RSS Feeds

Selasa, 4 Januari 2011

Tahun Baru 2011 Menjadi Saksi

Saya pernah diperingatkan tentang Doa awal tahun akhir tahun, "Adakah ustaz sudah membaca doa awal tahun dan akhir tahun?". Soalan itu saya biarkan sahaja tanpa jawapan. Demikian kita sering juga mendengar orang ramai mengucapkan tahniah dengan kemunculan tahun baru. Seolah-olah ianya sudah menjadi budaya dan kelaziman yang mesti diraikan. Betapa kita sudah terlalu banyak terikut rentak dan kebudayaan asing yang didominasi oleh orang-orang barat (kafir). Jangan bicara soal berpakaian dan fashion, itu lebih teruk dan jelas natijahnya kepada anak-anak bangsa. Apakah yang membezakan diantara individu muslim dan kafir? Cukupkah hanya pengakuan dan ikrarnya bahawa dia islam? Dimanakah pengamalan kepada ajaran suci itu yang jika dipraktikkan akan menjadikan kita mulia, hebat dan gagah. Malangnya umat islam kini hanyalah seperti yang diumpamakan oleh Nabi seperti buih-buih di air banjir yang begitu banyak, tetapi….? Ya, al-Wahnu! Mereka ditimpakan penyakit yang sukar diubati, cintakan dunia dan takutkan mati!


Tak perlu ucap Selamat tahun baru

Tidak perlu diamalkan mengucapkan tahniah kerana kita berada dalam tahun yang baru. Sepatutnya diberikan peringatan sahaja bahawa umur yang semakin panjang ini sebenarnya telah memendekkan umur kehidupan kita. Berapa lagi baki umur anda? Apakah azam anda pada tahun yang baru ini? Adakah setahun yang lalu dilalui dengan penuh bermakna dengan tarikh mulia yang mencatat kebaikan dan amal soleh? Ataukah kita akan menjadikan kemunculan tahun baru ini sebagai proses perubahan daripada yang positif kepada yang negetif? Inilah masalah yang sedang dihadapi oleh sebahagian anak-anak muda nakal dan gilakan kebebasan.


Pesta menyambut tahun baru

Kita tunggu dan lihat dalam tempoh 9 bulan lagi daripada sekarang. Buat sementara ini, kes pembuangan bayi sudah semakin reda, kerana proses mengawan golongan-golongan bernafsu liar sedang bermula dan baru diraikan. Tidak kiralah samada dengan pasangan seagama mahupun berlainan bangsa. Apa yang penting, nafsu wajar dipuaskan. Yang pasti, aku bebas buat apa sahaja. Jangan campurlah urusan aku! Apa nak dikisah? Kubur masing-masinglah bang. Jangan jaga tepi kain orang boleh tak? Ko sakitke kalau aku minum arak? Hello, aku dah matanglah, tak payah nak ajar-ajar aku boleh tak? Dan macam-macam lagi ungkapan bertujuan menyelamatkan diri daripada sebarang teguran akibat salah laku dan maksiat yang dibuat.


Saya sangat bersetuju dengan operasi amal makruf nahi munkar. Samada ianya dilakukan oleh individu mahupun dibawah selenggaraan jabatan agama islam negeri. Inilah bukti bahawa kita masih cuba mengamalkan islam. Bukti bahawa kita hidup dalam kelompok islam. Bukti bahawa saya dan anda sayangkan islam, sayangkan saudara-saudari seakidah agar kehidupan mereka tidak dicemari dengan kegelapan yang berpanjangan. Terpedaya dengan helah dan muslihat sang pelaku dosa dan bencana yang hobinya ialah menjahanamkan kehidupan insane-insan suci lain. Agar dia mempunyai teman dan tidak dipandang serong oleh agama dan masyarakat.


Pelaku-pelaku maksiat secara terang-terangan ini sangat perlu diajar, boleh dikatakan wajib diambil tindakan agar bala bencana dan azab Allah tidak menimpakan kita semua. Teguran wajib disampaikan samada kepada pemimpin, ibu bapa mahupun siapa jua, agar masyarkat terpelajar ini hidup harmoni dan aman sentosa dibawah rahmat Allah. Malanglah kita, sehingga kedapatan anak bangsa dengan bangganya mengishtiharkan : "Ya, saya gay saya bahagia". Saya lesbian saya sentosa". Hidup dibawah didikan apakah makhluk ini? Haiwanpun pikir 10 kali untuk mengubah naluri semulajadi mereka sekalipun haiwan-haiwan ini tidak diberikan fikiran.


