RSS Feeds

Khamis, 25 Disember 2008

Kerana poligami

Ramai muslimin di Negara-negara arab secara umum mengamalkan poligami. Situasi ini amat berbeza jika dibandingkan dengan Negara kita Malaysia dan asian secara umum. Apabila disebut tentang poligami ramai muslimat yang menarik muka masam seolah-olah menunjukkan protes dengan menggunakan bahasa anggota mereka. Ramai juga kalangan mereka yang kononnya ilmuan secara emosi membincangkan isu ini dengan menonjolkan segala macam contoh negetif dan mengambil contoh-contoh yang bukan mithali.


Sewajarnya isu ini dilihat secara menyeluruh tanpa ada kecenderungan untuk mempertikaikan keharusan hukum ini pada asasnya. Permulaan surah an-Nisa' harus menjadi tumpuan kepada mereka yang bercita-cita untuk mengamalkan poligami, dengan memahami tafsiran ayat, mengetahui syarat-syarat dan sedar tentang kemampuan diri sendiri. Islam memelihara maslahah dan servival lelaki dan wanita, oleh itu sebarang unsur-unsur penindasan hak wajib dijauhi.


Masalah yang berlaku dewasa ini ialah, kita tidak melihat ramai contoh pengamal poligami yang baik lagi berjaya. Kewujudan rumah tangga bahagia amat sedikit nisbahnya. Apa yang sering berlaku ialah, isteri pertama diceraikan, isteri lama tidak diberikan hak-haknya secara adil, anak-anak mereka terabai tanpa perhatian sewajarnya, pergaduhan yang berterusan dan pelbagai ragam lagi yang semuanya berbau negetif. Selain daripada tabiat wanita itu sendiri yang lebih emosi, ditambah pula dengan sikap lelaki yang lebih nafsunya, faktor persepsi masyarakat juga mendorong kepada keruntuhan institusi poligami di Negara kita. Sikap prejudis umum kepada mereka yang dimadukan, tentangan golongan anti agama dikalangan sosialis, liberal, sekular dan lain-lainnya mendorong kepada suasana yang tidak harmoni.


Oleh itu, bagi mereka yang bercita-cita mengamalkan poligami ini pastikan mereka memiliki syarat yang cukup dan tidak menjadikan agama sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan-tindakan zalim mereka. Jangan sesekali menjadikan title agamawan sebagai batu loncatan untuk mengharuskan tindakan mereka walaupun mereka sebenarnya tidak layak. Kesan negetif yang dikhuwatiri ialah; para ustaz seluruhnya menjadi cemuhan akibat kezaliman yang berlaku dan yang lebih buruk dari itu hukum islam dipersalahkan! Orang akan berkata; "tengok, ustaz ni pandai cakapje, tapi habukpun idak, anak-anak terabai, isteri tidak mendapat hak zahir dan batin,….". Memang tidak semua kata-kata umum layak didengar, tetapi menjaga dan memelihara diri dari persepsi buruk juga adalah kewajipan.


Kerana ingin berpoligami, ada manusia yang sanggup menipu, kerana poligami ada manusia yang sanggup menzalimi, kerana poligami ada anak-anak yang tersisih, kerana poligami ada insan yang papa kedana, kerana poligami ada rumahtangga yang runtuh. Ini adalah sebahagian dari perkara-perkara negetif yang terhasil apabila orang yang masih belum layak berpoligami mengamalkannya. Jangan kita lupa, bahawa disana terdapat banyak perkara-perkara positif hasil dari poligami jika diamalkan dengan sempurna. Antaranya ialah; akan berkurang nisbah anak dara yang lanjut usia. Akan bertambah bilangan anak-anak islam yang berkualiti, akan muncul satu masyarakat yang mencintai keadilan, akan tercapai cita-cita si wanita untuk menjadi isteri dan banyak lagi. Apapun poligami itu lebih baik daripada berzina, fikir-fikirkanlah wahai isteri yang sayangkan suami.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...