( ألا إن اولياء الله لا خوف عليهم ولا هم يحزنون )
Beliau berkulit putih, memiliki rambut dan janggut yang hitam, seolah-olah kedua matanya lidah yang bercakap, berbahu luas(bidang), suaranya lantang, seorang yang fasih, cepat pembacaannya, genius, berani, lemah lembut, dan pemaaf.. beliau telah menghafaz al-Quran ketika kecil. Beliau hidup dalam keluarga ulama’, ayahnya merupakan mufti yang Alim, mengikuti bapanya berhijrah dari Harran ke Damsyiq ketika berumur 7 tahun disebabkan kezaliman Tatar. Beliau berguru lebih dari 200 orang Syeikh, bermula dari umur 7 tahun. Semua gurunya adalah ulama’ Damsyiq dan majoritinya adalah bermazhab Hambali. Beliau berjaya mendalami ilmu Tafsir, Hadis, Fiqh&Usul, Tarikh, bahasa arab, Mantiq, Adyan, Mazahib dan sebagainya. Beliau memberi fatwa ketika berumur 17 tahun. Menjadi guru Darul Hadis as-Sukariah ketika berumur 21 tahun. Antara yang hadir menjadi murid beliau ialah : Qodhi al-Qudhot Bahauddin bin Zaki as-Syafie, Tajudin al-Fazari Syaikh as-Syafieyyah, Syaikh Zainuddin bin Almunajja al-Hambali dan ramai lagi[2]. Beliau mula mengadakan kuliah Tafsir di Jami’ Umawi Dimasyq ketika berumur 23 tahun. Beliau telah menyebarkan ilmu di Dimasyq, Mesir (kaherah&iskandariah) dan sepanjang hidup di penjara. Mula mengarang ketika berumur 17 tahun.
Antara anak murid Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah yang tersohor[3]:
1-Imam as-Sofadi as-Syafie’ wafat tahun 764H.
2-Imam az-Zahabi as-Syafie’ wafat tahun 748H.
3-Imam Ibnu Kathir as-Syafie wafat tahun 774H.
4-Imam Ibn Abdul Hadi al-Hambali wafat tahun 744H.
5-Imam íbnu Rajab al-Hambali wafat tahun 779H.
6-Imam ibnu Qayyim al-Jauziah al-Hambali wafat tahun 751H.
7-Imam al-Mizzi wafat tahun 749 H
Antara karangan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah [4]:
1-Tafsir al-Quran dari ayat yang pelbagai.
2-Kitab "al-Iman" 1 jilid.
3-Kitab "Darú Ta’rud al-Aqli Wan an-Naqli" 4 jilid.
4-"Minhaj as-Sunnah an-Nabawiah" 4 jilid.
5-"al-Jawab Soheh Li Man Baddala Dinal Masih" 2 jilid.
6-"al-Futya Hamawiah" 60helai ditulis antara Zohor dan Asar.
7-"Aqidah Wasatiah" 30helai.
8-"as-Sorimul Maslul Ala Syatimi ar-Rasul".
9-"Iqtidho Sirothol Mustaqim".
10-"Syarah al-Umdah" 4 jilid.
11-"kitab al-Wasilah" 1 jilid.
12-"ar-Rad Alal Bakri" 1 jilid.
13-"ar-Rad alal mantiq" 1 jilid.
14-"Usul Tafsir".
15-"al-Furqan Bainal Haqi Wal Butlan" 60 helai.
16-"Risalah li ahlil Iraq".
17-"Risalah al-Arays".
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah telah hidup dipenjara selama 34 tahun bermula dari tarikh 693 Hijrah sehingga beliau wafat rahimahullah. Beliau dipenjarakan sebanyak 7 kali dengan sebab-sebab yang tertentu. Sebanyak 4 kali dipenjara Mesir (kaherah&iskandariah) sementara 3 kali di penjara Damsyiq. Berikut adalah butiran ringkas pemenjaraan beliau, sebab-sebab dipenjarakan dan kesan dari pemenjaraannya:
Penjara pertama:
Tahun 693 hijrah di Damsyiq dalam tempoh yang singkat. Di sebabkan protes beliau dan syeikh Zainudin al-Fariqi yang membantah tindakan seorang kristian yang mencaci dan menghina Nabi dihadapan sekumpulan muslimin. Kesan dari kes ini beliau telah mengarang kitab “as-Sorimul Maslul ala Sytimi al-Rasul”.
Penjara kedua:
Pada hari Jumaat 26 ramadhan 705 sehingga 23-03-707 Hijrah di Kaherah. Beliau dipenjarakan disebabkan masalah Arays, Kalam Allah dan sifat Nuzul Allah. Sila lihat kisah ini dengan panjang lebar dalam al-Bidayah Wa an-Nihayah.
