RSS Feeds

Sabtu, 2 Mei 2009

"Saya nampakje macamni"

"Saya nampakje macamni tapi takdela busuk hati, walaupun tak pakai tudung tapi tetap jaga solat, walaupun saya sosial tapi saya hormat ibu bapa". Orang yang lain pula berkata: "Isyh, ustaz tu nampakje macam warak, tapi kuat nafsu, hati kotor, konon selalu gi masjid tapi dengan anak bini kasar, kongkong dan tak beri kebebasan".


Ini diantara ayat-ayat yang sering kita dengar daripada orang-orang yang jahil dan menganggap merekalah sebenarnya yang betul, terbuka, penuh hikmah, berfikiran panjang dan lain-lain lagi sikap yang tidak jumud. Inilah orang yang sering berhujah disebalik kesilapan orang lain (golongan agamawan khasnya) untuk menyelamatkan kesalahannya daripada kritikan. Orang seperti ini juga sebenarnya terlalu berbaik sangka terhadap dirinya lantas berburuk sangka dengan orang yang tidak seangkatan dengan kesalahan dan dosa-dosanya.


Ciri-ciri murji'ah:

Sedarkah anda, mereka yang berhujah seperti ini sebenarnya terlalu tebal sifat Roja' (pengharapannya) terhadap tuhan. "Oh, Allah itu maha pengampun, Allah itu penyayang dan akan memasukkan setiap muslim itu ke dalam Syurga juga akhirnya. Kata-kata seperti ini ada benar dan ada salahnya. Benar jika ianya keluar daripada pelaku maksiat yang telah bertaubat, yang terlalu takut dengan azabNYA dan dalam masa sama mengharapkan rahmat dan keampunanNYA. Tetapi ia cukup salah jika ianya keluar dari lisan orang yang berterusan dengan kemaksiatannya!


Murji'ah adalah golongan sesat yang mereka ini tidak memasukkan amalan dalam masalah keimanan, sehingga mengatakan bahawa semua orang islam tidak akan masuk neraka sekalipun melakukan pelbagai dosa. Ini bermakna setiap orang muslim mereka adalah beriman dengan 100% keimanannya, walaupun dia tidak solat, zakat, puasa dan sebagainya. Walaupun dia ini adalah perogol bersiri, pencolek kanak-kanak, penderhaka kepada ibu bapa, pembunuh dan lain-lain kemaksiatan selagi mereka ini mengucap 2 kalimah Syahadah, maka mereka tetap beriman. Semoga Allah memberi hidayah kepada golongan jahil seperti ini yang benar-benar muncul sebagai respon balas terhadap golongan Khawarij.


Penghujahan yang batil;

Perlu diketahui, mereka yang memuji diri sendiri (kesucian hati mereka) sedangkan perbuatan zahir mereka bertentangan dengan ajaran islam, mereka termasuk juga dalam golongan Murji'ah! Betulkah baik orang yang berkata: "Walaupun saya pelacur tapi saya orang baik"? Zahir mereka sudah tidak baik masakan boleh dinilai hati mereka dan soal kebatinan mereka sebagai baik? Sebab itu, orang yang masih engkar dengan ajaran tuhan jangan berhujah begini! Pastikan mereka memperbaiki luaran mereka juga. Beramal zahir dan batinnya dengan ajaran islam. Kemudian jangan dikaitkan kesalahannya (dosa-dosanya) dengan kebaikan hatinya kerana ia adalah suatu perkara yang berbeza. Sekalipun hatinya sangat baik, pastikan luarannya juga sangat baik supaya tiada kelihatan terpesong dari ajaran agamanya sendiri. Islam mewajibkan wanita bertudung dan menutup aurat! Islam mewajibkan juga semua lelaki menutup aurat dan berakhlak mulia, praktikkan sahaja semampunya tanpa banyak beralasan.


Adapun apa yang disebut; "Tidak semua orang yang luarannya bagus itu baik dan soleh". Memang benar! Kadang-kadang itu munafik sahaja! Tetapi kita diajar supaya berbaik sangka terhadap saudara seagama. Tambahan pula mereka yang zahirnya terhias dengan akhlak dan pakaian-pakaian islam zahir dan batinnya. Kerana apa? Kerana zahirnya sudah baik! Sebab itu Nabi tidak menghukum golongan Munafik dengan sikap Munafik yang tersembunyi dalam diri mereka kerana zahir mereka baik. "Kita hanya menilai yang zahir sahaja, sedangkan Allah jualah yang mengendalikan urusan yang batin".


Tidak menghebahkan kemaksiatan diri;

Inilah di antara manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam bermuamalah. Kita jangan mencari-cari kesalahan orang yang tidak nampak dan tersorok! Dalam masa sama kita digalakkan menyelidiki kesalahan diri kita dan kemudian memohon keampuanan Allah Rabbul Jalil tanpa menghebah-hebahkan dosa-dosa diri pada umum. Mari kita renungi hadis Nabi ini mudah-mudahan menjadi panduan dalam kehidupan sehari hari yang mendatang.

عن أَبَي هُرَيْرَةَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ((كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ))

Daripada Abi Hurairah beliau berkata: "aku mendengar Rasulullah bersabda: ((setiap umatku akan dimaafkan kecuali mereka yang berterang-terangan (dengan dosa)! Dan sesungguhnya antara orang yang berterang-terangan ialah lelaki yang melakukan sesuatu (dosa) pada malam hari, kemudian datang waktu subuh dan sesungguhnya Allah telah menutup aibnya itu, lalu lelaki itu berkata; "Wahai Fulan, malam tadi aku telah melakukan sekian dan sekian". Pada malamnya, Allah telah tutup aib dosa-dosanya dan apabila subuh dia tiba-tiba membuka apa yang Allah tutupi tentang dirinya)) Hadis riwayat Bukhari.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...