RSS Feeds

Ahad, 31 Mei 2009

3) Dimanakah Allah?

Yang dimaksudkan dengan Istiwa' dalam bahasa arab ialah; Tinggi, Tetap (bersemayam), dan Naik, yang mana ianya sesuai dengan keagunganNYA. Apa yang menyebabkan segelintir ulama mentakwilkan sifat Istiwa ini (mereka takwilkan kepada Allah menguasai Arasyh) ialah; sangkaan mereka bahawa jika kita mengatakan Allah bersemayam dan tinggi maka hal yang demikian adalah MenTajsimkan Allah atau menyamakan Allah dengan makhluk atau Allah mengambil tempat. Sedangkan realitinya tidak begitu! Kerana apa? Kerana ahli sunnah mengatakan, yang SELAYAKNYA bagi Allah yang sudah barang pasti tidak sama dengan makhluk! Ahli Sunnah tidak pula mengatakan bahawa Allah bersemayam seperti bersemayamnya Sultan Perak di atas Takhtanya!



Saya coretkan pada beberapa hari yang lepas kata-kata ulama terzohor dalam masalah ini. Ulama Mazhab yang empat, Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Ahmad selain tokoh ulama hadis yang terkenal Abdullah bin Mubarak, Imam az-Zahabi dan juga tokoh ulama Zuhud yang masyhur iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Semua mereka menyatakan bahawa Allah bersemayam, Allah berada di tempat yang tinggi seperti yang termaktub dalam al-Quran dan hadis. Maka mari kita lihat lagi kata-kata Ulama Tafsir, Feqh dan Tauhid yang terang-terang membantah fahaman Allah wujud tanpa tempat ini seperti berikut;


قال أبو عبد الله القرطبي المالكي في التفسير

"فكل من قال إن الله بذاته في كل مكان فهو مخالف للكتاب والسنة وإجماع سلف الأمة وأئمتها مع مخالفته لما فطر الله عليه عباده ولصريح المعقول"

1) Imam Abu Abdillah al-Qurtubi al-Maliki (Wafat; 671 H) dalam Tafsirnya (Ahkamul Quran) mengatakan; "Maka semua yang berkata bahawa Allah dengan ZatNYA berada di semua tempat, maka dia telah menyalahi al-Quran, Sunnah dan Ijma' Salaful Ummah, berserta dengan itu mereka (yang mengingkari sifat tinggi) ini juga telah bersalahan dengan fitrahnya yang Allah telah berikan pada hambanya. Juga menyalahi akal yang jelas".



قال الإمام البغوي : قوله : ((ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ)): علا عليه .

2) Berkata Imam al-Banghowi (Wafat; 516 H): "FirmanNYA; ((Kemudian Allah bersemayam di atas Arasyh)) iaitu; Tinggi di atas Arasyh"



ونقل الحافظ ابن حجر عن ابن بطال رحمه الله تعالى قوله:

وأما تفسير استوى بعلا فهو صحيح ، وهو المذهب الحق وقول أهل السنة لأن الله سبحانه وصف نفسه بالعلي وقال : ?سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ?[النحل:1] وهي صفة من صفات الذات .

3) Ibnu Hajar al-Asqalani (Wafat; 852 H), menaqalkan daripada Ibnu Battol (Wafat 449 H); "Dan adapun tafsir Istiwa' (bersemayam) dengan Tinggi maka ia adalah benar, merupakan mazhab yang betul dan kata-kata Ahli Sunnah, kerana Allah telah menyifatkan DiriNYA dengan ketinggian. FirmanNya ((Maha suci Dia (Allah) dan Maha Tinggi terhadap apa-apa yang mereka sekutukan)), ianya merupakan satu sifat di antara sifat-sifat Zat". Lihat Fathul Bari 3/406.



