RSS Feeds

Selasa, 15 Julai 2008

Aset Anda Adalah Solat

رأس مالك الصلاة

Firman Allah yang bermaksud: "Sesunguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. yang mana mereka itu Khusu' di dalam solat." Nabi bersabda yang bermaksud: "Perjanjian diantaraku dengan mereka ialah solat barangsiapa yang meninggalkannya maka dia telah kafir"


Solat adalah tiang agama ia merupakan aset yang paling bernilai bagi individu muslim. bagaimana tidak, sedangkan pensyariatannya berlaku dalam satu kisah khas yang di sebut mikraj. solat juga merupakan faktor utama yang dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.


Dalam membincangkan masalah solat, kita menyedari bahawa disana terdapat beberapa arahan supaya kita melakukan solat secara berjemaah. Itulah sebabnya didirikan masjid, di laungkan azan, dilantik imam dan juga muazzin. Sememangnya wujud khilaf ulama' dalam menentukan kewajipan solat secara berjemaah, tetapi haruslah ianya dikaji dan diteliti dengan penuh keinsafan dan pertimbangan yang adil berpandukan kepada Nas yang Qat'ie.


Sebagai penuntut ilmu syarie, peribadi yang ditonjolkan seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat umum tidak kira dalam apa jua sudut, lebih-lebih lagi dalam isu solat jemaah. Sudah pasti kita merasa malu jika orang awam lebih terkedepan berbanding ulama' dalam isu solat jemaah. Kita berhenti sejenak bermuhasabah memikirkan bersama persoalan ini.


Terdapat banyak fadhilat yang disebut oleh nabi bagi mereka yang solat berjemaah. Saya sebutkan di sini secara ringkas antaranya ialah:

-Mereka akan termasuk diantara salah satu daripada 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari Qiamat kelak. Imam an-Nawawi berkata ketika menerangkan tentang maksud hadis

(ورجل قلبه معلق بالمساجد ) maknanya ialah dia sangat mencintai masjid , melazimi solat berjemaah di dalamnya dan bukanlah ia membawa maksud duduk sahaja di dalam masjid.


-Allah mengurniakan keampunan dan mengangkatkan darjat bagi setiap langkah orang yang berjalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Bahkan Nabi bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan suci untuk melakukan solat fardu secara berjemaah maka ganjarannya seperti orang yang berihram haji." –hadis hasan riwayat Imam Ahmad dan Abi Dawud-


-Para malaikat mendoakan keampunan dan rahmat bagi orang-orang yang duduk di dalam masjid menunggu untuk mendirikan solat berjemaah.


-Ganjaran yang amat besar di sediakan Allah bagi orang yang berada di barisan hadapan ketika solat. hadis nabi yang bermaksud: "Kalaulah manusia tahu kelebihan yang disedikan didalam azan (muazzin) dan juga saf pertama kemudian mereka itu tidak didapati kecuali akan berlumba-lumba kepadanya dan berlumba-lumba".


-Solat berjemaah lebih baik ganjaranya berbanding solat seorang diri sebanyak 25 darjat, dan pada riwayat yang lain sebanyak 27 darjat.


-Nabi bersabda yang bermaksud: "sesunguhnya solat seorang lelaki bersama lelaki yang lain lebih suci berbanding solatnya seorang diri dan solat bersama dua orang lelaki lebih suci berbanding solatnya bersama seorang lelaki, dan jika bertambah ramai ia lebih di sukai Allah Ta'ala.


-Allah menjanjikan kelepasan dari api neraka dan kelepasan dari sifat munafik bagi mereka yang solat secara berjemaah selama 40 hari serta sempat menyertai imam dalam Takbiratul Ihram yang pertama.


