Saya menangis membaca muka hadapan Harian Metro melalui internet bertarikh 21 Mei. Kes rompak dan bunuh berlaku di Ipoh, apakah social masyarakat Perak juga bergolak seperti bergolaknya politik Perak? Saya tidak tahu apa lagi komentar yang harus tertulis. Saya tidak pasti kenapakah terlalu murahnya nilai darah & nyawa pada pandangan pembunuh? Mungkin saya akan dinilai emosi? Tapi fikirkanlah, emosi apa yang akan lahir jika ianya berlaku kepada kerabat kita sendiri? Emosikah jika kita bersimpati dan bersedih dengan saudara islam kita yang nasibnya amat malang itu?
Dalam kesibukan saya sebagai pelajar, saya amat terpanggil untuk mencatatkan kesedihan ini terhadap situasi dan kebejatan masyarakat majmuk Malaysia. Saya terpanggil untuk mengucapkan takziah kepada suami mangsa Jafri Tajul Aripin, 47 yang kematian isteri (Wah Yah Mat Zi 42 tahun ), anak bongsunya (Ermin Denish 5 tahun) dan pembantu rumahnya. Ya SubhanaLlah, bala apakah yang menimpa umat ini? Sudah menjadi Palestin dan Iraqkah Malaysia ini yang menyaksikan pembunuhan hampir setiap hari? IlaLlahil Musytaka…saya tidak boleh bayangkan jika mahkamah memutuskan bahawa penagih berjiwa binatang itu selamat daripada hukuman bunuh. Jika kes yang sama berlaku di Arab Saudi, saya pasti Mahkamah Syariah akan mengumumkan hukuman Qisas dan rakyat jelata akan dapat menyaksikan hukuman pancung ditempat terbuka terhadap pesalah.
Setiap jenayah biasanya punya kaitan dengan yang lain. Berpunca daripada dadah. Berpunca daripada kawan-kawan bangsat. Berpunca daripada tarbiyah ibu bapa ala barat. Berpunca daripada kegagalan system pendidikan. Berpunca daripada sikap dan pegangan masyarkat "Jangan jaga tepi kain orang", mungkin juga kegagalan system perundangan sedia ada, mungkin juga kegagalan para agamawan dalam berdakwah. Semuanya serba mungkin. Bahkan mungkin juga penjenayah terkena sakit gila babi yang kehausan darah. Asytaghfirullah….saya tidak tahu bagaimana susahnya untuk ahli waris bersabar dan redho dengan apa yang berlaku. Saya tidak pasti apakah tindakan yang akan saya lakukan terhadap penjenayah jika saya yang menangkapnya.
Kalau dikira kes-kes yang menyebabkan kehilangan nyawa orang yang tersayang jumlah mereka yang terbunuh ratusan setiap tahun. Dalam statistic kes bunuh yang dikeluarkan PDRM pada tahun 2000 sebanyak 551 kes bunuh. 2001 sebanyak 608 kes, 2002 sebanyak 516 kes, 2003& 2004 masing-masing 565 kes, 2005 sebanyak 497 kes, 2006 sebanyak 604 kes, dan 2007 sebanyak 588 kes. Dalam tempoh 8 tahun sahaja sudah 4494 kes bunuh dan saya tidak pasti, sudah berapakah kes berjaya diselesaikan?
Saya catatkan ini dan saya pasti penjenayah-penjenayah lain tidak membaca tulisan serupa ini. Tetapi marilah kita yang masih punya akal ini ambil peduli dan sama-sama berusaha membentuk masyarkat harmoni dalam Negara kita. Lihatlah topik-topik menyayat hati 21 Mei : "2 jam menggelupur", "Jeritan maut" melibatkan 3 nyawa. Sementara itu pada 17 Mei Allahyarhamah Nurbahirah Ishak (22) tahun telah mati akibat ditikam bertubi-tubi oleh bekas kekasihnya kerana ingin memutuskan perhubungan.
Berapa banyakkah lagi kegilaan yang menimpa manusia muslim di Malaysia? Berapa banyakkah lagi kesakitan dan titisan air mata yang harus ditumpahkan oleh sanak saudara? Pemimpin-pemimpin wajib sensetif untuk menyelesaikan isu-isu ini. Jangan hanya sebuk dengan kekalutan politik sahaja sehingga penjenayah, samsing jalanan, pemaksiat, dan makhluk-makhluk perosak lain dikalangan manusia ini bermaharajalela.
Kepada penjenayah-penjenayah ingin menuju kearah kehancuran hidup dunia dan akhirat. Cukuplah engkau dan dirimu sendiri sahaja dalam berdosa, janganlah menghancurkan kehidupan orang lain didunia ini. Cukuplah kegilaan itu antara kamu dan binatang-binatang karnivor jika terlalu perlu untuk membunuh. Bunuhlah buaya-buaya yang membaham manusia tidak berdosa. Tunjukkanlah kehandalanmu dihadapan singa-singa ganas, dihadapan ular berbisa dan binatang-binatang buas yang seumpama kamu itu. Semoga kekasaran bahasa ini mengajar kamu erti ehsan dan kemanusiaan. Bayangkanlah kesakitannya jika tikaman-tikaman itu singgah mengenai jasad dan tubuhmu. Rasailah dahulu tikaman-tikaman dan sakitnya kematian sebelum kamu lakukannya pada orang lain.
Sekali lagi pihak polis wajib ditekan. Mereka wajar bertungkus lumus untuk mengawasi keamanan dengan bantuan dan kerjasama masyarakat awam. Sebulan ini nampaknya terdapat perubahan pada PDRM dan loga "Tegas, Adil & Berhemah" itu mungkin semakin terlaksana. Polis perlu lebih hebat dan tangkas berbanding penjenayah-penjenayah yang masih bertebaran itu. Kejayaan PDRM baru-baru ini dalam beberapa kes harus mendapat sanjungan dan kesyukuran. Semoga kekalutan ekonomi dan politik tidak terus menerus menjadi penyebab kepada kehancuran sosial khasnya dikalangan umat islam melayu dan masyarakat secara umum.
0 comments:
Catat Ulasan