RSS Feeds

Selasa, 1 Disember 2009

Catatan Haji 1430H


"Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, LaiLaha Illallahu Wallu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd". Itulah lafaz yang keluar dari lisan semua jemaah haji termasuk saya selepas selesai melontar Jamrah Aqabah pada hari jumaat 10 Zulhijjah. Al-hamdulillah segalanya dipermudahkan oleh Allah. Terima kasih kepada dermawan yang memberi tajaan haji, khas kepada pelajar-pelajar baru Jamiah Malik Saud. Terima kasih kepada Idarah Minhah yang diketuai oleh Dr Abdullah, Dr Saud, Dr Soleh dan lain-lain lagi yang menjadi pembimbing. Al-hamdulillah ini merupakan haji kelapan yang saya telah laksanakan. Semoga rombongan kami dikurniakan haji yang mabrur. Amin.


Kami bergerak daripada Riyadh pada hari Selasa 24 NOV 2009 ke Mekah. Berihram di Qarnul manazil (miqat bagi ahli Najd). Di dalam bas bermacam-macam program diadakan sementara kami meredah perjalanan sejauh 900 KM itu. Antara yang menarik ialah persembahan beberapa individu daripada pelajar master Yaman, Senegal, dan Gambia. Saya satu-satunya pelajar Malaysia juga dipaksa memberikan apa-apa musyarakah. Al-hamdulillah saya menerima sebuah jam tangan buatan Jepun yang saya kira ratusan riyal harganya sebagai hadiah, demikian juga beberapa pelajar yang memberikan persembahan menarik berbentuk syair, nasyid, ucapan, qasidah dan lain-lain lagi.


Gurauan yang menjadi kenyataan;

Saya duduk disebelah teman bernama Umar Basykil pelajar Yaman yang sedang mengambil master Qism Feqh Wal Usul. Kami semua cuba menjawab beberapa helain soalan haji yang menawarkan hadiah handset bagi pemenang pertama, jam tangan al-Fajr bagi tempat kedua dan jam loceng al-Fajr bagi tempat ketiga. Sambil mengisi jawapan dalam perjalanan itu, saya berkata kepada Umar; "Aku akan menjadi pemenang yang pertama sementara kamu menjadi pemenang kedua?" Umar membalas dengan senyuman; "Kenapa bukan aku yang pertama dan kamu pula yang kedua?" Saya jawab kembali; "Biarkan sahaja aku menjadi pemenang pertama sementara kamu pemenang kedua". Kami yang berjumlah 48 orang menghantar kertas jawapan kepada ketua di dalam bas.


Rupa-rupanya gurauan kami berdua menjadi menjadi kenyataan. Ya Subhanallah, saya teringat pula kisah 4 Orang bersahabat dikalangan Tabien ketika mereka masing-masing menyatakan cita-cita mereka dihadapan Ka'abah al-Musyarrafah. Insyaallah kisah mereka ini akan saya coretkan pada ruangan yang lain jika ada kesempatan. Semoga doa-doa yang saya pohon ditempat-tempat mustajab dalam keadaan saya sebagai salah seorang jemaah haji mendapat perkenanNYA.


Sampai ke Mekah;

Rombongan kami terus menuju ke Mina tatkala hampir-hampir subuh 8 Zulhijjah. Buat pertama kalinya saya tidak menunaikan Tawaf Qudum kerana sebab-sebab tertentu. Petangnya pula hujan turun dengan agak lebat, kami dipindahkan dari khemah Mina ke satu dewan istirohah besar yang menampung 1500 jemaah haji. Kami tidur di sana sehinggalah pagi. Rupa-rupanya pada 8 Zulhijjah hari Rabu, banjir besar melanda Jedah dengan 110 mangsa kematian dicatatkan sementara 11000 orang hilang! Mujurlah banjir & hujan terlalu lebat itu tidak berlaku di Mina, jika tidak mangsanya pasti lebih besar! Allahul musta'an. Tepat pukul 11 pagi kami bertolak ke Arafah dan memasuki bumi Arafah ketika Mufti besar Arab Saudi sedang menyampaikan khutbah Arafah. Kami menunaikan solat zohor dan asar secara qasor dan jamak taqdim dikhemah bersama imam kami. Selepas itu masing-masing berdoa dan mengambil peluang berwukuf memohon keampunan dan berzikir sehinggalah manghrib. Saya memberi sedikit nasihat kepada anak-anak buah yang berada dalam kumpulan saya yang jumlah mereka 12 orang itu. 4 pelajar dari Indonesia, 2 dari Thailand, 2 dari Kemboja dan 4 dari China. Mereka memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang kami menunaikan manasik haji.


