RSS Feeds

Khamis, 21 Mei 2009

"Aku & Diriku"

Aku bertanya didalam diri: "Siapakah aku sebenarnya?". Aku ingin mengerti tentang diriku sendiri, aku ingin tahu tabiat diriku, ingin mengenal budi pekertiku, dan aku ingin lebih tahu siapakah aku?


Kadang-kadang aku sebagai makhluk demikianlah sangkaanku pada insan-insan yang lain, merasakan bahawa aku kurang kenal sikap, tingkahlaku, minat, dan tabiatku sendiri. Kerana itu serigkali aku memerlukan teman yang mendampingiku dan menasihatiku serta menjadi cermin kepada diriku sendiri.


Umurku sudah suku abad lamanya, tinggal berbaki suku rasanya, itupun jika takdirku begitu. Aku akan beralih kepada alam yang lebih dewasa, lebih pengalaman sepatutnya, lebih matang fikirannya, dan aku harapkan juga bahawa aku lebih manfaatnya kepada umat ini. Mungkin itu adalah harapan tetapi mampukah aku merealisasikannya? Mampukah aku untuk benar-benar menjadi insan yang bermanfaat kepada diriku sendiri? Keluarga dan masyarakat? Lebih dari itu mampukah aku memberi manfaat kepada agama yang ku cintai ini? Hatiku penuh mengharap…


Kadangkala aku dilambung igauan dan khayalan leka untuk aku berterusan menunda amal kebajikan. Aku perlu berehat kononnya dan menghayati keenakan dan keasyikan hidup di dunia sementara hayat dikandung badan. Itu kata hatiku yang sering melalaikan serta sering protes dengan usaha dan penat lelahku untuk terus maju bersama amalan-amalan mulia yang sering ditundakan. Cukuplah rehatmu dan dosamu! Fikiranku membentak.


Mana mungkin kau bahagia dengan bersenang lenang? Mana mungkin kehidupan tanpa kesulitan dan kepayahan? Janganlah kau mendustakan aku dengan dengan tipu muslihatmu wahai nafsu!!! Cukuplah. Memangnya begitu lumrahnya hidup, rasailah kesedihan, kemarahan, kebencian, kesakitan dan sebagainya itu untuk suatu kesempurnaan dalam hidup. Rasailah semuanya supaya kau sedar agungnya penciptaan manusia itu. Dengan itu mudah-mudahan engkau semakin menghampiri tuhanmu yang maha Esa.


Wahai diriku,,apakah yang engkau inginkan? Bukankah kebahagian dan angan-angan kosongmu itu Cuma akan menundakan kamu daripada kebahagian hakiki? Kenapa tidak kau kejarkan umurmu itu untuk kebahagian abadi disana kelak? Bukankah imanmu pada hari kebangkitan itu sudah cukup teguh dan jelas? Ayuhlah! Lajukan langkahmu untuk menggapainya dengan amalan-amalan mulia yang bakal diganjari. Kamu dahulukan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan pujian dan anugerah duniawi. Kamu tahu bahawa imbuhan dunia itu sementara saja sifatnya.


Semoga engkau wahai diriku mendapat kekuatan dengan ingatan-ingatan ini. Dengan doa kudusmu dan keyakinanmu pada bantuanNYA, moga engkau berjaya menempuh kehidupan penuh fitnah di alam ini dengan penuh ketenangan.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...