RSS Feeds

Jumaat, 12 Disember 2008

Mengenali Syeikh Nasyiruddin al-Albani

Beliau dilahirkan pada tahun 1333 Hijrah bersamaan 1914 Masihi di Asyqudrah ibu Negara Albania dalam satu keluarga miskin yang kuat beragama dan berilmu pengetahuan. Kemudian beliau bersama bapanya berhijrah ke Damsyik selepas negaranya cenderong kepada fahaman sekular dari barat. Menamatkan pengajian sekolah rendahnya di Damsyik dengan cemerlang. Disebabkan cadangan bapanya akhirnya beliau meninggalkan pendidikan formal dan mengalihkan tumpuan kepada pendidikan sistem lama untuk mempelajari al-Quran, Tajwid, Nahu, Sorof, Fekah mazhab Hanafi dan mengkhatamkan hafazannya di tangan ayahnya. Mempelajari fekah Hanafi dan Balaghah dengan Syeikh Said al-Burhani. Di samping itu beliau juga menpelajari kemahiran membaiki jam tangan dari bapanya yang akhirnya menjadi punca pendapatan hidup beliau.


Cenderong kepada ilmu hadis;

Beliau mula mempelajari ilmu hadis ketika berumur 20 tahun akibat terkesan dengan perbahasan yang ditulis di majalah al-Manar dibawah penyeliaan Syeikh Muhamad Rasyid Redho. Penyelidikan hadis beliau yang pertama ialah menulis kitab ; "Takhrij Ihya' karangan al-Hafiz al-Iraqi". Ini merupakan permulaan yang menjadi pembuka kebaikan kepada riwayat hidup beliau sehingga beliau terkenal sebagai orang yang mengutamakan bidang hadis. Sehinggalah perpustakaan az-Zohiriyyah yang berpusat di Dimasyq menyediakan bilik khas untuk beliau supaya dapat menyumbang dalam penyelidikan kajian ilmiah. Disamping itu beliau juga diberikan kunci perpustakaan tersebut sehingga beliau boleh memasukinya pada bila-bila masa. Sementara karangan beliau yang pertama pula ialah kitab; "Tahzir as-Sajid Min Ittikhoz al-Qubur masajid", kitab Takhrij beliau yang pertama pula yang sehingga sekarang masih dalam manuskrip ialah; " الروض النضير في ترتيب و تخريج معجم الطبراني الصغير" . Disebabkan penglibatan beliau yang aktif dalam bidang hadis beliau amat terkesan dengan Manhaj Salaf selain penelitian beliau terhadap karangan-karang aibnu Taimiyyah dan ibnu Qayyim.


Penglibatan beliau dalam bidang dakwah;

1) Beliau mempunyai Kuliah ilmu yang diadakan 2 kali dalam seminggu yang dihadiri oleh pensyarah-pensyarah dan penuntut ilmu. Mengajar kitab "Fathul Majid", al-Raudhah al-Nadiyah Syarah al-Durar al-Bahiyyah karang as-Syaukani yang di Syarah oleh Siddiq Hasan Khon, Usul Fiqh karangan Abdul Wahab Khilaf, Fiqh Sunnah karangan Sayyid Sabiq dan lain-lain lagi.

2) Pengajian bulanan beliau setiap minggu pertama dikawasan-kawasan Syiria dan Jordan yang akhirnya menjadi sebab kepada pemenjaraan beliau. Pada tahun 1960 Masihi beliau dipenjarakan oleh kerajaan Syiria sebanyak dua kali. Pertama di penjara Damsyik (penjara yang sama ketika ibnu Taimiyah dipenjarakan) penjara yang kedua di al-Hiskah selama 8 bulan dan dalam tempoh ini beliau mentahqiqkan kitab "Mukhtasor Soheh Muslim karangan al-Munziri".

3) Kuliah Syariah Damsyik telah memilih beliau untuk menjalankan kajian dalam bidang Takhrij hadis-hadis buyu' (jual beli) dalam kitab Encyclopedia Fikh al-Islami.

4) Dipilih sebagai anggota untuk Lajnah Hadis bagi menyebarkan kitab-kitab sunnah yang di bina pada zaman kesatuan antara Syiria dan Mesir .

5) Kementerian pendidikan di Arab Saudi telah menjemput beliau pada tahun 1388 Hijrah untuk mengetuai Jabatan dirasah islamiah di Jamiah Mekah, akan tetapi disebabkan oleh beberapa aral beliau tidak dapat menerimanya.

