Berilah Peringatan!
Segala puji bagi Allah yang menguasai sekalian alam, maha suci Allah yang ilmunya di semua tempat tiada yang terlindung darinya yang zahir mahupun batin. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan Muhamad alaihissolat wassalam ahli keluarganya dan sahabat-sahabat baginda. Allah Taala berfirman dalam al-Quran;
{ أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلا تَذَكَّرُونَ } [الجاثية: 23] .
Maksudnya; “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberi petunjuk sesudah kesesatan itu? Apakah kamu semua tidak mengambil pelajaran?”
Berkata Imam ibnu Kathir; (dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu pengetahuan) iaitu dengan dua kemungkinan, pertama; Allah sesatkannya dalam keadaan dia mengetahui bahawa dirinya berhak untuk yang tersebut. Kedua; Allah sesatkannya setelah sampai kepadanya ilmu dan telah tertegak hujah keatasnya. Perkara kedua ini melazimkan perkara pertama dan tidak sebaliknya.”
Apabila ayat ini di kaji dengan Tadabbur, kita dapati ianya lebih mengarah kepada penuntut-penuntut ilmu Syara' yang sentiasa menaqalkan Kalam Allah dan Rasulnya, dan senantiasa bermain dengan hukum halal dan haram, walaupun zahir ayatnya adalah umum. Kita juga akan dapati bahawa disana terdapat satu golongan yang suka mengikuti dan tunduk kepada hawa nafsu mereka samada dengan tujuan kedunian ataupun dengan sengaja menjadi musuh berbahaya kepada islam iaitu Munafiqin. Dalam ayat yang lain Allah memberi peringatan;
وَلا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لا يُفْلِحُونَ (116) مَتَاعٌ قَلِيلٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (117) }النحل
Maksudnya; “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut oleh lidahmu secara dusta; ‘ini halal dan ini haram’ untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah, sesungguhnya orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. Itulah kesenangan yang sedikit dan bagi mereka azab yang amat pedih.”
Apa yang menjadi fokus ialah; "Mentaati hawa nafsu" sebenarnya berhubung kait dengan satu sifat Mazmumah iaitu takabbur atau sombong. Yang mana sifat ini merupakan maksiat pertama didalam tarikh penciptaan makhluk apabila Iblis engkar untuk bersujud kepada Nabi Adam sebagai tanda penghormatan lantas Iblis menjawab dengan penuh bongkak dan sombong; ‘Bagaimana mungkin aku sujud kepada makhluk yang engkau jadikan daripada tanah?’ Kerana sikap inilah Iblis dilaknat oleh Allah sehingga hari Qiamat. Kerana sikap ini jugalah Firaun dan Abu Jahal tidak beriman kepada Nabi yang diutus. Betapa berbahayanya sikap ini apabila Nabi bersabda;
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ.
Maksudnya; “Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang didalam hatinya sikap sombong walaupun sekecil biji zarah, lantas berkata seorang lelaki; seseorang itu suka jika pakaiannya bagus?Nabi bersabda; sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan yang cantik, kesombongan itu menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia.”[1] Maksud firman Allah; “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga-banggakan diri”[2]
Apabila kita membaca ayat keenam dan tujuh dari surah al-Fatihah, maka kita sebenarnya memohon supaya dikurniakan petunjuk yang benar iaitu jalan orang-orang yang dikurniakan nikmat Allah (an-Nabiyyin, as-Siddiqin, as-Syuhada was-Solihin) dan bukanlah jalan orang yang mendapat kemurkaan Allah iaitu orang-orang Yahudi, dan tidak juga jalan orang-orang yang sesat iaitu Nasrani (kristian). Orang Yahudi seperti yang dimaklumi, mereka adalah golongan yang mengetahui kebenaran tetapi tidak mengikutinya. Sewajarnyalah semua kita mengambil pengajaran dari orang-orang terdahulu bahawa punca kepada kekufuran mereka adalah angkuh dan sombong. Tidak mahu mendengar dan menerima kebenaran yang di sampaikan oleh para Nabi dan Rasul.
Semua ini berkemungkinan juga berlaku kepada mereka yang sombong dalam usaha mencungkil ilmu-ilmu Allah Taala disamping ianya menjerumuskan mereka kepada hawa nafsu yang membinasakan. Sebab itu, amatlah penting seseorang itu bersifat amanah, insaf dan taqwa. Kebenaran datangnya dari Allah taala, maka berhati-hatilah kita supaya tidak sekali-kali menolaknya, dikhuatiri Allah menutup pintu hati kita dari kebenaran itu untuk selama-lamanya.
Suatu perkara yang wajar diketahui ialah, kebenaran itu terkadang datangnya dari mereka yang tidak di sangka-sangka seperti yang berlaku dalam kisah Nabi Daud dan anak kecilnya Sulaiman.[3] Subhanallah! Jika ini berlaku kepada seorang Nabi, siapakah kita untuk tidak berlapang dada mendengar penjelasan dari guru-guru mahupun sahabat kita? Memang, hakikatnya kebenaran itu satu sementara kebatilan pula tiada had penyudahnya!
فَذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ فَأَنَّى تُصْرَفُونَ (32) كَذَلِكَ حَقَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ فَسَقُوا أَنَّهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ (33)يونس
Maksudnya; “Maka (zat yang demikian) itulah Allah tuhan kamu yang sebenarnya, maka tiada sesudah kebenaran itu selain kesesatan, bagaimanakah kamu dipalingkan dari kebenaran itu? Demikianlah telah tetap hukuman tuhanmu terhadap orang-orang yang Fasiq kerana sesungguhya mereka tidak beriman.”
Ya Allah yang maha mendengar, perlihatkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan kurniakanlah kepada kami ketaatan untuk mengikuti kebenaran tersebut, perlihatkanlah kepada kami kebathilan itu sebagai kebathilan dan kurniakanlah kepada kami jalan untuk menjauhinya. Hanya Engkaulah yang mampu memberi petunjuk wahai tuhan sekalian alam. Amin…
وصلى الله على محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلَم والحمد لله رب العلمين.
0 comments:
Catat Ulasan