Ramai orang beranggapan bahawa kahwin dengan sepupu boleh menyebabkan lahir anak-anak yang bebal, rumahtangga akan bermasalah, hubungan kekeluargaan akan tercalar dan lain-lain lagi persepsi buruk. Adakah terdapat bukti kepada pendapat-pendapat ini? Ataukah sekadar mahu mengelakkan keretakan hubungan kekeluargaan jika ditakdirkan berlaku perceraian?
Satu perkara yang dikhuwatiri ialah; kita mendapat dosa dengan sebab kita mendahului takdir dan menghukum kepada sesuatu perkara yang ghaib. Apa yang pasti sepupu perempuan adakah mereka yang halal dikahwini tanpa ada keraguan. Allah menjelaskan dalam surah an-Nisa ayat 23 bahawa mereka yang haram dinikahi adalah 7 golongan daripada nasab;
1) Ibu-ibu kandung
2) Anak perempuan kandung
3) Adik beradik kandung
4) Makcik-makcik sebelah ayah
5) Makcik-makcik sebelah ibu
6) Anak-anak perempuan adik@kakak kandung
7) Anak-anak perempuan adik@abang kandung.
Mereka yang diharamkan dengan sebab perkahwinan dan juga dengan sebab susuan, mereka adalah;
1) Ibu susuan.
2) Wanita sesusuan.
3) Ibu-ibu kepada si isteri.
4) Rabaib (anak-anak tiri).
5) Isteri kepada anak lelaki (menantu perempuan).
6) Menghimpunkan 2 adik beradik kepada si isteri dalam satu masa.
7) Isteri-isteri yang dinikahi oleh ayah.
8) Menghimpunkan antara si isteri dan makcik kepada si isteri. Imam Thohawi berkata; "Semua yang disebutkan adalah hukuman yang telah tetap pengharamannya tanpa khilaf menurut Ijma ulama".
Sepanjang pengetahuan saya, kahwin sepupu adalah adat kebiasaan yang berlaku dikebanyakkan masyarakat arab khasnya di Arab Saudi. Ini merupakan tradisi dan kebiasaan mereka sehinggalah ke zaman ini. Demikianlah Nabi Muhammad juga telah berkahwin dengan Zainab binti Jahsyin yang merupakan anak kepada makcik baginda sebelah ayah. Telah datang nas daripada al-Quran mengenai hal ini dalam surah Ahzab ayat 50:
((يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللَّاتِي آَتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالَاتِكَ اللَّاتِي هَاجَرْنَ مَعَكَ وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً إِنْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ....))
Yang bermaksud: ((Wahai Nabi sesungguhnya kami telah halalkan kepadamu isteri-isterimu yang kamu berikan maharnya, dan kami halalkan wanita-wanita yang kamu miliki daripada apa yang Allah anugerahkan keatasmu, begitu juga dengan anak-anak perempuan pakcikmu dan makcikmu sebelah ayah, anak-anak perempuan pakcikmu dan makcikmu sebelah ibu yang mereka itu berhijrah bersamamu, serta wanita mukminah yang menghadiahkan dirinya untuk Nabi…))
Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya: "Maka ini adalah suatu keadilan dan kesederhanaan diantara yang terlalu melampau dan yang terlalu ambil mudah, sesungguhnya golongan nasrani tidak mengahwini perempuan kecuali jika diantara silelaki dan wanita itu punyai jarak perhubungan 7 keturunan ke atas. Sedangan yahudi pula mengahwini anak perempuan kepada adik@kakak perempuannya sendiri. Maka datang syariat islam yang sempurna lagi suci dengan menghapuskan sikap terlalu keras golongan nasrani dan sikap ambil mudah golongan yahudi".
Justeru kepercayaan karut dalam permasalahan ini wajib dihindari supaya keimanan kita terhadap Qoda' Qadar Allah Ta'ala tidak tercalar. Adalah suatu yang membimbangkan jika kepercayaan ini akhirnya membawa kepada satu dosa besar iaitu pengharaman suatu hukum yang halal!
3 comments:
humm..bagus...byk orang sesat sekarang ni...termasuk tentang potong kuku.
potong kuku ada hadis tentangnya ye saudara..google sendiri..:)
Salam
Ayat tersebut nampaknya hanya separuh sahaja. Minta tolong Ustaz perjelaskan bakinya kerana ada pihak yang saya dengar telah mempertikaikan perkahwinan sepupu.
Jzk.
Catat Ulasan