RSS Feeds

Isnin, 18 Mei 2009

Siapakah al-Jahmiyyah

Mereka adalah pengikut Jaham bin Sofwan yang merupakan pengamal Jabariyah totok. Muncul di wilayah Turmuz dan di hukum bunuh pada penghujung pemeritahan bani Umayyah pada tahun 128H. Imam az-Zahabi dalam "Mizan I'tidal" berkata; ((Jaham adalah seorang yang sesat dan ahli bida'ah, ketua Jahmiyyah, binasa pada zaman akhir Tabi'in, aku tidak tahupun bahawa dia meriwayatkan sesuatu tetapi dia telah menanam kejahatan yang amat besar". 1/426.

- Jahmiyyah menyepakati Muktazilah dalam menafikan sifat Azaliyah sambil menambah;

- Tidak boleh mensifatkan Allah dengan sifat yang disifatkan kepada makhluknya kerana ianya merupakan Tasybih (menyamakan)

- Manusia tidak mempunyai daya dan kemampuan bahkan mereka semuanya terpaksa atau dipaksakan dalam segala perbuatan mereka. Mereka tidak punya keupayaan dan kemahuan serta ikhtiar, akan tetapi Allah menciptakan segala perbuatan mereka padanya. Segala perbuatan dinisbahkan kepada manusia sebagai Majaz (bukan hakikat).

- Pahala dan dosa semuanya adalah paksaan yang dipaksakan kepada makhluk sepertimana segala perbuatan mereka adalah paksaan.


Pengenalan ringkas;

Firaq ini atau kumpulan ini diantara yang di nisbahkan kepada islam sedangkan usul akidah mereka sangat bercanggah dengan akidah islamiyyah dalam banyak permasalahan. Jahmiyyah satu firqah yang muncul di Iraq. Penamaan kumpulan ini kembali kepada nama pengasasnya iaitu Jaham bin Sofwan al-Tirmizi yang telah di hukum bunuh pada 128 Hijrah oleh pemerintah Umawiyyah bernama Salim bin Ahwaz.


Jaham ini telah muncul di Kufah mengiklankan I'tiqadnya dalam masalah ketuhanan, al-Quran, masalah keimanan, syurga dan neraka, dan lain-lain lagi sehinggalah berpindah ke Khurasan demi menyebarkan kesesatannya.


Prinsip pegangan akidah Jaham bin Sofwan;

1) Mengingkari semua nama-nama Allah dan sifat-sifatNYA yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah dengan alasan menyucikan Allah daripada meyerupai makhluk.

2) Mengingkari kemampuan dan ikhtiar bagi makhluk dalam perbuatan mereka. Maka semua makhluk itu sudah dipaksakan kepada perbuatan mereka yang tertentu.

3) Menafikan bahawa para mukminin akan melihat Allah pada hari kiamat seperti yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah.

4) Beriktiqad bahawa keimanan itu adalah semata-mata mengenali Allah sahaja. Justeru orang yang kafir adalah yang jahil terhadap Allah sahaja.

5) Menyatakan bahawa syurga dan neraka adalah fana' dan tidak kekal.


Dimanakah Jaham mengambil iktikadnya?

Jaham ini telah mengambil akidahnya daripada al-Ja'ad bin Dirham yan telah di hukum bunuh oleh pemerintah Kufah bernama Khalid bin Abdullah al-Bajali. Si Jaham ini terpengaruh juga daripda kitab-kitab Falsafah Yunan sebab itu dia telah membina banyak iktikadnya atas dasar muqaddimah (pendahuluan).


Guru kepada Jaham ini adalah al-Ja'ad bin Dirham yang merupakan anak murid kepadaAbban bin Sam'an, Abban menuntut daripada Tholut bin Ukht dan Tholut pula anak murid kepada Labid bin al-A'som seorang yahudi yang telah menyihir Nabi Muhammad. Justeru asal usul iktikad Jaham ini sebenarnya adalah daripada seorang yahudi. Sila lihat; 'al-Aqidah al-Hamawiyyah al-Kubra'.

Dimanakah tersebarnya mazhab ini?

Telah tersebar di Iraq dan Khurasan akan tetapi tidak berkekalan lama kerana ketiadaan sekolah yang membawa aliran mereka. Pun begitu mazhab ini telah memberi kesan kepada kebanyakan mazhab-mazhab islamiyyah yang lain seperti Muktazilah, Asya'irah, al-Mathuridiyyah dan Syiah Imamiyyah.


Diantara rujukan yang menyebut mazhab Jahmiyyah ialah;

1) "Maqalat Islamiyyin" karangan Abul Hasan al-Asy'ari.

2) "Al-Milal Wan Nihal" karangan al-Syahristani.

3) "Ar-Raddu Alal Jahmiyyah" karangan ibnu Mandah.

4) "Ar-Raddu Alal Jahmiyyah" karangan ibnu Battoh.

5) "Usul I'tiqad Ahli Sunnah wal Jama'ah" karangan al-Lalakaie.

6) "As-Sunnah" karangan Abdullah bin Imam Ahmad.


Adakah Jahmiyyah kafir?

Ahli sunnah wal jama'ah telah Ijma' mengkafirkan mereka. Telah di naqalkan oleh al-Lalakaie dalam kitabnya, bahawa seramai 500 ulama ahli sunnah mengkafirkan Jahmiyyah. Kemudian imam al-Lalakaie berkata; "Daripada 500 ulama tersebut lebih kurang 100 orang adalah imam yang menjadi ikutan dan memiliki mazhab fiqh, jika diambil kira kata-kata golongan ulama hadis pasti akan mencecah bilangan mereka ribuan orang akan tetapi aku ringkaskan dan aku buang sanad-sanadnya untuk ringkasan. Wallahu a'lam.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...