RSS Feeds

Selasa, 30 Disember 2008

Mengenali Syaikh al-Hafiz Ibnu Kathir RahimahuLLah

Beliau ialah al-Hafiz, al-Muarrikh, al-Mufassir ; Ismail bin Umar bin Kathir bin Dhau' al-Qurasyi al-Dimasyqi. Dilahirkan tahun 701 Hijrah di Mijdal (salah satu tempat di tanah arab dikatakan berhampiran al-qasim) kemudian berpindah ke Damsyik bersama abangnya selepas kewafatan bapanya pada tahun 707 Hijrah. Telah menghafal al-Quran pada tahun 711 Hijrah iaitu ketika berumur 10 tahun. Mempelajari ilmu Qiraat dan mendalami ilmu Tafsir, telah menghafal matan at-tanbih dalam mazhab Syafie tahun 718 Hijrah. Beliau menghafal Mukhtasor ibnu Hajib dan seterusnya mempelajari ilmu fekah dengan Syeikh Burhanuddin al-Fazzari dan Syeikh Kamaluddin bin Qadhi Syabah.

Beliau kemudiannya telah menjadi anak menantu kepada al-Hafiz Abul Hajjaj al-Mizzi, mendalami ilmu hadis dengan bapa mertuanya, menemani gurunya Syaikhul Islam ibnu Taimiyyah dan beliau diberi tempat khas. Beliau mendalami ilmu Usul dengan al-Asfahani, mendengar hadis dari Ali bin Nasir ibnu as-Syirazi, Abul Qasim bin A'sakir dan ramai lagi. Syeikh ibnu Kathir juga mendalami ilmu Isnad, ILal, ilmu al-Rijal dan Tarikh sehinggalah beliau menekuninya dalam usia yang muda. Beliau memberi fatwa, mengajar dan berdiskusi sehinggalah beliau menjadi orang yang hebat dalam bidang Fekah, Tafsir dan Nahu.

Beliau menjadi tenaga pengajar di beberapa tempat antaranya ; Darul Hadis al-Asyrafiyah, Madrasah al-Solehiyyah, Madrasah al-Najibiyyah, Madrasah al-Tankiziyyah dan Madrasah an-Nuriyyah al-Kubra.


Sanjungan dan pujian ulama terhadap beliau;

Berkata imam az-Zahabi ; "Ismail bin Umar bin Kathir adalah imam, al-Faqih, al-Muhaddis, tersohor Imaduddin al-Syafie, Fakeh lagi mantap, beliau juga ahli Tafsir yang memiliki pelbagai karangan yang berfaedah, memahami bahasa arab dan usul, menghafaz beberapa Matan, Tafsir, nama-nama Rijal dan keadaan mereka, mendengar dariku dan beliau memiliki hafalan dan pengetahuan".(Mu'jam Muhaddisin 1/56)

Al-Hafiz ibnu Hajar pula berkata; " Ismail bin Umar bin Kathir as-Syaiekh Imaduddin dilahirkan tahun 700 atau lebih sedikit, bapanya wafat tahun 703 Hijrah, membesar di Damsyik, mendengar dari ibnu as-Syahnah, ibnu al-Zarrad, Syeikh Ishak al-Amidi, ibnu Asakir, al-Mizzi, ibnu al-Ridho', berkerja keras dalam bidang hadis, Matan dan Rijalnya, menghimpunkan Tafsir, menghimpunkan al-Tarikh yang dinamakan al-Bidayah Wan Nihayah, menghimpunkan Tobaqat as-Syafieyyah, mengeluarkan hadis-hadis hukum, hadis-hadis Mukhtasor ibnu al-Hajib, mula mensyarah Soheh Bukhari, mendampingi al-Mizzi dengan membaca Tahzib al-Kamal, mengahwini anak perempuan al-Mizzi, mendalami ilmu dari ibnu Taimiyyah sehingga beliau terfitnah dengan kecintaan beliau terhadap ibnu Taimiyyah, di fitnah dan di uji dengan sebab gurunya itu…."al-Durar al-Kaminah Fi A'yan al-Mi'ah al-Thaminah" (1/445)


Mazhab beliau;

Beliau menuntut ilmu Fekah daripada ulama Syafieyyah, menghafal kitab-kitab mereka, menulis kitab-kitab khas tentang mereka. Pada ketika itu Mazhab Syafie adalah yang tersebar di bumi Syam (Syiria, Jordan, Palestin dan Lubnan) dan Mesir. Imam as-Subki berkata; dua iklim ini (Syam dan Mesir) sehinggalah ke Iraq adalah pusat pemerintahan Mazhab Syafie". (Tobaqat as-Syafieyyah al-Kubra : 1/326).

Sebab itu bukanlah suatu yang pelik apabila ibnu Kathir berMazhab Syafie dan kewujudan ulama-ulama Syafie yang ramai ini tidak bererti menafikan kewujudan Mazhab-Mazhab lain di Syam. Sebagaimana Mazhab Hambali juga wujud sebagai contoh Syeikh Abdul Ghani al-Maqdisi dan keluarganya, begitu juga keluarga ibnu Taimiyyah dan ulama-ulama dari Mazhab yang lain.


Kewafatan al-Imam ibnu Kathir;

Beliau meninggal dunia pada bulan Sya'ban tahun 774 Hijrah, setelah jatuh sakit pada penghujung usianya. Semoga Allah merahmati al-Hafiz ibnu Kathir dan menempatkan beliau di syurga Firdaus bersama para Anbiya dan Solehin. Amin.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...