Penjara ketiga:
Dalam tempoh beberapa hari sahaja bemula pada 3-10-707 Hijrah. Hal demikian disebabkan oleh permusuhan orang-orang sufi di Kaherah kerana tentangan Ibnu Taimiyah dalam isu bermohon dan bertawassul dengan makhluk serta kata-kata beliau terhadap Ibnu Arabi. Lantaran itu diadakan majlis dan dikalangan yang hadir berselisih pendapat samada Ibnu Taimiyah di pihak yang benar atau salah. Antara yang hadir dalam majlis dan menyalahkan Ibnu Taimiyah ialah Qadi al-Badr bin Jamaáh. Ketika itu Ibnu Taimiyah diberi 3 pilihan; kembali ke Damsyiq, terus menetap di Iskandariah dengan syarat-syarat tertentu atau penjara. Maka beliau memilih penjara walaupun teman-teman beliau merayu supaya beliau keluar bersama mereka ke Damsyiq. Di sebabkan kejadian tersebut beliau mengarang kitab “ar-Raddu Alal Bakri”.
Penjara keempat:
Bermula akhir bulan Syawal 707 H sehingga awal tahun 708 Hijrah di penjara Mesir. Pada kali ini, Nasir al-Manbaji al-Hululi telah memainkan peranannya sebagai orang yang rapat dengan gabenor agar Syaikhul Islam dibicarakan semula selepas pembebasan bersyarat beliau dari penjara yang ketiga dan dalam perjalanan pulang ke Dimasyq. Ketikamana dibicarakan dihadapan qodhi-qadhi Malikiah maka mereka saling berselisih pendapat untuk menghukum Ibnu Taimiyah, lantas Ibnu Taimiyah berkata: "aku memilih penjara dan akan mengikuti apa-apa maslahat pada pandangan anda". Maka ramailah manusia yang menziarahi beliau duduk bertanya, belajar dan meminta fatwa. Ketika dalam penjara inilah berlaku kisah menarik antara beliau dan 3 orang paderi seperti yang dikisahkan oleh al-Ghiani anak murid Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.
Penjara yang kelima:
Di Iskandariah pada 01-03-709 Hijriah sehingga 08\10\709 Hijriah. Ini adalah tipu helah Nasir al-Manbaji dan juga al-Jasyankir untuk memerangkap Ibnu Taimiyah. Setelah beberapa hari di penjarakan, maka datanglah syeikh-syeikh dari Tadamurah dan mereka berkata kepada beliau: “Semua tipu helah ini adalah untuk tuan mempersetujui apa-apa yang mereka lakukan, atau untuk memulaukan tuan, ataupun memenjarakan tuan!”. Maka inbu Taimiyah lantas menjawab dengan kata-katanya yang masyhur: “Jika mereka membunuh aku, maka itu adalah syahid untuk aku, jika mereka memulaukan aku maka itu adalah hijrah bagiku, sekalipun mereka membuang aku ke Qubrus maka aku akan berdakwah terhadap penduduknya lantas mereka akan menerima aku. Jika mereka memenjarakan aku maka aku dapat beribadah”. Maka berterusanlah Ibnu Taimiyah didalam penjara selama beberapa bulan sehiggalah Malik an-Nasir Mohd bin Qolawun menguasai pemerintahan tahun 709H lantas membebaskan Syaikh dan menjemputnya datang ke Kaherah. al-Jasyankir dibunuh manakala al-Manbaji mati tidak lama selepas al-jasyankir dibunuh. Tatkala Malik an-Nasir mahu menghukum qadhi-qadhi dan Fuqaha yang menyokong al-Jasyinkir maka Malik an-Nasir meminta pendapat Syaikhul Islam, lantas Ibnu Taimiyah segera memuji para qadhi dan Fuqaha tersebut serta berpendapat jika mereka itu mati maka tidak ada pengganti mereka dalam kerajaan. “Adapun secara peribadi aku telahpun memafkan mereka semua.” Berkata qadhi ibnu Makhluf al-Maliki: “Kami tidak melihat orang yang paling bertaqwa dari ibnu Taimiyah, kami tidak tinggalkan ruang apabila dapat menyakiti beliau akan tetapi tatkala mana beliau mampu dan berkuasa keatas kami lantas memaafkan kami.” Allah Akbar! Lihatlah kesan dari tarbiah Sunnah Nabawiah terhadap peribadi ulama Sunnah! Maka tinggallah Ibnu Taimiyah di bumi Mesir selama 7 tahun sementara umat memuliakan beliau dan menghormatinya. Sepanjang pemukiman beliau di Mesir, tersebarlah ilmu secara meluas serta karangan-karangan beliau juga muncul seperti yang disebutkan oleh ibnu Rajab dalam terjemahan beliau. Antara karangan Syaikhul Islam sepanjang tempoh di Mesir; (Minhaj as-Sunnah an-Nabawiah), (al-Iman), (al-Istiqamah), (Talbis a-Jahmiah) dan (al-Fatawa al-Misriah), semoga Allah merahmati Syaikhul Islam.
