RSS Feeds

Sabtu, 12 Julai 2008

Mengenali Imam Abul Hasan al-Asya’ari


Nama beliau ialah Ali bin Ismail bin Abi Basyar Ishak bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah bin Abi Musa al-Asyari. Dilahirkan pada 260[1] hijrah di Basrah, Iraq yang kemudian menduduki Baghdad. Ayahnya telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Kemudian ibunya pula dinikahi oleh seorang tokoh besar dalam mazhab Muktazilah iaitu Abu Ali al-Jabai’[2]. Ini adalah faktor terbesar yang menyebabkan imam Abul Hasan terpengaruh dengan mazhab Muktazilah.[3]


Kelebihan ini juga menjadikan imam Abul Hasan seorang yang hebat dalam ilmu kalam dan aqidah Muktazilah sehinggalah beliau dengan mudah dapat menolak dan menjawab kesesatan mereka setelah beliau diberi hidayah oleh Allah Taala untuk mengenali aqidah ahli Sunnah. Situasi yang di alaminya juga memberi kesan buruk kepada latar belakang hidupnya yang secara tidak langsung berpaling dari mendalami ilmu hadis kepada ilmu kalam. Kalaulah beliau tidak hidup dalam situasi ini kemungkinan besar beliau telah menempa nama yang hebat dalam bidang hadis ataupun fiqh.


Beliau telah mendalami banyak bidang ilmu, ini dapat diketahui melalui peninggalan turas-turas ilmunya khususnya dalam bidang ilmu Firaq dan Adyan dengan penentangannya yang hebat terhadap pegangan Majusi, Khawarij, Musyabbihah, ar-Rafidhah, Qadariah dan sebagainya. Selain itu beliau juga mempunyai karangan dalam ilmu Sirah, Ulum Syariah dan sebagainya. Berikut adalah sebahagian dari karangan-karangan beliau;

الفصول في الرد على الملحدين والخارجين عن الملة

كتاب في الرد على الفلاسفة

اللمع في الرد على أهل الزيغ والبدع

الإبانة عن أصول الديانة

مقالات الإسلاميين

كتاب الإجتهاد في الأحكام

Imam al-Khatib al-Baghdadi wafat 463H berkata; “Abul Hasan al-Asyari merupakan ahli kalam, pemilik kitab-kitab dan karangan-karangan dalam menentang orang yang Mulhid(kafir) juga kitab-kitabnya yang menentang dan menolak Muktazilah, Rafidah, Jahmiah, Khawarij dan lain-lain golongan ahli bidaah.” Sementara Ibnu Khilikan wafat 681H pula berkata; “ Beliau merupakan ahli usul, bangun membantu golongan Sunnah dan puak-puak Asyairah dinisbahkan kepadanya. Kemasyhurannya sudah cukup dan tidak perlu untuk diperpanjangkan dalam usaha mengenalinya.”


Marhalah yang dilalui oleh beliau;

Hampir kesemua Maraji’ sepakat bahawa beliau telah melalui beberapa marhalah hidup dari satu mazhab kepada yang lain. Marhalah-marhalah yang dilalui beliau adalah terbahagi kepada tiga peringkat zaman[4];


Pertama; berada dalam mazhab Muktazilah, iaitu beliau berpegang dengan mazhab itu, berkata dengan pendapat-pendapat mereka sehinggalah beliau merupakan imam yang terkenal dalam mazhab Muktazilah.


Kedua; Keluar dari Muktazilah dan cenderong kepada aqidah ahli Sunnah tetapi belum memahami sepenuhnya. Dalam proses ini beliau telah mengikuti pegangan yang dibawa oleh Abdullah bin Said bin Kilab.[5] Hal ini dapat dilihat dalam kitabnya (al-Luma’ fi Raddi al Ahlizzaigh Wal Bida’) apabila beliau menyerang Muktazilah dengan keras sedangkan beliau tidak menyebut nama imam Ahmad bin Hambal serta menyeru untuk mengikuti I’tiqadnya(Imam Ahmad) seperti yang tertulis dalam karangan beliau yang lain iaitu al-Ibanah. Begitu juga dalam zaman ini beliau tidak menyebutkan masalah-masalah sifat yang di imani oleh Salaf seperti wajah, Istiwa’, tangan dan sebagainya.[6]


