RSS Feeds

Selasa, 4 November 2008

Siapakah Tijani?!!

Pengaruh dan fahaman sufi mula berkembang luas ke pelusuk alam pada kurun ke-3 hijrah dengan mengalami pelbagai penyelewengan demi penyelewengan ke arah kesesatan akidah yang amat parah. Bermula sebagai satu usaha atau jalan tarbiyah jiwa sehinggalah bercampur aduk dengan falsafah-falsafah hindu, parsi dan yunani yang karut-marut. Mereka menjadi fanatik dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mereka mengasingkan 3 perkara asas dalam beribadah :

1- Kasih yang sempurna

2- Pengharapan yang sempurna

3- Ketakutan yang sempurna


Ulama salaf pernah berkata : "Sesiapa yang menyembah Allah dengan kasih sayang semata-mata, sesungguhnya dia telah menjadi seorang zindiq, sesiapa yang menyembah Allah dengan harapan semata-mata, maka dia telah menjadi murjia`h dan sesiapa yang menyembah Allah dengan sifat takut semata-mata, maka dia adalah khawarij ".


Antara cabang-cabang yang wujud dalam sufi ialah mereka yang dikenali sebagai Tijaniah. Mereka memiliki sejumlah pemikiran dan i`tiqad sufi ditambah pula dengan satu kepercayaan bahawa mereka berkemampuan untuk bertemu dengan Nabi secara hakiki di dunia dan Nabi telah mengkhususkan kepada mereka sejenis selawat yang dinamai ( صلاة الفاتح لما أغلق ) “ Pembuka bagi sekelian yang tertutup “. Dan perkara ini mendapat tempat yang amat agung di sisi mereka.


Diasaskan oleh Abul Abbas Ahmad bin Mohammad bin Mokhtar bin Ahmad bin Mohammad Salim at-Tijani yang hidup sekitar tahun 1150 - 1230 Hijrah bersamaan 1737 - 1815 Masihi. Dilahirkan di al-Jazai`r ( Algeria ). Mula mengasaskan kumpulan ini pada tahun 1196 H. Kitab rujukan penting tarikat ini ialah Kitab yang dihimpunkan oleh anak muridnya bernama `Ali Harazim diberi nama :

جواهر المعاني وبلوغ الأماني في فيض سيدي أبي العباس التيجاني


:: Pemikiran dan I`tiqad

1)11) Secara umumnya mereka beriman dengan Allah SWT tetapi telah bercampur keimanannya dengan perkara-perkara syirik yang amat banyak.

2) 2) Menyamai tarikat-tarikat sufiah secara umum dari segi pegangan dengan i`tiqad-i`tiqad sufi, pemikiran dan falsafahnya. Antaranya keimanan mereka dengan kepercayaan ( al-hulul ) (1).

3) Membahagikan perkara ghaib kepada dua. Ghaib Mutlak yang tertentu dengan keimanan kepada Allah dan Ghaib Muqayyad. Jenis ini (Ghaib Muqayyad) tidak diketahui oleh sebahagian makhluk tetapi diketahui oleh sebahagian yang lain. Jenis Kedua ini banyak dinisbahkan kepada guru-guru mereka. Antara pendakwaan mereka ialah dibukakan hijab untuk guru-guru mereka, mereka mendakwa tentang guru Tijani dengan berkata: "Antara kesempurnaan Baginda RadhialLahu `Anhu ialah ketajaman penglihatannya yang rabbani dan firasatnya yang nurani yang nyata ianya bertepatan dan benar dalam mengenali hal-hal sahabat dan hal-hal yang lainnya seperti mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi dan perkhabaran-perkhabaran ghaib, mengetahui kehendak dan hajat, mengetahui apa yang akan terjadi antara kemaslahatan dan kerosakan serta lain-lain perkara yang telah terbukti kebenarannya". (2)

4) 4) Mendakwa bahawa pengasas mereka bertemu dengan Nabi secara hakiki atau yaqazah (secara sedar) dan Nabi bercakap dengannya dan beliau belajar dengan Nabi Selawat Fatih yang lafaznya :

(اللهم صل على سيدنا محمد الفاتح لما أغلق والخاتم لما سبق ، ناصر الحق بالحق ، الهادي إلى صراطك المستقيم ، وعلى آله حق قدره ومقداره العظيم)


:: Beberapa kepercayaan tentang selawat ini :

1) Nabi SAW memberitahu bahawa sesiapa yang membacanya sekali menyamai dengan mereka yang menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak enam kali.

2) Kali kedua Nabi mengkhabarkan, barangsiapa yang membacanya sekali ia menyamai semua bentuk zikir, doa yang besar atau kecil dan sama seperti orang yang menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak 6000 kali. (3)

3) Kelebihan ini terhasil dengan syarat pengamalnya mendapat keizinan langsung untuk membacanya dan ia melibatkan silsilah nasab ( ijazah ) sampai kepada Ahmad at-Tijani.

