RSS Feeds

Khamis, 4 Jun 2009

Apabila Allah Di Merata-Rata Tempat

(أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ )

Yang bermaksud; "Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu[1] dan Allah Telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?" Al-Jaathiyah; 23.


Dalam penjelasan yang lepas telah dibawakan Nas-nas wahyu al-Quran dan hadis. Pun begitu masih banyak lagi dalil yang tidak disertakan untuk mengelakkan artikel menjadi terlalu panjang. Disertakan juga kata-kata ulama salaf dan pegangan mereka serta tentangan mereka kepada pandangan Jahmiyyah (menafikan semua Asma' Allah dan Sifat), Muktazilah dan Khawarij (menafikan semua sifat-sifat Allah kecuali wujud) ini.


Akal seorang muslim yang sempurna ialah yang sentiasa menepati tuntutan Wahyain (al-Kitab dan as-Sunnah) menurut fahaman Sahabat, Tabi'en, Tabi' Tabi'en dan yang selepas mereka sehingga datangnya hari pembalasan. Kali ini mari kita bincangkan kesan daripada kata-kata (Allah berada di semua tempat). Saya ringkaskan seperti berikut;

1) Allah berada di semua tempat samalah seperti Allah berada di mana-mana, maka ini membawa maksud Allah itu bukan satu mahupun esa. Tetapi faham daripada pegangan ini ialah; Allah ada terlalu banyak dan tidak terbilang. Di langit, dibumi, di cakarawala, di awan dan sebagainya. Maha suci Allah daripada perkara ini! Ini adalah metod dan kepercayaan dalam Falsafah terawal Yunani seperti Ayuniyyah dan Pythagoras dalam teori mereka (al-a'dad wal kathrah) berbilang-bilang dan banyak.

2) Akidah dan kepercayaan Allah di mana-mana juga membawa maksud, Allah akan berada di dalam kuil, di restoran, di tandas awam, di dalam bilik dan di merata-rata tempat!! Subhanallah!! Manusia biasapun tidak mahu jika berada di tempat-tempat yang kotor, bagaimana kita mampu mengatakan Allah dimana-mana? Sanggupkah anda mengatakan Allah berada ditempat-tempat najis? Jika tidak (itulah sewajibnya) maka ianya sudah bertentangan dengan apa yang anda pegang bahawa Allah berada dimana-mana! Maka dengan itu bertentanganlah kata-kata anda, lantas kita tahu bahawa pegangan itu adalah salah!

3) Allah di mana-mana memberi ruang kepada akidah al-Hulul (Allah meresap @ bersatu ke dalam jisim mana-mana makhluk)! Ini (al-Hulul) adalah akidah sesat yang dipertahankan oleh Nasrani (kristian) bahawa Lahut (Allah) bersatu dengan Nasut (Isa alaihissalam). Seterusnya dikalangan orang islam yang mempopularkannya ialah al-Khallaj[2] yang mati di bunuh dalam keadaan murtad dan kafir. Rentetan daripada akidah Allah berada di mana-mana dia berkata (dalam jubah aku ini ada Allah)!!

4) Allah berada dimana-mana, bertentangan dengan Nas-nas Wahyu yang amat banyak. Ianya adalah akidah Jaham bin Sofwan (al-Jahmiyyah) dan Muktazilah yang ditentang habis-habisan oleh Ulama Ahli Sunnah. Kerana secara langsung akidah ini menafikan banyak sifat-sifat Allah dalam al-Quran dan hadis.

5) Allah berada dimana-mana tempat adalah tidak bersandar kepada Hujjah al-Quran, Sunnah mahupun akal. Hujah-hujah yang diambil bukanlah menyokong mereka tetapi menghentam mereka sendiri. Sebagai contoh ayat yang digunakan; ((Dia (Allah) tidak ada persamaan dan Dia maha mendengar lagi maha melihat)). Memang Allah tidak sama seperti makhluk dalam semua perkara! Ini yang wajib dipegang! Adakah Allah maha mendengar dan melihat sama seperti makhluk? Sama seperti penglihatan dan pendengaran binatang, Jin dan Malaikat? Tentu tidak! Justeru, kenapa kita tidak boleh katakan bahawa Allah ZatNYA berada di tempat yang tinggi dan bersemayam tidak sama seperti makhluk? Sedangkan Allah dan Rasul yang menyatakannya?

6) Mereka cuba untuk Tanzih (mensucikan) Allah daripada Tasybih (menyamakan) tetapi mereka juga telah jatuh dalam Tasybih iaitu menganggap dan menyangka bahawa sifat Uluw (tinggi), Istiwa', Nuzul (turun) dan lain-lain sifat yang di engkari itu adalah seperti sifat-sifat makhluk! Sedangkan hakikatnya sangat berbeza. Seperti kita beriman bahawa Allah maha melihat, mendengar, berilmu, penyayang, pengasih, pemurah dan sebagainya yang ianya tidak sama dengan mana-mana makhluk maka begitulah kita beriman dengan sifat-sifat yang dinafikan oleh mereka itu!

