Mutakhir ini seringkali kita mendengar kritikan demi kritikan terhadap Mufti kerajaan Negeri Perak. Kritikan-kritikan ini timbul apabila beliau mula menyuarakan pandangannya terhadap isu derhaka MB Nizar terhadap sultan, isu orang bukan islam membaca al-Quran dan yang terakhir kritikannya berkait mengasihi orang-orang bukan islam (kafir).
Ramai yang emosi dan menghentam habis-habisan disebabkan kesan politik daripada ucapannya. Ramai yang akhirnya sanggup menghina selepas beberapa ketika dahulu menyanjung kerana kritikannya terhadap beberapa isu melibatkan kerajaan. Kerusi Mufti Perak ini kelihatnnya panas seperti panasnya Dun negeri Perak dan politik tempoyak yang masih berlanjutan walaupun pada 22 Mei lalu Mahkamah rayuan telah membuat keputusan.
Jangan begitu menjadi muslim yang Ahli Sunnah, kerana perlu adil dan insaf dalam setiap perkara. Apapun kritikan yang tertulis, beliau masih lagi Mufti Perak yang sah! Saya mengenali beliau agak dekat hampir setahun apabila menjadi jirannya ketika belajar di Ma'ahad Tahfiz Negeri Perak. Saya hadir kuliah mingguannya dan saya tidak lihat beliau cenderong ke arah politik, saya tidak pastilah jika akhir-akhir ini beliau berubah. Yang pasti beliau seorang yang agak patriotic.
Kenyataan Mufti Perak ini ada asasnya. kita jangan terlalu emosi dengan dengan kaitan politik beliau (jika wujud @ memang wujud). Kenyataannya adalah benar jika beliau bermaksud dalam kasih sayang itu adalah ((MAHABBAH DINIYYAH)). Yang membawa maksud mencintai dan mengasihi orang-orang kafir dalam agama dan kesesatannya! Itu memang dilarang. dalam surah Mumtahanah ayat 1 Allah berfirman yang bermaksud:
((Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu)).
Maksud Mahabbah ialah (kasih sayang, cinta dan mengasihi), harus difahami bahawa jika kita tidak bersetuju dengan pendirian seseorang maka janganlah hendaknya kita menolak semua yang datang daripadanya walaupun ianya benar. Perkara yang benar itu tetap benar sekalipun ianya datang daripada orang kafir.
Tinggal lagi yang menjadi persoalan, adakah benar bahawa tindakan beberapa Muslimat PAS itu termasuk dalam berkasih sayang kerana agama? Ataupun strategi dakwah? Tidak semua pelukan membawa maksud MAHABBAH DINIYYAH!! Jika pelukan itu atas dasar keagamaan (Mahabbah Diniyyah) maka Muslimat PAS yang terlibat wajib bertaubat! Contohnya, seorang lelaki muslim yang memeluk ibunya yang masih kafir, itu tidak bermakna dia punyai Mahabbah keagamaan yang mengatasi Mahabbah dan cintanya ke atas orang-orang islam. Tetapi jika si muslim sanggup menuruti arahan ibubapanya yang kafir untuk melakukan dosa dan kekufuran maka disitu sudah termasuk dalam Mahabbah Diniyyah.
Bukankah Nabi mencintai pakciknya (Abu Tolib)?
Allah telah menurunkan ayat menyatakan cinta Nabi ini kepada Abu Tolib,
{ إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ }
Bermaksud: ((Sesungguhnya engkau hai Muhammad tidak manguasai hidayah sehingga kau memberikannya pada orang yang kamu sukai atau cintai)).
Samada yang dicintai Nabi itu saudara maranya mahupun pakciknya sendiri. Yang dimaksudkan dengan Mahabbah disini adalah cinta biasa yang ada pada manusia (tabiat) bukanlah cinta keagamaan yang diharamkan terhadap orang-orang musyrik. Kerana Allah berfirman dalam surah Mujadilah ayat 22;
(( لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبائهم أو أبنائهم أو إخوانهم أو عشيرتهم))
Bermaksud: ((Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka))
Justeru Mahabbah diniyyah adalah diharamkan! Adapun sayang dan kasih biasa kepada orang kafir yang menjadi tabiat manusia itu tidak termasuk dalam urusan keagamaan. Tetapi ianya merupakan kemanusian. Sebab itu, adalah suatu perkara yang tabie' jika seorang anak yang telah islam tetap mengasihi dan mencintai ibubapanya yang masih kafir atas dasar kemanusiaan ataupun tabiat insaniah bukan atas dasar agama. Wallahu a'lam.
Sila rujuk masalah Mahabbah ini dalam kitab (I'anah al-Mustafid bi Syarhi Kitabut at-Tauhid) karangan al-Allamah Syeikh Soleh al-Fauzan, anggota majlis ulama besar Arab Saudi.
0 comments:
Catat Ulasan