RSS Feeds

Isnin, 4 Januari 2010

Ketika Di Penjuru Ka'abah


Mereka berempat adalah Urwah bin Zubair, Mus'ab bin Zubair, Abdullah bin Zubair dan Abdullah bin Umar Al-Khattab.3 daripada mereka adalah adik beradik yang merupakan anak kepada Sahabat Nabi: Zubair bin Awwam,seorang pahlawan yang gagah perkasa yang disebut oleh Nabi;((Setiap nabi mempunyai hawari (penolong) dan penolongku adalah Zubair bin Awwam)).


Ketika mereka berempat ini duduk di satu penjuru Kaabah berhampiran Hijir Ismail dan sedang berbicara, tiba-tiba salah seorang daripada mereka berkata:"Setiap orang daripada kita mintalah kepada Allah apa yang dia inginkan". Maka berkatalah Abdullah bin Zubair;"Cita-cita aku ialah menguasai bumi Hijaz (Madinah, Mekah, Jeddah & Toif) dan aku menjadi seorang khalifah".


Kemudian berkatalah pula adiknya Mus'ab bin Zubair; "Adapun aku, aku bercita-cita untuk menguasai 2 bumi Iraq (Basrah dan Kufah) tiada seorangpun yang menggugat aku di dua tempat itu serta berjaya mengahwini Aishah binti Tolhah dan Sakinah binti Hussain[1]".


Urwah bin Zubair pula berkata; "Adapun aku, bercita-cita untuk menjadi seorang yang alim (berilmu), beramal dan manusia mengambil dan mempelajari daripada aku kitab Allah, sunah Nabi, dan hukum hakam Tuhan".


Adapun Abdullah bin Umar pula berkata: "Aku mengharapkan keampunan Allah".


Demikianlah sembang-sembang mereka berempat yang didengari oleh Allah, yang sekalipun jika disembunyikan kata-kata itu didalam hati, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui samada yang zahir mahupun yang batin. Masa terus berlalu dan besarlah mereka berempat.


Abdullah bin Zubair;

Tiba-tiba Abdullah bin Zubair telah di angkat dan di bai'ah sebagai Khalifah selepas kematian Yazid bin Muawiyah. Abdullah memerintah bumi Hijaz, Yaman, Mesir, Khurasan dan Iraq. Memegang jawatan Khalifah daripada tahun 64-72 Hijrah dan akhirnya beliau mati dibunuh berhampiran Ka'abah tidak jauh daripada tempat beliau dan 3 sahabatnya yang lain membicarakan soal cita-cita mereka semasa kecil. Tentera Al-Hajjaj bin Yusuf As-Thaqafi dibawah arahan Abdul Malik bin Marwan telah mengepung Mekah dan akhirnya Berjaya membunuh Abdullah bin Zubair yang pada ketika itu khalifah. Maka tamatlah pemerintahan Abdullah bin Zubair pada tahun 73 Hijrah dan pemerintahan beliau hanya bertahan selama 8 tahun sahaja.


Mus'ab bin Zubair;

Adapun Mus'ab bin Zubair, pemuda kacak & berani. Beliau telah menjadi pemerintah (gabenor) di Iraq setelah dilantik oleh abangnya Abdullah bin Zubair. Akhirnya beliau juga mati dibunuh di Iraq dalam satu peperangan. Sementara Abdul Malik bin Marwan, beliau telah berjaya menjadi khalifah orang Islam selepas kematian ayahnya (Marwan bin Hakam) dan berjaya menjatuhkan pemerintahan Abdullah bin Zubair.


Abdullah bin Umar Al-Khattab

Beliau dilahirkan pada tahun kedua selepas perutusan Nabi sebagai Rasul.Wafat pada tahun 74 Hijrah ketika berumur 84 tahun di Makkah Al-Mukarramah. Merupakan Sahabat Nabi yang terakhir yang wafat di Mekah. Beliau adalah Sahabat Nabi yang mengikuti bapanya berhijrah ke Madinah tatkala umurnya 10 tahun. Mengikuti peperangan Khandak pada tahun 6 hijrah dan umurnya baru 15 tahun. Bersama Nabi ketika Bai'ah Ridzuan, mengikuti peperangan Qadisiyyah dan Yarmuk. Beliau mempunyai pendirian yang tersendiri dalam masalah baiah kepada Abdullah bin Zubair. Menasihati Husain bin Ali bin Abi Tolib berkali-kali agar tidak keluar meninggalkan Mekah untuk menerima bai'ah di Iraq.


Bagaimana pula dengan kisah hidup Urwah bin Zubair?

Mari kita kenali Urwah bin Zubair dan kisah hidupnya secara terperinci.Beliau dilahirkan pada penghujung pemerintahan Umar al-Khattab tahun 23 Hijrah dalam satu rumah yang mulia. Ibunya adalah Asma' binti Abu Bakar Al-Siddiq. Bapanya pula adalah Zubair bin Awwam salah seorang diantara 10 Sahabat Nabi yang dijamin syurga. Pembantu Nabi Muhammad. Orang pertama yang menghunuskan pedangnya untuk jihad. Nenek beliau dari sebelah bapanya pula adalah Sofiyyah binti Abdul Muttalib. Sementara itu Aishah binti Abu Bakar Ummul Mukminin pula adalah makciknya sebelah ibu.


