RSS Feeds

Isnin, 28 Julai 2008

Hadis-Hadis Bulan Rejab


Oleh: Abu Abdillah Al-Madini

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام الأتمان الأكملان على سيد الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.


PENGENALAN

Bulan dan tahun silih berganti. Begitulah ketentuan yang Allah jadikan kepada kehidupan ini bermula dari awal penciptaan langit dan bumi.

Firman Allah Ta’ala:

( إن عدة الشهور عند الله اثنا عشر شهرا في كتاب الله يوم خلق السماوات والأرض منها أربعة حرم )

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan berdasarkan ketetapan Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi; di antaranya empat bulan haram. (At-Taubah:36)


Ayat ini menjelaskan bahawa jumlah bulan dalam setahun ialah sebanyak dua belas bulan. Dan Allah Ta’ala telah membahagikannya kepada dua belas bulan berdasarkan qadha dan qadarNya.
Demikian juga Allah Ta’ala telah memutuskan bahawa empat bulan daripadanya merupakan bulan-bulan haram iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Daripada Abu Bakrah -radhiyallahu ‘anhu- bahawa Rasulullah -sollallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda: Sesungguhnya waktu telah kembali seperti keadaan asalnya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun mempunya dua belas bulan. Empat daripadanya adalah bulan-bulan haram. Tiga daripadanya berturut-turut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab adalah bulan Mudhar yang terletak di antara bulan Jumadal Akhir dan Sya’ban. [Direkodkan oleh Bukhari (3025) dan Muslim (1679)]


Kata Imam Nawawi –rahimahullah- : Umat Islam telah bersepakat (ijma’) bahawa empat bulan haram ialah bulan-bulan yang disebutkan di dalam hadis . Dinamakan keempat-empat bulan ini sebagai (حُرُم ) iaitu bulan-bulan haram kerana ia mempunyai kemuliaan dan kehormatan yang lebih daripada bulan-bulan yang lain. Begitu juga dinamakan sebagai bulan-bulan haram kerana diharamkan berperang pada bulan-bulan ini. Begitulah Islam amat mementingkan tentang waktu, bulan dan tahun sehingga urusan tentangnya ditadbir langsung oleh Allah. Namun begitu, pada kesempatan ini perbincangan hanya difokuskan tentang bulan Rejab dan skopnya ialah hadis-hadis berkaitan bulan Rejab.


KAEDAH-KAEDAH UMUM DALAM MENGHUKUM HADIS-HADIS YANG BERKAITAN BULAN REJAB


Kata Ibnu Hajar – rahimahullah- (wafat 852H) : Tiada suatu hadis sohih pun yang boleh dibuat hujah mengenai kelebihan bulan Rejab, kelebihan berpuasa pada bulan Rejab atau berpuasa pada hari-hari tertentu daripadanya dan begitu juga kelebihan qiyamullail pada malam-malam tertentu daripadanya. [Lihat: Tabyinul ‘Ajab bima warada fi Fadhli Rajab, ms3, Mesir: Maktabah Hadrat Abdul Wahid at-Tazi]


Kesimpulan ini merupakan hasil kajian daripada salah seorang muhaddis atau ilmuan hadis yang terulung. . Cukuplah bagi ulama dan penuntut ilmu yang mengkaji kitab Fathul Bari syarah Sohih Bukhari – rahimahullah- untuk melihat kehebatan dan ketinggian ilmu hadis beliau. Sehinggakan As-Syaukani – rahimahullah- berkata ketika diminta untuk menghuraikan Sohih Bukhari:

لا هجرة بعد الفتح

Tiada hijrah selepas Fath (maksudnya: Sohih Bukhari tidak memerlukan huraian lain setelah ia dihuraikan oleh Ibnu Hajar– rahimahullah- dalam kitabnya Fathul Bari). Namun begitu, beliau merendah diri ketika membuat kesimpulan ini dan menjelaskan bahawa ada ulama terdahulu telah memutuskan kesimpulan yang sama; antaranya: Imam Abu Ismail Al-Harawi (wafat 481H).