Bergerak ke Muzdalifah;

Kami bergerak 1km selepas masuk waktu maghrib untuk menaiki bas yang akan membawa kami ke Muzdalifah. Mangrib pada pukul 5.30 petang dan kami tiba di Muzdalifah pada pukul 8.30 malam. Jutaan manusia dan kesesakan lalu lintas hanya dapat dibayangkan oleh mereka yang pernah melaluinya. Al-hamdulillah kami mendapat tempat yang agak selesa lantas menunaikan solat manghrib dan isya' secara jamak ta'khir dan qasor isya'. Malam itu kami hanya menjamah roti, tamar dan jus kemudian kami tidur beralaskan tikar dan berbumbungkan langit. Mujur cuaca amat baik dan sederhana.


10 Zulhijjah Hari Raya & Jamrah Aqabah:

Pagi itu selepas menunaikan solat subuh, berzikir, berdoa sehinggalah kelam subuh agak menipis, kami berkemas dan memasuki bas. Bas bergerak perlahan mengharung sesak manusia dan kenderaan. Akhirnya kami mengambil keputusan berjalan kaki menuju ke perkhemah kami di Mina yang berhampiran hospital jisr Mina. Hari itu hari Jumaat, saya menyarankan kepada kumpulan saya untuk berehat sahaja di Mina selepas kami melontar jamrah. Kami solat zohor & asar secara qasor pada waktunya tanpa jama'. Sebahagian pelajar yang lain terus menuju ke Mekah untuk melakukan Tawaf Ifadhoh (haji) selepas melontar Jamrah Aqabah. Setelah mencukur rambut, masing-masing kami memakai pakaian menggantikan kain ihram. Makanan dan minuman di khemah tersangatlah mewah dan lebih daripada cukup. Itulah kelebihan travel arab yang bayarannya juga agak mahal. Saya difahamkan bahawa Travel Azan mengutip bayaran SR3900 dari setiap jemaah. Semuanya hanyalah bermula dari dalam bas sehingga ke Mina, Arafah, Muzdalifah dan Mina pada 10, 11 & 12 Zulhijjah kemudian balik ke Riyadh. Ini bermakna penderma yang menyumbang kepada kami telah membayar sebanyak SR 351,000.00 bagi 90 orang pelajar termasuk 4 orang pembimbing. Semoga Allah memberkati hartanya dan memberikan kebahagian dunia dan akhirat.


Tawaf Ifadhoh & Saie;

Saya mengikuti program menarik dikhemah selepas isya'. Tanpa sempat saya tidur, saya bersama 12 anak-anak buah bergerak menuju ke Masjidil Haram pada pukul 1 pagi Setelah bermabit sekitar 7 jam lebih. Bayaran kereta ke Mekah malam itu agak murah dengan hanya SR20 setiap orang. Kami memulakan tawaf di tingkat satu pada pukul 2 pagi dan selesai saie pada pukul 4.30 pagi. Al-hamdulillah tidaklah terlalu sesak walaupun tempat tawaf dipenuhi jemaah. Menunggu sehingga masuk waktu subuh dan menunaikan solat subuh bersama imam baru Masjidil Haram ; Syeikh Dr Abdullah Awwad al-Juhani. Kami mendapatkan teksi dan pulang ke Mina. Dengan itu selesailah sudah segala rukun-rukun haji, kami sudahpun berTahalul Thani (2). Sampai di Mina kami bersarapan dan tidur.


11 Zulhijjah (Yaum Qarr);

Baru 2 jam tidur kami dikejutkan oleh musyrif bagi mengikuti program yang disusun. Pagi itu seorang syiekh jemputan (Dr Abdullah As-Sehly) menyampaikan kuliahnya sehingga zohor. Makan nasi kambing tengahari itu, selepas solat zohor secara Qasor. Berehat seketika sehingga asar. Selesai solat Dr Saud memanggil saya dan ketua-ketua kumpulan yang lain berbincang tentang projek membantu jemaah. Membeli minuman dan makanan @ apa-apa yang memberi manfaat kepada jemaah haji. Selesai kami melontar jamrah ula, wusto dan aqabah kami bertemu berhampiran dengan masjid Syeikh Abdul Aziz bin Bazz lebih kurang 1.5 KM dari jamrah. Dr saud memberikan saya SR2000 untuk tujuan yang telah dibincangkan. Saya membawa kumpulan saya berjalan kaki menuju ke Muaisem. Sehinggalah 11 malam barulah kami pulang ke khemah. Urat kaki kejang, tapak kaki rasa bengkak dan sakit-sakit. Saya lihat beberapa pelajar Indonesia yang bersama saya terkengkang-kengkang langkahnya. Saya kira tidak kurang dari 14 kilometer kami berjalan kaki petang itu sahaja sehinggalah kami pulang. Sekitar jam 12.30am saya tidur lena sehingga dikejutkan pada pukul 4.50 pagi. Kami solat subuh berjemaah dan selesailah mabit kami pada sabtu malam ahad 28 NOV, al-hamdulillah.