Penjara keenam:
Di penjara damsyiq selama 5 bulan 28 hari bermula 12-7-721 H sehingga 10-01-721 H disebabkan kes bersumpah dalam Talak.
Penjara ketujuh:
Di penjara damsyiq selama 2 tahun 3 bulan 14 hari bermula pada 06-08-726 H hingga beliau wafat pada malam isnin 20-11-728 H. Beliau dipenjarakan disebabkan masalah “ziarah”. Natijah dari itu keluarlah karangan beliau (ar-Radd Ala al-Ikhnaie’). Sepanjang beliau didalam penjara, beliau dikurniakan Allah keluasan ilmu dan kefahaman, beribadah kepada Allah Taála yang tidak terbayang oleh akal pemikiran kita, terbit dari hasil karangan beliau kitab, risalah dan fatawa yang amat menakjubkan sedangkan pada akhir hayatnya beliau tidak dibenarkan memiliki pen dan kertas. Mudah-mudahan Allah menyucikan roh beliau dan menjadikannya bersama para Nabi, Syuhada’ serta Solehen. Amin. Ibnu Katihir berkata: “..dan yang paling banyak menimpa Syaikul Islam ialah hal keadaan beliau dipenjarakan. Dalam keadaan itupun beliau tidak henti-henti dari membuat kajian ilmiah samada di Mesir ataupun Syam. Sedangkan beliau dipenjarakan bukan atas alasan yang mencemarkan peribadi beliau akan tetapi dikurung dan di penjara dengan sebab kedudukan beliau. Makhluk-makluk itu akan kembali kepada Allah dan Allah akan menghisab mereka.[5]
Beberapa kisah menarik tentang Syaikhul Islam:
1)Sifat Berani, Faqih dan Firasah yang tepat;
Pada 4 haribulan Ramadhan ketika Syaikul Islam berucap dikhalayak memberi semangat untuk para tentera yang bersama beliau untuk melawan Tatar beliau berkata: "aku bersumpah dengan nama Allah tiada tuhan yang berhak melainkan Allah bahawa kita semua pada kali ini akan menang dan mengalahkan mereka!" Lalu para Umara’ berkata kepada beliau: "sebutlah Insyaallah!" Maka beliau menyebut: “Insyaallah Tahqiqan(realiti) La Ta’liqan( bukan fantasi)". Datang sultan dan bertanya kepada beliau adakah dia (sultan) perlu turut sama bersama tentera untuk melawan Tatar? Maka beliau menjawab: ‘Sunnah yang diajar oleh Nabi ialah seorang lelaki itu berdiri teguh bersama bendera perang kaumnya’.
Beliau juga memberi fatwa supaya para tentera tidak berpuasa pada hari tersebut supaya mereka menjadi kuat dalam medan peperangan dan itu lebih afdhal dari mereka yang berpuasa. Hadirin yang mendengar merasa ragu-ragu untuk berbuka maka Syaikul Islam mengambil makanan lantas memakannya di hadapan tentera dan Amir. Para tentera akhirnya berbuka dan meninggalkan puasa mereka. Syaikhul Islam menggunakan dalil dari hadis Nabi yang di riwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Said Nabi berkata :
(إنكم ملاقوا العدو غدا والفطر أقوى لكم) yang bermaksud: “sesunguhnya kamu semua akan bertemu dengan musuh pada esok hari dan berbuka (tidak puasa) lebih kuat untuk kamu”
Natijah dari semua kisah ini selepas izin Allah Taa’la, orang islam menang dalam peperangan menentang kekejaman Tatar[6]. Kesan dari faedah fatwa Syaikul Islam berkata Ibn Daqiq al-I’dd: “ aku sangka tidak akan ada orang yang seperti engkau selepas ini”.
2)Amal Ma’ruf Nahi Munkar;
Satu masa pada bulan Rajab didatangkan seorang lelaki dihadapan Syaikhul Islam. Lelaki tersebut al-Mujahid Ibrahim al-Qatton memakai kalung yang amat besar, mempunyai rambut dan kuku yang amat panjang, tidak terurus. Misainya juga panjang melebihi dan menutupi mulutnya, yang mana ianya menyalahi sunnah Nabi. Maka Syaikul Islam memerintahkan agar kalung tersebut dipotong dan dikerat-kerat, rambutnya dicukur dan dibotakkan, kukunya dikerat dan misainya di nipiskan. Maka berkerumunlah manusia untuk melaksanakan perintahnya. Al-Mujahid juga diarah supaya bertaubat dari kata-kata yang kotor dan keji. Juga di tuntut agar bertaubat daripada memakan makanan yang di haramkan Syara’ yang akan mengubah tabiat akal dan peribadi[7].
