لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ. الحج
Ibadah ini disyariatkan melalui al-Quran, Sunnah dan Ijma'. Allah berfirman yang bermaksud; "Maka solatlah kepada tuhanmu dan berkorbanlah". Daripada Aisyah bahawasanya Nabi berkorban dengan 2 ekor kibas bertanduk baginda menyembelihnya dengan tangan baginda, membaca Bismillah dan kemudian bertakbir". Muttafaq Alaih.
Daripada ibnu Umar beliau berkata; "Adalah baginda Alaihissalam menyembelih berhampiran tempat solat". Hadis riwayat Bukhari. Daripada Zaid bin Arqam berkata; Telah berkata sahabat-sahabat Nabi; "Wahai Rasulullah apakah erti sembelihan ini?" Baginda bersabda; " ini adalah sunnah bapa kamu Ibrahim". Mereka berkata; "apa yang kami dapat daripadanya"? Nabi menjawab; "Dengan setiap helai bulu adalah satu pahala kebaikan. Mereka berkata; "sekeping kulitnya wahai Nabi"? Beginda menjawab; "Dengan setiap helai bulu dari kulitnya adalah satu pahala kebaikan". Riwayat imam Ahmad dan ibnu Majah.
Ulama berselisih pendapat dalam hukum berkorban,
Sebahagian mereka berpendapat hukumnya adalah wajib bagi mereka yang berkemampuan, ini merupakan pendapat Rabiah, Auzai', Abu hanifah, imam Ahmad dalam satu riwayat, dan pendapat sebahagian ulama Maliki. Mereka berhujah dengan ayat yang seperti di atas. Dan dari hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad daripada Nabi : "Barangsiapa yang mempunyai kemampuan kemudian tidak melakukan korban maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami". Ibnu Abdul Hadi berkata; isnadnya dikeluarkan oleh Sohehain.
Adapun pendapat kedua ; hukumnya adalah sunat bukan wajib, ini merupakan pendapat Jumhur ulama dengan berdalilkan kepada apa yang telah dikeluarkan oleh imam Muslim, Abi Daud, Tirmizi, Nasaie dan ibnu Majah dan lafaz dari Abi Daud. Daripada Ummu Salamah berkata; telah berkata Nabi; "Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih maka hendaklah dia, apabila datang anak bulan Zulhijjah, tidak mengambil (mencabut, memotong atau mencukur) dari rambutnya dan juga tidak memotong kukunya walaupun sedikit sehinggalah dia selesai menyembelih". Berpandukan hadis ini, Nabi menyebut dengan maksud sesiapa yang mahu menunjukkan ianya tidak wajib. Antara dalil yang paling kuat ialah hadis bahawa Nabi melakukan korban untuk dirinya dan ummat baginda. Maka dengan itu telah gugur kepada mereka (muslimin) kefardhuan korban. Ibnu Qayyim menyokong bahawa ianya adalah sunat dan melakukan korban lebih baik daripada bersedekah dengan nilainya. Daripada ibnu Umar berkata; "Nabi menetap di Madinah 10 tahun melakukan korban". Hadis direkodkan oleh Tirmizi dan dihasankannya.
Harus melakukan korban untuk si mati;
Perkara ini seperti sedekah untuk si mati, melakukan haji untuknya yang ianya harus menurut Syara'. Telah diriwayatkan bahawa Nabi menyembelih kibas sebagai korban lalu baginda bersabda; "Ini daripada Muhammad dan ahli keluarganya". Baginda menghadiahkan pahala sembelihan kibas itu untuk dirinya dan ahli keluarganya yang masih hidup ataupun sudah mati. Pengarang kitab Muharrar berkata; "Telah nyata datang daripada Nabi bahawa baginda melakukan korban dua ekor kibas….al-hadis. Kemudian pengarang muharrar berkata; "ini menunjukkan bahawa umat baginda samada yang masih hidup ataupun yang telah mati telah menerima manfaat dan pahala dengan penyembelihan baginda, jika tidak sudah pasti apa yang dilakukan baginda adalah sia-sia".
Syaikh al-Uthaimin berkata; "Sewajarnya perkara-perkara yang mungkin untuk diganti (diwakilkan) seperti sedekah sunat, membebaskan hamba, haji yang sunat jika dilakukan dan dijadikan pahalanya untuk si mati muslim maka ianya bermanfaat menurut Ijma'. Begitu juga sampai pahala kepada si mati seperti bacaan, solat dan puasa". Beliau berkata lagi; "hukum asal dalam ibadah korban ialah disyariatkan kepada mereka yang hidup sebagaimana baginda dan para sahabat menyembelih korban untuk mereka dan ahli keluarga mereka. Adapun apa yang disangkakan oleh orang awam dengan mengkhususkan korban untuk si mati maka itu tiada sandarannya. Beliau menjelaskan lagi; melakukan korban untuk si mati terbahagi kepada 3 bahagian;
1) Melakukan ibadah korban untuk mereka (si mati) sebagai mengikuti orang yang hidup. Contohnya seorang lelaki melakukan korban untuk dirinya dan ahli keluarganya dan meniatkan pahalanya untuk mereka yang masih hidup dan yang telah mati. Seperti yang dilakukan oleh Nabi.
2) Melakukan korban untuk si mati sebagai melaksanakan wasiatnya, ini berpandukan firman Allah yang bermaksud; "Maka kemudian sesiapa yang menukarkan mana-mana wasiat selepas dia mendengarkannya maka hanyasanya dosanya ditanggung oleh mereka yang menukarkannya, sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengetahui".
3) Menyembelihkan korban untuk orang mati sebagai suka rela (sedekah) tanpa bergabung dengan orang yang masih hidup, ini juga adalah harus. Ulama Hambali telah menyatakan bahawa pahalanya sampai kepada si mati dan si mati mendapat manfaat daripadanya dengan mengkiaskan perkara ini dengan sedekah untuk si mati. Akan tetapi kita tidak melihat ini sebagai sunat kerana Nabi tidak melakukannya khusus untuk si mati, tidak juga melakukannya untuk pakcik baginda Hamzah sedangkan Hamzah adalah kerabat baginda yang paling dimuliakan.
Waktu menyembelih korban;
Waktu ibadah korban bermula selepas solat Idul Adha 10 Zulhijjah sehinggalah hari yang ke 13 berpandukan kepada sabda baginda; "Semua hari-hari Tasyriq adalah hari menyembelih". Silsilah sohehah lil al-albani no 2476. Justeru sesiapa yang melakukan sembelihan sebelum selesai solat maka ianya tidak dikira sebagai korban! Bahkan ianya sekadar sembelihan biasa ataupun sedekah. Nabi bersabda; "Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (solat raya Idul Adha) maka gantikanlah sembelihannya dengan yang lain. Sesiapa yang belum melakukan sembelihan maka sembelihlah". Muttafaq alaih.
0 comments:
Catat Ulasan