RSS Feeds

Khamis, 14 Mei 2009

"Jelmakan Ummah Yang Sederhana"

Dr. Aaidh Bin Abdullah al-Qarni

Penceramah yang boleh menyebabkan banjir. Ya, banjir dengan lautan manusia. Demikian juga suasana ceramah beliau malam tadi di Dewan Syarahan Perdana Universiti Islam Madinah yang bertajuk Ummah Yang Sederhana pada 15 / 05 / 1430 H bersamaan 10 / 05 / 2009 M. Masyarakat awam Madinah turut sama memeriahkan kehadiran selain golongan pensyarah dan penuntut ilmu yang telah berpusu-pusu memasuki dewan selepas solat Isya untuk menimba manfaat daripada penceramah yang didatangkan khas dari Riyadh ini. Siapa yang tidak kenal Dr. Aaidh Bin Abdullah al-Qarni? Penulis buku bestseller La Tahzan @ Don’t Be Sad @ Jangan Bersedih, yang khabarnya telah terjual melebihi dua juta naskhah dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia. Demikian juga As3ad Imra2atin Fil Alam @ You Can Be The Happiest Woman In The World @ Wanita Yang Paling Berbahagia Di Dunia, yang memperlihatkan kreativiti dalam penulisan dan penyampaian serta persembahan yang cukup menarik.

Sila layari: Dont Be Sad & You Can Be The Most Happiest Woman In The World

Juga layari: A Book About Happiness & As3ad Imra2ah Fil 3alam

Dr. Aaidh al-Qarni membicarakan sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan kalian ummah yang sederhana (mengikuti kebenaran).


Antara kandungan ceramah tersebut:

1. Kesederhanaan Ahli Sunnah dan Jamaah berbanding metodologi yang lain adalah seperti kesederhaan Islam berbanding agama-agama yang lain.


2. Dalam persoalan akidah, golongan ilmu dan iman adalah sederhana di antara golongan yang menafikan takdir dengan golongan yang berhujah dengan takdir dalam persoalan maksiat.


3. Golongan ilmu dan iman sederhana dalam pegangan terhadap keluarga dan keturunan RasululLah sollalLah alaihi wa sallam. Mereka sederhana di antara golongan yang mencerca dan memusuhi serta golongan yang taksub dan mengangkat keluarga baginda melebih para nabi.


4. Golongan ilmu dan iman sederhana dalam persoalan ibadah. Mereka tidak mengabaikan amalan-amalan sunat, zikrulLah, puasa-puasa sunat, membantu sesama muslim dan sebagainya. Mereka tidak pula melampau dalam ibadah sehingga meniru rahbaniah dan agama lain seperti Hindu. Panduan mereka adalah RasululLah sollalLah alaihi wa sallam yang makan dan puasa, solat dan tidur serta berkahwin dengan wanita (rujuk hadis yang masyhur).


5. Golongan ilmu dan iman bersikap sederhana dalam perkara-perkara harus dan kemewahan harta. Mereka tidak menghabiskan hidup dalam mengumpul kemewahan dan menjadi hamba kepada harta serta tidak berlebih-lebihan dan tenggelam dalam perkara-perkara harus. Mereka tidak juga menjauhkan diri dari harta dan nikmat dunia. Mereka memakai pakaian yang baik, makan makanan yang baik dan menggunakan harta untuk manfaat.


6. Golongan ilmu dan iman bersikap sederhana dalam soal taklid dan ijtihad. Mereka tidak taksub terhadap mazhab masing-masing sehingga membatalkan mazhab yang lain atau menjadikan kata-kata para imam mazhab sebagai kudus dan mengatasi hadis-hadis baginda sollalLah alaihi wa sallam. Mereka juga tidak membuka ijtihad secara melampau sehingga orang-orang yang tidak berilmu juga bercakap dalam soal agama sesuka hati mengikut pendapat diri sendiri. Para imam dan ulama adalah cahaya berpandu untuk memahami wahyu dan kita hendaklah mengikuti dan menghormati mereka. Kesilapan mereka tidak menjatuhkan kedudukan mereka berbanding jasa mereka yang sangat besar.


7. Golongan ilmu dan iman adalah sederhana dalam pendekatan. Tidak terlalu keras dan gopoh namun tidak pula terlalu lemah dan takut.


Sebagai penutup, Dr. Aaidh al-Qarni berpesan kepada semua hadirin tentang peri pentingnya akhlak yang mulia. Kebetulan juga ceramah beliau turut dihadiri oleh para tetamu dari pelbagai negara memandangkan pihak universiti turut menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan Alumni Universiti-Universiti Arab Saudi Seluruh Asia Kali Ke-3 yang akan bermula hari ini. Beliau menyeru para alumni dan penuntut ilmu seluruh alam supaya menghias diri dengan akhlak yang mulia kerana ia merupakan perkara yang sangat penting sehingga Allah mengingatkan nabi supaya menjiwai akhlak yang agung. Wujud sebahagian ulama yang tinggi ilmunya, kuat amalan sunatnya tetapi masyarakat terpisah dari ilmunya akibat sikap yang kasar, sentiasa merasa dirinya betul dan sukar memaparkan samahah (toleransi). Seorang penuntut ilmu mestilah menzahirkan akhlak yang mulia sebagai salah satu jalan menyampaikan Islam.


Catatan ringkas oleh:

Penuntut Ilmu, University Islam Madinah.


"Perjalanan ilmu itu adalah tiga jengkal. Apabila seseorang memasuki jengkal yang pertama, maka dia mudah menyombong diri. Apabila dia memasuki jengkal yang kedua, maka dia mudah merendah diri. Apabila dia memasuki jengkal yang ketiga, maka dia akan menghayati bahawa lautan ilmu ini sesungguhnya tidak bertepi". – Ubahsuai dari pedoman cendekiawan silam.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...