RSS Feeds

Khamis, 21 Januari 2010

Berkahwin Dengan Niat Talak


Di antara perkara yang tersebar pada zaman sekarang ialah penghijrahan pemuda-pemuda islam ke negara kafir samada dengan tujuan belajar mahupun berkerja. Kadang-kadang berlakulah niat untuk berkahwin di negara tersebut demi memelihara daripda dosa besar dan fitnah seperti zina. Yang menjadi persoalan ialah, bolehkah seseorang itu berkahwin dengan niat talak? Bermakna pada suatu masa tertentu dia berniat untuk menceraikan isterinya tanpa dia memberitahu seseorang tentang niatnya itu. Si suami akan menceraikan isterinya demi maslahat mereka bersama –menurut pandangan suami-. Bolehkah? Adakah perkahwinan ini sama bentuknya dengan nikah mut'ah?


Mari kita dalami jawapan para ulama dalam perbahasan ini, semoga ianya dapat menjelaskan hukum dan menyelesaikan kerumitan yang sering berlaku khasnya dikalangan pemuda arab mahupun umat islam secara umum.


Jawapan Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi (Wafat 620 H);

Imam ibnu Qudamah berkata; "Jika seseorang itu berkahwin dengan wanita itu tanpa meletakkan syarat kecuali dalam hatinya berniat @ terdetik untuk menceraikannya selepas tempoh sebulan, ataupun jika sudah selesai urusannya di negara tersebut maka nikahnya adalah soheh menurut pendapat majority ulama kecuali Imam al-Auzaie yang mengatakan ia adalah nikah mut'ah. Yang sebenarnya nikah tersebut tidak mengapa (harus), pernikahan itu tidak rosak mahupun mudharat dengan sebab niatnya. Lihat al-Mughni 7/573.


Jawapan Imam an-Nawawi (Wafat 676 H)

Imam an-Nawawi berkata; Telah berkata al-Qadhi (Qodi Iyyad) ; "Dan mereka telah ber'ijmak' bahawa sesiapa yang mengikat pernikahan secara mutlak dan niat dihatinya (lelaki) tidak akan duduk bersama isterinya kecuali tempoh yan telah diniatkan maka nikahnya sah dan halal, ianya bukanlah nikah mut'ah. Adapun nikah mut'ah adalah yang berlaku dengan meletakkan syarat yang telah dinyatakan. Akan tetapi (nikah dengan niat talak) Imam Malik berkata; "Ini bukanlah diantara akhlak manusia". Imam Auzaie mempunyai pandangan yang ganjil dalam hal ini katanya; "Ia (nikah itu) adalah nikah mut'ah dan tiada kebaikan padanya". Lihat syarah soheh Muslim karangan Imam an-Nawawi 9/182.


Jawapan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah (Wafat 728 H)

Ibnu taimiyyah ditanya tentang seseorang yang sering bermusafir ke pelusuk Negara dalam setiap negeri menetap selama sebulan ataupun 2 bulan, kemudian dia takut jika dirinya terjerumus kearah maksiat, adakah dibolehkan sepanjang tempoh dia berada di negara tersebut bernikah dan jika dia bermusafir dia akan menceraiknnya lalu memberikan isterinya itu hak-hak yang sewajarnya? Adakah Sah pernikahan seperti itu atau tidak?

Beliau menjawab; "Dia boleh berkahwin, tetapi bernikah secara mutlak tanpa meletakkan syarat dengan tempoh-tempoh tertentu, jika dia mahu terus bersama dia tidak lepaskan isterinya dan jika dia tidak mahu, maka dia menceraikannya. Adapun dalam masalah sah @ tidak nikahnya, terdapat khilaf dikalangan ulama. Jika dia berniat secara pasti mahu menceraikan bakal isterinya ketika hendak meninggalkan Negara tersebut maka hukumnya adalah makruh. Adapun jika dia berniat akan menceraikan bakal isterinya tatkala hendak meninggalkan Negara tersebut, tetapi didalam hatinya berkata, jika dia terus terpikat dengan isterinya maka dia tidak menceraikan adapun jika hatinya tidak berkenan dia akan menceraikannya, maka hukumnya harus. Adapun mensyaratkan tempoh tertentu maka ini adalah nikah mut'ah yang disepakati pengharamnya oleh imam-imam yang empat serta ulama lain". Lihat Majmuk Fatawa 32/107.