Jika dikaji sirah Nabi Muhammad kita akan dapati baginda amat mengambil berat dalam soal solat berjemaah. Lihatlah bagaimana Nabi melaksanakan solat secara berjemaah ketika berada dalam medan peperangan yang sedang memuncak! Itulah keadaan dalam solat yang di namakan solat Khauf (takut). Apa perlunya Nabi mengajarkan kepada umat kaedah solat khauf jika yang lebih layak ketika itu ialah solat seorang diri! Saksikanlah lagi bagaimana Nabi menghadapi saat-saat akhir kehidupannya menanggung sakit yang tidak dapat di tanggung oleh 2 orang lelaki. Nabi bertanya kepada Aisyah ketika terjaga dari pengsannya: adakah mereka telah mendirikan solat? Aisyah berkata: belum, mereka menunggu kehadiran engkau. Lalu baginda meminta didatangkan air dan dimandikan kemudian baginda cuba untuk bangun tetapi baginda jatuh pengsan. Selepas itu baginda tersedar dan begitulah yang berlaku sebanyak 3 kali dan para sahabat duduk berhimpun menunggu kedatangan Nabi untuk mengimami solat isya'. Akhirnya Rasulullah mengutuskan supaya Abu Bakar (Abdullah bin Usman) al-Siddiq mengimami solat. Allahu Akbar! Betapa baginda sangat mengambil berat untuk menghadiri solat berjemaah sedangkan baginda menghadapi sakit yang amat tenat. Selawat dan salam keatas baginda Muhammad bin Abdullah keluarganya dan sahabat-sahabat baginda.


Ulama' Salaf dikalangan sahabat dan tabi'in mempunyai kisah yang banyak dan pendirian dalam usaha mengejar ganjaran besar menunaikan solat berjemah dan kesungguhan mereka dalam melaksanakannya. Said bin Musayyib hadir ke masjid sebelum azan dan berterusan dalam keadaan demikian selama lebih 30 tahun. Imam ibn Syaibah meriwayatkan dari Said bin Musayyib berkata: "Tidak dilaungkan azan selama hampir 30 tahun kecuali aku sudah berada di masjid". Imam ibn Sa'ad meriwayatkan bahawa Sa'id bin Musayyib tidak pernah terlepas dari solat berjemaah selama 40 tahun.


Dari Abi Hurairah bahawa Rasulullah bersabda: "Demi diriku yang berada di tangannya, sesungguhnya aku benar-benar mahu menyuruh seseorang mengumpulkan kayu api lalu dibakar, kemudian aku perintahkan supaya dilaungkan azan dan didirikan solat, kemudian aku perintahkan seseorang mengimami solat, kemudian aku berpaling kepada beberapa lelaki dan membakar rumah-rumah mereka….hadis riwayat Imam Bukhari bab kewajipan solat berjemaah.


Imam Muslim meriwayatkan hadis Abu Hurairah beliau berkata: Telah bersabda Nabi : "Sesungguhnya seberat-berat solat keatas orang munafiq ialah solat Isya' dan Fajr, sekiranya mereka tahu apa yang terkandung didalamnya pasti mereka akan datang walaupun merangkak". Sesunggunya aku benar-benar mahu memerintahkan manusia supaya bersolat maka didirikan, kemudian aku perintahkan seseorang mengimami solat, kemudian aku pergi bersama beberapa lelaki bersama mereka sejumlah kayu api pergi kepada satu kaum yang tidak menghadiri solat lalu aku bakar rumah-rumah mereka".


Dari sini dapat difahami mengapakah wujud pendapat yang mewajibkan solat fardhu secara berjemaah dengan kata mereka fardhu ain, bukan fardhu kifayah. Antaranya ialah pendapat yang masyhur dari Imam Ahmad bin Hambal, Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim. Sebab itu adalah lebih selamat sekiranya kita mewajibkan diri kita untuk menghadiri solat berjemaah di masjid. Bagi mereka yang bergelar ilmuan (Ulama) sebenarnya mereka sedang diperhatikan oleh masyarakat umum untuk dijadikan contoh dan ikutan. Justeru cadangan kerajaan negeri Kelantan berkait penekanan solat wajar disokong atas dasar agama Islam itu sendiri. Kita doakan semoga syiar islam terus tertegak di bumi Malaysia yang tercinta Insyaallah.

1 comments:

Unknown berkata...

Salam,
Ustaz..Artikel yang amat bermanfaat..Sekiranya kita tidak sempat menunaikan shalat subuh dimasjid sebab kebiasaannya terlajak tidur n kita shalat berjemaah dirumah bersama ahli keluarga seorang atau dua orang bagaimana kedudukannya?Dikira termasuk dalam perintah dari hadis rasulullah saw juga ke menunaikan secara berjemaah?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...