RSS Feeds

Isnin, 11 Januari 2010

Mengenali 7 Fuqaha Madinah.



Mereka adalah dikalangan Para Tabien. Mereka juga memberi kesan kepada pengaruh mazhab Malik bin Anas imam Darul Hijrah (Madinah) dalam feqh. Mereka memberi sumbangan yang besar kepada ilmu dan agama. Mungkin disebabkan mereka jugalah perbahasan tentang (Ra'yu Ahli Madinah) wujud dalam ilmu usul feqh.


Mari kita mengenali manaqib mereka, mengenali kehidupan mereka dan keilmuan serta dakwah mereka dalam hidup. Mereka adalah rijal (lelaki) yang mencipta tarikh. Menjadikan nama mereka disebut dan diingat oleh generasi selepas mereka. Berdiri menegakkan kebenaran dan menentang sebarang kemungkaran dan kezaliman. Semoga Allah mengurniakan rahmat dan keampunan kepada mereka semua dan menempatkan mereka di syurga Firdaus.


1 ) Said bin Musayyib 14-94 Hijrah;

Kuniah beliau ialah Abu Muhammad dilahirkan pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Abu Muhammad adalah ulama terkenal dalam bidang hadis,feqh dan tafsir. Beliau dianggap sebagai Penghulu Fuqaha Madinah. Beliau telah meriwayatkan hadis daripada ramai Sahabat. Seorang ulama yang cukup wara', zuhud dan luas ilmunya. Seorang yang sentiasa bersikap tenang dan memiliki haibah yang tinggi dan tidak akan menerima sebarang hadiah daripada sultan dan pemerintah. Beliau hidup dengan berniaga sendiri. Khalifah Abdul Malik bin Marwan pernah melamar anak gadisnya tetapi beliau telah menolak dan mengahwinkan anaknya dengan seorang lelaki yang faqir bernama Abdullah bin Abi Wida'ah dengan mahar sebanyak 2 dirham.


2 ) Urwah bin Zubair 94 Hijrah;

Beliau adalah anak kepada Az-Zubair bin Al-Awwam seorang Sahabat Nabi yang dijamin syurga. Kisah lengkap beliau telah saya bawakan dalam entry yang lepas. Sila rujuk (http://yeopmadiny.blogspot.com/2010/01/ketika-di-penjuru-kaabah.html)


3 ) Abu Bakar bin Abdurrahman bin Al-Harith 94 Hijrah;

Beliau merupakan pembesar tabien yang digelar sebagai Ahli Ibadah Quraish kerana terlalu banyak solat dan puasa. Beliau seorang yang thiqah, alim, kaya, mendengar banyak hadis daripada ramai para Sahabat, menghafalnya dan menyampaikannya pada orang lain. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang pakar dalam mengistimbat hukum hakam melalui nusus-nusus syarak. Beliau seorang ulama yang buta dan fawat pada tahun 94 hijrah. Jasadnya dikebumikn di perkuburan Baqi' di Madinah.


4 ) Ubaidillah bin Abdullah bin Utaibah 98 Hijrah;

Beliau ialah Abu Abdillah Abdullah bin Abdullah bin Utbah bin Mas'ud Al-Huzali, mufti Madinah dan salah seorang Fuqaha Madinah yang tujuh. Beliau dikalangan tokoh tabien yang terkenal. Beliau adalah (a3masyh) iaitu mata penglihatannya agak kabur dan sering keluar air mata. Seorang ulama yang thiqah, alim dan menjadi guru kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz.


Imam Az-Zuhri berkata; " Aku tidak duduk dengan seseorangpun dikalangan ulama kecuali aku telah ketahui seperti apa yang disebut melainkan Ubaidillah. Sesungguhnya aku tidak datang kepadanya kecuali disisinya ilmu yang amat halus yang belum aku ketahui". Zuhri berkata lagi: "Aku memberi khidmat kepada Ubaidillah sehingalah aku pernah menganggutkan air untuk beliau di telaga". Beliau wafat pada tahun 98 Hijrah.


5 ) Kharijah bin Zaid bin Thabit 99 Hijrah;

Beliau sempat hidup ketika zaman pemerintahan Usman bin Affan. Bapanya bernama Zaid bin Thabit seorang sahabat besar. Beliau telah meriwayatkan hadis yang banyak dariapada Sahabat. Umat Islam dizamannya banyak yang merujuk kepada beliau khasnya dalam permasalahan fatwa-fatwa baru dalam masalah kontemporari dan masalah harta pusaka. Beliau wafat pada tahun 99 hijrah dan dikebumikan di Baqi' Madinah.


6) Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar As-Siddiq 107 Hijrah.

Beliau seorang yang "thiqah", alim, faqih. Seorang yang wara' dan menghafal banyak hadis. Bapanya wafat dan beliau masih di dalam perut ibunya. Di didik dan di tarbiyah oleh makciknya Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar. Beliau banyak mengambil ilmu daripada Aisyah dan Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah (Abdurrahman). Ulama tarikh berselisih pendapat tentang tarikh kematian beliau tetapi yang lebih tepat ialah pada tahun 108 Hijrah dan umurnya ialah 73 tahun.


7) Sulaiman bin Yasar 107 Hijrah.