4) Selawat ini adalah kalam Allah dengan kedudukannya sebagai Hadis Qudsi.


:: Antara I'tikad dan kepercayaan mereka yang lain ialah:

1) Beranggapan bahawa pengikut-pengikutnya akan mendapat beberapa keistimewaan pada Hari Qiamat. Antaranya :

a- Diringankan daripada azab seksaan.

b- Dipayungi oleh Allah dengan `ArasyNya.

c- Mendapat perbatasan khas untuk mereka beristirehat di Mahsyar.

d- Mereka bersama-sama dengan orang yang aman (آمنين) di pintu syurga. Mereka memasukinya serentak dengan Nabi dan sahabat-sahabat karib Baginda.

2)

Mereka mendakwa bahawa Nabi Muhammad telah melarang Ahmad at-Tijani daripada bertawassul / bertawajjuh dengan Asma` al-Husna dan memerintahkannya agar bertawajjuh dengan Selawat Fatih dan Nabi sebelumnya memang belum pernah menyuruh mana-mana sahabat untuk berbuat demikian.

3) Seperti tarikat-tarikat yang lain, mereka meneruskan tawassul dengan zat Nabi dan orang-orang soleh yang telah mati.

4) Mereka mendakwa bahawa Ahmad at-Tijani adalah wali yang terakhir.

5) at-Tijani berkata : Sesiapa yang melihat aku maka dia masuk syurga.

6) Mereka menaqalkan daripada Ahmad at-Tijani bahawa dia berkata : "Setiap ilmu yang diberikan kepada `ulama diberikan juga kepada aku".

7) Beliau juga berkata : Jika ditimbang (أقطاب) wali kutub segolongan sahabat-sahabat beliau dengan umat Muhammad seluruhnya maka tidak lebih seluruh umat muhammad ini hanyalah seperti sehelai rambut salah seorang daripada pengikutnya.

8) Katanya lagi : "Sesungguhnya dua tapak kaki aku ini berada di atas tengkuk setiap para wali dari awal penciptaan Adam sehinggalah ditiupkan sangkakala ( Hari Qiamat )".

9) Beliau mendakwa dirinya berada pada maqam kenabian pada Hari Akhirat.


:: Penyebaran dakwah dan tempat-tempat yang menjadi sasaran

1) Gerakan ini bermula di Fas ( Algeria ) kemudian membiak pesat sehingga mempunyai pengikut yang ramai di Maghribi, barat Sudan, Nigeria, utara Afrika dan Mesir.

2) Pengarang kitab ( at-Tijaniah ) Ali bin Mohd ad-Dakhilullah menganggarkan pada tahun 1981 Masihi bilangan pengikutnya di Nigeria sahaja mencecah 10 juta orang.


:: Kesimpulan

Sesungguhnya pengikut tarikat Tijaniah adalah golongan yang melakukan bida`ah. Dalam hal-hal ibadah, semua perkara-perkara bida`ah itu adalah sesat. Mereka telah membawa satu pengkhususan doa yang tertentu yang sama sekali tidak wujud dalam syara`. Mereka menyuruh manusia dengan satu kelaziman dalam ibadah-ibadah tertentu pada waktu-waktu yang tertentu tanpa bersandarkan kepada asas dan dalil. Lebih parah dari itu, mereka memiliki i`tiqad yang boleh membawa kepada kemurtadan pendokong-pendokongnya dari agama Islam seperti i`tiqad dengan al-Hulul wa al-Ittihaad.


:: Kamus Kalimah :

1) al-Hulul: Satu tanggapan bahawa Allah itu bebas berada di mana-mana jua tempat.

2) al-Ittihad: Merupakan sebahagian akidah penyembah berhala yang telah menyelinap masuk ke dalam dunia Islam dengan membuang/menafikan perbezaan yang wujud antara al-Khaliq ( Allah ) dan makhluk dengan tanggapan bahawa tiada yang wujud di alam maya ini kecuali ia adalah Allah.

3) Aqtob: Salah satu daripada tingkatan martabat para wali di kalangan pengamal sufi.

4) Zindiq: Lafaz farsi yang telah dijadikan Bahasa `Arab. Bermaksud Setiap "insan yang ragu-ragu dengan agama atau mengingkari sesuatu yang terkandung di dalamnya atau orang yang mengambil mudah dalam mengerjakan ibadah".

(1) Lihat kitab mereka (Jawahirul Ma'ani) 1 / 191.

(2) Jawahirul Ma'ani 1 / 93.

(3) Jawahirul Ma'ani 1 / 136.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...