3)Menghapuskan unsur-unsur Syirik;
Telah sampai kepada pengetahuan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah bahawa ramai manusia yang beri’tiqad dengan perkara-perkara yang khurafat dan syirik di (العمود المخلق) yang terletak didalam (الباب الصغير). Maka Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berazam untuk keluar menghancurkan ‘Amud Mukhollak’ tersebut setelah beristikharah kepada Allah Taala. Saudara kandung beliau Syaikh al-Imam al-Qudwah Abdullah bin Taimiyah menceritakan dengan katanya; "maka kami keluar untuk memecahkannya, apabila ramai orang yang mengetahui hal ini maka ramailah yang kumpul untuk keluar bersama kami.
Tatkala kami menuju ke tempat tersebut, maka tersebarkan di kawasan tersebut kata-kata yang pelbagai. Sebahagian mereka mengatakan:”pasti selepas ini tidak akan turun hujan dan pokok-pokok tidak akan berbuah.” Sebahagian yang lain berkata; “selepas ini pasti Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah ditimpa kebinasaan.” Dan berbagai-bagai lagi kata-kata yang sebegitu rupa. Berkata Syaikh Syarafuddin; ‘Belumpun kami sampai ke tempat tersebut telah ramai yang bersama-sama kami yang menarik diri dan berpatah balik kerana khuatirkan sesuatu yang buruk akan menimpa mereka. Bilamana kami sampai, maka kami perintahkan tukang batu untuk memecahkan berhala tersebut tetapi tiada seorangpun yang berani tampil kehadapan. Lantas aku ( Syaikh Syarafuddin) dan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengambil pemukul batu dari tangan mereka dan kami pecahkan berhala tersebut sambil kami membaca ayat:
(جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا) al-isra’ ayat 81. dan kami katakan lagi; ‘Jika sesuatu menimpa seseorang maka kami adalah penjaminnya’. Maka ramailah orang yang ikut serta bersama kami turut serta memukul batu tersebut sehingga habis berkecai, dan kami dapati dibelakangnya 2 berhala kecil dari batu berbentuk manusia tingginya sekitar satu jengkal setengah. Syaikh Syarafuddin berkata; telah berkata Imam an-Nawawi;
(اللهم أقم لدينك رجلا يكسر العمد المخلق ويخرب القبر الذي في جيرون)
“Wahai tuhan, engkau tegakkanlah agama engkau dengan mendatangkan seorang lelaki yang akan memecahkankan ‘amud mukhollak’ dan menghancurkan kubur yang berada di jirun”. Ini adalah antara karamat[8] Syaikh Mahyuddin Imam an-Nawawi. Alhamdulillah kami telah menghancurkannya dan kami tidak ditimpa apa-apa musibahpun kecuali kebaikan[9].
4)Kisah Syaikul Islam bersama 3 Paderi Kristian;
Ketika berada di penjara Tarsim Iskandariah, Syaikul Islam telah mengambil peluang ini berdebat dengan mereka bertiga dan menegakkan hujjah bahawa mereka berada dalam kekufuran. Menyatakan bahawa agama yang mereka anuti bukanlah agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim mahupun Isa Alaihimassalam. Lalu mereka menjawab; “Kami beramal sepertimana kamu semua orang islam beramal, kamu semua mengatakan sesuatu tentang (Syaidah Nafisah) dan kami mengatakan tentang Syaidah Maryam, dan kita semua telah sepakat bahawa Nabi Isa dan Maryam lebih afdhal berbanding al-Hussin dan Syaidah Nafisah. Kalian semua memohon pertolongan dan doa dari para solehin yang sebelum kamu begitu juga kami.
Maka Syaikhul Islam menjawab: “Sesungguhnya orang yang melakukan perkara tersebut memang hampir menyerupai kalian, dan ini bukan juga agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim! Akan tetapi agama Nabi Ibrahim yang sebenarnya ialah, kami tidak meyembah tuhan kecuali Allah yang Esa, DIA tidak ada sekutu, tiada teman, tiada anak. Kami tidak menyekutukan bersama-samanya Malaikat, matahari, bulan, dan tidak juga bintang. Kami tidak menyekutukan Allah bersama-sama dengan para Nabi dan Solehin. (hanyasanya semua yang ada di langit dan bumi tidak lain, akan datang kepada Allah sebagai hamba)[10]. Demi sesungguhnya perkara yang tidak mampu ditunaikan kecuali oleh Allah Taála maka ianya tidak dipohon kepada selain Allah seperti meminta hujan, menumbuhkan tumbuhan, meminta petunjuk dari kesesatan, memohon keampunan dan lain-lainnya. Sesungguhnya tiada seorangpun makhluk yang mampu untuk menunaikan apa yang tersebut kecuali Allah! Adapun para Nabi, kami beriman dengan mereka dan memuliakn mereka, mentaati mereka, membenarkan mereka dalam semua apa yang dibawa. Sepertimana kata-kata Nabi Nuh, Soleh, Hud dan Syuaib : (Hendaklah kamu semua menyembah Allah, bertaqwa kepadanya dan mentaati)[11], Lantas mereka menjadikan Ibadah dan Taqwa untuk Allah semata-mata. Wajib mentaati mereka (para nabi), sesungguhnya mentaati mereka adalah sebahagian dari mentaati Allah. Jika seseorang manusia tidak beriman dengan salah seorang dari para Nabi dan beriman dengan semuanya maka tidak bermanfaat imannya sehinggalah dia beriman dengan Nabi tersebut. Demikian juga jika seseorang itu beriman dengan semua kitab yang diturunkan Allah Taala tetapi tidak beriman dengan satu kitab maka dia kafir sehinggalah dia beriman dengan kitab yang satu itu. Demikian juga kaedah beriman dengan Malaikat dan hari Akhirat.
