RSS Feeds

Ahad, 21 Disember 2008

Sifat bakhil yang tercela

Daripada Abi Said al-Khudri telah bersabda Nabi; "Dua perkara yang tidak akan terhimpun pada seseorang mukmin; bakhil dan akhlak buruk"[1]. Dalam hadis yang lain Nabi bersabda; "Tidak akan berhimpun sifat kedekut dan keimanan dalam hati seorang hamba selama-lamanya"[2]. Adapun dalam soheh Muslim Nabi telah berdoa bermaksud: "Ya Allah sesungguhnya aku mohon perlindungan padamu daripada sifat penakut dan bakhil". Dalam hadis yang lain Nabi bersabda yang bermaksud;" Tiga perkara yang membinasakan; kebakhilan yang dituruti, hawa nafsu yang di ikuti dan berbangga dengan diri sendiri". Telah berkata cendiakawan; "Sesiapa yang bersifat bakhil maka dia telah mewariskan hartanya kepada musuhnya".


Beberapa kisah tentang orang bakhil

Ibnu Abbas meriwayatkan satu kisah katanya; seorang lelaki bernama al-Habahib merupakan seorang arab yang tersohor, dan dia seorang yang bakhil sehinggakan dia tidak menyalakan api pada malam hari kerana tidak mahu seseorang melihat api yang dipasang lantas mendapat manfaat daripadanya. Jika dia perlukan api untuk melihat dia akan menyalakan dan apabila sudah mendapat hajatnya maka dia terus memadamkan api itu".

Dikisahkan bahawa seorang lelaki yang kaya raya sentiasa memerhatikan pada setiap perkara kewangannya hinggakan kepada sekecil-kecil hartanya, pada satu hari dia membeli sesuatu keperluannya kemudian memanggil seorang buruh dan berkata; "Berapakah upahnya jika kamu mengangkat barangku ini?" si buruh berkata; "Sebiji lobak sahaja". Si bakhil berkata; "cis! Melampaunya, tidak mungkinkah kurang dari sebiji? Si buruh tidak dapat menjawab. Si bakhil berkata lagi; "kami sekeluarga membeli sebiji lobak kemudian kami semua berkongsi memakan sebiji lobak itu".


Bagaimanakah mengubati sifat bakhil?

Ketahuilah bahawa punca sifat bakhil adalah cintakan harta. Terdapat dua sebab seseorang itu mencintai harta;

1) Sukakan nafsu syahwat yang tidak akan tercapai kecuali dengan perantaraan harta serta angan-angan dan keinginan yang tinggi.

2) Seseorang itu mencintai setiap bentuk material. Sebahagian manusia mempunyai kadar harta yang mencukupi untuk meneruskan saki baki hidupnya jika dia meneruskan kehidupan seperti kelazimannya bahkan hartanya akan berlebih ribuan, dan dia seorang yang sudah tua tidak punyai anak akan tetapi tidak membenarkan dirinya mengeluarkan hartanya untuk kewajipan menguruskan dirinya, tidak juga mahu bersedekah yang ianya kan memberi manfaat kepada dirinya sedangkan dia mengetahui jika dia mati hartanya akan diambil oleh musuh-musuhnya ataupun akan hilang terhapus jika harta itu terpendam. Orang yang seperti ini janganlah diharap dapat disembuhkan penyakit bakhilnya.


Maka cara mengubati sikap bakhil ini ialah dengan sifat qana'ah dan sabar bagi menghilangkan kecintaan kepada nafsu syahwat. Mengubati angan-angan yang panjang dengan banyak mengingati mati. Ibnu Qayyim berkata; "Ketahuilah barangsiapa yang banyak kecintaannya kepada dunia maka akan banyaklah ditimpa musibah dengan kehilangan apa yang dicintainya. Barangsiapa yang mengetahui keburukan harta maka dia tidak akan berjinak-jinak dengannya. Barangsiapa yang tidak mengambil daripada harta kecuali kadar keperluannya kemudian dia menyimpannya untuk hajat dan keperluannya maka dia bukanlah seorang yang bakhil" wallahu a'lam.



[1] Riwayat Bukhari dalam Adab Mufrad, dan Tirmizi.

[2] An-Nasaie, al-Hakim dan Ahmad daripada Abi Hurairah dan merupakan hadis soheh.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...