Jawapan Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin (Wafat 1421 H)

Berkahwin dengan niat talak ini tidak akan terlepas daripada 2 perkara;
1) Samada dia meletakkan syarat bahawa dia akan menikahinya hanya untuk satu bulan, satu tahun atau hingga pelajarannya selesai. Maka ini adalah nikah mut'ah dan hukumnya haram.
2) Ataupun dia bernikah dengan niat talak namun tanpa meletakkan syarat tersebut, maka hukumnya menurut mazhab yang masyhur dikalangan Hanabilah (mazhab Hambali) adalah haram dan akadnya rosak (tidak sah). Ini karena mereka menganggap bahawa apa yang diniatkan itu sama seperti yang disyaratkan. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya segala amal perbuatan itu (diterima atau tidak) bergantung kepada niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang itu adalah apa yang dia niatkan". [Muttafaqun 'Alaih].


Dan kerana jika seseorang menikahi seorang perempuan yang telah ditalak tiga oleh suaminya (dengan niat) agar perempuan itu menjadi halal lagi kepada suami yang pertama (boleh rujuk), lantas suami yang kedua akan menceraikannya, maka nikahnya (suami yang kedua) tidak sah! Sekalipun akadnya dilakukan tanpa syarat tersebut. Sebab, apa yang diniatkan itu sama dengan apa yang disyaratkan. Maka jika niat nikahnya adalah untuk menghalalkan suami yang pertamanya kembali kepada bekas isterinya, maka akadnya rosak, demikian juga niat bernikah mut'ah merosakkan akad. Ini adalah salah satu pendapat mazhab Hambali.


Pendapat kedua; Sah seseorang menikahi perempuan dengan niat akan menceraikannya apabila kembali ke negaranya, seperti para mahasiswa yang pergi keluar negera untuk belajar atau tujuan lainnya. Alasan mereka adalah si lelaki itu tidak memberi syarat (di dalam akad). Terdapat perbezaan nikah seperti ini dengan nikah mut'ah iaitu apabila batas waktu dalam nikah mut'ah itu habis maka perceraian dengan sendirinya terjadi, samada dikehendaki oleh suami ataupun tidak. Ini berbeza keadaannya dengan nikah yang disertakan niat talak. Nikah dengan niat talak itu memungkinkan bagi suami memegang isterinya untuk selama-lamanya (berterusan sebagai isteri). Ini merupakan salah satu dari dua pendapat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.

Tarjih Syeikh al-Uthaimin;
Pada pendapat saya, nikah dengan niat talak ini adalah soheh dan bukanlah mut'ah, sebab definisi mut'ah berbeza dengan (nikah dengan niat talak), akan tetapi hukumnya haram dari sudut yang lain iaitu penipuan terhadap isteri dan keluarga si wanita. Rasulullah telah mengharamkan perbuatan penipuan dan tipu muslihat. Sekiranya si perempuan (isteri) mengetahui bahawa si lelaki itu tidak ingin menikahinya kecuali untuk waktu tertentu saja, pasti perempuan itu tidak mahu mengahwini lelaki tersebut, demikian juga keluarganya.


Begitu juga jika lelaki itu tidak rela sekiranya anak gadisnya dinikahi oleh seseorang dengan niat akan menceraikannya apabila keperluannya telah tertunai, maka bagaimana dia rela melakukan hal ini kepada orang lain? Sedangkan dia sendiri tidak rela menerima perlakuan seperti itu? Perbuatan ini sangat bertentangan dengan iman, kerana Rasulullah telah bersabda:
"Tidak beriman seseorang kamu, sehinggalah dia mencintai bagi saudaranya sepertimana dia mencintai apa yang dia cintai bagi dirinya". [Muttafaq 'alaih]