Maka setelah mereka mendengar hujah-hujah tersebut lalu mereka berkata: "Agama yang tuan sebut lebih baik dari agama yang kami anuti dan agama yang mereka pegang". Kemudian mereka meninggalkan Syaikhul Islam.[12]
5)Kewafatan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.
Setelah beliau berada di penjara Dimasyq pada tahun 726 H atas sebab fatwa beliau yang melarang Syaddurrihal (galak bermusafir) ke kubur para anbiya’dan solehen, maka Syaikul Islam meluangkan kebanyakkan masanya dengan beribadah kepada Allah, membaca al-Quran dan mengarang kitab. Beliau juga menjawab syubahat-syubahat mereka yang menentang kebenaran sehinggalah akhirnya dilarang dari memiliki pen,kertas dan kitab. Kesemuanya dirampas dan dikeluarkan dari penjara beliau. berterusanlah beberapa bulan hal tersebut, sehingga syaikul islam ditimpa sakit yang menyebabkan kematian. Ramai manusia tidak mengetahui tentang sakit yang menimpa Syaikul Islam selama 20 hari sebelum kematiannya. Apabila sampai berita kematian beliau, berduyun-duyunlah manusia yang datang menziarahi jenazahnya dipenjara. Pada pagi itu tidak ada satu kedaipun yang dibuka. Masing-masing bersedih dan menangisi pemergian Syaikul Islam yang amat dikasihi. Berkata Ibnu Kathir: “aku antara yang hadir di sana bersama Syaikh kami al-Hafiz Abil Hajjaj al-Mizzi, aku buka dan lihat wajah beliau dan kucium. Dikepalanya ada serban, dan adik beliau Zainuddin Abdurrahman telah memberitahu orang yang hadir bahawa dia dan Syaikul Islam selama memasuki penjara telah mengkhatamkan bacaan al-Quran sebanyak 80 kali, ketika kami membaca untuk kali yang ke 81 dan sampai surah Qamar ayat 55&56
(إن المتقين في جنت ونهر في مقعد صدق عند مليك مقتدر)
Maka Syaikul Islam menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kematiannya pada waktu sahur malam Isnin 20 Zulqaedah 728 H. Jenazah beliau dimandikan oleh ulama-ulama soleh yang masyhur antaranya Syaikh al-Mizzi[13]. Mereka yang menghadiri jenazah Syaikul Islam seramai 200,000 orang lebih[14]. Ini terbukti apabila kesesakan yang amat sangat memenuhi seluruh jalanan dan pintu-pintu utama bandar Dimasyq. Jenazah Syaikul Islam disembahyangkan sebanyak 3 kali. Kali pertama dipenjara, kemudian di masjid Jami’ Umawi dan yang terakhir di (Suq al-Khail) ketika manusia bertambah sesak disolati oleh saudara kandungnya Syaikh Zainuddin. Beliau di kebumikan di (Perkuburan Sufiah) sebelum masuk waktu Asar bersebelahan dengan kubur saudara kandungnya al-Imam Syarafuddin[15].
Dikatakan, kopiah yang dulu digunakan oleh Syaikhul Islam dibeli dengan harga 500 Dirham. Kain yang diletakkan ditengkuknya dibayar sebanyak 150 Dirham. Ramai orang yang bermimpi bertemu Syaikul Islam dan semua mimpi-mimpi yang baik. Tidak kurang juga yang mencipta qasidah dan Syair yang panjang ditujukan untuk Syaikhul Islam Ibnu taimiyah[16]. Mudah-mudahan beliau ditempatkan di Syurga Firdaus, amin.
Berkata Ibnu Kathir: “Secara ringkasnya hari tersebut adalah saksi yang belum pernah berlaku di Dimasyq, kecuali mungkin pada zaman Bani Umayyah ketika umat manusia terlalu ramai jumlahnya…aku tidak mengetahui bahawa di sana terdapat ulama yang tidak menghadiri jenazah beliau kecuali 3 orang yang memang terkenal dimusuhi oleh umat manusia, kerana takutkan keselamatan mereka terancam maka mereka tidak keluar kerana ia boleh menyebabkan mereka dibunuh oleh orang ramai. mereka bertiga ialah; Ibnu Jumlah, as-Sodr dan al-Qahfazi.”
