadikannya dalam bentuk seorang lelaki daripada kalangan manusia, kerana mereka (manusia) tidak mampu melihat Malaikat dalam bentuknya yang asli". Dalam tafsir al-Alusi beliau berkata ketika mentafsirkan ayat:
((وَقَالُوا لَوْلَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ وَلَوْ أَنْزَلْنَا مَلَكًا لَقُضِيَ الْأَمْرُ ثُمَّ لَا يُنْظَرُونَ((
Al-Alusi berkata :"Maka akan sempurnalah urusan" iaitu akan sempurnalah urusan kebinasaan mereka dengan sebab menyaksikan dan melihat Malaikat". Sebab itu Allah mengutuskan para Malaikat kepada Nabi dan rasulnya dalam rupa manusia. Ini kerana kehebatan dan kekuatan Malaikat itu yang tidak mampu untuk manusia melihatnya. Lihatlah kisah Malaikat yang menjadi tetamu Nabi Ibrahim (surah Hud ayat 69-70). Begitu jugak dengan kisah Nabi Luth (surah Hud ayat 77-78). Demikian juga dengan kisah Nabi Musa yang telah mencucuk mata Malaikat maut yang dihantar untuk mencabut nyawanya (hadis Bukhari dan Muslim). Sesungguhnya Malaikat maut telah datang dalam bentuk manusia. Wallahu a'lam.
1 comments:
Ustaz, biasanya malaikat akan pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan rumah-rumah yang penghuninya membaca al-quran. Saya ada persoalan, boleh tak malaikat masuk tandas atau bilik air di mana kebersihannya sentiasa dijaga (bukan tandas awam)?
Catat Ulasan