من حكم الحج و مقاصده
Sesungguhnya dalam ibadah haji terdapat makna dan pengertian yang cukup agung, hikmah yang luas dan manfaat yang banyak. Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 28 yang bermaksud: "Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka". Maka pada kesempatan ini akan cuba disebutkan beberapa matlamat difardhukan ibadah haji kepada kita. Antaranya ialah:
1. Berserah diri dan patuh kepada Syariat Allah .
Berkata ibnu Qayyim: "Sesungguhnya asas pengabdian dan iman kepada Allah, kitab, dan RasulNya adalah penyerahan diri dan tidak banyak soal tentang hikmah disebalik suruhan, larangan dan syariat secara mendalam…"
2. Menegakkan kalimah Tauhid.
Sesungguhnya syariat yang amat besar ini tertegak di atas dasar Tauhid terhadap Allah Semata-mata. Bahkan atas tujuan inilah disyariatkan kepada orang yang melakukan haji agar melazimi talbiah dengan berkata; labbaaikallahumma labbaik ,labbaikalaa syariikalak labbaik innalhamda wanni`mata laka wal mulk. Atas tujuan yang sama jugalah disyariatkan agar kita membaca surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun pada dua rakaat solat sunat tawaf.
3. Mengagungkan Syiar-syiar Allah dan laranganNya .
Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Hajj ayat 32 yang bermaksud; "Demikianlah (perintah Allah) dan barangsiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati".
4. Kecintaan kepada Rasul .
Sesungguhnya kecintaan kepada Rasul membawa kepada amal yang bertepatan dengan Sunnah Rasulullah e dan beriltizam dengannya .Sabda Nabi ; "Ambillah dariku cara-cara mengerjakan haji".
5. Megingati hari pembalasan dan membayangkannya.
Apabila seorang haji meninggalkan tanahair dan menanggung kesusahan bermusafir, hendaklah dia mengingati bahawa dia akan keluar dari dunia yang fana ini menuju ke alam akhirat selepas daripada kematian, dan ketika dia berihram maka hendaklah dia mengingati kain kafan yang akan membalutinya. Manakala kesesakan manusia di Arafah, suara hiruk-piruk serta perbezaan bahasa mengingatkan kita kepada suatu mauqif hari pembalasan dan perhimpunan ummah di hari Mahsyar kelak.
Saudara yang dikasihi, marilah kita bertanya, sejauh manakah ibadah yang kita semua laksanakan tercapai matlamat dan hadafnya? Berlakukah perubahan demi perubahan dalam diri ke arah sesuatu yang bersifat positif? Wujudkah peningkatan dalam ibadah sehari-hari? Atau kita masih berada ditakuk yang lama? Masih tidak ada daya juang untuk menentang kejahilan diri? Masih mencemari ketelusan dan amanah ilmu yang terpikul?
Sahabat yang dikasihi, kita sekarang berada di penghujung tahun dan akan memasuki tahun yang baru. Segala amalan, samada yang baik mahupun yang buruk telah termaktub di dalam suhuf amalan masing2. Sesungguhnya kita tidak mampu untuk menambah amalan kebaikan pada suratan yang lepas, akan tetapi kita mampu bermohon supaya amalan buruk yang lalu diampunkan oleh Tuhan. Walaubagaimanapun, amalan kebaikan yang tidak boleh ditambah itu, boleh terhakis ganjarannya atau terhapus langsung dengan beberapa sebab yang dimaklumi.
"Kalaulah diturunkan al-Quran keatas gunung ganang nescaya kamu akan melihat ia tunduk patuh disebabkan ketakutan kepada Allah, dan demikianlah perumpamaan yang kami berikan kepada manusia semoga mereka termasuk dikalangan orang-orang yang berfikir". Maksud dari surah al-Hasyar ayat 21.
0 comments:
Catat Ulasan