“Sesungguhnya Syaikhul Islam adalah antara ulama besar yang kadang-kadang tersilap dan betul, akan tetapi kesilapan beliau berbanding kebenarannya umpama setitik air di lautan yang luas. Sementara kesilapannya juga diampunkan Allah Taala sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari Nabi bersabda yang bermaksud; “Jika seseorang hakim berijtihad dan benar Ijtihadnya maka baginya 2 pahala, jika dia berijtihad dan salah maka baginya satu pahala.” Berkata Imam Malik; “setiap orang boleh diambil kata-katanya atau di tolak kecuali tuan kubur ini(Nabi Muhammad)”[17].
6)Pujian para ulama yang sezaman dengan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah;[18]
-Syaikh al-Hafiz Abul Hajjaj berkata: ‘aku tidak melihat orang yang seperti beliau, aku juga tidak melihat seseorang yang lebih mengetahui tentang al-Quran dan juga Sunnah Rasulullah kemudian sangat mentaati kedua-dua tersebut (al-Quran dan Sunnah) kecuali Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.’
-Berkata al-Allamah Kamaluddin bin al-Zamlakani; "jika beliau (Syaikul Islam Ibnu Taimiyah) ditanya tentang satu-satu ilmu pasti orang yang melihat dan mendengar akan menyangka bahawa beliau tidak mengetahui ilmu yang lain kecuali yang tersebut, dan orang pasti akan menghukum bahawa orang lain tidak mempunyai pengetahuan seperti yang dimiliki beliau. Para fuqaha dari semua mazhab jika duduk bersama beliau pasti akan mendapat faedah dalam mazhab masing-masing dari beliau yang belum pernah mereka dengar sebelumnya. Tidak diketahui bahawa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berdebat dengan seseorang kemudian beliau memutuskan hubungannya dengan orang tersebut. Beliau juga memiliki karangan-karangan yang bagus dan amat cantik konsonannya, susunannya, pembahagiannya dan penerangannya……terkumpul pada diri Syaikul Islam Ibnu Taimiyah syarat-syarat Ijtihad sepenuhnya".
-Syaikh Imadduddin al-Wasiti berkata; "Syaikul Islam Ibnu Taimiyah adalah ketua imam, penghidup sunnah,pembenteras bidaah, mufti dalam bidang firaq[19], penghimpun antara yang zahir dan batin, salah satu contoh seperti khulafa ar-Rasyidin mudah-mudahan Allah menggangkat darjatnya. Demi Allah, demi Allah, demi Allah aku tidak melihat wujudnya dibawah lembayungan Langit manusia seperti beliau dari sudut keilmuannya, amalannya, hal peribadinya, akhlaknya, ketaatannya, sifat pemurahnya, lemah lembutnya dan dalam melaksanakan hak Allah tatkalamana larangan-larangan Allah dicerobohi".
-Berkata al-Imam az-Zahabi; "beliau adalah satu bukti kekuasaan Allah dari sudut kecerdikannya, kefahamannya yang pantas, ketua dalam mengetahui al-Quran dan sunnah dan juga khilaf. Lautan ilmu dalam manaqalkan kalam-kalam ulama. Beliau pada zamannya adalah satu-satunya orang Alim, Zuhud, berani, pemurah, menyuruh kearah yang ma’ruf, menentang kemungkaran dan terlalu banyak karangannya.’…tambah az-Zahabi lagi; "jika disebut bidang Tafsir maka beliau adalah obornya, jika disebutkan tentang Fuqaha maka beliau adalah Mujtahid Mutlaq, jika beliau datang bercakap dihadapan para penghafaz pasti mereka akan terkedu, jika beliau berdebat dengan Ibnu Sina, pasti beliau akan menewaskannya dan memalukannya, menghancurkan dalil-dalil mereka, membuka kelemahan mereka"…sehingga kata-kat az-Zahabi; "sekira-kira boleh kita katakan, bahawa setiap hadis yang tidak diketahui oleh Syaikul Islam Ibnu Taimiyah maka ianya bukanlah hadis".