Ketiga; Mengiklankan dan menisbahkan aqidahnya kepada imam Ahmad bin Hambal, iaitu beri’tiqad dengan akidah dan mazhab ahli Sunnah Waljamaah. Kenyataannya[7] ini menunjukkan bahawa beliau telah mengkaji karangan imam Ahmad dan akur dengan pegangannya dalam masalah aqidah sebagai contoh dalam sifat kalam Allah. Di sebutkan bahawa punca keluarnya beliau dari muktazilah ialah apabila beliau bermimpi bertemu Rasullah sebanyak 3kali dan kesemua Nabi meminta supaya beliau mengikuti Manhaj dan Sunnah baginda.[8]


Manhaj imam Abul Hasan;

Beliau bermanhajkan aqidah ahli sunnah waljamaah. Berpegang dengan kata-kata salaf dalam permasalahan berkait dengan sifat-sifat Allah. Berkata Dr. Mohd Abu Zuhrah[9] tentang manhaj Abul Hasan dan beliau meringkaskannya dalam 4 nota penting:


Syeikh Abul Hasan beri’tiqad bahawa wajib mengambil setiap yang datang dari al-Quran dan as-Sunnah dalam permasalahan aqidah

.

2/ beliau mengambil zahir nusus yang terkandung dalam ayat yang disangka orang bahawa ayat tersebut adalah tasybih tanpa beliau terjerumus dalam tasybih(penyerupaan). Beliau beri’tiqad bahawa bagi Allah itu wajah tidak seperti wajah makhluk, bagi Allah itu tangan tidak seperti tangan makhluk

.

3/ beliau beri’tiqad bahawa hadis-hadis ahad menjadi hujah dalam permasalahan aqidah, beliau telah menjelaskan pegangan banyak perkara aqidah yang sabit dengan hadis-hadis ahad

.

4/ beliau juga beranggapan supaya menjauhi ahlil ahwa (pengikut hawa nafsu) kesemuanya, antara mereka ialah muktazilah dan beliau berijtihad untuk tidak tergelincir seperti tergelincirnya orang-orang yang sesat

.

Kemudian syeikh Abu Zuhrah menambah dengan kata-katanya; “al-Asyari ketika beristidlal dalam permasalahan aqidah telah melalui jalan naqal (al-Quran dan Sunnah) dan aqal. maka beliau telah mengisbatkan apa-apa yang datang dari al-Quran dan hadis yang menggambarkan tentang Allah, Rasul, hari Qiamat, Malaikat, Hisab, azab, pahala dan lain-lainnya lantas meyokongnya dengan dalil-dalil aqal dan bukti-bukti mantik…”[10]


Pertentangan&perbezaan golongan asyaierah terhadap manhaj abul hasan;

Untuk mengelakkan tulisan ini meleret dan berpanjangan, sila rujuk karangan-karangan beliau yang seperti berikut; risalah ila ahli as-saghar bibabil abwab[11] (sifat Fauqiyah dan Arasy). Kitab Usuluddin[12] (sifat tangan bagi Allah dalam satu hadis penciptaan adam). Kitab al-Ibanah secara umum. Apa yang dapat disimpulkan disini ialah, golongan ahli sunnah waljamaah tidak menamakan mereka dengan nama-nama lain selain sunnah. Ramai kalangan mendakwa bahawa mereka adalah golongan ahli sunnah sedangkan mereka adalah muktazilah, syiah, Jahmiah dan sebagainya yang bertentangan jelas dengan al-quran dan sunnah dan fahaman salaf. Jika golongan Asyaerah, Maturidiah ataupun Muktazilah mendakwa mereka adalah ahli sunnah, maka kita tertanya-tanya adakah pengasas mazhab yang empat abu hanifah, malik, syafie dan imam Ahmad tidak sunnah? Adakah para Sahabat dan tabiin bukan ahli sunnah? Ini kerana kemunculan firqah asyaierah dan maturiah secara khusus adalah pada penghujung kurun kedua hijrah iaitu tahun dua ratusan lebih. Realitinya, menasabkan mazhab asyaerah kepada pengasasnya abul hasan adalah tidak tepat kerana pada peringkat ketiga beliau telah menolak banyak pandangannya sendiri yang berada pada peringkat zaman pertama dan kedua (muktazilah dan kullabiah). Wallahu a’lam.