Kasarkah bahasa saya? Ini mungkin bahasa yang paling berhikmah buat buat golongan-golongan seperti ini. Pencinta maksiat dan pemuja hawa nafsu. Inilah yang telah diajarkan kepada Nabi apabila berhadapan dengan orang-orang kafir dan munafik. Dalam surah Taubah ayat 73 dan surah Tahrim ayat 9 Allah berfirman;

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ


Bermaksud; "Wahai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka. tempat mereka ialah jahannam. dan itu adalah tempat kembali yang seburuk-buruknya".


Imam Syaukani berkata dalam tafsirnya; Iaitu memerangi mereka dengan pedang dan hujjah. Adapun firman Allah bermaksud: "berkasarlah kepada mereka" iaitu berkeras dan bertegas dalam berdakwah kepada mereka dengan menggunakan kekasaran dalam menyuruh mereka mentaati syariat. Al-Hasanul Basri menyatakan: "jihadilah mereka" iaitu dengan melaksanakan hukuman hudud ke atas mereka.


Murahnya maruahmu pelaku maksiat?

Tahniah diucapkan kepada JAWI kerana Ops Maksiat yang dilancarkan mereka pada awal tahun baru 2011. Ini bukanlah tajassus @ menyelak kain orang. Tetapi ini adakah sebahagian hakikat dan cara menangani permasalahan moral dan akhlak orang melayu muslim. Ini juga adakah bukti kita sayangkan masa depan mereka. Lebih dari itu ianya adalah pengamalan kepada ayat Allah dalam surah al-Imran ayat 110:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ


Bemaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah..".


Saya tidak melihat pihak JAWI mahupun mana-mana jabatan agama negeri yang melakukan operasi ops maksiat ini telah melanggar piawaian dan syarat-syarat dalam amal makruf nahi munkar. Mereka juga menjaga batas dan adab-adab yang sewajarnya insyaallah. Lihatlah bagaimana ops ini dilancarkan dan betapa wanita-wanita melayu begitu murah nilainya sehingga sanggup ditiduri oleh orang yang baru sahaja dikenalinya. Semoga Allah mengislahkan kebejatan umat ini.

http://www.youtube.com/watch?v=Xy5DYg4G2Rc&feature=player_embedded


Takutlah azab Allah wahai pelaku maksiat!

Saya, anda dan kita semua, masing-masing mempunyai hawa nafsu. Ini yang membuktikan keinsanan kita sebagai manusia. Tetapi disana ada saluran yang ditetapkan agama dalam mendepaninya. "Ikutkan hati badan binasa, ikutkan nafsu masuk neraka". Kalaulah semua nafsu dan kehendak dituruti, sama sahaja nilai kehidupan kita dengan binatang-binatang yang melata. Bahkan perlu diingat, haiwan-haiwan itu lebih kuat berbanding kita!


Semua yang mengaku sebagai muslim diwajibkan mentaati Allah, takutkan seksaan dan azabNYA yang tidak dapat dibayangkan dan tidak terfikir di pemikiran manusia. Azab dan kesakitan kekal bersama dengan kehidupan kekal yang tiada kematian dalam mengharungi azab itu walaupun kesakitan azab itu lebih teruk dan pedih berates kali ganda dibandingkan dengan azab menemui ajal dan kematian! Berbaloikah kita korbankan umur yang 70 tahun jika sampai dengan maksiat-maksiat dan kemunkaran? Jangan fikir kita masih muda, maka boleh relaks dan masih banyak masa untuk bertaubat. Ajal dan umur anda tidak diketahui sesiapa kecuali Allah.


Dalam masa sama, tiada manusia bersifat maksum kecuali para Anbiya. Semua manusia melakukan dosa. Dan sebaik-baik mereka yang berdosa ialah golongan yang bertaubat. Rahmat dan keampunan Allah sangat luas. Lebih luas daripada langit dan bumi. Dalam satu hadis riwayat Imam Muslim;

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ أَحَدِكُمْ مِنْ أَحَدِكُمْ بِضَالَّتِهِ إِذَا وَجَدَهَا ».


Daripada Abu Hurairah telah berkata, berkata Rasulullah Alaihissolatu wassalam; "Bagi Allah lebih kegembiraan dengan taubat salah seorang daripada kamu dibandingkan dengan orang yang menemui semula barangnya yang telah hilang". Pada permulaan tahun baru ini marilah kita bermuhasabah sebelum kita dihisab.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...