قال الإمام موفَّق الدين ابن قدامة المقدسي رحمه الله بعد أن ذكر عددا من صفات الله تعالى الواردة في الأحاديث الصحيحة :

فهذا وما أشبهه مما صح سنده وعُدِّلت رواته ، نؤمن به ولا نرده ، ولا نجحده ، ولا نتأوله بتأويل يخالف ظاهره ، ولا نشبهه بصفات المخلوقين ، ولا بسِمات المُحْدَثين ، ونعلم أن الله سبحانه وتعالى لا شبيه له ولا نظير : ((لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ))

4) Berkata Ibnu Qudamah al-Maqdisi (Wafat; 620 H) [1] selepas beliau menyebutkan beberapa sifat Allah yang termaktub dalam hadis-hadis yang soheh; "Maka ini dan yang seumpamanya yang soheh sanadnya dan adil rawi-rawinya, kita beriman dengannya dan jangan kita tolak, engkar, dan jangan kita takwilkannya hingga menyalahi zahir Nas, dan jangan kita menyamakan Allah dengan sifat-sifat makhluk dan tidak juga menyamakan dengan tanda-tanda ahli bida'ah. Kita tahu bahawa Allah Ta'ala tidak yang serupa dengan Dia dan tiada persamaan. ((Dan Dia (Allah) tidak sama dengan sesuatupun dan Dia maha mendengar lagi maha melihat)). –Lihat Taisir Lum'ah I'tiqad.



وقال الأشعري أيضا في كتابه - الإبانة في أصول الديانة - في باب الاستواء فإن قال قائل ما تقولون في الاستواء قيل له نقول إن الله مستو على عرشه كما قال ((الرحمن على العرش استوى)).

5) Berkata Imam Abul Hasan al-Asa'ari dalam kitabnya (Ibanah Fi Usul al-Diyanah) bab istiwa' ; "Jika seseorang bertanya, apa yang kamu ahli sunnah katakan dalam masalah bersemayam? Maka dijawapkan kepadanya; " Sesungguhnya Allah bersemayam di atas ArasyhNYA sepertimana yang Allah sebut (Ar-Rahman bersemayam di atas Arasyh)).



Di sana terdapat kitab-kitab karangan Ulama Ahli Sunnah yang Muktabar yang membentangkan secara terperinci tentang sifat tinggi Allah dan sifat Istiwa (bersemayam). Antaranya ialah;

- "Al-Raddu Ala az-Zanadiqah Wal Jahmiyyah" karangan Imam Ahmad bin Hanbal (Wafat; 241 H).

- "Al-Raddu Alal Jahmiyyah" karangan Imam Abu Said ad-Darimi (Wafat; 280 H).

- "Al-Ibanah Fi Usul ad-Diyanah" karangan Imam Abul Hasan al-asya'ri (Wafat; 324 H).

- "Ar-Rad Alal Jahmiyyah" karangan Ibnu Mandah (Wafat; 395 H).

- "Isbat Sifat Ulu", karangan ibnu Qudamah al-Maqdisi (Wafat; 620 H).

- "Kitab al-Arays", karangan Imam az-Zahabi (Wafat; 749 H) .

- "Ijtima' Juyush Islamiyyah Ala Ghazwi Muatthilah Wal Jahmiyyah", karangan Ibnu Qayyim (Wafat; 751 H).



Jika ingin dicatatkan semua kata-kata ulama salaf dalam permasalahan ini, saya kira akan tertulislah satu jilid buku yang tebal dan ianya memerlukan masa untuk saudara-saudari semua membacanya dan saya akan letih untuk mencatatkannya. "Tapi bagi yang berakal dan beriman, maka sudah cukuplah dengan hanya satu ayat al-Quran itu sebagai bukti tanpa persoalan yang banyak". Apapun kita sambung permasalahan ini diwaktu dan kesempatan lain dalam nafas yang baru InsyAllah.



[1] Lihat "Lum'atul I'tiqad al-Hadi Ila Sabil al-Rasyad dengan syarah Syeikh Muhammad bin Soleh dan Tahqiq Abu Muhamad bin Abdul Maksud, Maktabah Tobariah.

1 comments:

Abu Aufa berkata...

satu penulisan yang mantap...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...