Insaf dan Bersikap adil satu kewajipan;
Selepas dari semua pembentangan ini, adalah amat tidak adil sekiranya kita terpedaya dengan syubahat-syubahat yang dilemparkan terhadap Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah untuk memburukkan beliau. Adakah suatu yang adil jika kita mengambil satu tohmahan salah kemudian meninggalkan pujian dan sokongan ulama sezaman beliau serta contoh gambaran yang diberikan oleh anak-anak murid beliau yang tersohor keilmuan mereka? Kadang-kadang menusia amat suka menzalimi diri mereka sedangkan Allah berfiman yang bermaksud (janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan). Mencerca ulama yang amat banyak jasanya, bahkan sebahagian orang jahil mengkafirkan mereka, Merupakan satu kesesatan dan kegelapan. Ketahuilah bahawa itu semua adalah antara dosa-dosa besar. Sanggupkah nanti mereka itu berdiri di hadapan Allah dan menjawap tohmahan-tohmahan yang mereka lemparkan? Sedangkan yang akan berkata-kata menjawap soalan-soalan tersebut adalah tangan dan kaki mereka serta anggota-anggota yang lain. Mengapakah kita tidak menginsafi dan bersikap adil sepertimana yang disarankan Allah “berlaku adillah sesungguhnya ianya amat hampir kepada Taqwa dan bertaqwalah”- al-Maidah. "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu mereka berdoa wahai Tuhan kami ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman, ya Tuhan kami sesungguhnya engkau maha penyantun lagi maha penyayang.”-al-Hasyr ayat 10.
Beberapa kekeliruan dan penjelasan;
Terdapat di sana beberapa kesilapan fakta yang wajib dibetulkan supaya kita semua mendapat gambaran tepat dan mendapat petunjuk kebenaran dari Allah Taa’la. Antaranya apa yang tulis oleh Ibnu Battutoh dalam kitabnya[20], ketika menterjemahkan sejarah Syaikul Islam Ibnu Taimiyah dengan katanya; "Beliau (Syaikul Islam Ibnu Taimiyah) mengarang dalam penjara kitab Tafsir yang dinamakan (Al-Bahrul Mukhit) lebih kurang 40 jilid. Kemudian ibu beliau pergi menemui Malik an-Nasir mengadukan hal agar dibebaskan anaknya. Lantas beliau dibebaskan dengan perintah Raja, sehinggalah berlaku perkara yang sama (penjara) kali kedua, dan aku pada ketika itu berada di Dimayq menghadiri hari Jumaat dan aku dapati beliau berada di atas mimbar masjid Jami’ Umawi memberi peringatan kepada manusia. Antara jumlah Kalamnya ialah: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia sepertimana aku turun dari mimbar ini” sambil beliau turun dari tangga Mimbar satu persatu. Maka hal tersebut ditentang oleh Faqih Maliki yang dikenali sebagai Ibnu az-Zuhra yang bangun dan menolak pandangan tersebut. Akan tetapi bangunlah orang ramai yang segera memukul Ibnu az-Zuhra’ dengan tangan dan kasut mereka…."
Kisah ini adalah satu pembohongan besar terhadap Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah! Sesungguhnya ibnu Batutoh telah memasuki Dimasyq pada 09 Ramadhan 726 H dan pada ketika itu Syaikul Islam Ibnu Taimiyah telahpun berada di penjara Dimasyq sehingga beliau wafat. Bagaimanakah mungkin Ibnu Batutoh melihat beliau di atas Mimbar memberi peringatan atau tazkirah pada hari Jumaat? Ramai ulama yang menulis dan menolak penipuan ini antara mereka ialah Syaikh Muhamad bahjah al-Baithor di dalam majalah (al-Alamul Islami) jilid 7-8 mukasurat 394-399 keluaran tahun 1940. apa jua hal keadaanya ialah samada fakta ibnu batutoh itu satu penipuan ataupun satu kesilapan beliau yang tidak mengenali Syaikul Islam Ibnu Taimiyah. Ini memandangkan beliau seorang musafir yang baru menjejaki bumi Dimasyq.
Suatu perkara yang diketahui umum ialah tentang aqidah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah. Beliau bukan dikalangan hululiah seperti ibnu arabi[21], bahkan beliau sendiri dipenjarakan dengan sebab menolak dan mebantah pandangan Ibnu Arabi dalam masalah sifat Allah Taala. Beliau juga bukan dikalangan mujassamah (mentajsimkan Allah taala)! Beliau juga bukanlah dikalangan mereka yang mentakwilkan sifat Allah yang thabit di dalam al-Quran dan Sunnah yang Soheh. Akan tetapi beliau adalah seorang yang berpegang dengan Aqidah Salaf iaitu; mengisbatkan sifat-sifat Allah yang wujud di dalam al-Quran dan Sunnah tanpa mentakwilkan[22], tanpa menta’tilkan[23], tanpa menafikan dan tidak juga mentasybihkan[24]. Sepertimana kata-kata Imam Malik ketika ditanya dalam majlis ilmunya di Masjid Nabawi tentang bagaimanakah Allah Taala beristiwa’ (bersemayam)? Lalu Imam Malik menjawab setelah beliau diam sebentar dengan menahan marah dan peluh yang membasahi dahinya: ‘bersemayam itu sedia maklum, bagaimana Allah bersemayam itu tidak diketahui, beriman dengan sifat tersebut adalah wajib, dan bertanya tentang bagimana cara Istiwa’Allah itu adalah bidaah.’
[1] Lihat ‘Zail Tarikh al-Islam’ karangan az-Zahabi wafat748H
[2] Lihat Bidayah Wan-Nihayah pada kisah tahun 683H.