Pendapat ini juga telah dikemukakan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah– rahimahullah- (wafat 751H). Kata Ibnu Qayyim– rahimahullah-: "Hadis-hadis tentang solat Raghaib pada malam hari Juma’at pertama daripada bulan Rejab adalah direka-reka ke atas Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam… begitu juga setiap hadis yang menyebutkan puasa Rejab dan solat pada malam-malam tertentu daripada bulan tersebut adalah palsu dan direka-reka…" [Al-Manar Al-Munif fi As-Sahih wa Ad-Dhaif, ms83-85, Mekah: Dar ‘Alam Al-Fawaid]


Ibnu Rejab– rahimahullah- (wafat 795H) juga turut memberikan komentar yang serupa terhadap hadis-hadis yang berkaitan tentang kelebihan bulan Rejab dan amalan-amalan yang terdapat padanya. Kata Al-Manawi – rahimahullah- (wafat1031H) : Katanya (Ibnu Rejab) di dalam kitab Shiratul Mustaqim: Tiada hadis yang sabit daripada Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam pada kelebihan Rejab melainkan sebuah hadis yang menyebutkan “Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam apabila tiba Rejab maka baginda bersabda: Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab”, dan tiada hadis yang sabit melainkan hadis tersebut; bahkan semua hadis yang diriwayatkan daripada Nabi sollallahu ‘alaih wa sallam padanya(Rejab) adalah dusta.[Faidh Al-Qadir Syarh Al-Jami’ As-Shagir, 4/18, Mesir:Al-Maktabah At-Tijariyyah Al-Kubra]


Kaedah-kaedah umum ini merupakan hasil daripada penelitian dan pengkajian ulama-ulama yang berkredibiliti dalam bidang hadis. Mereka telah berijtihad sehingga terhasilnya hukum dan kaedah tersebut; dan Allah Ta’ala telah memerintahkan kita untuk bertanya kepada ulama dan mengikuti mereka.

Firman Allah Ta’ala:

( فسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون )

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (An-Nahl:43)


CONTOH HADIS-HADIS PALSU YANG TERSEBAR DI DALAM MASYARAKAT

Berikut dibawakan beberapa contoh hadis-hadis berkaitan bulan Rejab dan hukum ulama-ulama hadis terhadapnya.

Hadis pertama:

رجب شهر الله وشعبان شهري ورمضان شهر أمتي

“Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”


Kata Ibnu Jauzi–rahimahullah- (wafat 597H): Ini merupakan hadis yang palsu [Lihat:Maudhu’at, 2/205-206, Madinah: Maktabah Salafiyyah]

Kata Ibnu Hajar–rahimahullah-: Direkodkan oleh Abu Bakar An-Naqqasy – yang merupakan seorang ahli tafsir -, dan juga Al-Hafiz Abu Fadhl Muhammad bin Nasir di dalam “Amali” daripada An-Naqqasy dengan lebih panjang di mana dia menyebutkan di dalam hadis tersebut kelebihan berpuasa pada setiap hari pada bulan Rejab. Kata Ibnu Hajar–rahimahullah-: An-Naqqasy merupakan orang yang banyak memalsukan hadis (وضاع دجال)


Kata Ibnu Dihyah –rahimahullah- (wafat 633H): Ini merupakan hadis palsu. [Lihat: Tabyinul ‘Ajab bima warada fi Fadhli Rajab, ms10-12, Mesir: Maktabah Hadrat Abdul Wahid at-Tazi]

Hadis kedua:

فضل رجب على سائر الشهور كفضل القرآن على سائر الأذكار، وفضل شعبان على سائر الشهور كفضل محمد على سائر الأنبياء، وفضل شهر رمضان على سائر الشهور كفضل الله على عباده

