الوقت وعجائبه
Siri 1Kehidupan manusia punya hubung kait yang amat rapat dengan masa, tanpa masa siapalah kehidupan. Allah berfirman didalam al-Quran: "Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran." Imam Fakhrurrazi berkata dalam tafsirnya tentang surah al-Asr katanya; " Allah bersumpah dengan masa (iaitu zaman) kerana didalamnya beberapa keajaiban, kerana berlaku didalamnya kebahagian dan kesengsaraan, sihat dan sakit,kaya dan faqir, kerana sesungguhnya umur tidak dapat dinilai dengan sesuatu yang bernilai dan berharga'. Imam Syafie berkata; 'Kalaulah Allah tidak menurunkan kepada umat ini kecuali surah ini (al-asr) maka ianya sudah memadai.'
Peri pentingnya masa dalam kehidupan sehinggakan Allah Taa'la bersumpah dengan masa dalam 7 tempat di dalam al-Quran. Lihat surah al-Lail ayat 1-2, al-Muddathir ayat 33-34, at-Takwir ayat 17-18, aL-Insyiqaq ayat 16-17, al-Fajr ayat 1-2, ad-Dhuha ayat 1-2, al-Asr ayat 1-2. Sedia kita maklumi bahawa al-Quran tidak mengulangi sesuatu ayat atau apa-apa bentuknya kecuali untuk sesuatu yang amat penting. Umur manusia amat singkat seperti yang telah dikhabarkan oleh baginda Rasululullah bahawa tempoh umur umatnya ialah antara 60-70 tahun. Walau bagaimanapun dalam tempoh yang singkat ini berbanding umat-umat terdahulu ia mendapat keberkatan dan dilipat gandakan amal kebaikan mereka.
Masa didunia berbeza jaraknya dan sifatnya jika dibandingkan dengan akhirat. Allah menggambarkan dalam al-Quran bahawa sehari di alam akhirat menyamai 1000 tahun di dunia. Dan dalam ayat yang lain pula ianya adalah seperti 50,000 tahun didunia. Allah berfirman;
وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ""
Maksudnya; "Mereka itu meminta supaya disegerakan azab Allah, dan Allah tidak akan memungkiri janjiNYA, dan sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu itu seperti 1000 tahun dari apa yang mereka bilang" (al-Hajj : 40)
تَعْرُجُ الملائكة والروح إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ""
Maksudnya; " para malaikat dan jibrail naik kepadanya pada hari yang kadarnya menyamai 50,000 tahun" (al-Ma'arij : 4)
Lihat perbahasan ini dalam tafsir Adwa'ul Bayan karangan syeikh al-Amin Syanqiti. Kita tidak pernah terbayang dalam masa yang amat amat singkat ini ulama-ulama terkenal seperti Imam Bukhari, as-Syafie, an-Nawawi, dan selain mereka mendalami dan mempelajari ilmu, mengajari ilmu-ilmu tersebut kepada masyarakat, mengarang, dan sebagainya. Sedangkan dalam masa yang sama mereka adalah ahli ibadah yang hebat. Bilakah mereka tidur? Masa mereka bersama keluarga? Masa makan dan minum mereka? Itulah realiti kehidupan ulama' yang sentiasa mendapat keberkatan dalam ilmu, masa, harta dan segala-galanya yang dikurniakan Allah kepada mereka.
Pepatah melayu mengatakan: 'Masa itu emas'! Tidak semua orang memahami kata-kata hikmah ini dalam konteks pengamalan. Apalagi untuk memahami dan mengerti pepatah arab: 'Masa itu seperti pedang jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotongmu'. Dalam kehidupan sehari-hari, manusia hanya akan menghadapi satu detik yang tidak akan berulang selama-lamanya. Zaman mudanya hanya sekali, tuanya hanya sekali, dan matipun sekali, tiada yang kedua baginya. Apa yang dipertontonkan oleh Doraemon dan Nobita tentang mesin masa hanyalah imaginasi yang mustahil untuk terjadi. Lihatlah bagaimana orang-orang kafir ketika berada di alam akhirat? Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jika sekiranya kamu hai Muhammad melihat keadaan orang-orang kafir ketika dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata:"Alangkah baiknya jika kami dikembalikan ke dunia dan tidak mendustakan ayat-ayat tuhan kami serta menjadi orang-orang yang beriman.!"-al-An'am ayat 27-
0 comments:
Catat Ulasan