Supaya Urwah dapat mencapai apa yang di cita-citakannya ketika mereka menyatakan hasrat masing-masing berhampiran Kaa'bah, beliau berpenat lelah belajar dan menjejaki saki baki Sahabat Nabi yang masih hidup untuk mendapatkan ilmu, mendampingi mereka, bersolat dibelakang mereka, menadah ilmu dengan mereka dan lain-lain lagi. Sehinggalah beliau telah meriwayatkan hadis daripada Ali bin Abi Tolib, Abdul Rahman bin Auf, Zaid bin Thabit, Abu Ayub Al-Ansori, Usamah bin Zaid, Abdullah bin Abbas dan Nukman bin Basyir. Beliau juga banyak mengambil ilmu daripada makciknya sendiri iaitu Ummul Mukminin Aisyah bte Abu Bakar As-Siddiq.


Sehinggalah Urwah bin Zubair akhirnya menjadi salah seorang daripada 7 Fuqaha Madinah yang masyhur dan menjadi rujukan umat islam dari seluruh pelusuk dunia yang datang ke Madinah. Bukan sekadar ilmu,bahkan beliau juga terkenal dengan amalannya yang soleh dan amat banyak. Sering berpuasa pada siang hari, melakukan qiyamullail dan lidahnya sentiasa dibahasahi dengan zikir. Sentiasa membaca Al-Quran. Pada siang hari beliau akan membaca 1/4 al-Quran dengan melihat mushaf. Manakala pada malamnya pula beliau akan membaca Al-Quran itu dalam solatnya di qiyammuallail dengan hafalannya.


Demikianlah kehebatan beliau yang tersembunyi daripada orang ramai. Kecintaannya kepada ilmu dan ibadah menjadikannya salah seorang Ulama agung yang terkenal dikalangan Para Tabien.


Beliau amat mementingkan tarbiyah anak-anaknya. Antaranya,beliau telah melatih dan mendidik anak-anaknya agar menuntut ilmu-ilmu syarak. Beliau pernah berkata kepada anak-anaknya; "Wahai anakku, pelajarilah ilmu sesungguhnya jika kamu menjadi orang bawahan kepada kaummu nanti, mudah-mudahan Allah akan menjadikan kamu dengan ilmu yang kamu miliki itu sebagai orang yang besar dan disanjung dikalangan kaummu"..…ah! betapa buruknya, adakah didunia ini orang yang lebih buruk daripada orang tua yang jahil?


Banyak kisah-kisah menarik tentang beliau, antaranya ialah sifat sabarnya yang sepatutnya menjadi contoh ikutan kepada mereka yang ditimpa musibah. Kakinya terpaksa dipotong kerana sakit, sementara seorang anaknya pula mati. 2 musibah menimpanya dalam masa yang sama. Tetapi Urwah berkata; " Ya Allah engkau telah mengambil salah satu anggotaku, tetapi engkau masih tinggalkan anggota-anggota badanku yang lain, engkau telah ambil seorang anakku tetapi engkau masih tinggalkan anak-anakku yang lain, Alhamdulillah".


Setelah 71 tahun beliau hidup didunia dalam suasana takwa, ilmu iman dan amal, ajal datang menjemputnya sedang beliau ketika itu dalam keadaan berpuasa. Ahli keluarganya memohon dan merayu agar beliau membatalkan sahaja puasanya, akan tetapi beliau enggan. Maka beliau telah meninggal dunia dalam keadaan beliau masih berpuasa. Semoga Allah merahmati Urwah bin Zubair dan menempatkan beliau bersama para Anbiya, syuhada dan solehin di syurgaNYA.


"Ya Allah yang Maha Pengurnia, kami semua bermohon agar dikurniakan syurgaMU dan apa-apa yang mendekatkan kami kepada syurgaMU daripada perkataan kami mahupun perbuatan, Amin Ya Rabbal A'lamin".


*Kisah ini disebut oleh Az-Zahabi dalam Siyar A'lam 4/140 Tarjamah Mus'ab bin Zubair. Helyah Auliya karangan Abi Nuaim 2/171. Uyun Akbar oleh Ibnu Qutaibah tanpa sanad dan dengan pengkisahan yang agak berbeza.


[1] Mereka berdua adalah terkenal sebagai wanita tercantik di Tanah Arab ketika itu.

3 comments:

pecinta_Islam berkata...

salam ziarah tuan rmh..hmm..knp x letak chat box?
:)

ManaratulHuda berkata...

terima kasih yeopmadiny .. pertama kali baca kisah ni .. terus menyumbang .. berkat ilmu n amal insya allah.

DAKWAH YEOP berkata...

ana dah letak dulu akhi syahbandar,,tapi macam menimbulkan fitnah shaja...ana fikir lebih baik tiada utk maslahat semua. syukran

syukran laka ustaz ahmad,,,sokongan anda diperlukan,,jgn lari:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...