Beliau adalah Abu Ayyub seorang yang alim, thiqah, ahli ibadah, wara' dan kuat berhujjah. Lahir pada zaman pemerintahan Usman bin Affan. Tahun 34 Hijrah. Said bin Musayyib jika diminta fatwa-fatwa tertentu beliau berkata;”Pergilah kepada Sulaiman bin Yasar sesungguhnya dia adalah orang yang paling alim sekarang. Imam Malik pernah berkata; " Sulaiman adalah dikalangan ulama yang menjadi rujukan manusia selepas Said bin Musayyib". Imam Malik banyak bersetuju dengan pandangannya.


Telah bercerita kepada Mus'ab bin Abdullah Az-Zubaidi, telah bercerita kepada kami Mus'ab bin Usman, beliau telah berkata; "Sulaiman bin Yasar adalah di antara mereka yang paling tampan wajahnya, seorang wanita telah datang kepadanya dan menggodanya tetapi beliau enggan. Si wanita berkata; “mari dekat!” Lantas Sulaiman lari keluar dari rumahnya dan meninggalkan wanita tersebut dirumahnya. Sulaiman kemudian berkata; “Selepas itu aku telah melihat didalam mimpiku Nabi Yusuf alaihissalam dan seolah-olah aku berkata kepada beliau: “Adakah kamu Yusuf?” Nabi Yusuf berkata;” iya, aku Yusuf, dan akulah adalah singa yang digoda oleh wanita".


Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Bisyr Al-Kindi, telah bercerita kepada kami Abdul Rahman bin Jairi Al-Kullabi, telah bercerita kepada aku Abu Hazim katanya; “Telah keluar Sulaiman bin Yasar daripada Madinah bersama temannya hinggalah mereka turun berehat di Abwa'. Maka bangunlah temannya mengambil lapik dan pergi ke pasar membeli barang. Duduklah Sulaiman dikhemahnya seorang diri yang merupakan seorang yang terlalu cantik (tampan) dan paling wara'. Tiba-tiba seorang wanita arab telah melihatnya dari hujung bukit dari khemahnya. Maka tatkala melihat ketampanan Sulaiman maka wanita itu segera meluru dengan menanggalkan niqab dan sarung tangannya. Sehingglah wanita itu berada benar-benar dihadapan Sulaiman dan melihat wajah Sulaiman yang seolah-olah seperti bulan licinnya itu. Lantas wanita itu berkata; "Adakah kamu mahu berikan aku hadiah?" Sulaiman menyangka bahawa si wanita itu memerlukan makanan, lantas dia bangun mencari lebihan makanan di khemahnya untuk disedekahkan. Lalu si wanita berkata; "Aku bukan mahukan ini, akan tetapi aku mahu apa yang diberikan seorang lelaki kepada isterinya. Maka Sulaiman berkata; "Sediakan kamu kepada Iblis?, kemudian Sulaiman meletakkan kepalanya diantara dua tangannya lalu menangis dan menangis. Apabila wanita itu melihat Sulaiman menangis lalu dia memakai niqabnya dan kembali ke khemahnya.


Tidak lama kemudian, teman Sulaiman kembali dengan barang-barang yang telah dibelinya. Tatkala melihat mata Sulaiman telah lebam kerana air mata tangisannya yang amat banyak dan melihat sedu sedannya, temannya berkata; "Khair, apa yang menyebabkan kamu menangis? Mungkin kamu teringatkan kisah kecilmu atau keluargamu?. Sulaiman menjawab; “tidak!” Temannya menjawab, “Pasti kamu ada cerita. Beritahu aku.” Teman Sulaiman berterusan mendesaknya sehinggalah Sulaiman menceritakan apa yang berlaku. Maka menangislah temannya apabila mendengar kisahnya. “Kenapa kamu pula menangis?” Jawap teman Sulaiman: "aku lebih berhak menangis kerana aku takut, kalau akulah yang berada di tempat kamu aku tidak mampu bersabar seperti kamu ke atas wanita tersebut. Maka mereka berdua pun menangis. Apabila mereka selesai bertawaf dan saie, Sulaiman menuju ke Hajar Aswad dan duduk berhampiran dengannya sehinggalah belaiu mengantuk dan tertidur. Tiba-tiba dia melihat seorang yang sangat cantik wajahnya gembira dan baunya sangat harum, Sulaiman berkata; “Siapakah kamu semoga Allah merahmati kamu?” Lelaki itu berkata; "Aku adalah Yusuf bin Ya'kub". Sulaiman berkata: "Yusuf bin Ya'kub? Nabi yusuf menjawab:”Benar!” Sulaiman berkata; "Sesungguhnya cerita kamu dan wanita hartawan itu sangat pelik dan menghairankan.". Nabi Yusuf menjawab: "Cerita tentang kamu dan wanita di Abwa' lebih menghairankan". Kisah ini disebutkan oleh Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah wan Nihayah 9/ 272.


Sulaiman bin Yasar wafat pada tahun 107 hijrah @ 104 hijrah. Semoga Allah merahmati beliau dan Fuqaha Madinah yang lain dan menempatkan mereka dalam syurgaNYA. Jazahumullahu khairan kathiran.


إذا قيل من في العلم سبعة أبحر *** روايتهم عن العلم ليست خارجة
فقل هم عبيدالله عروة قاسـم *** سعيد أبو بكر سليمان خـارجة

Jika dikatakan siapakah dalam ilmu seperti lautan yang tujuh?

Periwayatan mereka tentang ilmu tidak terkeluar.

Maka katakanlah, mereka adalah Ubaidillah, Urwah, Qasim.

Said, Abu Bakar, Sulaiman dan Kharijah.


*Syukran kepada editor; Ulfa Perak.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...