Gunawan, Umar, penulis & Taufik di Mina


12 Zulhijjah (hari Nafar Awal);

Pagi itu saya memasuki pertandingan Musaqah hifzul Quran dan Matan Arbain Imam Nawawi. Sekitar 10 pelajar mendaftar diri dalam musaqah hifzul Quran dan 20 peserta dalam Matan Arbain. Setelah itu semua pelajar bersarapan dan berehat. Jam 10 pagi Syeikh Abdullah memberi taklimat kerangka untuk kami keluar melontar jamarat dan Tawaf Wida'. Seterusnya penyampaian hadiah bagi semua pertandingan dan aktiviti yang dijalankan sepanjang rehlah haji kami. Saya diumumkan sebagai pemenang bagi pertandingan menjawab soalan-soalan haji, Umar tempat kedua, tempat ketiga pelajar dari Afrika. Sementara hifzul Quran, Munir pelajar master dari Yaman menjadi johan, saya tempat kedua dan pelajar dari Somalia tempat ketiga. Adapun musabaqah hadis saya sekadar mendapat tempat terakhir (kelima) dan kad kredit mobily SR10 saya terima.


Hadiah-hadiah yang saya terima menjadi kenangan istimewa walaupun bagi setengah orang ia bukanlah terlalu mahal nilainya. Saya membawa H/P Nokia 1680, jam tangan al-Fajr (hadiah hifzul Quran) dan kad kredit SR10. Teman-teman mengucapkan tahniah dan saya hanya tersenyum syukur.


Keluar dari Mina ke Mekah;

Selepas berjalan kaki sekitar 1jam kerana sesak, kami sampai ke Jamarat selepas 10 minit azan zohor. Saya bersama anak-anak buah melontar di tingkat 2. Kemudian pulang ke khemah untuk solat zohor dan makan. Selesai makan terus memasuki bas dan bas bergerak perlahan pukul 2.30pm. Ketika bas menghampiri masjid Khif, azan asar berkumandang tetapi kami tidak turun kerana suasana diluar terlalu sesak. Kami benar-benar keluar dari sempadan Mina pada jam 4.40pm. kami turun secara berperingkat-peringkat untuk menunaikan solat di tepi jalan memandangkan bas tersekat dalam kesesakan dan waktu manghrib hanya berbaki 30 minit sahaja lagi.


Tepat waktu isya' barulah kami dapat memasuki Masjidil Haram, itupun setelah jemaah selesai solat. Saya hanya bersama akh Hizam dari Yaman, solat mangrib dan isya' jamak ta'khir. Kemudian memulakan Tawaf Widak di tingkat 3 bersama ribuan manusia yang bersesak-sesak. Sekitar 90 minit barulah kami selesai tawaf dan terus menuju mencari bas ditempat yang dijanjikan. Berjalan kaki meredah terowong Ajyad yang saya sekitar 2.5km. Allahu Akbar, semoga langkah-langkah kami ini menggugurkan dosa dan meningkat darjat di sisi Allah.


Keluar dari Mekah;

Sekitar 1 pagi, barulah semua jemaah sempurna duduk di tempat masing-masing dan bas bergerak keluar dari Mekah menuju ke Riyadh. Semua keletihan dan mengadu sakit kaki. Semua kami terlena didalam bas sehinggalah subuh tanpa makan malam. Berhenti rehat solat subuh & makan di Humayyat 400km dari Mekah, cuaca terlalu sejuk! Kami meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke destinasi (Jamiah Malik Saud). Al-hamdulillah, walaupun sekarang saya dan beberapa rakan demam tetapi kami selesai menunaikan ibadah haji tahun ini dan selamat sampai ke Jamiah Malik Saud untuk meneruskan rutin harian sebagai seorang pelajar. Al-hamdulillah Ala Niamihi, Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam.


2 comments:

Tanpa Nama berkata...

Dah lama agak, mike ni memang dah bertaraf wali qutub...cuma belum kawin jer...kalau kawin mesti tinggi lagi martabat kewalian mike !

Unknown berkata...

Terima kasih diatas perkongsian yang sangat berguna ini ustaz. pengalaman yang ilmiah dan tarbiyah, terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...