Ramai orang yang pernah menangis bahkan sebahagian mereka sering menangis dalam keadaan- keadaan tertentu. Tetapi kenapakah mereka menangis? Untuk siapakah mereka menangis? Disebabkan kekasih, harta yang semakin menipis, jawatan dan kedudukan yang diimpikan terlepas @ apa? Kerungsingan hidup ini berlaku jika manusia semakin tertekan dengan masalahnya sendiri. Jika manusia semakin jauh dari ketenangan tuhannya. Ya, tidak dinafikan kadang-kadang ujian yang menimpa menjadi sebab seseorang itu menangis. Aibkah menangis? Jawabnya tidak jika ianya sesuatu yang wajar ditangisi. Sekalipun jika yang menangis itu lelaki? Iya, sekalipun lelaki itu yang menangis, itu hanyalah membuktikan bahawa lelaki juga punya perasaan yang kompleks dan hidupnya normal seperti insan lain.
Nabi Muhammad yang merupakan penghulu sekalian para Nabi dan Rasul, Makhluk termulia dan kekasih Allah itu juga pernah menangis. Sedangkan jika baginda mahu, akan dibukakan segala kekayaan dunia dan seluruh isinya kepada baginda. Sedangkan Nabi ini sudah dijamin dengan syurga Allah di akhirat kelak. Kenapakah Nabi masih juga menangis? Nabi menangis bukanlah kerana urusan dunia. Tetapi ketika beribadah kepada Allah, ketika Nabi bersolat, mendengar bacaan al-Quran dan tatkala munajat baginda dengan doanya.
Daripada Mutharrif daripada bapanya beliau berkata; "Aku datang kepada Rasulullah tatkala baginda sedang melakukan solat, di dada Nabi kedengaran suara gemuruh seperti bunyi air yang sedang mendidih kerana menangis. Hadis riwayat Abu Dawud.
Daripada Abdullah bin Mas'ud berkata, telah bersabda Nabi kepadaku; "Bacakanlah al-Quran untukku". Lalu aku berkata; "Wahai Rasulullah, bagaimana aku akan membacakannya sedangkan ianya turun kepadamu? Rasulullah bersabda; "Aku suka mendengarnya daripada bacaan orang lain". Maka aku bacakan surah al-Nisa sehinggalah sampai kepada ayat 41 yang bermaksud;
"Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila kami mendatangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat dan kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu [1])".
Lalu aku lihat kedua-dua mata Nabi berlinangan dengan air mata". Hadis riwayat Bukhari dalam sohehnya.
Suatu ketika Nabi pernah ditanya oleh sahabat karib baginda Abu Bakar al-Siddiq: "Wahai Nabi, aku lihat rambutmu telah beruban sekarang?". Nabi lalu menjawab; "Yang telah menjadikan rambutku beruban adalah surah Hud, al-Waqiah, al-Mursalat, Amma yatasa alun dan Izassyamsu Kuwwirat". Hadis riwayat Imam al-Tirmizi.
Inilah Nabi junjungan yang merupakan ikutan dan contoh terbaik sepanjang zaman. Tangisan-tangisan baginda adalah disebabkan keimanannya yang begitu menebal terhadap hari pembalasan. Disebabkan takutkan kepada azab-azab Allah kepada hamba-hambanya yang engkar dan sering melakukan kemaksiatan. Memang Nabi pernah menangis kerana kematian seorang putera baginda bernama Ibrahim yang berumur 1 tahun lebih, tetapi itu hanyalah kerana tabiat biasa manusia yang bersedih dan simpati kepada zuriatnya yang secara langsung membuktikan kasih sayang baginda kepada anak-anaknya. Sedangkan kebanyakkan tangisan Nabi adalah kerana takutkan Allah dan hari kebangkitan.
Sebab itu Nabi menyatakan bahawa salah seorang yang layak mendapat perlindungan Arasyh Allah pada hari mahsyar ialah : seorang lelaki yang mengingati Allah seorang diri, lalu dia menitiskan air matinya kerana takutkan Allah. Semoga tangisan kita terhadap perkara-perkara dunia tidak mengatasi tangisan-tangisan terhadap dosa, ketakutan kita terhadap hari akhirat dan pengharapan kita terhadap rahmat dan keampunan Allah di akhirat kelak. Semoga Allah merahmati kita semua, mengampuni dosa-dosa dan mengumpulkan kita semua bersama para mukminin yang takutkan Allah dengan sebenar-benar taqwa. Ya Rabbal a'lamin.
[1] Seorang Nabi menjadi saksi atas perbuatan tiap-tiap umatnya, apakah perbuatan itu sesuai dengan perintah dan larangan Allah atau tidak.
0 comments:
Catat Ulasan