RSS Feeds

Ahad, 3 Ogos 2008

Tanggungjawab Seorang Graduan


Sepanjang kita masih menuntut ilmu, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa tuntutan menimba ilmu bukan sekadar dari syara' yang penuh hikmah tetapi ianya juga datang dari harapan diri dan masyarakat semasa. Ramai manusia yang mengharapkan kejayaan akan mengiringi remaja tersebut sepanjang pengajian lantas pulang membawa manfaat yang besar kepada agama, bangsa dan Negara. Allah berfirman dalam surah taubah ayat 122;

"وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ"


Bermaksud: "tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya ke medan perang, mengapakah tidak pergi dari tiap-tiap golongan diantara mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu mereka dalam agama dan supaya mereka memberi peringatan kepada kaumnya setelah mereka kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka semua mendapat peringatan".


Ayat ini jelas menerangkan pripentingnya peranan mereka yang pulang dari pengajian mereka menyampaikan dakwah islam kepada kaum mereka samada yang islam ataupun sebaliknya. Tuntutan ini menjadi lebih berat setelah mereka memiliki ilmu yang bertambah luas, setelah mereka memahami suruhan dan larangan syara' secara terperinci dan mereka mampu mengeluarkan hukum berpandukan kepada nas-nas al-Quran dan Sunnah.


Jika kita perhatikan bilangan mereka yang menamatkan pengajian dalam bidang agama dengan kepelbagaian pengkhususan, kita akan dapati bilangan mereka yang berkecimpung dalam ilmu dan dakwah tidak setimpal. Lebih ramai yang mementingkan urusan kehidupan pribadi dan keluarga sahaja. Maka siapakah yang akan memberi pengisian ilmu-ilmu agama di masjid dan surau? Memang benar dakwah islam tidak sepatutnya tertumpu kepada pengisian di masjid dan surau sahaja, seharusnya lebih meluas. Tetapi realitinya ialah terlalu sukar mencari ustaz-ustaz yang berkebolehan dan sanggup mengisi kekosongan program institusi masjid dan surau. Isu ini sepatutnya mendapat perhatian dan diberi penekanan yang sewajarnya oleh semua mereka yang berkelulusan agama.


Ingatlah wahai sahabat semua, bahawa membiarkan masyarakat tanpa panduan agama yang benar adalah antara punca utama yang merosakkan akidah, pemahaman, akhlak, dan lain-lain lagi yang akhirnya memungkinkan wujudnya kebejatan dari semua sudut kehidupan manusia. Selain itu yakinkah kita dengan alasan-alasan yang kita ciptakan sendiri untuk membela diri dihadapan Allah nanti? Bukankah semua kita akan dipersoal di atas semua nikmat kurnianya di akhirat kelak? Tanggungjawab dakwah islamiah ini walaupun pada umumnya adalah fardhu kifayah, tetapi pada hak mereka yang mendalami ilmu syara' adalah fardhu ain. Membiarkan diri kita mengejar dan mengumpul nikmat dunia dan mengabaikan tanggungjawab dakwah bermakna kita telah membiarkan diri kita binasa. Ya, alasan boleh diberi bak kata pepatah; "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih".


Jauhilah dari berkata; "aku takut nanti kena gam", aku tak layak nak mengajar orang awam", "aku masih tak cukup ilmu", "aku sebuk dengan urusan pejabat dan sekolah" dan macam-macam lagi ucapan yang menghampakan masyarakat awam. Sebagai satu cadangan untuk menjadikan anda selamat, pastikan anda mengambil sijil Tauliah di negeri masing-masing agar kelayakan anda dihargai dan selamat dari gangguan. Berkhidmatlah dengan kadar semampunya didalam bidang masing-masing walaupun hanya mengajarkan anak-anak kecil membaca al-Quran. Berapa ramaikah ulama-ulama besar yang mendapat manfaat dari guru mereka yang hanya mengajarkan mereka membaca al-Quran dan hafazan? Bukankah ini termasuk dalam katogeri ilmu yang bermanfaat yang akan berterusan pahalanya? Justeru, seruan kepada semua ilmuan islam agar tidak lokek menginfaqkan masa mereka untuk islam di mana jua anda berada. Sedarlah bahawa dakwah golongan yang rosak dan sesat amat aktif sedangkan mereka berada dalam kesesatan. Maka mengapakah umat islam yang mendapat petunjuk dan hidayah mengabaikan dakwah Islamiah agar kebaikan islam itu dapat dikongsi bersama-sama mereka yang masih jahil tentang islam ataupun memusuhinya? Semoga kita semua tersedar dari lena yang panjang.Nabi bersabda dalam hadis yang dikeluarkan oleh Tobrani dan dihasankan oleh al-Bani;

"أحب الناس إلى الله أنفعهم للناس"

"Sebaik2 manusia yang disukai Allah ialah manusia yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia".


Selain dari memainkan peranan keagamaan didalam masyarakat, tanggungjawab graduan juga ialah menambahkan ilmu pengetahuan mereka dengan mengkaji lebih luas permasalahan ilmu dalam bidang-bidang yang diperlukan masyarakat seperti hadis dan fekah. Sebab itu perlunya pembacaan yang berterusan disamping perbincangan bersama teman-teman yang lebih berpengetahuan. Sedia dimaklumi bahawa ulama salaf sentiasa membincangkan ilmu dengan sikap berlapang dada sekalipun ianya datang dari orang yang lebih muda. Mereka berterusan menuntut ilmu biarpun mereka adalah Mufti dan Qadhi. Sekalipun mereka imam besar seperti imam Muslim, imam Ahmad dan lain-lain tokoh besar. Sebab itulah berlaku kematangan ilmu dan perubahan pada pandangan ataupun fatwa samada ianya disebabkan perubahan pada tempat dan masa mahupun perubahan pada sesuatu pemahaman masalah.


Antara tanggungjawab seorang seorang graduan juga ialah; membina keluarga mithali. Jadi, sewajarnyalah bermula dengan alam perkahwinan yang didahului dengan pentarbiyahan isteri sebelum menjadi ibu mithali. Seterusnya pentarbiyahan anak-anak supaya mereka menjadi anak soleh, berilmu dan bermanfaat kepada islam dan penganutnya. Mudah-mudahan apabila terlaksana 3 perkara ini sebagai permulaan maka akan berlakulah perubahan positif didalam masyarakat islam Malaysia lantas mencipta satu Negara islam yang berkonsepkan :

" "بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

2 comments:

al-misk berkata...

salam..
masyaAllah..memang tanggungjawab ni tak ramai yang sanggup pikul..
syukran akhi atas ulasan yg bermanfaat...

DAKWAH YEOP berkata...

syukran,,,,

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...