Sesungguhnya saya juga mendengar bahawa terdapat sebahagian orang yang mengambil pendapat ini sebagai alasan untuk melakukan perbuatan yang tidak dapat diterima oleh siapapun. Mereka pergi ke luar negara hanya untuk menikah, tinggal bersama isteri barunya yang dinikahi dengan niat talak dalam batas waktu yang mereka mahukan. Setelah puas mereka tinggalkan ! hal Ini sangat berbahaya di dalam masalah ini. Maka itu menutup rapat-rapat pintunya adalah lebih baik, karena banyak mengandungi unsur penipuan, kecurangan dan penghinaan. kerana membukanya (membenarkan) bererti membuka kesempatan kepada orang-orang awam yang jahil untuk melanggar batas-batas larangan Allah.
[Fatawa Mar'ah oleh Syeikh Ibnu Uthaimin, m/s. 48-49.
[Disalin dari. Kitab Al-Fatawa Asy-Syar'iyyah Fi Al-Masa'il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, Penyusun Khalid Al-Jursiy.


Fatwa al-Majma3 al-Feqhi al-Islami [1];

Qarar (kesepakatan) al-Majma' al-Feqhi 2006 dinyatakan; "Berkahwin dengan niat talak ialah; berkahwin dengan sempurna dari segi rukun, syarat-syarat sah nikah dengan si suami menyembunyikan niat hati untuk menceraikan si wanita selepas beberapa tempoh tertentu, cthnya 10 hari @ umum. Seperti berniat talak sehinggalah selesai pengajiannya @ telah mendapat apa-apa yang dihajati". Nikah jenis ini sekalipun ramai ulama yang mengharuskannya, akan tetapi Majma' Feqh melihat kepada larangannya kerana pernikahan jenis ini mengandungi penipuan dan helah. Sekira-kira, jika si gadis @ keluarganya mengetahui sudah pasti mereka menolak dan tidak bersetuju. Ia juga kerana pernikahan jenis ini membawa kepada mafsadah (kerosakan) dan mudharat yang boleh merosakkan sum'ah (nama baik) orang islam. Allahlah segala pengurnia taufik, selawat dan salam ke atas Nabi Muhamad, ahli keluarganya dan para sahabat baginda".

http://www.themwl.org/Fatwa/default.aspx?d=1&cidi=162&l=AR&cid=13


[1] Satu gagasan ilmiyyah islamiyyah dibawah pantauan (Muslim World League) yang berpusat di Makkah al-Mukarramah ditubuhkan pada tahun 1977 M. badan ini dianggotai oleh ulama-ulama terkenal dari seluruh dunia yang di antaranya bertujuan untuk membincangkan hukum-hukum syarak dan fatwa feqh kontemporari yang menimpa umat islam serta cara penyelesaiannya.


4 comments:

..::بشرى::.. berkata...

pendukung2 femanisme sgt xsuka akan hal ini,nak plak pndpt yg kata bg..tp ulasan Syeikh Salih uthaimin mantop! hehe

blja2!..jgn mls nk stdy! exam hnya sekali! xde dua kali! ayuh! berjuang!
tapi besenya org yg mls nk bc ni dia ada 2 jenis,sama ada da fhm,atau xfhm..abg msti da fhm kn?hehe

DAKWAH YEOP berkata...

Terima kasih busyro, mudah2an abg dah faham, bukan jenis yang kedua:) tapi apepun keadaannya kena study jugak kan? kalau idak tumpo teman dibuatnye...huhuhuu,doakan ana wa syukran.

Tanpa Nama berkata...

Assalaamualaikum.

Kita boleh menerima atau menolak pendapat2 ulamak ini, berdasarkan dalil.

Ana setuju dengan Syeikh Salih uthaimin.

Semoga Allah memberi rahmat dan keampunan kepada ulamak2 yang memberi pendapat ini.

Wassalam

NEHO berkata...

memang sepatutnya begitulah kita dalam memahami dalil, menghormati dalil dan memahami khilaf ulama. tidak bermakna dengan kita tidak sependapat dgn mereka bermakna kita telah menghina mereka...syukran ust Abu Anas..sekadar selingan dari ana yang jahil.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...