RSS Feeds

Ahad, 13 Julai 2008

Perang khaibar tahun 7 Hijrah


قال تعالى في كتابه {وَعَدَكُمُ اللَّهُ مَغَانِمَ كَثِيرَةً تَأْخُذُونَهَا فَعَجَّلَ لَكُمْ هَذِهِ }[ الفتح: 20 ]

Maksudnya: "Dan Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan perang yang banyak yang dapat kamu ambilnya, maka disegerakannya harta rampasan perang itu untuk kamu". Ulama tafsir berkata: sesungguhnya Khaibar adalah janji yang dijanjikan oleh Allah.


Tatkala Nabi pulang dari Hudaibiyah dan menetap beberapa lama di Madinah sehingga penghujung bulan Muharram tahun 7 Hijrah, maka bagindapun keluar bersama-sama para sahabat menuju ke Khaibar. Dinaqalkan dari Malik bin Anas bahawasanya pembukaan Khaibar adalah pada tahun 6 Hijrah sedangkan jumhur menyatakan ianya berlaku pada tahun 7 Hirah. Adapun ibnu Hazm menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa kisah ini berlaku pada 6 Hijrah,hal yang demikian adalah kerana beliau melihat permulaan tahun Hijrah adalah pada bulan Rabiul Awwal tatkala baginda mendatangi bumi Madinah untuk Hijrahnya. Sedangkan jumhur ulama tarikh menyatakan bahawa permulaan tarikh bermula pada bulan Muharram pada tahun tersebut.


Maka baginda dan para sahabat bergerak ke Khaibar dan melantik Numailah bin Abdillah al-Laithi mengetuai Madinah sepanjang pemergian baginda. Apabila baginda sampai ke Khaibar lantas mengepung dari satu kubu kekubu yang lain maka Allah membukakan kemenangan dan mengurniakan harta rampasan perang. Nabi mengagih-agihkan separuh daripada harta rampasan perang itu kepada para mujahidin yang hadir dan sebahagian yang lainnya untuk maslahat Nabi dan muslimin yang lain.


Diatas permintaan orang-oran yahudi untuk berdamai iaitu dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh baginda bahawa orang yahudi terus menetap dan mengerjakan hasil tanaman sambil nabi akan mengambil separuh daripada hasil tanaman mereka sebagai Jizyah. Dalam peperangan ini Sofiah binti Huyai anak perempuan seorang pembesar yahudi telah ditawan yang akhirnya memeluk islam dan dinikahi oleh baginda selepas dibebaskan.[1]


Dalam peperangan ini juga baginda telah dihadiahkan daging masak yang beracun oleh seorang wanita yahudi bernama Zainab binti al-Harith isteri kepada Salam bin Misykam. Maka tatkala baginda menggingit daging tersebut lantas daging itu memberitahu baginda bahawa ianya telah beracun, lantas Nabi meninggalkan daging itu dan menyeru wanita yahudi dan bersabda: "adakah kamu telah meletakkan racun pada daging kambing tersebut?" Jawab wanita yahudi: benar! Sabda Nabi: "apakah yang kamu mahukan dari perbuatan kamu?" Maka wanita itu menjawab: aku mahu, jika engkau benar seorang nabi maka ianya tidak akan memudharatkan engkau, dan jika engkau bukan Nabi yang benar maka kami dapat berehat dari kamu. Maka Nabi r memaafkan wanita tersebut.[2] Telah disebutkan bahawa Bisyr bin Ma'rur antara yang menjamah daging tersebut yang akhirnya membawa kepada kematian. Hal ini telah diriwayatkan oleh Abu Dawud secara mursal dari Abi Salamah bin Abdul Rahman bin Auf.[3]


Selepas baginda dan para sahabat selesai berperang, datang kepada baginda ja'afar bin Abi Tolib dan sahabat-sahabatnya yang bersama beliau di bumi Habsyah. Ja'afar ditemani oleh Abu Musa al-Asya'ri dan 70 yang lain dari golongan asya'ri. Datang juga kemudiannya kepada Nabi Abu Hurairah dan sahabat-sahabat yang lain, maka Nabi memberikan kepada mereka semua harta rampasan perang seperti yang dikehendaki Allah.


Nabi telah bersabda kepada Ja'afar bin Abi Tolib : " aku tidak pasti dengan yang mana satukah aku gembira, adakah dengan pembukaan Khaibar atau dengan kedatangan Ja'afar." Dan ketika Ja'afar datang kepada baginda lalu baginda bangun dan mencium kening Ja'afar t. Seramai 20 orang para sahabat yang telah terkorban dalam peperangan ini_keredoaan Allah keatas mereka keseluruhannya.


Beberapa fakta penting dan ringkas tentang perang khaibar:

-Pengharaman nikah Mut'ah dan himar ahliyah (keldai) terjadi ketika sahabat berada di bumi Khaibar. Dari Ali beliau berkata: "Nabi telah melarang dari nikah mut'ah pada tahun Khaibar".[4] Dari Ali juga beliau berkata: "nabi telah melarang daripada mut'ah dan memakan daging himar ahliyah pada hari Khaibar". Lihat subulussalam.


- Hadis Nabi menyebut: "Sesungguhnya aku akan serahkan panji perang esok pagi dan Allah akan bukakan kemenangan ditangannya kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul dan dia dicintai oleh Allah dan Rasulnya". Panji perang diserahkan kepada Ali bin Abi Tolib walaupun beliau ditimpa sakit mata pada hari itu. Lihat hadis al-Bukhari no 3498 bab manaqib Ali dan soheh muslim 2406 bab fadhail Ali bin Abi Tolib.


-Bilangan tentera muslimin yang turut serta dalam peperangan ialah seramai bilangan yang hadir dalam perjanjian hudaibiyah iaitu 1400 tentera.


Beberapa hukum yang berkait dengan perang khaibar;

-Harus berperang pada bulan-bulan haram (Zulqaedah,Zulhijjah,Muharram,Rajab) sekalipun keharusan ini tidak disepakati. Lihat tafsir ibnu kathir surah maidah ayat 2.


-Nabi memberikan 3 bahagian ghanimah untuk setiap tentera berkuda berbanding yang lain.


-Dibolehkan bagi mana-mana tentera islam apabila menemui makanan untuk memakannya sebelum khumus (diserahkan pada nabi) seperti yang dilakukan oleh Abdullah bin Mughaffal.


-Mana-mana tentera islam yang datang selepas tamat peperangan maka dia tidak berhak untuk mendapat bahagian dalam harta rampasan perang kecuali dengan keizinan dan keredo'an dari para tentera yang awal, seperti yang dilakukan oleh Nabi sebelum memberikan bahagian kepada Ja'afar dan rakan-rakannya.


Rujukan :

Al-fusul fi sirati al-rasul karangan ibnu kathir

Zadul ma'ad karangan ibnu qayyim

Ar-rahik al-makhtum karangan Mubarakfuri.



[1] Lihat soheh Bukhari (371) dan Muslim (1365)

[2] Lihat soheh Bukhari (3169) dan Abu Dawud .

[3] Abu Dawud 4511.

[4] Hadis yang disepakati oleh bukhari dan muslim. Lihat juga subulussalam 935.

1 comments:

Ummu Hafeez berkata...

Jzkk atas maklumat tentang Perang Khaibar. Tengah cari info tentang Perang ini untuk rujukan. Mohon kebenaran untuk mengambil beberapa maklumat berkaitan untuk rujukan.

Jzkk.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...