6) Terpilih sebagai anggota majlis tertinggi Universiti Islam Madinah Munawwarah dari tahun 1395-1398 Hijrah.

7) Pergi ke Negara Qatar dan menyampaikan ceramah dengan tajuk (Kedudukan as-Sunnah dalam islam).

8) Di jemput menghadiri pelbagai muktamar ilmi yang sebahagiannya tidak dapat dihadiri kerana kesebukan beliau.

9) Beliau memiliki karangan-karangan yang banyak dan bermanfaat dalam bidang keilmuan yang sebahagiannya diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Antara karangan-karangan beliau ialah; "Irwa' al-Ghalil Fi Tahkrij Ahadis Manar as-Sabil" , Silsilah Ahadis as-Sohehah, Silsilah Ahadis al-Dhoefah Wal Maudhu'ah", Sifat Solat an-Nabi" dan lain-lain lagi.

10) Majlis pemilihan untuk penganugerahan Malik Faisol International Li ad-Dirasah al-Islamiah telah menjadikan beliau sebagai tokohnya pada tahun 1419 Hijrah bersamaan 1999 Masihi dengan tajuknya;

" الجهود العلمية التي عنيت بالحديث النبوي تحقيقاً و تخريجاً و دراسة" لفضيلة الشيخ محمد ناصر الدين الألباني السوري الجنسية"


Pujian terhadap Syeikh al-Albani;

1) Syeikh al-Allamah Abdul Aziz bin Bazz berkata; "aku tidak melihat orang yang lebih alim dari al-Albani dimuka bumi ini pada zaman sekarang".

2) Syeikh al-Allamah Muhamad bin Soleh al-Uthaimin berkata; "apa yang aku tahu sepanjang pergaulanku yang sedikit ini dengan beliau, merupakan seorang yang bersungguh-sungguh mengamalkan Sunnah, menentang bidaah, samada dalam akidah ataupun amalan, adapun sepanjang pembacaanku terhadap karangan-karangan beliau maka aku tahu bahawa beliau memiliki ilmu yang banyak dalam al-Hadis Riwayah dan Dirayah, dan Allah telah memanfaatkan kitab-kitab beliau kepada manusia dari sudut ilmu dan manhaj".

3) Berkata Syeikh Abdul Aziz al-Hadah; "as-Syeikh al-Amin as-Syanqiti sangat menghormati Syeikh al-Albani dengan begitu pelik, sehinggakan apabila beliau melihat Syeikh al-Albani melintasi pengajiannya di Masjid Mabawi maka Syeikh al-Amin akan berhenti dari mengajar kemudian datang bersalam dengan al-Albani sebagai penghormatan."


Wasiat terakhir Syeikh al-Albani;

Aku mewasiatkan isteriku, anak-anakku, teman-temanku dan semua yang menyukaiku apabila sampai berita tentang berita kematianku maka berdoalah memohon keampuanan dan rahmat untuk aku, pertamanya; hendak dia tidak menangis meratapi kematianku dengan suara yang tinggi.

Yang kedua; Hendaklah mereka mempercepatkan pengebumianku, dan tidak memberitahu kerabat-kerabatku dan saudaraku kecuali dengan kadar patut dan yang memandikan jenazahku ialah (Izzat Khidir Abu Abdillah) merupakan jiranku dan temanku.

Ketiga; Aku memilih untuk dikebumikan di tempat yang paling hampir, supaya orang boleh menbawa jenazahku tanpa menggunakan kenderaan. Dan aku wasiatkan maktabahku (perpustakaan) semuanya samada yang dicetak, fotostet, ataupun yang masih manuskrip kepada University Islam Madinah al-Munawwarah kerana aku mempunyai kenangan-kenangan yang baik selama aku mengajar di sana dalam berdakwah kepada al-Quran dan Sunnah atas Manhaj Salaf as-Soleh."

Ditulis pada; 27 Jumadil Awwal 1410 Hijrah,


Kewafatan;

Beliau kembali ke Rahmatullah sebelum hari Sabtu 22 Jumadil Akhir 1420 Hijrah bersamaan bulan Oktober 1999 Masihi. Dikebumikan selepas solat Isya'. Jenazah beliau di solatkan oleh ribuan muslimin sekalipun dalam masa yang singkat pengurusan jenazah dilakukan untuk pengebumian segera. Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkannya bersama-sama para Syuhada' dan Solehen, Amin.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...