RSS Feeds

Isnin, 19 Januari 2009

Hasad Dengki Penyakit Hati

Perasaan marah jika disimpan lama maka ianya amat sukar untuk disembuhkan yang akhirnya akan terpendam lantas menghasilkan rasa dendam. Tanda-tanda itu dapat dikesan apabila individu itu berterusan membenci dan menjauhi orang tersebut. Hasad dengki adalah kesan daripada dendam. Daripada az-Zubair telah bersabda Nabi: "Telah merebak kepada kamu semua penyakit umat-umat yang sebelum kamu iaitu; hasad dan kebencian". Dalam Sohehain Nabi bersabda; "Janganlah kamu saling berbencian, janganlah saling memutuskan persaudaraan, janganlah saling memalingkan muka, jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara." Dalam hadis yang lain Nabi berkata; "Sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebaikan-kebaikan sepertimana api yang memakan (membakar) kayu api."


Disebutkan dalam hadis tentang punca yang menyebabkan seseorang itu memasuki Syurga Allah, sabda Nabi bermaksud; "Akan muncul kepada kamu daripada kaki bukit ini seorang lelaki yang merupakan antara penghuni Syurga, maka muncullah seorang lelaki lantas lelaki itu ditanya tentang amalannya lalu lelaki itu berkata; sesungguhnya aku tidak dapati dalam diri aku ini pembohongan dan juga hasad dengki terhadap kaum muslimin yang dikurniakan kebaikan daripada Allah."


Imam Ibnu Sirin berkata; 'Aku tidak dengki dengan seseorang keatas sesuatu yang berkaitan dengan dunia, kerana jika dia dikalangan ahli Syurga maka bagaimana aku dengki terhadapnya sedangkan ianya berkaitan dengan urusan dunia dan dia sedang menuju ke Syurga. Jika dia dikalangan ahli Neraka maka bagaimana aku dengki terhadapnya sedangkan ianya berkaitan dengan urusan dunia lantas dia sedang melalui jalan ke Neraka. Iblis telah berkata kepada Nuh alaihissalam, janganlah kamu sesekali berhasad dengki sesungguhnya ianya telah menjadikan aku seperti sekarang ini."


Perbezaan antara Hasad dan Ghibtoh;

Hasad ialah; kamu membenci nikmat yang di anugerahkan kepada saudara kamu dan kamu suka jika nikmat itu hilang daripadanya.

Ghibtoh ialah; kamu tidak membenci kewujudan nikmat yang ada pada saudara kamu dan kamu tidak suka jika nikmat itu hilang daripadanya akan tetapi kamu menyukai jika nikmat yang sama kamu perolehi untuk diri kamu.


Bagaimana mengubati penyakit hasad dengki?

Kadang-kadang ubat yang menghilangkan penyakit ini ialah dengan sifat redho dengan qodho, kadang-kadang ianya dapat dihilangkan dengan sifat zuhud dengan kehidupan dunia, kadang kala ianya dapat dihilangkan dengan kita melihat kepada nikmat tersebut yang biasanya termasuk dalam perkara yang merunsingkan dan akan dihisab di akhirat. Maka akan tawarlah hati kita dan meninggalkan bisikan-bisikan hati yang jahat itu.


Adapun sikap suka bersaing untuk mendapatkan kebaikan dengan cara yang menepati syarak maka ini adalah perbuatan yang terpuji khususnya jika untuk merebut ganjaran yang disediakan oleh allah. Allah telah berkata; " Dan pada yang demikian maka saling bersainglah orang yang berlumba-lumba) al-Mutoffifin ayat 26.


Dalam Sohehain Nabi telah berkata; "Tiada hasad dengki kecuali dalam dua perkara; "Seorang lelaki yang Allah berikan padanya al-Quran (menghafaz) maka dia bangun pada waktu malam dan siang hari. Dan juga seorang lelaki yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan dan lelaki itu menginfaqkannya di jalan yang baik siang dan malam."


Faktor yang membawa kepada hasad dengki;

1) Permusuhan

2) Takabbur

3) Sifat ujub ataupun banggga diri

4) Cintakan pangkat dan kedudukan

5) Jiwa yang kotor

6) Benci membenci

Semoga penjelasan ringkas ini dapat menghindarkan kita daripada sifat yang keji ini yang mana kesannya ialah menjadikan umat islam tidak berdaya maju, berada di takuk yang lama tanpa ada perubahan dari semua aspek kehidupan. Lihatlah bagaimana lemahnya umat islam dari sudut ekonominya sebagai salah satu contoh yang paling mudah. Ingatlah kemaksiatan pertama yang dilakukan oleh makhluk adalah hasad dengki yang akhirnya menjadikan iblis itu angkuh dan sombong lantas dilaknat oleh Allah sehingga hari kiamat. Wallahu a'lam.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...