Kembali ke rahmatullah;

Beliau wafat pada tahun 324H [13]. Terkenal sebagai ulama yang zuhud dan kuat beribadah. Beliau meninggalkan anak murid yang ramai antara mereka ialah; abul hasan al-bahili al-basri, abul husin Bandar bin husin as-syirazi, abu abdillah al-asfahani dan abu zaid al-marwazi. Selain itu beliau juga berguru kepada abu ishak al-marwazi wafat 340H, al-hafiz zakaria as-saji wafat 307H dan ibnu suraij wafat 306H. Moga-moga syeikh abul hasan al-asyari di ganjari syurga bersama-sama an-nabiyyin, as-syuhada was-solihin, amin.



[1] Sebagian Muarrikhin berpendapat bahawa kelahirannya ialah pada 170H lihat Wafayat A’yan ibnu Khilikan wafat 681H, sementara al-Maqrizi pula mengatakan bahawa beliau di lahirkan pada tahun 166H. Apapun tahun 260H lebih tepat kerana menepati tarikh riwayat hidupnya yang menyatakan bahawa beliau berada dalam mazhab Muktzilah selama 40 tahun sebelum beliau keluar dari mazhab tersebut iaitu pada tahun 300H.

[2] Abu ali ialah Muhamad bin Abdul wahab bin salam terkenal sebagai al-Jabai’ wafat pada tahun 303H. beliau adalah imam dalam ilmu kalam dan mempunyai kata-kata yang masyhur dalam mazhab Muktazilah. Abul Hasan telah mempelajari ilmu kalam dan mazhab Muktazilah daripadanya. Lihat Tarikh Baghdad.

[3] Muktazilah adalah mazhab aqidah yang bertentangan dengan aliran Ahli Sunnah Waljamaah. Mereka mendahulukan dalil akal berbanding Nas Quran dan Hadis yang soheh, jika berlaku pertentangan antara keduanya maka mereka mendahulukan dalil aqal. Mereka juga menafikan sifat-sifat Allah, menolak pendalilan hadis Ahad dalam masalah aqidah, mengkafirkan orang islam yang melakukan dosa besar dan banyak lagi pegangan yang bertentangan dengan ahli sunnah.

[4] Lihat kitab (Tobaqat al-Fuqaha’inda as-Syafieyah) karangan ibnu Kathir m/s 26 wafat 774H .

[5] Salah seorang ulama falsafah wafat sekitar 240an Hijrah. Mereka yang mengikuti pegangan ini terkenal sebagai (kullabiyah). Mereka mendakwa sebagai ahli Sunnah sedangkan hakikatnya tidak. Apapun mereka lebih hampir kepada ahlissunnah secara purata berbanding golongan yang lain. Syaikhul Islam ibnu Taimiyah wafat 728H berkata; “ Abdullah bin Kilab telah mengisbatkan sifat-sifat yang lazim bagi Allah seperti al-Ilmu, al-Qudrah, al-Hayat dan menafikan apa-apa yang berkait dengan sifat Allah seperti Masyi’ah (kehendak Allah) dalam perbuatan. Begitu juga beliau menafikan sifat al-Maji’(datang) dan lain-lainnya. Dan umat islam dalam hal ini ketika itu hanya kepada 2golongan, golongan Salaf yang mengisbatkan sifat dan golongan yang menolak dan menafikan sifat-sifat Allah.

[6] Dalam zaman kedua ini (mengikuti aliran dan pandangan ibnu Kullab) sila rujuk al-Khutot lil Maqrizi 3/308 wafat 845H.

[7] Lihat muqaddimah kitab beliau al-Ibanah.

[8] Lihat Tobaqat as-Syafieyah karangan as-Suyuti 3/348 wafat 911H.

[9] Beliau ulama mesir terkenal mempuyai banyak karangan antaranya; tarikh al-mazhab al-islamiah, muqaranah al-adyan, ibnu hambal zamannya&hidupnya, dan ibnu taimiyah zamannya dan hidupnya.

[10] Lihat kitab beliau; ibnu Taimiyah hidup dan zaman beliau - pandangan-pandangan fiqhnya m/s 189-191.

[11] m/s 241 cetakan al-jamiah al-islamiah tahkik dan dirasah dr. Abdullah syakir

[12] m/s 111.

[13] Lihat Al-bidayah wan nihayah libnu kathuir dan tobaqat as-syafieyah lissuyuti.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...