“Kelebihan bulan Rejab atas bulan-bulan yang lain adalah seumpama kelebihan Al-Quran atas zikir-zikir yang lain Kelebihan bulan Rejab atas bulan-bulan yang lain adalah seumpama kelebihan, dan kelebihan bulan Sya’ban atas bulan-bulan yang lain adalah seumpama kelebihan Muhammad atas sekalian nabi; dan kelebihan bulan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain adalah seumpama kelebihan Allah atas hamba-hambanya”


Kata Ibnu Hajar–rahimahullah-: Perawi-perawi sanad hadis ini siqah kecuali As-Saqti. Dia merupakan kecacatan pada sanad hadis dan dia merupakan seorang yang terkenal di dalam memalsukan hadis dan mencipta sanad-sanad. [Lihat: Tabyinul ‘Ajab bima warada fi Fadhli Rajab, ms14, Mesir: Maktabah Hadrat Abdul Wahid at-Tazi]


Hadis ketiga:

من صلى المغرب في أول ليلة من رجب ثم صلى بعدها عشرين ركعة، يقرأ في كل ركعة بفاتحة الكتاب، وقل هو الله أحد مرة، يسلم فيهن عشر تسليمات، أتدرون ما ثوابه؟...قال: حفظه الله في نفسه وأهله وماله وولده وأجير من عذاب القبر، وجاز الصراط كالبرق بغير حساب ولا عذاب

"Sesiapa yang sembahyang Maghrib pada malam pertama bulan Rejab, kemudian sembahyang 20 rakaat selepasnya; dia membaca surah Al-Fatihah pada setiap raka’at dan surah Al-Ikhlas sekali, dan salam dengan sepuluh salam, adakah kamu tahu pahalanya?...Sabdanya: Allah akan memelihara dirinya, keluarganya, hartanya, dan anaknya; dan menyelamatkannya daripada azab kubur; dan dia akan melintasi Shirat seperti kilat tanpa perhitungan dan azab”


Kata Ibnu Jauzi–rahimahullah-: Ini adalah hadis palsu dan kebanyakan perawinya tidak dikenali. [Maudhu’at, 2/123, Madinah: Maktabah Salafiyyah]


Ibnu Hajar –rahimahullah- turut menukilkan hukum yang serupa seperti hukum Ibnu Jauzi–rahimahullah- [Tabyinul ‘Ajab bima warada fi Fadhli Rajab, ms17, Mesir: Maktabah Hadrat Abdul Wahid at-Tazi]


KESIMPULAN

1- Berhati-hati dalam meriwayatkan dan mengamalkan hadis-hadis palsu supaya tidak termasuk di dalam golongan penipu dan pendusta seperti mana yang disebutkan oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam:

من حدث عني حديثا يَرى أنه كذب فهو أحد الكاذبِين

“Sesiapa yang meriwayatkan satu hadis daripadaku walhal dia mengetahui hadis tersebut palsu maka dia adalah seorang pendusta” [Direkodkan oleh Muslim dalam Muqaddimah Sohih, 1/7, Beirut:Dar Ihya’ Al-Turath Al-‘Arabi]

2- Tuntutan kepada para ulama, sarjana, penuntut ilmu dan pendakwah untuk sentiasa berpegang dengan konsep تعظيم الحق ورحمة للخلق dalam menerangkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

3- Para sarjana dan ilmuan Islam perlu mempersiapkan diri untuk menjadi pakar dalam bidang masing-masing agar Sunnah Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam dapat disampaikan dengan benar dan telus.

4- Setiap individu Muslim perlu mengukuhkan ilmu dan kefahaman dengan belajar dan berbincang dengan ulama dan sarjana Islam terutamanya ilmu hadis riwayat dan dirayah (sanad dan fiqh hadis) agar segala keyakinan dan amalan berdasarkan Sunnah Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka juga perlu memilih para ilmuan yangdipercayai dalam ilmu dan agama mereka dalam menuntut ilmu kerana sesungguhnya ilmu ini adalah agama.


Kata Ibnu Sirin (wafat 110H):

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم

“Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah kamu perhatikan daripada siapa kamu mengambil agama kamu”

وصلى الله على حبيبنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين

والحمد لله رب العالمين

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...