[3] Lihat ‘al-Jami’li Sirah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah khilal 7 Qurun’ Isyraf Syeikh Bakr bin Abdillah Abu Zaid cetakan Dar A"lam al-Fawaid.
[4] Sila rujuk kitab ‘Asma Muallafat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah karangan Abdullah Muhamad bin Rusyaiyiq wafat tahun 749H. Imam az-Zahabi mengatakan bahawa karangan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah melebihi 400 jilid.
[5] Lihat al-Bidayah Wan Nihayah Ibnu Kathir pada kisah tahun 704H
[6] Lihat al-bidayah wan nihayah ibnu kathir pada kisah tahun 702H
[7] Lihat al-bidayah wan nihayah ibnu kathir pada kisah tahun 704H
[8] Karamat ialah suatu perkara yang luar biasa dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang soleh samada dengan permintaan orang tersebut ataupun tidak.
[9] Lihat فصل فيما قام به ابن تيمية وتفردبه وذلك في تكسير الاحجار لخادم شيخ الإسلام: إبراهيم بن أحمد الغياني
[10] Surah Maryam 93
[11] Surah Nuh ayat 3
[12] Lihat kitab al-Kawakib ad-Durari, kisah ini di cerikan oleh anak murid dan khadim Syaikhul Islam; Ibrahim bin Ahmad al-Ghiani.
[13] Lihat Ibnu Kathir dalam "al-Bidayah Wan- Nihayah" dan "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.
[14] Lihat ‘Mukhtasor Tobaqat Ulama’al-Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi wafat tahun 744
[15] Lihat "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.
[16] "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.
[17] Lihat Ibnu Kathir dalam "al-Bidayah Wan- Nihayah".
[18] Lihat "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744. semua pujian-pujian alama ini diambil dari kitab Ibn Abdul Hadi anak murid Syaikhul Islam.
[19] Firaq ialah satu tentang perpecahan umat islam dalam pelbagai mazhab yang batil melibatkan aqidah dan pegangan umat islam seperti aqidah Jahmiah, Khowarij, Syiah, Murjiah dan sebagainya seperti yang datang dalam hadis soheh tentang perpecahan umat Muhammad kepada 73 kumpulan.
[20] Tuhfatun Nuzzor Fi Ghoroib al-Amzor Wa Ajaib Asfar @ lebih dikenali sebagai ‘Rehlah Ibnu Battutoh’ wafat tahun 779H
[21] Lahir pada tahun 560 H di Mirsiah Mahyuddin Mohd bin Ali bin Mohd terkenal sebagai Ibnu Arabi, mengarang kitab-kitab sufi, lihat al-Wafi Bilwafayat li Ibnu Ali.
[22] Takwil yang di maksudkan ialah tafsiran yang tidak berpandukan kepada nas-nas dan dalil yang kuat, atau mengubah sesuatu makna lafaz yang jelas maknanya kepada suatu makna lain yang berbeza tanpa dalil yang menyokong. Ini adalah takwilan yang dicela. Adapun takwil @tafsiran yang dipuji ialah apa-apa yang berpandukan kepada dalil-dalil daripada al-quran sunnah ataupun kata-kata sahabat. Contohnya dalam menta’wilkan maksud ayat (يا أيها الذين آمنوا إذا قمتم الى الصلاة فاغسلوا وجوهكم....) yang di maksudkan dengan (kumtum) ialah (aradtum) jika hendak mendirikan solat ini sesuai dengan perbuatan Nabi yang mana menjadikan wudhu sebagai syarat sah solat.
[23] Ta’thil bermaksud membatalkan atau meninggalkan apa-apa sifat Allah yang wujud di dalam al-quran dan juga sunnah nabi samada pembatalan itu berbentuk lafzi ataupun maknawi.
[24] Tasybih ialah; menyerupakan sesuatu sifat Allah dengan mana-mana sifat makhluk ataupun menyamakan sifat-sifat makhluk dengan sifat Allah. Seperti orang yang mengatakan bahawa sifat Nuzul (turun) Allah seperti turunnya manusia tanpa ada perbezaan. Allah maha suci dari kata-kata ini! Seperti firman Allah
(ليس كمثله شيء وهو السميع البصير) surah as-syura ayat 11 yang bermaksud; “Dia Allah itu tiada sesuatupun yang serupa denganNYA dan Dia maha mendengar lagi maha melihat.”
2 comments:
Assalamualaikum..
Barakallahu Fiik...
Tahniah atas kewujudan satu lagi blog ilmiy. Mudah-mudah menjadi medium dakwah yang bermanfaat. Dan terus di atas manhaj yang lurus.
Wassalam
Salam,
Ustaz hafidz..Ustaz ada buat kuliah agama ke kat perak?Kalau ada ana nak minta jadual.ana nak sertai,inshaallah
Catat Ulasan