7) Mereka cuba Tanzih (mensucikan) Allah tetapi sebenarnya mereka telah jatuh dalam Ta'thil (membatalkan sifat-sifat Allah)! Bahkan mereka tidak lagi mensucikan Allah apabila meletakkan Allah pada sesuatu kedudukan yang tidak selayaknya bagi Allah! Oh, seorang Raja mahu Tahktanya berada ditempat yang tinggi kenapa Allah tidak? Kamu tentukan Allah mengikut sesuka hati kamu? Kamu suruh Allah ikut seperti apa yang kamu sebut? A'uzubillah, maha suci Allah terhadap apa yang mereka nyatakan!

8) Pegangan Sahabat, Tabi'en dan Salafus Soleh dalam masalah sifat ini ialah, biarkan ianya seperti zahir tanpa ditanya bagaimana? Seperti dinyatakan oleh Imam Abdullah bin Mubarak (Wafat 181 H). Jangan ditanya macamana Allah bersemayam? Bengonglah orang yang bertanya kerana semua kita tidak pernah melihat Tuhan! Ikut sahaja Nas-nas yang ada maka kamu selamat.

9) Sebab itu Imam Malik berkata; "Istiwa' itu diketahui (iaitu diketahui maknanya @ maksud istiwa' itu), dan bagaimana (Kaifiyah @ cara Allah bersemayam) itu adalah tidak diketahui, beriman dengan sifat bersemayam ini adalah wajib, dan menyoal tentang bagaimana cara Allah Istiwa' adalah Bida'ah!".

10) Kesimpulannya ialah; Allah berada di atas langit dan ArasyhNYA. Seperti yang dinyatakan oleh Allah tentang Zatnya (DiriNYA). Adapun yang berada dimana-mana ialah ilmuNYA. Kerana itu jangan anda terkeliru dalam memahami masalah sifat-sifat Zatiyyah ini (seperti Wujud, Uluw dan Istiwa'). Faham sahaja bahawa semua sifat-sifat Allah yang wujud dalam al-Quran dan Sunnah ini (Mukhalafah Lil hawadis) iaitu bertentangan dengan semua perkara yang baru (makhluk)! Semoga kita dikurniakan akal dan Taufiq pada jalan yang lurus. Amin. Wallahu a'lam.



[1] Maksudnya Tuhan membiarkan orang itu sesat, Karena Allah Telah mengetahui bahwa dia tidak menerima petunjuk-petunjuk yang diberikan kepadanya.

[2] Lelaki laknat Zindik ini bernama Husin bin Mansur abu Mughith al-Farsi al-Baidhowi as-Sufi. Mencipta kesesatan yang amat banyak, mengamalkan sihir dan menipu manusia dengan perkara-perkara luar biasa daripada sihirnya, mula mengaku sebagai nabi dan akhirnya mengaku sebagai Allah! Di bunuh pada 309 Hijrah oleh khalifah. Sila lihat kisah yang panjang ini dalam Syiar A'lam an-Nubala li az-Zahabi.



4 comments:

DAKWAH YEOP berkata...

fadzil "takat awk bawa dalil al-quran sahaja yahudi kalau bab kaji al-quran kita pun kala"..ini adalah pengakuan anda bahawa Yahudi lebih alim daripda anda dalam tafsir,,akan tetapi sy yakin bahawa ulama islam itu lebih alim daripda seluruh Yahudi yg wujud dan semua org kafir!

fadzil: "kalau awk ni pakar sangat cuba bagi tahu macam mana dalil akal kat alam semesta ni menunjukkan kita bergerak dgn allah tanpa di sentuh zatnya"..dalilnya jelas,,semua gerakan makhluk dibumi,angin,air,taufan,gempa bumi,dan pertukaran langit dan malam menunjukkan semua makhluk2 ini bergerak tanpa zat Allah bergerak sama..berikan dalil akal yg menunjukkan akal anda ini wujud! sehingga cuba menyatakan bahawa Allah mesti bersekutu dalam setiap gerakan makhluk?

bukankah setiap makhluk itu diberikan kuasa dan power dengan kadarnya? perlu apa Allah bercantum utk menggerakkan setiap gerakan itu? pastikan otak anda tidak dilalutkan dgn persoalan yg tdk ada asas ini. saya masih bersangka baik pada fadhil, semoga Allah memberi hidayah pada semua.

soalan yg sepatutnya di ajukan ialah; mana dalil yg membuktikan bahwa Allah zatnya bergerak sama dgn setiap gerakan makhluk? samada dalil naqli mahupun akli? jawapannya tidak ada! jadi terbukti bahawa Allah tdk bersekutu dgn makhluk2nya utk menggerakkan mereka..bahkan malaikat,angin dan sebagainya itu adalah junud (tentera) allah yg diberikan kuasa olehNYA utk melakukan setiap gerakan..sekian jika anda mahu faham dan berfikir!

Tanpa Nama berkata...

Salam,,terima kasih kpd Tuan blog yang bersusah payah memberi penjelasan menarik,,semoga semakin ramai mendapat hidayah dan petunjuk Ilahi, insyaallah...

..::بشرى::.. berkata...

tak brp phm soalan fadzil tu

ummu.harari@yahoo.com berkata...

penjelasan mantap..tidak terhitung ganjaran disisi allah buat ust2 madinah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...