RSS Feeds

Isnin, 24 Januari 2011

Dimanakah Kebahagiaan Anda?


عن سعد أبي وقاص رضي الله عنه ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : سعادة لابن آدم ثلاث و شقاوة لابن آدم ثلاث فمن سعادة ابن آدم : الزوجة الصالحة و المركب الصالح و المسكن الواسع و شقوة لابن آدم ثلاث : المسكن السوء و المرأة السوء و المركب السوء".


Daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Rasulullah sollallahu alaihi wassalam bersabda: "kebahagian bagi anak adam adalah pada tiga perkara dan kesengsaraan bagi anak adam juga pada 3 perkara: Isteri yang solehah, kenderaan yang bagus, dan rumah yang luas. Dan kesengsaraan bagi anak adam adalah pada perkara: Rumah yang buruk. Isteri yang buruk, dan kenderaan yang buruk". Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud al-Toyalisi dalam musnadnya dan dinilai hasan oleh al-Bani dalam Jami' as-Soghir.


Dalam hadis yang serba ringkas ini, Nabi menjelaskan kepada kita 3 factor yang berkait dengan keduniaan yang menjadi sebab kepada kebahagiaan seseorang manusia didunia. Maknanya tidak semestinya untuk mencapai kebahagian didunia seseorang itu harus mempunyai harta yang banyak dan bertimbun-timbun jumlahnya. Cukuplah jika dia mempunyai 3 perkara ini, maka dia akan bahagia. Bermula dengan isteri yang solehah, kemudian rumah yang luas, walaupun tidak secantik istana dan kenderaan yang baik tidak meragam dan sakit.


Isteri Solehah;

Isteri solehah adalah kebahagian mata hati, peneman ketika susah dan senang, pemberi nasihat dan semangat, mengurus rumah dan mendidik anak-anak. Sebab itu sesiapa yang diberi taufiq oleh Allah dengan dikurniakan isteri yang solehah maka sewajibnya dia bersyukur kepada Allah. Nabi menggambarkan dalam satu hadis yang maksudnya;


"Dunia ini adalah tempat bersedap-sedap, dan sebaik-baik keenakan dunia adalah isteri yang solehah". Hadis ini riwayat Imam Muslim dalam sohehnya.


Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin berkata dalam syarah hadis Riyadhus Solehin; "Jika seseorang manusia dianugerahkan Allah dengan isteri yang solehah, baik agamanya dan sempurna akalnya maka ini adalah sebaik-baik kelazatan dunia. Kerana isteri solehah akan memelihara segala rahsianya, hartanya, anak-anaknya. Jika akalnya bagus, maka dia juga akan menguruskan rumah bagi pihak suaminya dengan sangat baik serta mentarbiah anak-anaknya. Jika suami memandang isterinya pasti akan bergembira, jika suami diluar, dia akan memelihara harta suaminya. Jika diberi tugas oleh suaminya dia tidak akan mengkhianati. Maka wanita seperti ini adalah sebaik-baik perhiasan dan keseronokan. Kerana itu Nabi bersabda yang bermaksud: "Dinikahi perempuan itu kerana 4 perkara; kerana hartanya, nasabnya, kecantikannya dan agamanya, maka kamu pilihnya wanita yang punya agama, maka tangan kamu akan penuh dengan tanah[1]".


Kenderaan Yang Bagus;

Ianya boleh membawa banyak maksud, bagus kadang-kadang dilihat dari sudut harga yang mahal, berjenama, tahan lasak, bentuk yang manarik dan macam-macam lagi pandangan yang saling berbeza dari individu kepad invidu yang lain. Tetapi sebenarnya cukuplah jika kenderaan itu sedap dipandang mata, tahan, tidak meragam dan sedap jika dinaiki. Walaupun harganya murah. Walaupun tidak berjenama Mercedes sebagai contoh. Yang penting segala urusannya yang memerlukan kepada kenderaan tersebut akan dapat diselesaikan. Memudahnya pergi berulang alik ke sesuatu destinasi samada untuk tujuan kerjaya mahupun tujuan-tujuan lain. Jika dia mampu memiliki kenderaan yang cukup sempurna dari segala sudut, maka itu adalah adalah sebagian daripada nikmat dan kebahagian yang wajib disyukuri.


Rumah Yang Luas;

Keselesaan itu lebih kepada ruangannya yang luas. Adapun perhiasan itu adalah perkara kedua. Tidak sempit dan mudah bergerak didalam rumah adalah sebahagian daripada kebahagian. Tetapi untuk memiliki rumah yang luas sudah pasti agak mahal belanjanya. Justeru tidak semua mampu memiliki rumah yang besar. Apalagi rumah itu cantik bentuknya, sempurna segala keperluan-keperluannya. Untuk memilikinya kadang-kadang memerlukan usaha setengah umur hidup hidup didunia. Sewajibnya mereka yang sudah mencapai tahap ini iaitu mempunyai isteri yang solehah, kenderaan yang baik dan rumah yang luas, hendaklah bersyukur dengan nikmat-nikmat tersebut. Yang mana, kenikmatan dan kebahagian ini akan dipersoal oleh Allah dari pelbagai sudut di akhirat kelak.


Akhirnya, suka saya membawakan satu hadis yang semoga ianya akan menjadikan kita qanaah (berpada) dengan kekayaan dunia. Maksudnya tidak melampau dalam mengejar kekayaan dan harta setelah berusaha sedayanya. Dengan tidak melanggar batas-batas syarak serta menunaikan kewajipan dan hak-hak yang sewajarnya. Nabi menyebut :

( من أصبح معافىً في بدنه، آمناً في سربه، عنده قوت يومه، فكأنما حيزت له الدنيا بحذافيرها )


Barangsiapa yang mendapat kesehatan tubuh badan, aman damai dalam dirinya[2], dan dia mempunyai makanan untuk harinya itu, seolah-olah telah dihimpunkan baginya segala kemewahan dunia beserta dengan ranting-rantingnya (cabang-cabangnya)". Hadis ini riwayat Imam Tirmizi, Ibnu Majah dan lain-lain.



[1] Terdapat perbahasan yang agak panjang tentang mafhum kepada kata-kata nabi (taribat yadak) tetapi secara mudahnya ianya adalah bermaksud, keuntungan dan kemenangan. Wallahu A3lam.

[2] Dikatakan juga aman damai dalam rumahnya. Jika dibariskan dengan baris atas (sarbihi). Adapun jika dibariskan dengan baris bawah (sirbihi) maka ianya bermaksud dalam dirinya.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...