RSS Feeds

Sabtu, 8 November 2008

Masa Dan Keajaibannya

الوقت وعجائبه

Sambungan

Ibn Mas'ud rodiallahuanhu berkata: "Aku tidak tidak pernah kesal terhadap sesuatu sepertimana aku kesal terhadap satu hari yang telah terbenam matahari, telah berkurangan ajal hidupku, akan tetapi amalku tidak bertambah.' Hasan al-basri berpesan: wahai anak Adam, sesungguhnya kamu ibarat hari jika telah berlalu sehari maka telah berlalulah sebahagian dari kamu.' Berkata Abdul Rahman bin mahdi: 'Jika dikatakan kepada Hammad bin Salamah: " kamu akan mati esok!" Maka dia tidak mampu lagi untuk menambahkan satupun amalannya. Berkata Musa bin Ismail: "Jika aku kata kepadamu aku tidak pernah lihat Hammad bin Salamah ketawa, pasti ianya benar, dia adalah orang yang sentiasa sibuk samada mengajar, membaca, bertasbih atau bersolat, sesungguhnya dia telah membahagikan masanya untuk perkara-perkara yang demikian".


Ulama' Salaf sentiasa memanfaatkan masa mereka dengan penulisan, Imam Ibnu Jarir contohnya,beliau mengarang setiap hari 40 helai kertas. Qadi Abu Bakar al-Baqullani pula tidak akan tidur sehingga dia selesai mengarang sebanyak 35 helai. Lihatlah karangan-karangan ibnul Jauzi, ianya melebihi 1000 karangan! Terbayangkah kita? Dalam kitab Tazkirah al-Huffaz menceritakan tentang Imam an-Nawawi yang tidak pernah meletakkan badannya (baring di lantai) selama 2 tahun! Maha suci Allah yang telah mengupayakan hamba-hamba pilihannya untuk melalui ranjau dan cabaran yang amat perit.


Dalam satu kisah dongeng, seekor musang yang kelaparan merayau-rayau mencari makanan, tiba-tiba sang musang terlihat daging ayam yang terhidang di satu penjuru. Tetapi makanannya itu tidak mudah untuk diambil kerana ianya berada dihujung lorong yang hanya mempunyai satu terowong sempit. Disebabkan kelaparan, musang cuba untuk meloloskan dirinya dari terowong itu. Dia berjaya dengan penuh kepayahan, lantas memakan hidangannya sehingga kekenyangan. Dia cuba untuk keluar tetapi tidak berjaya kerana perutnya sudah memboyot. Setelah letih mencuba akhirnya musang terfikir. Oh, baru aku ingat 'Masa itu sebahagian daripada ubat'. Lantas musang merehatkan diri serta menunggu sehingga perutnya kembali mengecil agar dia dapat keluar dari terowong tersebut. Begitulah, kadang-kadang masa adalah ubat yang paling sesuai untuk satu-satu penyakit. Orang yang sudah jenuh diubati mungkin penyembuhnya ialah masa iaitu dengan menungu mati. Kanak-kanak kecil jangan diajar berjalan ketika umurnya 2 bulan, sebab belum masanya untuk dia berjalan. Jadi tunggulah masa yang sesuai.


Daripada ibnu Abbas Radialllahu anhuma beliau berkata; telah berkata Rasulullah  :"Dua nikmat yang mana manusia sering terpedaya dengan kedua-duanya: kesihatan dan waktu lapang". (Hadis riwayat Bukhari). Nabi bersabda lagi yang bermaksud : "Rebutlah 5 peluang sebelum datang yang 5 perkara; waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibuk, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit, waktu kayamu sebelum datang waktu fakir, waktu hidupmu sebelum datang waktu mati.


Kita sebenarnya mengalami masalah dalam penjadualan masa yang tepat. Seringkali kita katakan pada diri dan juga sahabat-sahabat bahawa kita sangat sebuk dengan tugas harian. Apa yang pelik dalam tempoh yang sama kita masih sempat untuk meluangkan masa tidur kita lebih dari 8 jam! Masih sempat lagi kita berborak-borak dalam kadar surah al-Baqarah! Masih sempat lagi kita bershoping! Masih sempat lagi kita bermain! Jadi dimanakah tahap kesebukan kita yang sebenarnya? Dr. Abd Basit pernah menyebut: "Masa jika disempitkan ia akan menjadi luas dan jika di luaskan ia akan menjadi sempit". Jadi, dalam keadaan kita yang sedang sebuk dengan tugasan masing-masing, sama-samalah kita mengingati kembali masa lapang kita yang telah berlalu tanpa mendapat perhatian yang secukupnya.


Ungkapan seperti nostalgia, kenangan, zikrayat atau yang seumpamanya juga mempunyai kaitan dengan masa. Ketika saya masih menuntut di university seringkali kedengaran dari pelajar-pelajar tahun akhir ungkapan seperti: "Tak sangka betul, rasanya baru sekejap aku di Madinah, alih-alih dah nak balik sebulan lagi. Cepat betul masa berlalu!" Itulah sebenarnya masa yang tidak kenal erti penantian, siapa yang cepat dia berjaya siapa yang bertangguh dia akan kecewa. Begitulah juga orang yang malas akan kerugian dan orang yang leka akan menyesal. Bersama-samalah kita berdoa agar Allah mengurniakan keberkatan masa dan waktu kepada kita serta memberkati kita dalam apa jua pemberiannya. Hanya kepada Allahlah ku pohon taufiq dan hidayah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...